Oleh Nik Salida Suhaila
salidasuhaila99@yahoo.com
Nikmat kesihatan, jiwa suci boleh diperoleh jika
persekitaran dijaga rapi
MENJAGA kebersihan adalah rutin harian setiap insan, walau
di mana kita berada. Ia bukan sesuatu yang hanya dilakukan pada waktu tertentu,
tetapi perlu dilandasi dalam setiap tindak tanduk sama ada zahir ataupun batin.
Peribadi bersih adalah lambang hati yang suci. Justeru, jika
kita mampu membina sahsiah yang jauh daripada sifat mazmumah, sudah tentu kita
mempunyai hati yang suci daripada bintik hitam mengotorkan.
Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung kepayahan,
tetapi Dia berkehendak membersihkan kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya
kepada kamu, supaya kamu bersyukur. - Surah al-Maidah, Ayat 6 Kepada setiap
Muslim, kebersihan adalah tuntutan agama yang harus direalisasikan dalam setiap
keadaan. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Kebersihan itu sebahagian
daripada iman.” (Hadis riwayat Muslim)
Selain hubung kait dengan kesihatan, kebersihan juga
melambangkan tarikan kepada agama yang suci. Apabila kita mengatakan Islam
agama yang suci, kita harus membuktikan cara hidup umat Islam berasaskan kepada
kebersihan melalui perbuatan dan perkataan.
Ibnu Taymiyyah pernah menyatakan: “Sunnah Rasulullah datang
dengan membawa ajaran untuk menghindari kekotoran yang ada pada tubuh badan
manusia, sebagaimana dia juga datang dengan membawa ajaran bagi menghindari
kekotoran rohani.”
Dalam soal kesihatan, kebersihan menjauhkan wabak dan
penyakit. Secara zahirnya, banyak penyakit berjangkit menular di negara kita
disebabkan pengabaian terhadap langkah menjaga kebersihan.
Walaupun ia kelihatan enteng, tetapi penjagaan kebersihan
kawasan rumah dan sekitarnya adalah satu ‘kewajipan’ jika kita mahu mengamalkan
cara hidup Islam sebenar. Tanpa nikmat kesihatan, kita tidak mampu beribadat
kepada Allah SWT dan tuntutan ibadat terganggu disebabkan persekitaran yang
kotor.
Berdasarkan pengalaman penulis di United Kingdom, warga bukan
Muslim sangat menjaga kebersihan kerana mereka menghargai alam.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak mahu
menjadikan kamu menanggung kepayahan, tetapi Dia berkehendak membersihkan kamu
dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.”
(Surah al-Maidah, ayat 6)
Tanpa mengetahui garis panduan agama yang menyeru kepada
menjaga kebersihan, mereka tidak teragak-agak untuk bertegas dalam soal
kebersihan, malah menyeru orang lain melakukan perkara serupa.
Apabila melewati penempatan majoriti bukan Muslim atau
premis perniagaan mereka, penulis mendapati jurang perbezaan besar dalam soal
kebersihan berbanding majoriti Muslim. Boleh dikatakan hampir setiap kawasan
kediaman warga bukan Muslim terjaga rapi.
Malah, tiada sebarang sampah hatta ranting kayu yang
menghalang perjalanan. Mereka tidak segan silu membantu membersihkan kawasan
atau premis awam setiap awal pagi, semata-mata mahu melihat persekitaran yang
cantik dan bersih.
Budaya gotong-royong membuang sampah sentiasa diamalkan
sejak sekian lama di negara kita adalah satu contoh amalan baik yang perlu
diteruskan dan dilakukan dengan konsisten. Walau bagaimanapun, lebih baik jika
amalan itu diteruskan setiap hari.
Buat masa ini usaha itu dijadikan agenda komuniti ataupun
program tertentu yang hanya dilakukan pada waktu sangat terbatas. Adalah lebih
baik jika sifat mencegah kekotoran, menjaga kebersihan dan persekitaran menjadi
tanggungjawab setiap warga negara.
Tambahan pula, kepada masyarakat bukan Muslim di luar
negara, warga Muslim kurang menjaga kebersihan berbanding mereka. Apabila kita
mengatakan Islam mengesyorkan kebersihan dan tiada kompromi mengenainya, kita
haruslah membuktikan bukan bersikap sebaliknya.
Rumah ibadat kita wajib mencerminkan cara hidup Muslim yang
sebenar seperti difirmankan dalam al-Quran. Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud: “Bahawasanya masjid ini tidak boleh dicemari oleh najis dan
kekotoran kerana ia adalah tempat untuk berzikir kepada Allah SWT dan membaca
al-Quran.” (Hadis riwayat Muslim)
Antara budaya hidup yang memungkinkan sikap menjaga
kebersihan dalam kalangan umat Islam dipertingkatkan ialah dengan memberi
kesedaran dalam kalangan golongan dewasa dan ibu bapa pentingnya persekitaran
yang bersih.
Mereka harus diyakinkan yang membezakan mereka dengan bukan
Islam ialah sentiasa bersih dan mencegah sebarang kekotoran. Setiap ibu bapa
perlu menunjukkan teladan kepada anak seawal anak mula tahu berkomunikasi
dengan caranya yang tersendiri.
Pakaian bersih, makanan halal dan membuang sampah di tempat
sepatutnya adalah antara pendidikan awal yang boleh diperkenalkan kepada anak
kecil.
Mereka yang sentiasa terbimbing dalam cara hidup yang bersih
dan bencikan kekotoran akan membesar sebagai seorang pembersih dan ini memungkinkan
generasi Muslim terdidik dengan mengutamakan kebersihan, iaitu cara hidup
setiap Muslim yang digariskan al-Quran.
Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan
Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan