KES salah laku termasuk pergaduhan hingga kepada pembabitan dalam kejadian jenayah membabitkan pelajar bukan perkara baru. Sudah banyak kes seumpama ini dilaporkan menerusi media. Tidak kurang juga pelajar yang didapati bersalah dan menerima hukuman sebagai pesalah juvana. Khamis lalu media memaparkan satu lagi kes salah laku membabitkan pelajar berusia 14 tahun. Dalam kejadian itu, seorang guru wanita retak tulang hidung akibat ditumbuk pelajar Tingkatan Dua, di Sekolah Menengah Dato Jaafar Hassan, Bukit Keteri, Kangar. Kejadian itu berlaku selepas guru itu menegur pelajar berkenaan yang bergaduh di pekarangan sekolah. Apabila berlaku kes sebegini, kita tertanya-tanya apakah punca sebenar sehingga menyebabkan seorang pelajar tergamak mencederakan gurunya sendiri di kawasan sekolah. Walaupun isu pelajar bertindak kasar terhadap guru di negara ini tidak seteruk seperti kejadian di sesetengah negara lain, namun kita tidak boleh membiarkannya terus berlaku sehingga keadaan menjadi tidak terkawal. Justeru, adalah wajar semua pihak memberi perhatian serius perkembangan tidak sihat ini dan mencari jalan menanganinya secara berkesan.
Agak sukar mencari jawapan berhubung tindakan pelajar berkenaan yang berani mencederakan gurunya di depan kelas dengan disaksikan pelajar lain. Apa silapnya dengan pelajar terbabit sehingga tidak takut dan hilang hormat kepada guru berkenaan? Apakah ibu bapa patut dipersalahkan kerana sikap biadap dan keterlaluan anak mereka itu atau apakah mungkin ia disebabkan pengaruh anasir luar. Kita tidak boleh menafikan tempat terbaik membentuk disiplin anak ialah di rumah, apatah lagi ia sememangnya menjadi tanggungjawab ibu bapa serta keluarga. Alam persekolahan serta guru hanyalah sebagai pelengkap untuk membimbing pelajar supaya menjadi manusia berguna, khususnya dalam menjadikan mereka sebagai insan berakhlak mulia dan berilmu. Adalah tidak wajar guru dipersalahkan berhubung salah laku pelajar kerana mereka sudah berusaha sedaya upaya mendisiplinkan pelajar. Pelajar sepatutnya mengambil iktibar kes salah laku kerana jika kesalahan dilakukan itu serius dan didapati bersalah, ia pastinya membantut pembelajaran dan masa depan mereka. Itulah yang bakal dihadapi pelajar Sekolah Menengah Dato Jaafar Hassan, apabila mengaku salah di Mahkamah Majistret kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan guru disiplinnya.
Pelajar itu dikesan melakukan dua kesalahan besar di sekolah berkenaan. Selain menumbuk guru, pelajar berkenaan sebelum itu terbabit dalam pergaduhan. Akibat tidak dapat menerima teguran guru terbabit, pelajar terbabit menumbuknya. Dari segi peruntukan peraturan sekolah, guru disiplin dibenarkan mengambil tindakan ke atas mana-mana pelajar yang didapati bersalah melanggar peraturan dan disiplin sekolah. Sebagai sebuah institusi pendidikan, sekolah mempunyai peraturan yang mesti dipatuhi setiap pelajar. Apapun masalah yang timbul membabitkan pelajar dan guru tidak boleh dibiarkan berlarutan sehingga boleh menjejaskan pembelajaran. Dalam menghadapi isu ini, ibu bapa harus bersikap rasional dan tidak membuta-tuli menyebelahi anak. Mereka mesti selidik dulu siapa yang benar dan salah serta mengutamakan perundingan bagi menyelesaikan setiap masalah. Oleh kerana kes ini sudah dibawa ke mahkamah dan hukumannya akan diputuskan 4 Mei ini, adalah wajar mana-mana pihak melihat keputusan mahkamah itu sebagai peringatan kepada pelajar supaya tahu menghormati dan menghargai guru.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan