Oleh : Zanariah Abd Mutalib
Putrajaya : Penjawat awam diminta
memberi tumpuan kepada tujuh keutamaan bagi memastikan Bajet 2013 dilaksanakan
dengan cekap dan lancar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Razak, berkata walaupun negara mengecapi pelbagai kejayaan membanggakan dan
diiktiraf dunia, penjawat awam tidak boleh leka atau rasa selesa, malah perlu
melipat ganda usaha menjadikan tahun ini lebih berjaya dan cemerlang.
Beliau berkata, ini selaras hala
tuju agenda transformasi negara yang harus memberi kesan dan kepuasan kepada
rakyat serta menepati tema bajet iaitu. Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat:
Sebuah Janji Ditepati.
Tujuh tumpuan utama itu ialah;
- Memastikan perpaduan dan jati diri nasional diperkukuhkan.
- Melaksanakan Bajet 2013 dengan lancar mengikut jadual.
- Agenda GTP beri kesan dan kepuasan kepada rakyat selain suntikan pertumbuhan ekonomi negara.
- Penambahan hasil kekayaan negara diagih secara adil dan saksama kepada rakyat.
- Program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dilaksana sepenuhnya.
- Perkhidmatan cepat, tepat dan berintegriti selain pemikiran kreatif lagi inovatif.
- KPI menteri dan kementerian perlu dicapai sepenuhnya.
Najib berkata, aspek pertama yang
perlu dipenuhi penjawat awam ialah memastikan perpaduan dan jati diri nasional
terus diperkukuh berpaksikan gagasan 1Malaysia supaya setiap rakyat percaya
kerajaan sedia ada adil, saksama dan bersifat inklusif.
Segala ketetapan dalam Bajet 2013
harus dilaksanakan mengikut jadual seperti bantuan persekolahan dan Bantuan
Rakyat 1Malaysia (BR1M) supaya semua perancangan lancar serta berkesan.
Agenda transformasi negara dimulakan berdasarkan GTP (Program Transformasi Kerajaan), melalui NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara), ETP (Program Transformasi Ekonomi), EPP (Projek Permulaan) dan Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) serta semua berkaitan agenda transformasi nasional mesti kita beri tumpuan sepanjang 2013.
Agenda terbabit terbukti berjaya,
memberi kesan dan kepuasan kepada rakyat serta memberi suntikan besar kepada
pertumbuhan ekonomi, katanya berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana
Menteri di sini, semalam.
Beliau berkata, pertumbuhan baik
ekonomi negara yang berterusan menuntut kepada pengurusan yang baik supaya
pengagihan kekayaan kepada rakyat dapat dijamin berasaskan keadilan sosial.
Beliau berkata, program yang
diputuskan di bawah NBOS seperti 1Malaysia For Youth (1M4U), Pusat Panggilan
1Malaysia (1MOCC), Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Pusat Transformasi
Bandar (UTC) dan pelbagai program membabitkan kepentingan rakyat hendaklah
dilaksanakan sepenuhnya.
Tahun ini, banyak inisiatif baru
akan kita lancarkan termasuk Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) yang akan
dibentangkan secara muktamad dan ini juga akan memberi kesan besar kepada
negara kita dari segi pembangunan modal insan, katanya.
Beliau berkata, Petunjuk Prestasi
Utama (KPI) bagi semua menteri dan kementerian perlu dicapai sepenuhnya selain
penjawat awam mesti meneruskan usaha penambahbaikan berdasarkan tiga aspek
iaitu perkhidmatan yang cepat, tepat dan berintegriti selain berfikiran
kreatif, inovatif dan menekankan produktiviti.
Sumber : http : //www.bharian.com.my