Khamis, 4 Jun 2009

DOA AGAR DIPERMUDAH SEGALA URUSAN


Maksudnya:

Ya Allah, tidak ada kemudahan kecuali sesuatu yang Engkau permudahkan, Engkau menjadikan kedukaan itu mudah sekiranya Engkau kehendaki.

KELAYAKAN UNTUK BERGELAR 'USTAZ'

JIKA kita menyandarkan gelaran, panggilan, tanpa ada batasan maka kita akan mewujudkan caca marba dalam masyarakat.

Seorang ustaz ialah yang mempelajari agama Islam, berakhlak seperti akhlak Islam, berpegang dengan ajaran Islam, malah berpakaian yang selayaknya untuk seorang ustaz. Jika kriteria asas ini tidak dipatuhi, seorang ustaz itu sama saja dengan orang lain dan tidak ada keperluan untuk memanggilnya ustaz. Sebagai contoh seorang yang berlatar belakangkan pengajian Islam, namun sering ke kelab malam, maka dia bukanlah seorang ustaz.

Seorang ustaz bukan hanya pandai bercakap mengenai Islam tetapi juga berakhlak Islam. Justeru, tiada istilah ‘ustaz rock’, ‘ustaz hindustan’ dan sebagainya. Kalau itulah minatnya, maka dia bukanlah ustaz.

Asas panggilan seorang ustaz ialah beliau mesti belajar ilmu Islam sama ada secara formal atau tidak formal dalam bentuk disiplin ilmu Islam itu sendiri. Sebagai contoh belajar Islam dengan seorang guru dan memasuki kelas guru berkenaan serta memiliki kitab yang dipelajari.

Pengajiannya mesti dalam jangka masa bertahun-tahun. Ia kerana dalam disiplin ilmu Islam hampir saja menyamai mana-mana ilmu lain iaitu memerlukan masa yang panjang untuk memahaminya.

Adalah pelik dengan belajar setahun dua sudah dikatakan alim melainkan dia menerima wahyu daripada langit. Dengan itu terkeluarlah daripada panggilan ustaz, seseorang yang sesekali pergi melawat pondok dan pasentren dan tidak jelas pembelajaran ilmu Islamnya.

Ustaz seorang yang berakhlak Islam. Dia tidak akan makan sambil berjalan, menghisap rokok, berambut panjang seperti wanita (kecuali berambut panjang mencecah bahu dengan niat semata-mata menurut sunnah Rasulullah SAW bukan kerana trend masa kini), memasuki panggung wayang dalam apa sebab sekalipun, bergaul dengan wanita bukan mahramnya dan semua bentuk akhlak yang tidak layak bagi seorang Islam. Kalau itulah yang dilakukan oleh ustaz itu, keluarkan saja ustaz sebegini daripada golongan ustaz kerana dia bukanlah seorang ustaz.

Umum menerima bahawa seorang hakim mempunyai akhlak dan etika kehakiman. Beliau tidak boleh berada di tempat tertentu serta makan dengan orang tertentu yang dikhuatiri menjejaskan kredibiliti penghakimannya. Misalnya, seorang hakim tidak boleh makan bersama peguam bela kes yang diadilinya. Sekalipun dia tidak membuat apa-apa kesalahan dan tidak menerima rasuah, namun perbuatan itu melanggar etika kehakiman.

Begitu juga dengan seorang ustaz? Mereka tidak boleh merungut, itu tidak boleh, ini tidak boleh kerana itulah harganya seorang ustaz. Sama saja seorang hakim tidak boleh merungut kerana menerima jawatan sebagai hakim.

Mampukah kita menerima ustaz yang terkinja-kinja di pentas, ustaz yang akhlaknya sama saja dengan orang lain, ustaz yang bergaul bebas dengan wanita atas alasan yang sengaja dibuat-buat dan sebagainya?

