Khamis, 27 Mac 2014

ISU BAHASA : Pengguna internet diselar, "bunuh" orang guna kata-kata kesat


KUALA LUMPUR : Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim menyelar pengguna laman sosial yang menggunakan bahasa kasar semasa membicarakan tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370.

Beliau berkata ini menunjukkan sebahagian pengguna laman sosial sudah hilang prinsip budaya serta nilai timur.

"Internet sudah merubah nilai hidup masyarakat kita pada hari ini, yang kini memilih menggunakan bahasa kasar dan "membunuh" orang dengan kata-kata kesat.

"Saya sebagai penasihat kerajaan akan cuba berunding supaya budaya tidak berbudi bahasa, berbahasa kasar dan tidak mempedulikan orang lain tidak berleluasa," katanya.

Rais, yang juga Penaung Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia Indonesia (Yirmi), berkata demikian dalam sidang media ketika majlis Sepetang Bersama Penaung Yirmi di sini pada hari Khamis.

Turut hadir Pengerusi Yayasan Warisan Negara (YWN) Datuk Seri Kamaruddin Siaraf, Duta Besar Indonesia ke Malaysia Herman Prayitno serta pemimpin Persatuan Banjar Malaysia; Persatuan Bawean Malaysia; Persatuan Halak Mandailing Malaysia; Persatuan Ikatan Komuniti Minang Malaysia; Persatuan Masyarakat Kampar Malaysia; Perhimpunan Masyarakat Indonesia di Malaysia (Permai) dan Ikatan Komunitas Merah Putih.

Rais berkata Yirmi dan YWN dijangka menerbitkan edisi pertama majalah Suara Nusantara bulan depan yang memuatkan penulisan, berita dan jurnal berkaitan warisan serta seni budaya Malaysia dan Indonesia.

Katanya, beliau juga akan meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melihat cadangan bagi mewujudkan Jalan Melayu di ibu negara.

"Brickfields dikenali sebagai Little India manakala Jalan Petaling dikenali sebagai China Town. Jadi Jalan Melayu perlu diambil kira untuk menonjolkan ciri-ciri kemelayuan," katanya.

Sementara itu, Herman berkata Indonesia dan Malaysia perlu melestari budaya nusantara agar tidak luntur dalam kalangan generasi muda yang akhirnya menyebabkan golongan berkenaan dipengaruhi budaya asing.

Sumber : Bernama

ISU BAHASA : Sopannya orang kita bercakap


Oleh : MUHAMMAD DAUD

TIDAK kira orang Melayu atau kaum-kaum lain, terutama yang berpendidikan lebih cenderung menggunakan perkataan atau frasa dalam bahasa Inggeris bagi menuturkan perkara yang dianggap kasar dan menyentuh perasaan.

Antara perkataan dan frasa tersebut ialah stupid (bodoh), breast cancer (kanser buah dada), rape (rogol), go to hell (pergi jahanam), pregnant (mengandung), bullshit (tahi lembu), dan lain-lain lagi.

Kemungkinan mereka menganggap bahawa penggunaan bahasa Inggeris ketika mengeluarkan kata-kata kasar dan menyentuh perasaan ini dianggap lebih lembut berbanding menggunakan bahasa Melayu.

Hal ini demikian kerana masyarakat Malaysia terutama orang Melayu tidak begitu terasa jika dihamburkan kata-kata kasar dalam bahasa asing memandangkan kata-kata itu tidak begitu menyentuh perasaan lantaran sesuatu pertuturan yang menggunakan bahasa ibunda sebenarnya lebih menyentuh perasaan.

Sebenarnya kita mampu menggunakan bahasa Melayu sendiri dalam situasi berkenaan agar kelihatan lebih halus dan sopan. Bahasa yang kita gunakan untuk menggantikan bahasa yang kasar diistilahkan sebagai bahasa halus.

Bahasa halus ialah bahasa atau perkataan yang lebih lembut digunakan untuk menggantikan perkataan yang dirasakan kasar atau menyentuh perasaan orang lain.

Namun, beberapa frasa seperti bodoh, pergi jahanam dan tahi lembu tidak dapat digantikan dengan bahasa halus kerana frasa itu tidak menggambarkan budaya kita.

Bahasa halus digunakan untuk menuturkan sesuatu maksud bagi menjaga perasaan dan emosi orang. Orang Melayu khasnya dan orang Malaysia amnya amat prihatin akan perasaan orang lain. Oleh itu, mereka akan menggunakan bahasa yang lebih halus supaya hati orang yang dilawan bercakap tidak tergores. Antara bahasa halus yang digunakan ialah pulang ke rahmatullah (mati), disimpan (dikuburkan), pegawai perhubungan pelanggan atau GRO (pelayan), pengawal keselamatan (jaga), orang kelainan upaya (orang cacat), operator pengeluaran (pekerja kilang), pembantu rumah (orang gaji), khinzir (babi) dan lain-lain lagi.

Bahasa halus juga digunakan untuk menggambarkan sesuatu yang berkaitan seks dan perkara yang tidak sopan serta menjijikkan. Kita tahu bahawa masyarakat Melayu agak tertutup dalam membicarakan hal-hal yang berkaitan seks. Oleh itu, penggunaan bahasa halus ini mampu menyampaikan sesuatu yang berkaitan seks di samping perkara yang tidak sopan serta menjijikkan. Contohnya, nafkah batin (hubungan seks suami dan isteri), datang bulan (haid), bersalin (beranak), berbadan dua (mengandung), payu dara (buah dada) melabur (berak), buang air seni (kencing), dan lain-lain lagi.

Orang Melayu memang terkenal dengan pantang larang yang banyak dalam kehidupan. Dalam lisan juga, orang Melayu akan mengikut pantang larang ketika berada di tempat-tempat yang berbahaya.

Oleh itu, kita akan menggunakan bahasa halus untuk merujuk sesuatu yang menakutkan apabila berada di sesuatu tempat. Contohnya, kita akan menggunakan bahasa halus seperti orang besar bagi merujuk gajah apabila berada di dalam hutan, Pak Belang (harimau), Sang Rangkak (buaya), tali pinggang (ular) dan lain-lain lagi.

Orang tua-tua juga tidak akan menyebut nama haiwan yang merosakkan tanaman mereka secara langsung tetapi menukarkan dengan nama yang lebih ‘mesra’ kerana percaya haiwan berkenaan akan lebih marah. Kita akan menggunakan Cik Ti untuk merujuk tikus dan Cik Bi untuk merujuk khinzir.

Bahasa halus juga merangkumi penggunaan nama gelaran untuk menunjukkan penghormatan kepada orang yang kita lawan bercakap serta untuk mewujudkan kemesraan dalam hubungan. Antara perkataan tersebut ialah nenda, ayahanda, bonda, kakanda, anakanda, dan lain-lain lagi.

Seseorang yang mempunyai perwatakan yang baik biasanya mempunyai hati yang mulia kerana hati yang mulia mengawal perwatakan seseorang. Begitu juga dengan pertuturan oleh sesuatu bangsa itu menggambarkan peradaban bangsa itu sendiri kerana “Bahasa Jiwa Bangsa” dan “Bahasa Menunjukkan Bangsa”.

Marilah sama-sama kita mengekalkan kesopanan dan kesusilaan bangsa kita buat selama-lamanya walaupun kita menghadapi cabaran daripada pengaruh dunia tanpa sempadan. Akhir kata “Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Isnin, 24 Mac 2014

TAKDIR MENENTUKAN...


