Rabu, 13 April 2011

ISU SOSIAL : Remaja perlu motivasi

KEHIDUPAN remaja penuh pancaroba. Ada juga yang mengatakan kehidupan remaja penuh warna-warni. Bagaimanapun, remaja perlukan bimbingan dan motivasi untuk terus meningkatkan kejayaan dalam pelajaran demi mengejar cita-cita yang diimpikan.

Kebanyakan remaja lelaki berusia antara 13 hingga 17 tahun sering terperangkap dengan angan-angan, cinta dan khayalan. Manakala remaja perempuan pula sering terperangkap dengan masalah cinta dan kematangan. Mereka yang terlibat dengan masalah ini tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran.

Dalam tempoh usia ini juga kebanyakan remaja mudah terjebak dengan pelbagai gejala sosial yang menjerumuskan mereka ke arah keburukan. Bermula dengan berkenal-kenalan melalui perbualan telefon dan facebook, akhirnya mereka mudah terikut dengan pengaruh kawan dan terbabit dengan pergaulan bebas serta gejala sosial.

Justeru, remaja perlu mengekalkan dan mengawal minat mereka ke arah perkara yang bermanfaat dan lebih baik untuk diri dan keluarga. Melalui minat bermanfaat yang dipupuk sejak kecil seseorang itu dapat mengembangkan minat dan kecenderungan hingga dewasa. Minat yang baik seperti membaca, melukis dan bermain alat muzik dikatakan dapat mengisi kekosongan dan menghaluskan jiwa.

Kajian ahli psikologi pendidikan H W Bernard dalam bukunya Psychology of Learning (1965), menyatakan remaja perlu mendapat sentuhan motivasi iaitu proses ke arah membangkitkan, mengekalkan dan mengawal minat.

Oleh itu, melalui motivasi sebagai suatu desakan yang menjadikan manusia mengubah sikap, minat atau kegiatannya ke arah kebaikan. Ia dapat menghindarkan seseorang remaja terjebak dalam perkara tidak baik dan tidak mendatangkan faedah. Sebagai contoh, bidang sukan dan permainan dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah.

Menurut pakar pendidikan Sharifah Alwiah Alsagof, motivasi juga dikatakan sebagai perangsang tindakan terhadap sesuatu tujuan yang dulunya hanya terdapat sedikit atau tiada minat terhadap tujuan tersebut menjadi bertambah minat. Oleh itu, motivasi penting ke arah mencapai suatu matlamat tertentu, termasuk mengubah sikap, minat dan tingkah laku seseorang.

Sesetengah ahli psikologi mengklasifikasikan motivasi kepada motivasi fisiologi (misalnya, keperluan asas manusia seperti makanan, minuman, seks dan sebagainya) dan motivasi sosial (misalnya, berharap mendapat reputasi dan keuntungan). Ia terbahagi kepada dua iaitu motivasi asas yang bersifat semula jadi dan motivasi dibentuk daripada pembelajaran.

Kajian menunjukkan bahawa keperluan sosial manusia meliputi keperluan mencapai kecemerlangan, pergaulan sosial, autonomi, pemeliharaan dan perlindungan, mempengaruhi dan mengawal orang lain, menunjukkan kebaikan, peraturan dan kekemasan dalam sistem organisasi, hiburan, rekreasi dan keselesaan yang memerlukan motivasi.

Di sebalik kejayaan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) masih ada pelajar yang kurang cemerlang dan merosot keputusannya. Sepatutnya, sekolah sudah dapat mengenal pasti kumpulan ini. Kalangan pelajar dari sekolah yang pencapaiannya kurang cemerlang, kurang baik dan tidak memuaskan seharusnya diberikan motivasi.

Justeru, pelajar yang kurang cemerlang dalam peperiksaan SPM, diberi kaunseling dan motivasi. Mereka yang berjaya juga seharusnya memberikan semangat, kata-kata rangsangan, motivasi serta kaedah belajar yang berkesan dan bergaul dengan mereka yang kurang cemerlang.

Ahli keluarga dan saudara-mara pelajar yang kurang cemerlang juga wajar memberikan kata-kata semangat dan rangsangan kepada mereka supaya terus berusaha untuk mencapai kejayaan. Dorongan dan kata-kata motivasi dapat meningkatkan semangat mereka dalam pelajaran. Kegagalan dalam peperiksaan bukan bermakna berakhirnya suatu kehidupan. Banyak mereka yang gagal dalam peperiksaan berjaya mencipta masa depan dalam bidang lain seperti bidang perniagaan.