Saya menyeru kepada kita semua, marilah kembalikan maruah institusi ustaz dan tidak sewenangnya menyandarkan gelaran itu kepada sesiapa saja. Ini kerana institusi ustaz ini adalah mulia dan pada merekalah kita melihat wajah Islam.

YANG PRIHATIN,
Kelantan.

Sumber : http:www.bharian.com/

ROMBAK PEMBELAJARAN PENDIDIKAN ISLAM

Oleh ANUAR AHMAD

ISLAM berkembang di negara ini sejak lebih 700 tahun lalu. Islam berkembang daripada tauhid dan ibadah hinggalah meliputi aspek perundangan, ekonomi, politik dan budaya hidup.

Kemuncak kepada peneguhan ajaran Islam di negara ini ialah apabila Islam diisytiharkan sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia, termaktub di dalam Perlembagaan negara.

Oleh itu, segala dasar dan perancangan membangunkan negara sentiasa dilandaskan kepada ajaran Islam sebagai garis panduan.

Maka Rukun Negara, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Pendidikan Kebangsaan serta Falsafah Pendidikan dibentuk berteraskan kepada konsep kehidupan yang disyariatkan dalam Islam.

Selari dengan ajaran Islam sebagai cara hidup, anak-anak masyarakat Melayu khasnya mula didedahkan kepada pendidikan Islam sejak awal usia. Pendidikan Islam sering mendapat cabaran daripada pelbagai pihak namun atas usaha dan perjuangan para pemerintah Melayu dan para ulama, Islam terus berkembang dan menjadi identiti kepada orang Melayu di negara ini.

Jika dahulu perkembangan Islam mendapat tentangan daripada penjajahan Portugis, Belanda dan Inggeris, kini walaupun sudah merdeka pengaruh kuat kolonial masih tidak banyak mengubah persepsi dan minda masyarakat negara ini.

Rakyat negara ini telah dibentuk untuk mempercayai bahawa budaya Barat itu moden dan "moden itu adalah kemajuan atau pembangunan". Maka menerima unsur dan nilai budaya masyarakat Barat bermakna kita sedang menerima pemodenan dan kualiti hidup.

Sehingga kini sangat sukar untuk generasi muda menerima bahawa ada nilai serta budaya hidup lain selain budaya masyarakat Barat.

Hari ini pendidikan Islam sedang menerima cabaran baru serba hebat sekali. Kajian mendapati kebanyakan pelajar melihat pendidikan agama Islam hanyalah sebagai satu daripada mata pelajaran untuk peperiksaan. Pendidikan agama Islam diletakkan sama tarafnya dengan pendidikan lain seperti matematik, ekonomi atau sains.

Pendidikan Islam tidak lagi diterima sebagai ilmu asas untuk memahami mengapa seseorang insan dicipta dan dilahirkan ke dunia ini. Pendidikan Islam menjadi semakin sempit maksudnya sama ada daripada segi definisi dan juga ruang lingkup pembelajarannya.

Tentulah ini berlaku kerana sesetengah perancang kurikulum sendiri mungkin turut tertutup 'mata hati' apabila hanya melihat pendidikan Islam sebagai satu subjek sekolah semata-mata. Malang sekali nasib pendidikan Islam di negara ini.

Penulis kebetulan ke Johor Baru baru-baru ini atas urusan rasmi dan berpeluang meninjau kegiatan remaja di Pantai Lido hingga ke Danga Bay selepas disarankan oleh seorang rakan.

Kami menyusur perlahan dengan kereta sepanjang Pantai Lido bermula dari Jalan Stulang Laut. Benar seperti kata kawan penulis, walaupun jam sudah pukul 1 pagi, masih ramai muda-mudi Melayu - yang kita pasti beragama Islam - melepak di situ.

Mereka berpakaian agak keterlaluan. Kumpulan remaja itu kebanyakannya dalam lingkungan umur belasan tahun dan kelihatan bercampur bebas antara lelaki dan perempuan.