Penantian berakhir
Sedih,  pasrah…bercampur-baur
Hakikatnya, kita hanya mampu merancang,
ALLAH yang berkuasa menentukan…
Daripada ALLAH kita datang,
Kepada-Nya kita dikembalikan…
Hanya AL-FATIHAH jadi bingkisan…
TAKZIAH buat yang ditinggalkan…
Sungguh… berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul….
Ayuh, marilah sama-sama kita rafakkan DOA
Mudah-mudahan mereka tergolong dalam kalangan insan-insan beriman…
Ameen…

24 MAC 2014

ISU PENDIDIKAN : Guru nilai prestasi pelajar


Oleh : Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali

Akhirnya ‘sengketa’ dan kemelut Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) berakhir apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan bahawa sistem baru ini tidak lagi membebankan golongan pendidik.

Dengan memberi kelebihan kepada guru untuk menggunakan inisiatif sendiri menyimpan data selain mempelbagaikan lagi mekanisme demi mempertingkatkan prestasi pelajar, penambahbaikan itu dilihat sudah berada di landasan betul.

Apatah lagi, menerusi penambahbaikan itu, guru diberi ruang untuk mencorakkan proses pe­ngajaran dan pembelajaran (P&P), ia dianggap usaha proaktif melahirkan pelajar yang mempunyai keupayaan berfikir aras tinggi.

Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim Profesor Dr Othman Lebar berkata, dengan penambahbaikan itu diharap mampu memberi kelebihan kepada guru untuk lebih fokus menjalankan tugas hakiki.

Menurutnya, walaupun PBS diakui sistem yang baik, bebanan yang terpaksa ditanggung guru sebelum ini mengganggu proses P&P, sekali gus menyebabkan konflik dan tekanan.

“Dengan mengurang­kan bebanan guru sehing­ga 80 peratus menerusi penambahbaikan PBS akan banyak memberi kelebihan kepada golongan itu menjalankan tugasan mengajar dan mendidik.

“Proses P&P bukan mudah kerana guru bukan saja perlu meneliti perkembangan pelajar, malah mempelbagaikan mekanisme sesuai bagi memastikan penyampaian ilmu dapat disampaikan dengan tepat.

“Justeru, pengura­ngan bebanan guru untuk mengisi data PBS seperti sebelum ini diharap mampu melonjakkan lagi rasa komited mereka untuk menjalankan tugas selain meredakan emosi yang bercelaru sebelum ini,” katanya.

Tiga penambahbaikan yang dilaksanakan ialah memberi ruang kepada guru menilai sendiri prestasi pelajar, memerhati perkembangan pelajar melalui P&P dan mentaksir pencapaian pelajar.

Ia menjadi ukuran bagi menentukan tahap pencapaian sebenar pelajar yang merangkumi empat komponen pentaksiran iaitu Pentaksiran Sekolah (PS); Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK); Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Pusat (PP).

Beliau berkata, dengan memberi kepercayaan kepada guru untuk menilai prestasi dan perkembangan pelajar, guru dapat mengetahui standard pengetahuan juga kemampuan pelajar secara individu.

“Bermakna guru boleh melaksanakan kebebasan bagaimana mahu menjadikan proses pembelajaran itu mampu diikuti pelajar yang mempunyai pelbagai kemampuan berbeza.

“Guru boleh menggunakan mekanisme ujian bertulis kertas dan pensel, alat bantuan mengajar dan mekanisme lain seperti kajian kes dan projek.

“Mereka bebas menggunakan apa jua cara dalam proses P&P kerana secara dasarnya PBS memberi kebebasan kepada guru,” katanya mengakui penambahbaikan itu juga seharusnya dimanfaatkan guru untuk menjadi lebih kreatif.

“Ketiadaan tekanan memasukkan data setiap hari membolehkan guru me­ngambil peluang ini untuk menjadi lebih kreatif sesuai dengan taraf mereka sebagai guru alaf baru.

“Penambahbaikan ini besar manfaatnya kepada golongan itu biarpun memasukkan data menggunakan kaedah manual adalah perkara hakiki dilakukan guru sejak dulu.

“Jangan pula selepas penambahbaikan ini ada rungutan guru yang me­ngatakan diri masih terbeban dengan tanggung­jawab menulis dalam buku rekod,” katanya.

Ditanya sama ada penambahbaikan dilakukan itu boleh merencatkan usaha dilakukan KPM untuk melahirkan pelajar holistik secara menyeluruh selain guru berdedikasi, katanya ia menjadikan sistem pembelajaran dan pendidikan lebih fokus.

Katanya, keupayaan PBS yang diperakui serta sudah banyak dilaksanakan di negara maju membuktikan sistem itu relevan untuk diaplikasikan.

“PBS boleh dikatakan sebagai memberi kuasa autonomi kepada guru untuk melaksanakan proses P&P.

“Ia juga anjakan daripada sistem peperiksaan berorentasikan akademik semata-mata yang digunakan sebelum ini.

“PBS mencakupi keseluruhan keperluan untuk melahirkan pelajar yang berupaya bersaing selain mempunyai tahap pemikiran tinggi seperti berfikir dan menyelesaikan masalah,” katanya.

Bagaimanapun, PBS katanya masih mempunyai kelemahan akibat faktor manusia, teknikal dan kualiti ujian.

“Ini tidak dapat dielakkan. Misalnya, guru memberi penilaian pelajar yang baik kerana faktor peribadi sedangkan pelajar itu tidak mencapai keupayaan sebenar.

“Perlu diingat, PBS adalah sistem untuk me­nyokong pembelajaran dan menghargai perbezaan keupayaan pelajar.

“Sebab itu, sebarang tindakan tidak profesional dalam kalangan guru boleh menjejaskan matlamat PBS,” katanya.

Beliau juga menyarankan agar pentaksiran dilakukan bukan saja dilakukan dalam kalangan guru, malah diberikan kepada pelajar sendiri.

“Pendapat saya, ini baru adil kerana kedua-dua pihak iaitu yang mentafsir serta ditafsir boleh mengetahui kelebihan dan kekurangan masing-masing.

“Peluang memperbaiki kelemahan terbuka lebih luas dan seimbang,” kata­nya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Jumaat, 21 Mac 2014

ISU SOSIAL : Strategi lebih berkesan banteras penyalahgunaan dadah


Oleh : Lee Lam Thye

Tragedi 6 pengunjung meninggal dunia di Konsert Future Muzik Festival Asia 2014 di pekarangan Stadium Bukit Jalil baru-baru ini yang berpunca daripada pengambilan dadah sintetik secara berlebihan telah sekali lagi menunjukkan betapa seriusnya penyalahgunaan dadah dan masalah ketagihan dalam kalangan belia hari ini.

Apa yang lebih membimbangkan adalah mengenai kemunculan dadah baharu yang lebih dikenali sebagai "Tab" yang digunakan oleh 6 anak muda yang meninggal dunia itu. Pihak berkuasa kini sedang menyiasat dadah sintetik baharu ini dan polis sedang menunggu laporan toksikologi berikutan bedah siasat ke atas 6 mangsa.

Menurut laporan media, sindiket dadah sedang mengembangkan rangkaian pengedaran mereka sehingga ke sekolah-sekolah dan menjadikan pelajar sebagai pengedar mereka.

Hasrat Malaysia untuk menjadi sebuah negara bebas dadah pada tahun 2015 harus dipuji. Namun demikian, langkah ini amat memerlukan komitmen, kesungguhan politik dan penyertaan sepenuhnya oleh semua sektor masyarakat termasuklah ibu bapa dan guru supaya ia dapat mencapai objektifnya. Jelas sekali, kita tidak dapat bergantung kepada satu pihak sahaja untuk menangani isu dadah. Kerajaan, agensi bukan kerajaan, badan-badan sukarela, pertubuhan agama dan institusi keluarga perlu bekerjasama.