Kata-kata motivasi dapat membangkitkan semula semangat dan bangkit daripada kegagalan untuk mencipta kejayaan yang baru. Napoleon Hill pernah berkata, apabila anda mempersoalkan kegagalan, sama dengan anda mengundang kegagalan dan apabila anda mempersoalkan kejayaan bererti anda akan mengundang kejayaan pula.

Menurut pandangan Babara Cartland, janganlah anda menyesali kegagalan yang anda alami dengan menuduh orang lain, tetapi akui dengan sungguh-sungguh kegagalan itu adalah akibat perbuatan anda sendiri. Sebagai motivasi Robert H Schuller menyatakan, kegagalan tidak bererti kita mensia-siakan hidup, tetapi bererti kita perlu mulai lagi dengan cara lain dan lebih giat serta penuh kesabaran.

Begitulah cara mengatasi kegagalan dalam kehidupan. Kebijaksanaan lebih banyak belajar daripada kegagalan bukan daripada kejayaan. Kegagalan juga mengajar kita untuk mencapai kejayaan seterusnya.

Setiap remaja memerlukan motivasi dalam mencapai cita-cita terutama mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Selain itu, remaja juga mempunyai semangat yang kuat, usaha gigih, tenaga yang mampu untuk bersaing dalam dunia globalisasi bagi menentukan kejayaan seterusnya. Minat yang mendalam dalam sesuatu bidang boleh diasaskan dan dicetuskan melalui motivasi berterusan.

Kebanyakan pelajar yang gagal dalam pelajaran adalah disebabkan hilang fokus dan minat ke arah pelajaran. Beberapa faktor yang menyebabkan hal ini berlaku antaranya kurang motivasi daripada ibu bapa, keluarga, rakan sebaya, guru-guru dan persekitaran yang tidak menggalakkan.

Melalui motivasi iaitu proses dalaman menimbulkan perubahan tingkah laku seseorang. Sekiranya perubahan tingkah laku itu yang ditimbulkan oleh motivasi berpusat pada suatu aktiviti dan aktiviti itu dapat menghasilkan kepuasan, seseorang individu akan meneruskan aktiviti tersebut secara berulang-ulang seperti pembacaan, penulisan dan reka cipta.

Dalam konteks pendidikan, naluri ingin tahu merupakan motivasi. Oleh itu melalui naluri ingin tahu menjadi penggerak penting yang amat bernilai untuk memperoleh ilmu pengetahuan. Naluri ingin tahu dalam diri kanak-kanak lahir secara semula jadi dan harus dipupuk hingga dewasa.

Motivasi berlandaskan naluri ingin tahu adalah ditimbulkan daripada rangsangan dalam persekitaran. Sikap, harapan dan aspirasi seseorang pula mempengaruhi motivasinya. Strategi pengajaran dan pembelajaran juga penting untuk mewujudkan motivasi. Kesediaan belajar banyak bergantung pada motivasi yang sesuai dan penting untuk menggerakkan pembelajaran.

Lantaran itu, Islam juga menggalakkan motivasi dalam melaksanakan setiap ibadah. Melalui rangsangan dan semangat yang gigih, ibadah dapat dilakukan dengan baik dan sempurna serta berterusan. Kesabaran ibu bapa juga penting dalam melaksanakan penerusan motivasi dalam diri seseorang anak berkaitan dengan pelajaran dan ibadah. Oleh itu, motivasi penting dalam kehidupan untuk mencapai kecemerlangan di dunia dan akhirat.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU BAHASA : Pos Malaysia tidak guna bahasa Melayu?


LAZIMNYA peti surat penghuni yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur akan dipenuhi dengan segala risalah pengiklanan yang tidak semuanya relevan dengan keperluan kita.

Pada ketika kita menganggap risalah itu tidak relevan atau 'sampah', rupa-rupanya pengeluar atau syarikat yang menghasilkan risalah pelbagai saiz dan penuh warna-warni itu juga menganggap bahasa Melayu seperti sampah untuk tujuan pengiklanan atau promosi barangan atau perkhidmatan mereka!

