Rabu, 20 Jun 2012

ISU PENDIDIKAN : Sekolah Jenis Kebangsaan Akan Lebih Menjarakkan Rakyat


PUTRAJAYA : Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kewujudan sekolah vernakular akan menjarakkan rakyat dan menyekat perpaduan dalam kalangan penduduk pelbagai kaum negara ini.

Katanya, cadangan penubuhan sebuah sekolah tinggi Cina persendirian baru di Kuantan mungkin memberi kesan serupa.

"Kita telah menerima sejak awal lagi bahawa sekolah vernakular boleh ditubuhkan oleh pelbagai masyarakat dan ini menyebabkan golongan muda kita tidak belajar bersama-sama.

"Sekiranya kita mengiktiraf pendidikan Cina dan sijil mereka dan sebagainya, maka kita akan ada tiga golongan rakyat yang berlainan latar belakang pendidikan, dengan setiap satu bercakap dalam bahasa yang berbeza. Malah, saya berpendapat kita tak akan dapat hidup bersama sekiranya kita tidak memahami antara satu sama lain," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian selepas melancarkan Pertandingan Menulis Esei Yayasan Kepimpinan Perdana-Yayasan Maybank 2012, di sini, Rabu.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek baru-baru ini dilaporkan berkata beliau berharap sekolah itu mendapat kelulusan untuk ditubuhkan dalam tempoh dua minggu akan datang.

Dr Chua berkata, beliau telah mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama para pemimpin tertinggi parti itu berhubung permohonan Sekolah Tinggi Persendirian Chong Hwa Kuala Lumpur untuk menubuhkan sekolah berkenaan di Kuantan. BERNAMA.

1 ulasan:

  1. Saya setuju dengan hakikat sekolah jenis kebangsaan hanya mewujudkan generasi homogenous yang tidak bercampur dengan komuniti lain. Apatah lagi jika tinggal dalam komuniti yang sama, dengan jiran yang sama dan tiada hubungan langsung dengan jiran bangsa lain, maka komuniti ini akan terus 'terpinggir' dek sistem pendidikan yang mencorakkan mereka begitu.

    BalasPadam