Sesekali terdengar jeritan maki-hamun sesama mereka sebagai tanda "kasih sayang" antara kawan. Melihat tindak tanduk mereka, andaian awal kebiasaannya ialah "mereka merupakan pelajar yang terpinggir atau tercicir persekolahan".

Pakar-pakar pendidikan umumnya bersetuju bahawa bagi setiap kumpulan pelajar di sesebuah negara, biasanya akan terdapat 5 hingga 10 peratus pelajarnya akan tercicir dan gagal dalam persekolahan mereka.

Maka jika kita mempunyai lima juta pelajar di seluruh negara masa ini, andaian itu akan meliputi lebih kurang 500,000 pelajar termasuk dalam kumpulan "tertinggal, tercicir atau gagal" itu.

Adalah sangat membazir jika sumber manusia seramai itu dibiarkan begitu sahaja. Malah tidak mustahil jika tiada usaha untuk membetulkan kehidupan mereka. Kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukan yang besar untuk menguruskan pemulihan jika kumpulan itu terlibat dalam penagihan dadah, pelacuran dan gejala sosial.

Jelas banyak yang tidak kena dengan pengamalan pengajaran dan pembelajaran pendidikan agama Islam di dalam sistem pendidikan negara ini.

Kurikulum yang dirangka menunjukkan kesepaduan antara ibadah, tauhid, fiqah, sejarah dan pengajian al-Quran serta ditambah lagi dengan program J-QAF dan KAFA. Namun pedagogi pendidikan Islam tidak banyak berubah sejak sekian lama.

R.O Winstead ialah seorang pegawai British yang kemudiannya dilantik menjadi Pesuruhjaya Pendidikan Malaya pada 1923. Semasa melawat sekolah-sekolah Melayu yang melaksanakan pendidikan Islam, beliau pernah merekodkan bahawa anak-anak Melayu yang belajar di dalam kelas agama biasanya diminta menghafal ayat-ayat al-Quran tanpa perlu tahu dan faham makna ayat-ayat tersebut.

Kata Winstead, mereka menghafal sahaja dan sebenarnya buta huruf kerana tidak belajar dan memahami bahasa Arab.

Amalan penghafalan ini juga berkembang bukan sahaja dalam pengajian bacaan al-Quran tetapi juga melibatkan pendidikan hukum Islam berkaitan kehidupan.

Walaupun menghafal adalah sesuatu konsep pendidikan yang baik tetapi secara kognitifnya penghafalan tidak mengembangkan pemikiran logik dan kritikal.

Oleh itu, apabila seseorang pelajar berdepan dengan situasi baru, ilmu hafalan tidak banyak membantu untuk menyelesaikan masalah tersebut. Maka ilmu logik serta kritis juga perlu dibangunkan di dalam diri pelajar melalui pendidikan Islam.

Begitu juga amalan pengajaran pendidikan Islam yang disampaikan kepada pelajar hari ini. Ia lebih menjurus kepada peperiksaan dan meminggirkan kepentingan memahami agama Islam untuk kehidupan di dunia dan akhirat. Sama ada percaya atau tidak, sekarang individu remaja Melayu Islam akan merasa kurang senang apabila dinasihat berkaitan agama.

Misalnya nasihat supaya jangan meninggalkan solat lima waktu atau pun supaya menutup aurat. Ia dianggap terlalu peribadi dan tidak layak disentuh oleh orang lain. Malah ada di antaranya yang cuba menjauhkan diri apabila ditegur atau dinasihati untuk kali kedua dan seterusnya.

Pemikiran bahawa agama adalah urusan peribadi juga akan membantutkan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Asas kepada masalah ini adalah kurangnya penekanan kepada pengajaran untuk membina kepercayaan kepada Tuhan yang Esa. Memang jika ditanya kepada orang Melayu yang diketahui tidak bersolat, berzina atau minum arak adakah mereka Islam? Maka jawapannya: "Saya orang Islam."