Malangnya, gejala menganggap bahasa Melayu 'sampah' bukan sekadar terhad dalam bidang swasta atau persendirian sahaja. Terbaharu ia telah berjangkit kepada Pos Malaysia.

Mengapa Pos Malaysia tidak ubah seperti Pos Amerika atau Pos Britain apabila menggunakan sepenuhnya bahasa kebangsaan kedua-dua negara itu dan bukan bahasa kebangsaan negara sendiri yang sesuai dengan namanya!

Risalah empat muka bersaiz kertas B5 itu memuatkan panduan piawaian surat-menyurat serta ingin mendapatkan maklum balas pengguna berkenaan perkhidmatan Pos Malaysia lengkap dengan tawaran baucar (voucher) makan ayam goreng.

Selain itu, tertera juga beberapa nombor telefon dan alamat e-mel untuk dihubungi serta nama pengurus dan gambarnya sekali lengkap berpakaian seragam Pos Malaysia.

Persoalannya, mengapa Pos Malaysia dalam usaha mahu menuju ke arah perkhidmatan yang lebih baik seperti yang tertera dalam risalah itu (Pos Malaysia towards a better service) mengabaikan penggunaan bahasa Melayu?

Adakah perkhidmatan Pos Malaysia menjadi buruk jika risalahnya menggunakan bahasa kebangsaan bahasa milik warganegara Malaysia?

Jika mahu gunakan juga bahasa Inggeris, mengapa tidak risalah itu dalam dwibahasa dengan kedudukan dan saiz bahasa kebangsaan di atas dan lebih besar daripada bahasa Inggeris yang bukan merupakan bahasa kebangsaan negara ini?

Mohon penjelasan Pos Malaysia berkenaan hal ini. Sudah tiba masanya kerajaan bertegas dalam membudayakan bahasa kebangsaan di peringkat individu mahupun institusi.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Pelajar patut ambil iktibar kesan kes salah laku pada masa depan

KES salah laku termasuk pergaduhan hingga kepada pembabitan dalam kejadian jenayah membabitkan pelajar bukan perkara baru. Sudah banyak kes seumpama ini dilaporkan menerusi media. Tidak kurang juga pelajar yang didapati bersalah dan menerima hukuman sebagai pesalah juvana. Khamis lalu media memaparkan satu lagi kes salah laku membabitkan pelajar berusia 14 tahun. Dalam kejadian itu, seorang guru wanita retak tulang hidung akibat ditumbuk pelajar Tingkatan Dua, di Sekolah Menengah Dato Jaafar Hassan, Bukit Keteri, Kangar. Kejadian itu berlaku selepas guru itu menegur pelajar berkenaan yang bergaduh di pekarangan sekolah. Apabila berlaku kes sebegini, kita tertanya-tanya apakah punca sebenar sehingga menyebabkan seorang pelajar tergamak mencederakan gurunya sendiri di kawasan sekolah. Walaupun isu pelajar bertindak kasar terhadap guru di negara ini tidak seteruk seperti kejadian di sesetengah negara lain, namun kita tidak boleh membiarkannya terus berlaku sehingga keadaan menjadi tidak terkawal. Justeru, adalah wajar semua pihak memberi perhatian serius perkembangan tidak sihat ini dan mencari jalan menanganinya secara berkesan.

Agak sukar mencari jawapan berhubung tindakan pelajar berkenaan yang berani mencederakan gurunya di depan kelas dengan disaksikan pelajar lain. Apa silapnya dengan pelajar terbabit sehingga tidak takut dan hilang hormat kepada guru berkenaan? Apakah ibu bapa patut dipersalahkan kerana sikap biadap dan keterlaluan anak mereka itu atau apakah mungkin ia disebabkan pengaruh anasir luar. Kita tidak boleh menafikan tempat terbaik membentuk disiplin anak ialah di rumah, apatah lagi ia sememangnya menjadi tanggungjawab ibu bapa serta keluarga. Alam persekolahan serta guru hanyalah sebagai pelengkap untuk membimbing pelajar supaya menjadi manusia berguna, khususnya dalam menjadikan mereka sebagai insan berakhlak mulia dan berilmu. Adalah tidak wajar guru dipersalahkan berhubung salah laku pelajar kerana mereka sudah berusaha sedaya upaya mendisiplinkan pelajar. Pelajar sepatutnya mengambil iktibar kes salah laku kerana jika kesalahan dilakukan itu serius dan didapati bersalah, ia pastinya membantut pembelajaran dan masa depan mereka. Itulah yang bakal dihadapi pelajar Sekolah Menengah Dato Jaafar Hassan, apabila mengaku salah di Mahkamah Majistret kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan guru disiplinnya.