Masalah penagihan dadah yang menjadi krisis pertama di Malaysia selama lebih dari­pada tiga dekad. Penyalahgunaan dadah masih merupakan masalah utama kepada negara terutama kepada mereka yang berusia antara 19 hingga 39 yang membentuk 72% daripada penagih dadah di negara ini.

Ini adalah masanya bagi organisasi dan persatuan serta masyarakat Malaysia secara keseluruhannya bekerjasama dengan kerajaan memerangi ancaman dadah untuk menyelamatkan generasi muda kita daripada momokan dadah.

Kepada semua belia yang merupakan aset terbesar negara ini, saya ingin menasihati mereka supaya menjauhkan diri daripada dadah kerana ia bukan sahaja demi kesejahteraan diri mereka tetapi juga demi masa depan negara. Adalah perlu untuk kita membangunkan strategi yang lebih berkesan supaya dapat mencapai negara bebas dadah pada 2015 nanti. Usaha-usaha yang kini dilaksanakan bertujuan membasmi masalah dadah perlu dikaji semula bagi memastikan kesesuaian dan keberkesanannya. Kunci dalam memerangi dadah terletak pada pencegahan. Strategi pencegahan yang berkesan dan kekal diperlukan di rumah, masyarakat dan tempat kerja untuk membasmi masalah ini. Peranan aktif ibu bapa dan masyarakat dalam kempen memperjuangkan penyalahgunaan dadah juga penting dan perlu dipertingkatkan.

Prihatin dengan isu dadah dalam kalangan belia ini, MCPF ingin memberikan beberapa cadangan:

a) Belia mesti belajar bagaimana untuk menangani masalah tekanan hidup tanpa perlu bergantung kepada dadah. Ini boleh dilakukan melalui cara kerohanian atau melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti rekreasi yang sihat;

b) Belia perlu menolak tekanan rakan sebaya jika mereka digesa atau dipengaruhi untuk melakukan perkara yang mereka tahu adalah salah dan akan membawa kemusnahan kepada diri sendiri;

c) Belia perlu dididik tentang bahaya penyalahgunaan dadah dan ketagihan melalui seminar, bengkel, buku dan penerbitan. Mereka harus menyampaikan maklumat tentang kesan-kesan berbahaya ubat-ubatan itu kepada rakan-rakan mereka;

d) Belia mesti berani, berdisiplin, bertanggungjawab dan menghargai diri sendiri dalam membina masa depan yang lebih baik.

e) Belia di Malaysia mesti bersatu dan membantu sesama mereka untuk mencapai matlamat bebas dadah pada abad ke-21 kelak.

PENULIS ialah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 19 Mac 2014

SPM 2013: 13,970 Calon Peroleh Gred A Semua Mata Pelajaran


PUTRAJAYA : Sebanyak 13,970 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas memperoleh gred A (Cemerlang) bagi semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 13,720 calon pada 2012, iaitu peningkatan sebanyak 0.05 peratus.

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata terdapat peningkatan jumlah calon yang mendapat semua A daripada sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu sebanyak 11,892 calon berbanding 11,648 calon tahun sebelumnya.

"Bagi calon bukan KPM yang memperoleh semua A adalah sebanyak 2,078 untuk semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 2,072 calon pada 2012," katanya semasa mengumumkan Analisis Keputusan SPM 2013 di sini, Khamis.

Daripada jumlah itu, Khair berkata sebanyak 405 calon iaitu 366 calon sekolah KPM dan selebihnya calon bukan KPM berjaya memperoleh gred A+ (Cemerlang Tertinggi) bagi semua mata pelajaran yang diduduki.

Beliau berkata jumlah keseluruhan calon yang menduduki SPM tahun lepas adalah sebanyak 442,588.

Sumber : Bernama

Selasa, 18 Mac 2014

ISU PENDIDIKAN : Keputusan STPM esok, SPM Khamis


KUALA LUMPUR : Keputusan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) 2013 dikeluarkan esok, manakala keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 Khamis ini.

Bagi keputusan STPM, semua calon boleh mengambil keputusan mereka di sekolah masing-masing bermula jam 12 tengah hari, manakala calon persendirian akan memperolehinya melalui pos.

Pegawai Perhubungan Awam Majlis Peperiksaan Malaysia, Khawari Idris berkata, seramai 55,214 calon STPM tahun lepas dilaporkan telah hadir menduduki peperiksaan di 773 buah pusat peperiksaan di seluruh negara.

Calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM RESULT dan menghantarnya ke 15888, katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

Selain itu, calon juga boleh melayari portal Majlis Peperiksaan Malaysia di http://www.mpm.edu.my mulai 12 tengah hari pada hari sama untuk semakan keputusan peperiksaan.

Menurut Khawari, persidangan akhbar mengenai analisis keputusan STPM 2013 akan diadakan setengah jam sebelum keputusan diedarkan kepada calon pada hari sama di Auditorium, Majlis Peperiksaan Malaysia, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor.

Sementara bagi calon SPM, mereka boleh mendapatkan keputusan pada Khamis ini bermula 10 pagi di sekolah masing-masing.

Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata seramai 470,395 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM di 3,616 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Semakan keputusan SPM juga boleh dibuat melalui mySMS 15888 dengan menaip SPM dan hantar ke 15888. Perkhidmatan disediakan KPM itu diaktifkan mulai 10 pagi Khamis dan ditamatkan pada 11.59 malam 26 Mac.

Majlis Pengumuman Analisis Keputusan SPM 2013 akan diadakan 9 pagi Khamis di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 6, Blok E8, Kompleks Parcel E, Putrajaya.

Sumber : Bernama

Isnin, 17 Mac 2014

ISU PENDIDIKAN : Penambahbaikan PBS : Guru tidak perlu isi data penguasaan murid


KUALA LUMPUR  18 Mac - Guru-guru tidak perlu lagi mengisi data penguasaan murid secara atas talian berikutan pelaksanaan langkah-langkah penambahbaikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) mulai 1 April ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, guru-guru boleh merekodkan perkembangan pembelajaran murid secara `offline' menerusi Sistem Pengurusan PBS (SPPBS).

Beliau yang juga Menteri Pendidikan menjelaskan, langkah itu adalah bagi memastikan para guru memberi fokus terhadap pengajaran dan pembelajaran.

"Oleh sebab bilangan pernyataan deskriptor dan evidens telah dikurangkan, secara automatik guru-guru tidak akan dibebankan dengan kesibukan mengisi dan merekodkan penilaian pelajar ke dalam sistem komputer berpusat," katanya pada sidang akhbar tentang penambahbaikan PBS di bangunan Parlimen hari ini.

Selain itu, Muhyiddin turut mengumumkan pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi menggantikan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Langkah-langkah penambahbaikan PBS yang lain adalah:

* Kementerian Pendidikan telah menetapkan Dokumen Standard  Prestasi (DSP) dipermudahkan menjadi Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid.

* Guru tidak lagi perlu menyediakan Fail Perkembangan Murid (FPM) dan melengkapkan Rekod Transit.

* Perekodan perkembangan pembelajaran murid boleh dilakukan mengikut kesesuaian masa guru.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Literasi Media untuk elak 'wartawan segera'


Subjek literasi media perlu diperkenalkan di semua peringkat sekolah rendah dan menengah bertujuan melahirkan generasi muda celik media, kata Prof Madya Mohamad Md Yusoff.

Mohamad merupakan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM) berkata pendekatan itu adalah amat penting bagi memberi pendedahan kepada generasi muda agar tahu menilai dan membezakan kesahihan sesuatu berita.

Ini kerana, situasi penyebaran berita palsu dalam laman sosial semakin membimbangkan dalam kalangan golongan muda, katanya.