Malangnya Islam seseorang itu hanya pada mulut sedangkan hatinya "meragui" keesaan Allah. Kalau mereka masih percaya dengan keesaan Tuhan, masakan mereka sanggup untuk mengingkari perintah-Nya dan terus melakukan larangan Allah. Maka, soal tauhid ini sangat penting dimulakan sejak di sekolah rendah lagi.

Hari ini guru-guru agama atau boleh disebut "ustaz dan ustazah" sekadar menumpukan kepada pendidikan Islam atas tujuan peperiksaan. Sama ada mereka sedar atau tidak, inilah yang sedang berlaku.

Di sebalik kandungan kurikulum yang agak luas dan sukar dihabiskan sebelum hujung tahun, pendidikan Islam juga lebih cenderung mengemukakan penilaian di dalam peperiksaan berbentuk penilaian kognitif, tidak menganjurkan pemikiran meta kognitif apatah lagi tahap kognitif epidemik. Maksud peta kognitif ialah pendidikan Islam yang menumpukan kepada pemikiran "mengapa sesuatu perlakuan itu betul atau salah?''

Sementara pemikiran kognitif epidemik pula menumpukan kepada persoalan jika telah diketahui dan difahami bahawa sesuatu perlakuan itu, maka bagaimana untuk memastikan nilai betul tersebut dikekalkan? Begitu juga jika telah diketahui bahawa sesuatu tindakan itu salah bagaimana perbuatan salah itu perlu dihentikan sama sekali.

Tidak cukup dengan hanya memberitahu pelajar tentang dosa besar serta pembalasan kepada penzina di akhirat. Pengajar juga perlu menjelaskan kesan buruk zina sejak di dunia lagi. Selain mendatangkan penyakit kelamin yang berjangkit akibat perbuatan zina, kewujudan anak-anak luar nikah juga perlu dijelaskan kepada pelajar.

Maka ilmu pendidikan Islam tidak hanya terhad kepada pendidikan dosa dan pahala tetapi juga merangkumi kefahaman biologi manusia serta sains pembiakan manusia. Begitu juga dengan pendidikan kesihatan dan seksual manusia.

Begitu juga apabila pelajar belajar konsep riba dan judi dalam Islam. Tidak cukup dengan menjelaskan bahawa hukuman kepada pemakan riba di akhirat nanti ialah "menelan bara api" sahaja. Pembalasan yang berat ini memang perlu untuk tujuan pendidikan akhirat.

Namun pelajar juga harus difahamkan mengapa riba diharamkan. Selain masalah penindasan disebabkan oleh riba, ekonomi negara juga boleh menjadi tidak stabil akibat spekulasi untuk mendapat untung hasil riba dan ramalan seperti perjudian dan loteri.

Banyak lagi perkara yang melibatkan pendidikan Islam yang perlu dikaji semula. Malah sistem persekolahan berasasakan pendidikan Islam yang tidak selaras juga banyak menimbulkan isu kepada masyarakat.

Kita mempunyai sekurang-kurangnya lima jenis sekolah yang mendidik ilmu Islam kepada pelajar. Selain sekolah agama persekutuan, setiap negeri juga mempunyai sekolah agama negeri. Selain itu terdapat juga sekolah agama rakyat yang sebahagiannya dibiayai oleh kerajaan negeri. Terdapat juga sekolah agama persendirian. Begitu juga sekolah tahfiz dan sekolah pondok yang masih beroperasi di beberapa buah negeri.

Mengapa kita perlu ada begitu banyak aliran sekolah untuk mengajarkan pendidikan Islam? Jika pendidikan Islam itu sangat penting dan asas kepada semua pelajar Islam, ada baik semua sekolah ini diselaraskan di bawah satu nama atau satu bumbung sahaja.

