Rabu, 20 Jun 2012

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Transformasi pentadbiran tuntut kerjasama semua penjawat awam


DATUK Seri Dr Ali Hamsa yang dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baru berkuat kuasa  Ahad ini sudah pasti menarik perhatian seluruh kakitangan perkhidmatan awam. Beliau yang akan menggantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang tamat kontrak Sabtu ini sudah menyatakan azamnya untuk menggunakan pendekatan turun padang mendekati anggota perkhidmatan awam, sekali gus mengeratkan hubungan, di samping mempertingkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat. Bekas Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di Jabatan Perdana Menteri itu juga dijangka meneruskan usaha meningkatkan keupayaan pelaksanaan dasar, projek dan sistem penyampaian kepada rakyat, selaras perkembangan semasa yang menuntut setiap pelaksanaan dasar dijayakan dengan sempurna. Pengalaman luas beliau sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian dan Pengarah Seksyen Pembahagian dan Timbalan Ketua Pengarah, Program National Transformation & Advancement sudah pasti dapat dimanfaatkan dalam sektor awam yang mempunyai 1.4 juta kakitangan. Sebagai jentera utama pelaksana dasar kerajaan, khidmat jabatan kerajaan dan kakitangan amat diharapkan bagi meningkatkan sistem penyampaian kepada rakyat. Pelantikan beliau juga diharap mampu memantapkan jentera pentadbiran, di samping penambahbaikan program yang dilaksanakan di bawah pentadbiran KSN sebelum ini dan memperbaiki kelemahan yang ada.

Kakitangan awam memerlukan pemimpin dinamik dan sering turun padang bagi memahami masalah, sekali gus menyelesaikan segala halangan yang ada kaitan dengan kepentingan rakyat. Hampir 28 juta rakyat Malaysia menaruh harapan tinggi agar sektor awam terus berperanan menjayakan program transformasi yang dipelopori Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Dr Ali yang mempunyai pengalaman berkomunikasi dengan sektor swasta sebelum ini membolehkan pentadbiran awam menerima pakai dan mengkaji budaya kerja sektor korporat di jabatan dan agensi kerajaan. Penambahbaikan khidmat sektor awam perlu dilakukan secara berterusan bagi memastikan negara berjaya mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020. Jika sebelum ini, beberapa rungutan dan kes terpencil membabitkan kelemahan pelaksanaan dasar, kehadiran tokoh berwibawa seperti Dr Ali tentunya akan membawa imej baru lebih positif. CUEPACS dalam reaksi segera turut menyokong pelantikan Dr Ali dengan harapan dapat memantapkan lagi sektor perkhidmatan awam, sekali gus menjayakan program transformasi nasional. Kerjasama pelbagai pihak di samping gandingan profesional dan pekerja sokongan jabatan kerajaan akan membentuk sistem pentadbiran yang lebih cekap dan berkesan. Akhirnya negara akan menikmati transformasi pentadbiran yang lebih dinamik. Tentunya Dr Ali tidak bersendirian untuk memajukan sektor awam.

Sumber : http ; //www.bharian.com.my/

ISU KESIHATAN : Amalkan kebersihan dalam kehidupan


Oleh Nik Salida Suhaila
salidasuhaila99@yahoo.com

Nikmat kesihatan, jiwa suci boleh diperoleh jika persekitaran dijaga rapi

MENJAGA kebersihan adalah rutin harian setiap insan, walau di mana kita berada. Ia bukan sesuatu yang hanya dilakukan pada waktu tertentu, tetapi perlu dilandasi dalam setiap tindak tanduk sama ada zahir ataupun batin.

Peribadi bersih adalah lambang hati yang suci. Justeru, jika kita mampu membina sahsiah yang jauh daripada sifat mazmumah, sudah tentu kita mempunyai hati yang suci daripada bintik hitam mengotorkan.

Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung kepayahan, tetapi Dia berkehendak membersihkan kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu bersyukur. - Surah al-Maidah, Ayat 6 Kepada setiap Muslim, kebersihan adalah tuntutan agama yang harus direalisasikan dalam setiap keadaan. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman.” (Hadis riwayat Muslim)

Selain hubung kait dengan kesihatan, kebersihan juga melambangkan tarikan kepada agama yang suci. Apabila kita mengatakan Islam agama yang suci, kita harus membuktikan cara hidup umat Islam berasaskan kepada kebersihan melalui perbuatan dan perkataan.

Ibnu Taymiyyah pernah menyatakan: “Sunnah Rasulullah datang dengan membawa ajaran untuk menghindari kekotoran yang ada pada tubuh badan manusia, sebagaimana dia juga datang dengan membawa ajaran bagi menghindari kekotoran rohani.”

Dalam soal kesihatan, kebersihan menjauhkan wabak dan penyakit. Secara zahirnya, banyak penyakit berjangkit menular di negara kita disebabkan pengabaian terhadap langkah menjaga kebersihan.

Walaupun ia kelihatan enteng, tetapi penjagaan kebersihan kawasan rumah dan sekitarnya adalah satu ‘kewajipan’ jika kita mahu mengamalkan cara hidup Islam sebenar. Tanpa nikmat kesihatan, kita tidak mampu beribadat kepada Allah SWT dan tuntutan ibadat terganggu disebabkan persekitaran yang kotor.

Berdasarkan pengalaman penulis di United Kingdom, warga bukan Muslim sangat menjaga kebersihan kerana mereka menghargai alam.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung kepayahan, tetapi Dia berkehendak membersihkan kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Maidah, ayat 6)

Tanpa mengetahui garis panduan agama yang menyeru kepada menjaga kebersihan, mereka tidak teragak-agak untuk bertegas dalam soal kebersihan, malah menyeru orang lain melakukan perkara serupa.

Apabila melewati penempatan majoriti bukan Muslim atau premis perniagaan mereka, penulis mendapati jurang perbezaan besar dalam soal kebersihan berbanding majoriti Muslim. Boleh dikatakan hampir setiap kawasan kediaman warga bukan Muslim terjaga rapi.

Malah, tiada sebarang sampah hatta ranting kayu yang menghalang perjalanan. Mereka tidak segan silu membantu membersihkan kawasan atau premis awam setiap awal pagi, semata-mata mahu melihat persekitaran yang cantik dan bersih.

Budaya gotong-royong membuang sampah sentiasa diamalkan sejak sekian lama di negara kita adalah satu contoh amalan baik yang perlu diteruskan dan dilakukan dengan konsisten. Walau bagaimanapun, lebih baik jika amalan itu diteruskan setiap hari.

Buat masa ini usaha itu dijadikan agenda komuniti ataupun program tertentu yang hanya dilakukan pada waktu sangat terbatas. Adalah lebih baik jika sifat mencegah kekotoran, menjaga kebersihan dan persekitaran menjadi tanggungjawab setiap warga negara.

Tambahan pula, kepada masyarakat bukan Muslim di luar negara, warga Muslim kurang menjaga kebersihan berbanding mereka. Apabila kita mengatakan Islam mengesyorkan kebersihan dan tiada kompromi mengenainya, kita haruslah membuktikan bukan bersikap sebaliknya.

Rumah ibadat kita wajib mencerminkan cara hidup Muslim yang sebenar seperti difirmankan dalam al-Quran. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bahawasanya masjid ini tidak boleh dicemari oleh najis dan kekotoran kerana ia adalah tempat untuk berzikir kepada Allah SWT dan membaca al-Quran.” (Hadis riwayat Muslim)

Antara budaya hidup yang memungkinkan sikap menjaga kebersihan dalam kalangan umat Islam dipertingkatkan ialah dengan memberi kesedaran dalam kalangan golongan dewasa dan ibu bapa pentingnya persekitaran yang bersih.

Mereka harus diyakinkan yang membezakan mereka dengan bukan Islam ialah sentiasa bersih dan mencegah sebarang kekotoran. Setiap ibu bapa perlu menunjukkan teladan kepada anak seawal anak mula tahu berkomunikasi dengan caranya yang tersendiri.

Pakaian bersih, makanan halal dan membuang sampah di tempat sepatutnya adalah antara pendidikan awal yang boleh diperkenalkan kepada anak kecil.

Mereka yang sentiasa terbimbing dalam cara hidup yang bersih dan bencikan kekotoran akan membesar sebagai seorang pembersih dan ini memungkinkan generasi Muslim terdidik dengan mengutamakan kebersihan, iaitu cara hidup setiap Muslim yang digariskan al-Quran.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Sekolah Jenis Kebangsaan Akan Lebih Menjarakkan Rakyat


PUTRAJAYA : Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kewujudan sekolah vernakular akan menjarakkan rakyat dan menyekat perpaduan dalam kalangan penduduk pelbagai kaum negara ini.

Katanya, cadangan penubuhan sebuah sekolah tinggi Cina persendirian baru di Kuantan mungkin memberi kesan serupa.

"Kita telah menerima sejak awal lagi bahawa sekolah vernakular boleh ditubuhkan oleh pelbagai masyarakat dan ini menyebabkan golongan muda kita tidak belajar bersama-sama.

"Sekiranya kita mengiktiraf pendidikan Cina dan sijil mereka dan sebagainya, maka kita akan ada tiga golongan rakyat yang berlainan latar belakang pendidikan, dengan setiap satu bercakap dalam bahasa yang berbeza. Malah, saya berpendapat kita tak akan dapat hidup bersama sekiranya kita tidak memahami antara satu sama lain," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian selepas melancarkan Pertandingan Menulis Esei Yayasan Kepimpinan Perdana-Yayasan Maybank 2012, di sini, Rabu.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek baru-baru ini dilaporkan berkata beliau berharap sekolah itu mendapat kelulusan untuk ditubuhkan dalam tempoh dua minggu akan datang.

Dr Chua berkata, beliau telah mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama para pemimpin tertinggi parti itu berhubung permohonan Sekolah Tinggi Persendirian Chong Hwa Kuala Lumpur untuk menubuhkan sekolah berkenaan di Kuantan. BERNAMA.

ISU SOSIAL : Vandalisme jejas peralatan telekomunikasi


SANDAKAN : Jenayah vandalisme dan kecurian peralatan telekomunikasi menyebabkan kerugian besar kepada negara dan pemberi perkhidmatan telekomunikasi, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Pengarah SKMM Sabah dan Labuan, Bukhari Yahya, berkata isu itu perlu dipandang serius kerana kesan dan risiko perbuatan itu turut menjejas dan menyusahkan masyarakat.

"Ketiadaan talian komunikasi mungkin mengakibatkan kelewatan bantuan kecemasan, sekali gus mengancam nyawa dan keselamatan," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Seminar Kesedaran Vandalisme dan Kecurian Peralatan Komunikasi di sini hari ini yang disempurnakan Setiausaha Majlis Perbandaran Sandakan Jeffry Aman.

Bukhari berkata, antara punca utama kecurian ialah peningkatan harga tembaga di pasaran.

"Akibat tindakan mereka juga, penduduk di kawasan terjejas bukan sahaja terputus hubungan, malah pemberi perkhidmatan terpaksa menanggung kerugian daripada segi masa, tenaga dan wang bagi mengganti peralatan yang dicuri serta memulihkan perkhidmatan telekomunikasi," katanya. - BERNAMA

ISU LAMBAKAN WARGA AFRIKA : Pelajar, pelancong atau pengacau?


Oleh Fauziah Arof

MEREKA dikatakan masuk dengan visa pelajar, tapi gaya mereka tidak seperti pelajar universiti atau kolej pun.