"Subjek ini perlu diwajibkan kerana ia boleh memberi pendedahan, sekali gus mengubah corak pemikiran golongan muda mengenai kaedah dan cara memperoleh maklumat sama ada melalui internet atau televisyen," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menjadi tetamu jemputan dalam rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam semalam.

Mohamad berkata kefahaman dan pengajaran menerusi subjek literasi media itu juga dapat mengekang kewujudan 'wartawan segera' seperti apa yang berlaku di laman sosial ketika ini.

"Apabila mereka tidak faham (maksud berita) maka akan lahirlah wartawan tidak beretika, tiada prosedur dalam menyampaikan maklumat dan tidak bertauliah," katanya.

Beliau turut meminta mana-mana persatuan dalam bidang kewartawanan untuk mengambil pendekatan proaktif bagi memastikan masalah penyebaran maklumat tidak sahih melalui media sosial dapat diatasi.

Ia termasuklah memberi penerangan bagaimana mendapatkan maklumat, penulisan, pengesahan dan proses penyuntingan berita.

"Perbuatan menyebar berita palsu adalah ancaman kepada pengamal media yang sah...Apa yang kita tahu, berita yang sahih adalah berita yang dihasilkan mengikut proses yang ditetapkan," katanya.

- Bernama

Rabu, 12 Mac 2014

ISU PENDIDIKAN : Tingkatan Enam macam kolej


Oleh : Nor Azma Laila dan Arina Azlan

Kuala Lumpur : Penubuhan dua Pusat Tingkatan Enam pertama di negara ini iaitu masing-masing di Kota Kinabalu, Sabah dan di Petaling Jaya, Selangor memberi peluang kepada pelajar Tingkatan Enam merasai pengalaman belajar seperti di kolej atau pusat matrikulasi.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya 2, Kota Kinabalu, Sabah sebagai Pusat Tingkatan Enam mula beroperasi pada 5 Februari lalu, manakala SMK Petaling Jaya, Selangor pula memulakan sesi persekolahan pada 17 Februari lalu.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan, Datuk Mazlan Mohamad, berkata berdasarkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Pendidikan pada November tahun lalu, kementerian meluluskan dua fokus utama iaitu berkaitan pengoperasian premis dan pakaian.

Beliau berkata, premis merujuk kepada penggunaan bangunan sekolah baharu sebagai Pusat Tingkat Enam yang dikategorikan sebagai Mod 1, manakala 14 sekolah lagi dikategorikan dalam Mod 2 yang juga akan bermula tahun ini.

Dikategori Mod berbeza

Mod 1 merujuk kepada sekolah yang hanya menempatkan pelajar dan guru Tingkatan Enam saja, manakala Mod 2 pula ialah pelajar Tingkatan Enam tempatkan di blok berasingan tetapi di dalam sekolah aliran perdana, sementara Mod 3 pula pelajar bercampur dan berkongsi bangunan dengan pelajar sekolah harian biasa.

Mazlan berkata, tiga lagi Pusat Tingkatan Enam Mod 1 dijangka dibuka pada Mac hingga April ini iaitu SMK Sri Bandar Pontian, Johor; SMK Desa Mahkota, Kuala Lumpur dan SMK Taman Mahsuri, Kulim, Kedah.

Katanya, satu sekolah Pusat Tingkatan Enam Mod 2 sudah beroperasi pada 2 Januari lalu iaitu di SMK Tunku Muhamad Kuala Pilah, Negeri Sembilan manakala 13 sekolah lagi dijangka dibuka di Kedah, Perak, Sabah dan Selangor.

Selain premis dan pakaian, kementerian juga akan memberi perincian kepada tiga lagi fokus utama iaitu pengurusan dan pentadbiran, pengajaran dan pembelajaran serta kurikulum.

Bincang subjek bersesuaian

Semua aspek ini masih memerlukan perbincangan terperinci dengan banyak pihak termasuk universiti, bagi membincangkan mengenai mata pelajaran yang ditawarkan bersesuaian dengan kehendak universiti sekali gus memastikan pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dapat menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT), katanya ketika dihubungi BH semalam.

Beliau berkata, melalui penubuhan Pusat Tingkatan Enam itu, diharapkan sekolah dapat menawarkan lebih banyak pilihan mata pelajaran kepada pelajar sekali gus menjadikan ia sebagai pilihan utama pelajar sebelum melanjutkan pelajaran ke IPT.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Sabtu, 8 Mac 2014

ISU BAHASA : “Lautan api akan aku renangi...”


Oleh : MUHAMMAD DAUD

BENARLAH kata orang, apabila hati dilamun cinta, bulan dan bintang  pun bisa dihadiahkan buat kekasih hati, apatah lagi kalau setakat untuk berenang merentasi lautan api.

Bagi merungkaikan perasaan di hati pasangan yang bercinta, maka terungkaplah ayat-ayat cinta seperti:

Lautan api akan aku renangi…
Dirimu segala-galanya bagi aku…

Sebenarnya, kata ganti diri pertama 'aku' boleh ditafsirkan dari pelbagai sudut mengikut situasi hubungan antara insan yang berdialog.

Ketika berdoa ke hadrat Tuhan, kita juga menggunakan kata ganti diri pertama ini, contohnya, “Aku bermohon kepada-Mu ya ALLAH, ampunilah dosaku.”

Namun, sekiranya digunakan kata ganti diri pertama 'aku' semasa kita bercakap dengan ibu bapa, tentu kita akan dilihat sebagai kurang beradab.

Begitu juga dengan seorang murid yang bercakap dengan guru dan membahasakan dirinya sebagai aku, murid tersebut akan dianggap sebagai kurang ajar.

Walau bagaimanapun, terdapat sedikit kekecualian bagi masyarakat yang berketurunan Jawa kerana tidak dianggap sesuatu yang kasar jika seorang anak membahasakan dirinya sebagai aku.

Jika kita bandingkan penggunaan kata ganti diri pertama 'aku' dalam situasi-situasi di atas, nescaya penggunaan 'aku' menggambarkan dua makna yang berbeza.

Penggunaan 'aku' dalam situasi pertama (antara dua kekasih) dan situasi kedua (antara manusia dengan Tuhan) tentunya tidak sesuai diganti dengan kata ganti diri pertama 'saya'. Dalam situasi ketiga (antara anak dengan ibu bapa) dan keempat (antara murid dengan guru) pula, kata ganti diri pertama 'aku' perlu diganti dengan 'saya'. Lihat pula contoh di bawah ini:

“Rosli, aku jumpa dengan Adnan semalam,” beritahu Zalizi.

Dalam konteks dialog di atas, Zalizi mempunyai hubungan yang rapat dengan Rosli. Penggunaan 'aku' dalam pertuturan dan ungkapan bahasa Melayu dapat menunjukkan hubungan yang rapat antara penggunanya. Cuba kita renungkan pula dengan siapa kita membahasakan diri sebagai 'saya'?

“Saya minta maaf jika kata-kata saya menggores perasaan awak,” kata Imran kepada Dr Nasir.

Dialog di atas menunjukkan hubungan antara Imran dengan Nasir tidaklah serapat hubungan antara Zalizi dengan Rosli. Hal ini membuktikan 'aku' dan 'saya' dapat mengukur tahap keakraban antara dua sahabat.

Dalam konteks lain pula, apabila bertutur dengan seseorang yang sepatutnya kita hormati, tidak wajar untuk kita membahasakan diri sebagai aku.

Jadi, di sini jelas dalam situasi ketiga (bercakap dengan ibu bapa atau orang tua) dan situasi keempat (murid bercakap dengan guru) di atas, menjadi sebab kita perlu membahasakan diri sebagai 'saya'.

Bagaimanakah pula bagi yang bahasakan dirinya mengikut nama?

“Abang, tolong ambilkan air. Mariah hauslah,” beritahu Mariah kepada suaminya, Rahim.

Penggunaan nama sendiri sebagai kata ganti diri pertama pula menunjukkan kemesraan dan kemanjaan dalam hubungan antara penutur tersebut.

Wanita lebih gemar menggunakan nama sendiri sebagai kata ganti diri pertama tetapi penggunaan dalam kalangan lelaki dianggap janggal dan kurang sesuai.

Walau bagaimanapun, kebanyakan suami lebih gemar menggunakan abang sebagai kata ganti diri pertama apabila berkomunikasi dengan isterinya.

Bahasa Melayu amat unik. Walaupun perkataan yang digunakan sama tetapi mempunyai nilai tertentu yang hanya difahami oleh pengguna bahasa Melayu itu sendiri.

Tidak hairanlah jika terdapat kesilapan penggunaan kata ganti diri pertama dalam kalangan penutur bukan Melayu apabila bertutur dalam bahasa Melayu kerana mereka menterjemah perkataan tersebut secara langsung daripada bahasa mereka, misalnya penggunaan 'aku' dalam kalangan murid apabila berinteraksi dengan gurunya.

Sama-samalah kita mendaulatkan bahasa Melayu kita. “Bahasa Jiwa Bangsa”.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Rabu, 5 Mac 2014

ISU BAHASA : Kegagalan Menguasai Bahasa Melayu tidak patut berlaku selepas 57 tahun merdeka


Oleh : Profesor Teo Kok Seong

Masyarakat Cina perlu insafi nilai bahasa Melayu kepada bangsa, negara

Pelonggaran syarat kepujian dalam Bahasa Melayu pada Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, kepada hanya kelulusan, untuk tujuan pengambilan kakitangan dalam perkhidmatan kerajaan, perlu dihemati sedalam-dalamnya.

Ia bukan sahaja akan menjejaskan  nilai  bahasa Melayu sebagai bahasa negara dalam sistem negara, antaranya pentadbiran dan juga institusi negara, seperti perkhidmatan awam. Ia ikut akan menjejaskan perlambangannya daripada beberapa dimensi nasional.

Antaranya kedaulatan negara dan jati diri kebangsaan. Hal ini akan berlaku apabila kepentingannya dikompromikan. Dengan penyesuaian daripada kelulusan tahap tinggi kepada yang rendah, etos kita sebagai bangsa dan negara yang terasnya Melayu, tidak dapat dipertahan lagi dalam bentuk yang utuh dan unggul.

PDRM turun kelayakan

Bagaimanapun, langkah yang diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menurunkan kelayakan bahasa negara kita, daripada peringkat kepujian kepada kelulusan sahaja, bagi menarik lebih ramai kaum Cina menyertai pasukan PDRM, khususnya dalam pengambilan permulaan anggota pangkat rendah, didapati berasas. Salah satu daripadanya ialah rata-rata calon Cina yang pernah memohon, tidak mempunyai kepujian dalam Bahasa Melayu, selain tidak fasih dalamnya.

Keperluan PDRM mempunyai anggota Cina untuk menjadi perantara bagi melancarkan kerja kepolisan apabila berkaitan dengan masyarakat Cina, yang rata-ratanya tidak fasih berbahasa Melayu, mempunyai asas lain. Yang lain ialah keanggotaan kaum Cina hampir dua peratus dalam pasukan PDRM, bukan saja kecil malah ia tidak mencerminkan komposisi kaum Cina sekitar 30 peratus dalam demografi negara.

Meskipun asas ini semuanya mempunyai kebenaran, masalah kaum Cina tidak fasih bahasa Melayu, iaitu bahasa negara ini, tidak boleh selalunya diselesai dengan cara ini. Dalam hal ini, kaum Cina tidak pernah cuba mempelajarinya dengan lebih tekun.

Kalau adapun, ia bersifat instrumental, misalnya untuk memperolehi markah tinggi. Mereka juga tidak memperlihat sikap serius untuk memperoleh pengetahuan lebih baik terhadap bahasa Melayu untuk tujuan integratif. Ini penting untuk menjadikan mereka sebahagian komuniti bahasa Melayu.

Sebenarnya masalah bahasa ini tidak banyak dan boleh dikatakan langsung tidak dibincangkan oleh pemimpin Cina, walaupun ia adalah isu serius dihadapi kaum Cina dalam komunikasi  rasmi dengan pihak kerajaan.

Malah ia cuba diatasi dalam sektor perubatan  dengan pesakit di hospital kerajaan, dengan komuniti Cina setempat mengambil inisiatif untuk mengajar bahasa Mandarin kepada kakitangan perubatan bukan Cina. Cara ini mungkin boleh diterima sebagai langkah penyelesaian jangka pendek.

Wajib kuasai bahasa Melayu

Untuk jangka panjang, kaum Cina bukan saja perlu, tetapi wajib menguasai bahasa Melayu pada tahap baik, yang melampaui bentuk jelik yang dikenali bahasa pasar. Selepas 57 tahun merdeka, perkara sebegini sepatutnya tidak berlaku lagi.

Malangnya ia bukan sahaja wujud, malah keadaannya bertambah buruk. Ini terbukti dengan bilangan kaum Cina, daripada golongan muda pula, yang boleh dikategorikan tidak boleh berbahasa Melayu langsung. Ini sesuatu yang boleh memalukan negara di mata dunia kerana ada warga negara yang masih tidak mengetahui bahasa negaranya.

Yang amat memalukan lagi sikap kaum Cina sendiri. Mereka tidak mengendahkan kewajipan untuk bersifat nasional sebagai warga negara, antaranya dengan mengetahui bahasa negara pada tahap yang baik.

Secara perbandingan, ini tidak berlaku pada kaum Cina di Indonesia dan Thailand. Sudah tiba masanya, kaum Cina bukan saja mempertimbang hal ini secara serius. Mereka juga perlu memperbaiki keadaan ini dengan mengambil langkah pertama, iaitu mula mengetahui untuk menyedari dan menginsafi nilai bahasa negara kepada bangsa dan negara.

Ini perlu dilakukan secara terancang oleh pemimpin Cina dari semua lapisan dan sektor, dengan bantuan pertubuhan persuratan Melayu, selain Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai ejen pengembangan bahasa Melayu.

Ini penting untuk kaum Cina sebagai warga negara Malaysia pada mata kaum lain di negara ini, dan lebih-lebih lagi oleh masyarakat luar, antaranya pelancong dalam lawatan singkat ke Malaysia, yang sempat memerhati bahawa rakyat Malaysia keturunan Cina, tidak boleh berbahasa negara mereka. Keadaan ini perlu ditangani dengan penuh keinsafan oleh kaum Cina.

Penulis ialah Profesor Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Rakyat Malaysia kini 30 juta orang


Oleh : Johan Jaafar

Sewaktu rencana ini mula ditulis pada jam 10.55 malam, 2 Mac 2014, penduduk Malaysia berjumlah 30,075,276 orang. Itu kiraan yang dibuat oleh website Population Clock. Sebanyak 1,192 orang lagi bertambah hari itu. Dalam masa 61 hari tahun 2014, Malaysia mencatatkan pertambahan 101,599 orang dengan 23,761 kematian. Ini bermakna secara purata 1,600 rakyat Malaysia lahir dan 389 mati setiap hari.

