DATUK Seri Dr Ali Hamsa yang dilantik sebagai Ketua
Setiausaha Negara (KSN) yang baru berkuat kuasa Ahad ini sudah pasti menarik perhatian seluruh
kakitangan perkhidmatan awam. Beliau yang akan menggantikan Tan Sri Mohd Sidek
Hassan yang tamat kontrak Sabtu ini sudah menyatakan azamnya untuk menggunakan
pendekatan turun padang mendekati anggota perkhidmatan awam, sekali gus
mengeratkan hubungan, di samping mempertingkatkan mutu perkhidmatan kepada
rakyat. Bekas Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di Jabatan
Perdana Menteri itu juga dijangka meneruskan usaha meningkatkan keupayaan
pelaksanaan dasar, projek dan sistem penyampaian kepada rakyat, selaras
perkembangan semasa yang menuntut setiap pelaksanaan dasar dijayakan dengan
sempurna. Pengalaman luas beliau sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian
Perdagangan dan Perindustrian dan Pengarah Seksyen Pembahagian dan Timbalan
Ketua Pengarah, Program National Transformation & Advancement sudah pasti
dapat dimanfaatkan dalam sektor awam yang mempunyai 1.4 juta kakitangan.
Sebagai jentera utama pelaksana dasar kerajaan, khidmat jabatan kerajaan dan
kakitangan amat diharapkan bagi meningkatkan sistem penyampaian kepada rakyat.
Pelantikan beliau juga diharap mampu memantapkan jentera pentadbiran, di
samping penambahbaikan program yang dilaksanakan di bawah pentadbiran KSN
sebelum ini dan memperbaiki kelemahan yang ada.
Kakitangan awam memerlukan pemimpin dinamik dan sering turun
padang bagi memahami masalah, sekali gus menyelesaikan segala halangan yang ada
kaitan dengan kepentingan rakyat. Hampir 28 juta rakyat Malaysia menaruh
harapan tinggi agar sektor awam terus berperanan menjayakan program
transformasi yang dipelopori Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Dr Ali
yang mempunyai pengalaman berkomunikasi dengan sektor swasta sebelum ini
membolehkan pentadbiran awam menerima pakai dan mengkaji budaya kerja sektor korporat
di jabatan dan agensi kerajaan. Penambahbaikan khidmat sektor awam perlu
dilakukan secara berterusan bagi memastikan negara berjaya mencapai status
negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020. Jika sebelum ini, beberapa
rungutan dan kes terpencil membabitkan kelemahan pelaksanaan dasar, kehadiran
tokoh berwibawa seperti Dr Ali tentunya akan membawa imej baru lebih positif.
CUEPACS dalam reaksi segera turut menyokong pelantikan Dr Ali dengan harapan
dapat memantapkan lagi sektor perkhidmatan awam, sekali gus menjayakan program
transformasi nasional. Kerjasama pelbagai pihak di samping gandingan
profesional dan pekerja sokongan jabatan kerajaan akan membentuk sistem
pentadbiran yang lebih cekap dan berkesan. Akhirnya negara akan menikmati transformasi
pentadbiran yang lebih dinamik. Tentunya Dr Ali tidak bersendirian untuk
memajukan sektor awam.
Sumber : http ; //www.bharian.com.my/