Tiada buku, fail atau beg yang digalas. Ke hulu ke hilir berpeleseran tidak kira siang atau malam. Jadi, masa bila pula mereka masuk kelas?

Difahamkan ‘pelajar Awang Hitam’ ini juga mampu berbelanja mewah, boleh menyewa kenderaan yang beribu-ribu ringgit sebulan. Boleh selalu duduk melepak di pub-pub dan kelab-kelab setiap malam.

Dan kalau bekerja, tak juga nampak seperti pekerja. Hari-hari mereka boleh dilihat ‘bersidai’ di tempat-tempat awam. Jadi apa mereka buat di sini?

Kita tidak mempersoalkan sekiranya mereka memang belajar dan melancong di sini. Tetapi macam mana hendak pastikan mereka benar-benar pelajar, pekerja profesional atau pelancong.

Mungkinkah mereka masuk sebagai pelajar tetapi membuat kerja lain? Ini yang pihak berkuasa kena selalu periksa dan pantau.

Lambakan warga Afrika terutamanya di sekitar Lembah Klang dan bandar-bandar di negara ini sudah di tahap cukup merimaskan. Kalau mereka ini duduk diam tidak mengapa. Ini banyak masalah sosial yang ditimbulkan golongan ini termasuk kes jenayah.

Bandar Sunway, Puchong, Cheras dan Klang adalah antara penempatan warga Afrika yang popular di Lembah Klang. Dan selalunya kalau mereka sudah bermastautin di sesuatu kawasan itu, agak malanglah penduduk tempatan yang tinggal di situ. Dan dikatakan, harga rumah di kawasan berkenaan akan jatuh nilainya kerana faktor kebanjiran warga asing.

Sebabnya, kalau dah ramai, mereka ini sukar dikawal. Masalah utama adalah dari segi keselesaan dan keselamatan. Mereka ini gemar membuat bising, bergaduh sesama mereka, mabuk dan tak kurang juga mencari gaduh dengan penduduk tempatan sekiranya perangai mereka ditegur.

Tidak cukup dengan itu, Awang Hitam ini juga suka mengganggu wanita, tidak kira anak dara atau isteri orang. Kejadian pecah rumah di kawasan terbabit dan kenderaan yang dirosakkan juga sering berlaku.

Kawan saya yang menetap di Pangsa Puri Mentari Court di Bandar Sunway memberitahu saya, dia terpaksa menyewakan rumahnya di situ dan berpindah ke tempat lain.

Sebabnya, lambakan warga asing, terutamanya warga Afrika yang menjadikan kawasan penempatan di situ seperti mereka yang punya dan bersikap ibarat buta undang-undang.

‘‘Tidak sesuailah dengan kehidupan berkeluarga, bising sangat dan macam-macam aktiviti yang mereka buat. Rasa macam duduk di negara mereka pula," kata kawan saya itu.

Dan kita juga sudah biasa mendengar jerat pemuda warga Afrika yang memperdaya gadis tempatan untuk mengikis wang, menjadikan mangsa keldai dadah, penipuan menggunakan rangkaian Internet, Black Money dan lain-lain.

Itu belum masuk lagi cerita kelompok Awang Hitam ini berniaga di kawasan-kawasan perumahan di ibu kota seperti di Desa Aman Puri Kepong yang dilaporkan oleh akhbar Kosmo! semalam yang mana pelanggan mereka ialah warga Afrika sendiri.

Kita sudah ada beberapa kawasan yang telah lama dikuasai oleh warga asing Indonesia di negara ini dari segi penempatan dan kawasan perniagaan.

Adakah kita juga akan membiarkan tempat-tempat tertentu dijadikan seperti kampung halaman warga asing dari Afrika, Bangladesh, Vietnam dan Nepal pula?

Memang Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan mempunyai ekonomi yang baik di rantau ini, maka ramai warga luar yang mahu menumpang tuah di negara ini dengan mencari rezeki dan mengumpul kekayaan apabila pulang ke negara masing-masing.