Pada hari bersejarah Tunku Abdul Rahman Putera mengisytiharkan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, rakyat Malaya hanya 6.3 juta orang. Sepuluh tahun kemudian (Sabah dan Sarawak sudah menjadi sebahagian daripada Malaysia) jumlah penduduk menjadi 10.1 juta. Angka itu menjadi 12.7 juta orang pada tahun 1977 dan 16.7 juta pada tahun 1987. Sepuluh tahun selepas itu, angkanya mencecah 21.8 juta (1987). Pada tahun 2007, jumlahnya ialah 26.8 juta orang.

Tidak banyak yang menyedari bahawa pada 27 Februari 2014, rakyat Malaysia yang ke-30 juta telah lahir ke dunia. Dalam masa tujuh tahun terakhir ini berlaku peningkatan 3.2 juta penduduk, jumlah yang kecil jikalau dibandingkan dengan banyak negara lain. Dalam masa tujuh tahun kita hanya mampu menambah penduduk yang seramai rakyat Singapura.

65 juta orang pada 2100

Dijangka penduduk Malaysia akan mencecah 30.6 juta pada tahun 2040 dan 65 juta pada tahun 2100. Pada tahun 2040 jumlah orang Melayu dijangka 20.9 juta orang atau 54 peratus jumlah penduduk. Kaum Cina diramalkan akan menjadi 7.1 juta orang atau 18 peratus penduduk.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menggemparkan negara apabila menyebut dasar 70 juta penduduk pada tahun 1984. Pada masa itu beliau baru saja empat tahun memegang tampuk pemerintahan. Penduduk Malaysia masih 15.3 juta orang. Tidak banyak orang yang percaya Malaysia boleh mencapai sasaran 70 juta penduduk menjelang 2100. Berdasarkan ramalan, mungkin kita terkurang lima juta orang sahaja daripada sasaran Tun Mahathir itu.

Lagi pula daripada segi kepadatan penduduk, kita masih selesa dengan 89 orang bagi setiap kilometer persegi. Kadar pertambahan penduduk kita adalah di sekitar 2.4 peratus setahun, relatif kecil berbanding banyak negara lain.

Apakah makna pertambahan penduduk bagi sesebuah negara? Sudah tentulah keperluan lebih banyak pada pelbagai sumber daripada makanan, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan. Bilangan penduduk yang banyak juga bermakna pasaran domestik lebih besar. Kebangkitan China sebagai kuasa baru ekonomi ada kaitan dengan jumlah penduduknya. Memang benar China pernah memenjara dirinya daripada luar. Tetapi, apabila  Negara tersebut membuka dirinya pada tahun 1979, kesannya cukup luar biasa.

China takluk ekonomi dunia

China hari ini mempunyai penduduk melebihi 1.3 bilion orang. Ia bukan sahaja memberi peluang niaga yang lebih besar pada rakyatnya tetapi juga keupayaan menakluk dunia dengan kuasa ekonomi.

India yang kini mempunyai 1.2 bilion penduduk dipercayai akan mengalahkan China dalam waktu terdekat daripada segi jumlah penduduk. Tetapi ekonomi India tidak ditadbir dengan baik berbanding China. Indonesia kini mempunyai 250 juta penduduk. Sekiranya negara itu mengamalkan dasar yang betul, ia akan menjadi kuasa ekonomi yang penting di rantau ini.

Jumlah kelas menengah di China, India dan Indonesia cukup luar biasa. Bagi Indonesia sahaja, sekiranya hanya satu peratus rakyatnya tergolong dalam kategori ‘terkaya’ jumlah itu ialah 2.5 juta orang. Bayangkan jikalau 20 peratus rakyat India dikategorikan sebagai ‘kelas menengah.’ Jumlahnya ialah 240 juta orang, hampir sama dengan seluruh rakyat Indonesia atau lapan kali jumlah penduduk kita.

Kita perlukan jumlah, tetapi bukan mudah untuk menangani bilangan yang besar. Ekonomi yang dirancang dengan baik akan mendapat suntikan daripada bilangan rakyat yang besar. Banyak negara ramai penduduk, tetapi sarat dengan masalah seperti makanan, tempat tinggal, pengangguran dan lain-lain.

Pada abad yang ke-18, seorang ahli ekonomi Inggeris bernama Thomas Robert Malthus menulis eseinya tentang prinsip kependudukan.

Beliau meramalkan bahawa dunia tidak dapat menampung pertumbuhan penduduk kerana sumber makanan yang terjejas dan penyakit. Teori Malthus tidak sepenuhnya benar. Ternyata dunia masih boleh menampung tujuh bilion manusia. Apa yang penting ialah kualiti hidup manusia itu sendiri.

Dalam konteks kita, jumlah penduduk pada akhirnya tidak penting sekiranya negara ditadbir dengan baik dan sistem ekonomi dapat menampung keperluan rakyat. Dalam masa 57 tahun semenjak merdeka telah berlaku peningkatan 23.7 juta penduduk. Insya–Allah, negara ini pasti boleh menampung 70 juta orang satu hari nanti.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU GLOBAL : Menyelamat mangsa pemerdagangan


Oleh  : Salleh Buang

PADA 21 Februari lalu, Utusan Malaysia menyiarkan berita mengenai tindakan pihak berkuasa kita menyelamatkan empat lelaki Myanmar yang menjadi mangsa jenayah pemerdagangan orang. Mangsa telah dikurung dan dirantai di sebuah rumah usang di Jalan Pasar, Sungai Petani, Kedah. Ketika diselamatkan, mereka dalam keadaan lesu kerana dipercayai tidak diberi makan sudah tiga hari.

Mengikut Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Asisten Komisioner Nashir Ya, setelah menerima laporan daripada penduduk setempat, sepasukan polis telah menyerbu premis berkenaan, yang terletak di belakang sebuah hotel.

Hasil siasatan mendedahkan mangsa telah dikurung untuk maksud memeras wang tebusan daripada keluarga mereka di Myanmar. Seorang mangsa memaklumkan bahawa mereka dibawa masuk ke negara ini sudah sembilan hari sebelum ditempatkan di rumah tersebut. Kesemua mangsa tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Pada 12 Februari lalu, polis menahan tiga suspek ketika cuba menyeludup lapan warga Myanmar ke Pantai Timur. Mengikut Ketua Polis Daerah Gerik, Supritendan Abdul Manab Bahrum, suspek dan warga Myanmar itu ditahan dalam kereta Proton Saga kira-kira pukul 7 pagi berhampiran Kampung Sira Panas, dekat Gerik, Perak. Suspek dipercayai dalam perjalanan ke Kelantan dan diberkas di Kilometer 8, Jalan Raya Timur Barat.

Mengikut Abdul Manab, modus operandi penjenayah pemerdagangan orang ini ialah menggunakan Lebuh Raya Timur Barat sebagai laluan untuk menyeludup warga asing terutamanya warga Myanmar.

Beberapa hari sebelumnya, pada 7 Februari, polis Pulau Pinang menyelamatkan 11 wanita warga asing iaitu dua dari Kemboja dan selebihnya dari Indonesia, yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan oleh sebuah syarikat agensi pekerjaan dalam satu serbuan di Bandar Baru Farlim.

Mengikut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, dalam serbuan yang dijalankan pukul 6.45 petang, polis menemui warga asing itu dikurung di premis berkenaan. Mangsa berumur antara 21 hingga 41 tahun. Empat daripadanya bekerja di negeri itu sebagai pembantu rumah sudah sebulan tetapi tidak dibayar gaji. Tujuh mangsa lain baru tiba lima hari, setelah dijanjikan kerja sebagai pembantu rumah di negara ini.

Siasatan polis mendedahkan bahawa mangsa masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial. Mereka dikurung oleh pemilik agensi pekerjaan dan tidak diberi makan secara teratur. Polis menemui semua pasport milik mangsa.