Pelajar itu dikesan melakukan dua kesalahan besar di sekolah berkenaan. Selain menumbuk guru, pelajar berkenaan sebelum itu terbabit dalam pergaduhan. Akibat tidak dapat menerima teguran guru terbabit, pelajar terbabit menumbuknya. Dari segi peruntukan peraturan sekolah, guru disiplin dibenarkan mengambil tindakan ke atas mana-mana pelajar yang didapati bersalah melanggar peraturan dan disiplin sekolah. Sebagai sebuah institusi pendidikan, sekolah mempunyai peraturan yang mesti dipatuhi setiap pelajar. Apapun masalah yang timbul membabitkan pelajar dan guru tidak boleh dibiarkan berlarutan sehingga boleh menjejaskan pembelajaran. Dalam menghadapi isu ini, ibu bapa harus bersikap rasional dan tidak membuta-tuli menyebelahi anak. Mereka mesti selidik dulu siapa yang benar dan salah serta mengutamakan perundingan bagi menyelesaikan setiap masalah. Oleh kerana kes ini sudah dibawa ke mahkamah dan hukumannya akan diputuskan 4 Mei ini, adalah wajar mana-mana pihak melihat keputusan mahkamah itu sebagai peringatan kepada pelajar supaya tahu menghormati dan menghargai guru.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Memupuk rasa bangga julang bahasa Melayu

Oleh Teo Kok Seong

Program Pembudayaan Bahasa mampu memperkasa jati diri

PROGRAM Pembudayaan Bahasa yang dilancarkan baru-baru ini oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, antaranya bertujuan memastikan tahap penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa negara berlaku dalam kuantiti yang banyak dan kualiti yang baik, sama ada dalam sektor awam mahupun swasta. Sesungguhnya ia boleh juga dimanfaatkan untuk pelbagai tujuan kenegaraan yang lain.

Bahasa adalah satu-satunya entiti yang boleh digunakan untuk mencapai pelbagai tujuan. Antaranya bahasa boleh dijadikan wahana untuk mengungkapkan sesuatu kebudayaan, penanda identiti sesebuah kelompok etnik dan kuasa untuk penyatuan politik sesebuah negara.

Untuk tujuan kenegaraan, bahasa boleh digunakan menjadi lambang kepada jati diri nasional serta nasionaliti sesebuah negara, selain menjadi wahana menyatupadukan rakyat, khususnya yang berbilang kaum dalam sesebuah negara itu. Ia boleh juga digunakan untuk mengungkapkan etos kebangsaan dan membangkitkan semangat kebangsaan.

Sehubungan ini, bahasa yang digunakan untuk mendukung fungsi kenegaraan adalah bahasa yang dimiliki dan dikongsi bersama. Lazimnya hanya satu bahasa yang dikongsi bersama digunakan untuk tujuan kenegaraan. Ini adalah kerana gagasan pemilikan dan perkongsian hanya satu bahasa didapati amat berkesan, khususnya ketika melaksanakan fungsi penyatuan dan kemajuan nasional yang dilakukan secara sekali gus. Dua fungsi ini yang didapati saling melengkapi didukung oleh bahasa yang sama.

Sebagai bahasa negara, bahasa Melayu mendukung dua fungsi. Pertama sebagai bahasa kebangsaan dan kedua sebagai bahasa rasmi. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu adalah lambang jati diri nasional dan nasionaliti Malaysia, selain penanda kesatuan rakyat. Selaku bahasa rasmi pula, bahasa Melayu adalah alat untuk memajukan rakyat dan negara.

Walaupun Malaysia memilih dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, penggunaan bahasa etnik, misalnya Mandarin dan Tamil dibenarkan dalam sistem pendidikan nasional. Di mana-mana negara di seluruh dunia, pendidikan dijadikan dan memang pun menjadi alat penting untuk menyatupadukan rakyat, khususnya dalam membentuk jati diri nasional dan nasionaliti dalam kalangan rakyat, selain memajukan rakyat dan negara. Malaysia tidak terkecuali dalam hal ini.

Di Malaysia, kita mempercayai dan meyakini bahawa penggunaan bahasa Melayu dalam kapasitinya sebagai bahasa negara sebagai satu-satunya bahasa pengantar utama, adalah kaedah terbaik untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum dan seterusnya memajukan rakyat dan negara. Sehubungan ini, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama bersama-sama dengan bahasa etnik seperti Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar sampingan dipercayai dan diyakini dapat membentuk 1Semangat Kebangsaan dan 1Jati Diri Nasional, yang lebih menyeluruh sifatnya dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ini bermakna dalam keseluruhan itu, semangat dan jati diri etnik Cina dan India itu yang dipupuk menerusi pendidikan vernakular dan pengamalan budaya dan warisan etnik, hendaklah diletakkan di bawah tempat bertakhtanya semangat kebangsaan dan jati diri nasional. Dengan perkataan lain, semangat kebangsaan dan jati diri nasional hendaklah dipastikan selalu berada dan diletakkan di atas semangat dan jati diri etnik.

Semangat kebangsaan dan jati diri nasional itu perlu berlandas simbol dan proses sosiobudaya Melayu. Ini adalah kerana ia dipersetujui dalam Perjanjian Etnik/Kontrak Sosial yang dimeterai ketika kita mencapai kemerdekaan pada 1957. Antara simbol dan proses sosiobudaya Melayu itu ialah bahasa Melayu yang dipilih untuk menjadi bahasa negara ini.

Dalam konteks kenegaraan, bahasa Melayu selaku bahasa negara ini dalam kapasitinya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi adalah maruah negara, antaranya jati diri nasional dan nasionaliti Malaysia. Sehubungan ini, memalukan sekali sekiranya masih ada, walaupun seorang rakyat Malaysia tidak boleh atau tidak mahu berbahasa Melayu, lebih-lebih lagi dalam kalangan golongan pasca merdeka.

Perkara sebegini pernah dilaporkan. Antaranya membabitkan seorang wanita Cina yang berusia 51 tahun tidak boleh atau tidak mahu berbahasa Melayu, iaitu bahasa negara ini dan terus berbahasa Inggeris apabila memberi keterangan ketika membuat laporan mengenai tas tangannya diragut, di Balai Polis Sentul, Kuala Lumpur.

Tindakan wanita ini ditegur oleh pegawai polis Melayu yang mengambil keterangan dan tegurannya itu yang dianggap perkauman sehingga beberapa pihak mendesak agar tindakan tegas diambil terhadapnya. Desakan untuk menghukum ini menunjukkan ramai yang gagal melihat isu sebenarnya di sebalik teguran itu.

Teguran itu sebetulnya adalah manifestasi kekecewaan yang kemudian menjadi kemarahan orang Melayu selaku kaum dominan, terhadap sesetengah rakyat Malaysia yang masih tidak nasional pada diri mereka. Antaranya termasuk keengganan menggunakan bahasa Melayu, iaitu bahasa negara ini, khususnya dalam urusan rasmi.

Sehubungan itu, jati diri nasional dan nasionaliti atau kerakyatan Malaysia bergantung sepenuhnya kepada bahasa Melayu selaku bahasa negara ini. Bahasa negara sebetulnya adalah sebahagian yang amat penting dalam mana-mana nasionaliti di dunia ini.

Dalam kes kerakyatan negara Malaysia, bahasa Melayu adalah juga bahagian yang penting. Malah, pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu diuji kepada mana-mana pihak yang memohon kerakyatan Malaysia pada masa dulu ketika kemerdekaan dan juga pada masa kini.

Komen balas daripada sesetengah rakyat Malaysia mengenai peristiwa ini, dalam bentuk surat pembaca di akhbar dan juga dalam media baharu, memperlihat bahawa jahilnya sebilangan rakyat Malaysia mengenai jati diri nasional dan nasionaliti Malaysia. Ia mempunyai kaitan rapat dengan bahasa Melayu selaku bahasa negara ini dalam kes ini.

Masanya sudah tiba untuk diperbetul kejahilan ini dalam kalangan rakyat Malaysia. Ia boleh dan mesti dilakukan melalui Program Pembudayaan Bahasa ini untuk memupuk perasaan bangga, sayang dan setia kepada bahasa Melayu selaku bahasa negara ini.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Ketamadunan Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/