Namun sekiranya kebanjiran mereka membuatkan penduduk tempatan menjadi resah, merasa tidak selamat dan tidak selesa berada di negara sendiri, sesuatu memang perlu dilakukan.

Sudah tentu, kita tidak mahu kualiti hidup kita tergugat dek kerana mahu memberi ruang dan peluang kepada warga asing yang kemudiannya membalas dengan membuat pasal di negara ini.

Sumber : http ; //www.utusan.com.my/

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Pelanggan jalur lebar global melepasi 600 juta



SINGAPURA - Bilangan pelanggan jalur lebar di seluruh dunia sehingga suku pertama 2012 kini melepasi paras 600 juta, demikian menurut perangkaan terbaru yang diteribitkan oleh Forum Jalur Lebar dan disediakan oleh penganalisis industri jalur lebar Point Topic.
  
Dalam pengumuman semasa CommunicAsia di sini, perangkaan itu juga menunjukkan Asia berada pada kedudukan teratas jumlah pelanggan paling tinggi, dalam kedua-dua jalur lebar dan IPTV.
  
Ketua Pegawai Eksekutif Forum Jalur Lebar Robin Mersh berkata pertumbuhan itu semakin meningkat.
  
Asia menduduki tangga teratas dengan 262,080,147 pelanggan dengan catatan pertumbuhan 3.38 peratus pada suku tersebut.
  
Lima negara Asia dari kalangan 20 negara teratas menguasai 239 juta pelanggan jalur lebar, yang merupakan sepertiga daripada keseluruhan global.
  
Sementara itu, IPTV berkembang kepada 65.6 juta, yang didahului oleh China. - Bernama


Nota Kaki : IPTV ialah sejenis sistem perkhidmatan televisyen digital yang disampaikan menggunakan Protokol Internet merentasi sebuah prasarana rangkaian yang boleh merangkumi penyampaian melalui sambungan jalur lebar.

ISU SUKAN : Serbegeth Singh Pengarah Bola Sepak Blackburn Rovers


Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my


KUALA LUMPUR - Bekas pemain pertahanan kebangsaan Serbegeth Singh dilantik sebagai pengarah bola sepak kelab divisyen satu England, Blackburn Rovers, mulai musim depan.

Laporan Daily Mail United Kingdom semalam mendedahkan pemilik Blackburn yang berasal dari India, Venky mengesahkan Serbegeth, yang turut dikenali sebagai Shebby, diberikan tanggungjawab tersebut.

Salah satu tugas Shebby kelak ialah bertindak sebagai orang tengah untuk Venky dan pengurus kelab itu, Steve Kean.

Shebby disifatkan arif tentang Liga Perdana Inggeris sebagai pengulas di saluran televisyen berbayar.

Shebby, 43, dijangka meninggalkan kerjayanya sebagai pengulas bola sepak sebuah saluran televisyen tempatan tersebut untuk menggalas cabaran baru itu.

Beliau merupakan bekas pemain kebangsaan Malaysia dari 1978 hingga 1996.

Shebby juga merupakan ketua pasukan Kuala Lumpur dan membantu pasukan berkenaan menjuarai Piala Malaysia sebanyak tiga kali berturut-turut dari 1987 hingga 1989.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Amin berkata, pemilihan Shebby sesuatu yang baik buat negara dan bekas pemain itu.

Kata Hamidin, melalui jawatan yang bakal disandang oleh Shebby, ia diharap dapat memberikannya lebih banyak idea sekali gus mampu membantu pembangunan sukan bola sepak tanah air.

"Saya bangga apabila mengetahui berita ini.

"Saya percaya ada sesuatu yang istimewa pada Shebby sehingga membolehkannya terpilih mengisi jawatan penting itu.

"Ini juga membuktikan bahawa bekas pemain bola sepak kita mempunyai kualiti tersendiri untuk berjaya di peringkat lebih tinggi," katanya ketika dihubungi.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/