ERTI PEMERDAGANGAN ORANG

Mengikut Seksyen 2, Akta Antipemerdagangan Orang 2007 (Akta 670), istilah pemerdagangan orang bermakna merekrut, mengangkut, memindahkan, melindungi, membekalkan atau menerima orang bagi maksud eksploitasi.

Istilah eksploitasi pula ditakrif dalam seksyen yang sama sebagai ‘semua bentuk eksploitasi seksual, kerja atau khidmat paksa, perhambaan atau amalan yang serupa perhambaan, apa-apa aktiviti yang menyalahi undang-undang atau pemindahan organ manusia’.

Mana-mana orang yang disabitkan kesalahan memperdagangkan orang (bukan kanak-kanak) bagi maksud eksploitasi boleh dihukum, jika sabit kesalahan, dengan penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda (Seksyen 12).

Jika perbuatan memperdagangkan orang lain (bukan kanak-kanak) bagi maksud eksploitasi itu dilakukan oleh seorang dengan menggunakan mana-mana satu unsur berikut (ancaman, kekerasan atau bentuk paksaan yang lain, pemelarian, penipuan, perdayaan, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya), dia boleh dihukum jika sabit kesalahan, dengan penjara tiga hingga 20 tahun dan denda (Seksyen 13).

Jika perbuatan  memperdagangkan orang itu melibatkan mangsa kanak-kanak, orang itu boleh dihukum dengan penjara antara tiga hingga 20 tahun dan denda (Seksyen 14).

Dalam satu pendakwaan bagi kesalahan di bawah Seksyen 12, 13 atau 14, persetujuan atau kerelaan mangsa yang diperdagangkan itu bukan satu pembelaan bagi ahli sindiket yang melakukan jenayah ini (Seksyen 16).

Jenayah pemerdagangan orang merentasi sempadan negara. Ia satu jenayah global yang serius, menduduki tahap kedua selepas jenayah pengedaran dadah. Ia adalah jenayah perhambaan moden, dianggarkan memberi keuntungan tahunan kepada sindiket sebanyak AS$31 bilion. Malaysia berusaha bersungguh-sungguh membanteras jenayah ini, namun masih belum berjaya sepenuhnya.

Malaysia kini menjadi negara transit dan destinasi jenayah ini. Ada tanda-tanda menunjukkan ia juga boleh menjadi negara sumber, walaupun masih di tahap rendah.

Mengikut Majlis Antipemerdagangan Orang (MAPO), kesedaran masyarakat di negara ini mengenai isu pemerdagangan manusia masih rendah dan ramai yang samar-samar atau tidak faham tentang skop jenayah ini (http://mapo.bernama.com/news.php?id=574797). Ramai juga masih keliru (atau tidak sedar) perbezaan antara kesalahan pemerdagangan orang dan kesalahan penyeludupan migran.

Undang-undang asal kita, Akta Antipemerdagangan Orang 2007 (Akta 670) telah dipinda dan diluaskan skopnya pada 15 November 2010 dan kini dikenali dengan nama barunya, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran. Antara matlamat pindaan adalah memerangi sindiket penjenayah antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai negara transit pemerdagangan dan penyeludupan manusia untuk membawa mangsa ke negara ketiga. Kebanyakan mangsa yang dibawa ke negara ini adalah dari Afghanistan, Pakistan dan Myanmar, dengan tujuan dibawa ke Indonesia dan akhirnya ke Australia.

Untuk memastikan tindakan membanteras jenayah ini terus tersusun rapi dan berkesan, pada 31 Mac 2010 kerajaan Malaysia telah merangka Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang bagi tempoh lima tahun (2010-2015).

USAHA MEMBANTERAS JENAYAH

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menubuhkan Unit Antipemerdagangan Orang (Unit ATIP) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Tugas utama unit ini adalah mengenal pasti kes-kes pemerdagangan orang, mengumpul maklumat dan risikan serta menjalankan penguatkuasaan di premis yang berkaitan dengan kesalahan ini.

PDRM memberi penekanan kepada jenis eksploitasi yang disebutkan dalam Akta 670 itu, yang merangkumi eksploitasi seks, kerja atau perkhidmatan paksa, perhambaan atau amalan yang menyerupai perhambaan dan pengabdian, pemindahan organ manusia atau aktiviti lain yang menyalahi undang-undang.

Akta 670 mula dikuatkuasakan pada 28 Februari 2008. Dari tarikh itu hingga 27 Jun 2010, sebanyak 165 kes pemerdagangan orang melibatkan eksploitasi seks dicatatkan. Daripada 808 mangsa pemerdagangan orang yang diselamatkan kerana eksploitasi seks, kesemuanya warga asing. Daripada jumlah itu, 42 kanak-kanak (http://repo.uum.edu.my/3162/1/s1.pdf).

MENJAGA KEBAJIKAN MANGSA

Menurut MAPO, dari tarikh akta dikuatkuasakan pada 28 Februari 2008 hingga 21 Disember 2010, sebanyak 304 kes dilaporkan manakala 434 orang ditahan kerana terbabit dalam jenayah ini. Dalam tempoh sama, 1,930 mangsa telah diberi perintah perlindungan sementara (IPO) manakala 708 lagi perintah perlindungan. Kebanyakan mangsa terlibat dalam eksploitasi seks (189 mangsa), perkhidmatan paksa (58), penyeludupan manusia (24) dan penjualan bayi (11).

Mengikut laporan terkini oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat, Malaysia adalah negara destinasi dan transit (lihat Trafficking in Persons Report 2013, di portal http://www.state.gov/j/tip/rls/tiprpt/2013). Mangsa pemerdagangan terdiri daripada pekerja asing berdokumen dan pekerja asing tanpa dokumen di negara ini. Mereka ialah migran yang datang secara sukarela dari Indonesia, Nepal, India, Thailand, China, Filipina, Burma, Kemboja, Laos, Bangladesh, Pakistan dan Vietnam untuk mencari pekerjaan dah peluang ekonomi yang sukar diperolehi di negara mereka tetapi akhirnya menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia.

Mengikut laporan itu lagi, dalam tahun 2012, kerajaan Malaysia berjaya mendapatkan sabitan 11 kes pemerdagangan seks dan 20 kes pemerdagaganan pekerja. Polis, Jabatan Imigresen dan Jabatan Tenaga Kerja menjalankan siasatan ke atas 190 kes pemerdagangan orang dalam tahun itu dan memulakan pendakwaan dalam 63 kes.

Sambil mengakui bahawa kerajaan Malaysia ada memberi latihan kepada pegawai-pegawainya bagi membanteras jenayah pemerdagangan orang, laporan itu menyatakan tahap kefahaman isu pemerdagangan ini masih rendah dalam kalangan pegawai kerajaan di barisan hadapan termasuk polis dan imigresen.

Walaupun tidak menafikan usaha menyelamatkan mangsa dari premis penjenayah sentiasa dijalankan, laporan itu tetap mengatakan kerajaan Malaysia masih gagal melakukan apa-apa penambahbaikan yang signifikan dalam menjaga kebajikan mangsa dalam tempoh laporan ini. Mangsa jenayah ini terus ditempatkan dalam tahanan government facilities, di mana pergerakan mereka terus disekat dalam tempoh yang ditetapkan oleh mahkamah - ada antara tiga hingga enam bulan, malah melebihi setahun.

Laporan ini juga menyatakan sukar bagi mangsa mendapatkan akses kepada pengamal undang-undang atau pakar psikologi(http://www.state.gov/documents/organization/210740.pdf). Malaysia kekal diletakkan dalam Tier 2 Watch List Jabatan Negara Amerika Syarikat. Dalam bahasa mudah, tindakan menyelamatkan mangsa jenayah pemerdagangan orang perlu disusuli dengan langkah-langkah lebih baik serta konsisten bagi menjaga kebajikan mereka, seperti dihasratkan dalam Laporan 2013 di atas itu tadi.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : Kesiapsiagaan hadapi musim kemarau


Oleh :  DR. JESSICA ONG HAI LIAW

PELBAGAI reaksi diterima apabila air menjadi topik utama sejak kebelakangan ini. Sana-sini semua bercerita tentang air.

Sesetengah pihak menyuarakan rasa terkilan kerana tidak cukup air dan ada pula yang menyuarakan rasa kesal dan kecewa kerana air tidak bersih dan macam-macam respons akibat musim kemarau.

Kita sedia maklum air sangat penting di muka bumi ini kerana semua jenis hidupan bergantung kepada air untuk terus hidup.

Tubuh manusia terdiri daripada 70 peratus air. Otak pula mengandungi 80 peratus air, komposisi darah terdiri daripada 90 peratus air.

Dalam pada itu, musim kemarau yang berpanjangan semakin membimbangkan kerana kurangnya air akan mengakibatkan banyak kesan buruk.

Lihat sahaja tanaman di rumah kita, semuanya kering-kontang. Jika dilihat ke sawah padi lagilah nampak kering termasuk hutan-belantara yang terbakar akibat cuaca panas.

Kejadian kebakaran hutan kerap kali berlaku. Hukum alam memanglah tidak dapat dikawal tetapi sikap manusia yang membakar hutan dalam keadaan musim kering ini harus dipersalahkan. Akibat tindakan mereka menyebabkan jerebu kembali menghantui kehidupan harian kita. Beberapa lokasi hutan dilaporkan terbakar termasuk hutan di Ukay Perdana, hutan simpan Universiti Putra Malaysia (UPM) pun terbakar.

Kebakaran ini menyebabkan persekitaran hutan simpan yang terletak bersebelahan lebuh raya Besraya susur ke Lebuh Silikon, UPM dilitupi asap tebal dan jalan raya sesak teruk.

Terbaharu kes kebakaran kawasan hutan seluas 80 hektar di Bukit Peteri berhampiran Hutan Simpan Papulut, Perak.

Sebelum ini, hampir 40 hektar kawasan hutan di Gerik membabitkan empat lokasi berasingan terbakar dipercayai berpunca daripada aktiviti pembakaran tidak terkawal.

Musim kemarau yang melanda perlu persediaan dari awal kerana hukum alam akan berlaku bila-bila masa bak kata pepatah "Harapkan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari".

Siap-siaga kerajaan negeri seperti menyediakan segala keperluan pencegahan dan langkah-langkah mengatasi masalah ini.

Hukuman kepada sikap manusia yang tidak bertanggungjawab juga mencemarkan alam semulajadi.

Baru-baru ini berlaku kes menyayat hati yang menimpa lapan sahabat yang cuba menyelamatkan salah seorang daripada mereka dan berakhir dengan kematian. Cuaca yang panas menyebabkan air sungai menjadi cetek sehingga terbentuknya teluk dan beting pasir jerlus.

Insiden berlaku di tengah sungai pasir jerlus di Sungai Muar dekat Buloh Kasap, Johor itu seperti ‘menyedut’, mangsa satu persatu apabila terpijak dasar sungai itu.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk So’iman Jahid menyatakan, lokasi mempunyai kedalaman lebih berbanding tempat lain dan pasir jerlus juga disebabkan kegiatan mengorek pasir dilakukan di kawasan itu.

Itu adalah kesalahan manusia yang tidak bertanggungjawab dan sepatutnya mereka yang cuai ini diambil tindakan undang-undang kerana menyebabkan kematian.

Dalam pada itu, aspek kesihatan juga perlu dipandang serius kerana cuaca panas menyebabkan kesihatan seseorang terjejas terutama orang tua dan kanak-kanak.

Pesakit asma perlu berhati-hati dengan pencemaran udara yang berlaku dengan memakai penutup muka.

Keadaan yang kering menyebabkan kulit menjadi alergi dan kemerah-merahan di samping bibir merekah, sakit tekak, demam, mual, muntah dan batuk berpanjangan.

Apabila kesihatan tidak mengizinkan maka ramai yang cepat naik darah, keliru, sensitif, marah dan sebagainya yang akhirnya kualiti kerja juga terganggu. Jika cuaca meningkat ke tahap yang serius boleh menyebabkan maut akibat strok haba.

Catuan air menerima pelbagai reaksi daripada rakyat yang terkilan kerana tidak dimaklumkan awal dan kelewatan kerajaan melaksanakan catuan air.

Persediaan awal perlu ada supaya rakyat tidak terpinga-pinga mencari tong air yang memerlukan kos membeli juga dengan notis pendek yang diterima.

Loji-loji perlu memenuhi keperluan rakyat begitu juga dengan penambahan empangan-empangan yang perlu disediakan dengan awal dan dirancang rapi semasa menghadapi cuaca panas ini.

Air bersih yang diberi sangat penting kerana jika air yang digunakan terutama dalam makanan tidak bersih boleh menyebabkan penyakit kolera dan keracunan.

Pembiakan nyamuk aedes berada di mana-mana ketika cuaca semakin kering begitu juga kadar pencemaran semakin tinggi.

Dari segi ekonomi pula, cuaca yang panas menyebabkan ramai yang perlu menggunakan pendingin hawa yang menyebabkan bil elektrik meningkat.

Maklumlah, tidak boleh tidur sehingga berpeluh-peluh maka alternatif dicari seperti membeli pendingin hawa atau menambah bilangan kipas.

Gelombang panas yang teruk juga dikenal pasti sebagai penyebab kematian akibat hyperthermia selain punca gangguan bekalan tenaga kerana peningkatan penggunaan alat penyaman udara.

Kesiapsiagaan yang saya maksudkan bukan sahaja daripada pihak kerajaan namun kita sebagai rakyat perlu bersiap sedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku terutama bencana hukum alam.

Musim kemarau sedang melanda dan mungkin nanti musim banjir tiba dan segala bencana kini sukar diduga. Maka, semua ini harus dijadikan iktibar bersama.

Strategi perlu direncanakan dari awal oleh pihak kerajaan kerana rakyat harus diutamakan dalam segala perlindungan.

Ini akan menjamin kesejahteraan masyarakat Malaysia kerana rakyat yang sihat dan cemerlang penting seiring dengan pembangunan negara.

Salam perpaduan dan salam 1Hati.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Universiti   Pertahanan  Nasional Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KESIHATAN : 10 Pelajar Sekolah Maut Akibat Denggi


Oleh :  KANG SOON CHEN

PUTRAJAYA : Seramai 10 pelajar sekolah maut akibat demam denggi sejak sesi persekolahan dibuka pada Januari lalu.

Timbalan Menteri Pelajaran II P. Kamalanathan berkata, daripada 18,165 kes demam denggi yang dilaporkan sejak Januari hingga 2 Mac, sebanyak 3,571 (19.6 peratus) kes melibatkan pelajar sekolah.

"Kementerian melihat jumlah itu sesuatu yang membimbangkan dalam peningkatan kes denggi yang serius. Oleh itu kami sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk memastikan keadaan terkawal," katanya selepas merasmikan Program Patrol Denggi 2014 pada hari Rabu.

Beliau berkata, selain mengekalkan kebersihan di dalam kawasan sekolah, kawasan sekitar di luar sekolah juga perlu sentiasa bersih daripada tempat pembiakan denggi.

Daripada 10 kematian denggi yang melibatkan pelajar sekolah, empat terdiri daripada murid sekolah rendah manakala selebihnya pelajar sekolah menengah.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/