Selain kualiti guru serta peruntukan yang lebih berkesan, penyelarasan sekolah-sekolah ini juga akan membantu kerajaan memantau perkembangan para pelajar secara terus dan terancang.

Konsep dan pemahaman tentang pendidikan Islam harus berubah jika ingin menjadikan pendidikan Islam lebih daripada sekadar mata pelajaran untuk tujuan penilaian dalam peperiksaan semata-mata.

Cara pengajaran serta tugasan guru juga harus dikaji semula jika kita ingin melihat pelajar menerima pengajaran pendidikan Islam sebagai sesuatu yang penting dan perlu di di dunia dan akhirat.

Maka, walau bagaimana murni dan syumul agama Islam ini, jika sistem pendidikannya gagal mengaturkan rancangan dan strategi terbaik dalam menyampaikan ajarannya di bilik darjah, lama-kelamaan pelajar yang masih mentah ini akan mengambil mudah pendekatan "Islam sebagai cara hidup".

PENULIS ialah Pensyarah Sosiologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

SEMARAKKAN SEMANGAT SAYANGI BUMI

Oleh ABDUL RAHMAN MAHMUD

TARIKH 5 jun setiap tahun disambut sebagai Hari Alam Sekitar Sedunia. Sambutan itu diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 1972 sempena Persidangan Stockholm mengenai "Alam Sekitar dan Manusia".

Sambutan ini bertujuan merangsang kesedaran manusia sejagat untuk mengurus alam sekitar dengan penuh rasa tanggungjawab. Semua lapisan masyarakat mempunyai tanggungjawab besar dalam usaha menguruskan alam sekitar secara lestari.

Bertemakan "Dunia Memerlukan Anda Bersatu Bagi Memerangi Perubahan Iklim", sambutan ini wajar dihayati dengan mendalam.

Sekurang-kurangnya terdapat dua mesej utama yang boleh diambil daripada tema ini. Pertama, ia mengajak manusia melakukan perubahan terhadap amalan yang boleh mendorong terhadap perubahan iklim. Kedua, mengajak masyarakat dunia bersatu bagi memerangi perubahan iklim tersebut.

"Bersatu" merujuk kepada perlunya kita semua berganding bahu mengurangkan impak perubahan iklim global.

Dalam konteks memerangi perubahan iklim, ia memerlukan perubahan secara total.

Bagaimanapun, manusia kini dilihat semakin banyak melakukan kerosakan terutama atas nama "pembangunan". Banyak persidangan dan perjanjian alam sekitar sejagat diadakan namun masih banyak negara yang mencabuli persetujuan bersama itu.

Negara-negara maju melakukan penindasan terhadap negara miskin. Siri peperangan mutakhir merupakan bukti nyata. Serangan ke atas Gaza oleh Israel telah mencemarkan persekitaran di wilayah Palestin itu.

Apa yang menyedihkan ialah serpihan zarah bersaiz mikro dan nano terbebas ke udara dan boleh mengancam sistem pertahanan badan manusia semasa proses pernafasan.

Kerumitan itu ditambah dengan ujian peluru berpandu terbaru oleh Korea Utara. Ia menunjukkan usaha melestarikan alam sekitar masih berdepan dengan pelbagai liku.

Malah ada negara kaya yang mengeksport secara haram buangan elektronik ke negara miskin seperti yang dilaporkan oleh Jaringan Bertindak Basel (BAN). Hal ini jelas melanggar Perjanjian Basel yang ditandatangani pada March 1989 di Basel, Switzerland dan diratifikasikan oleh 116 buah negara.

Akibatnya ia menyebabkan pencemaran logam berat terhadap manusia dan persekitaran. Sekiranya, hal ini berterusan penduduk di negara miskin akan terus berdepan dengan pencemaran alam sekitar.

Manusia harus disedarkan bahawa semakin banyak peperangan dan perpecahan maka semakin banyak kebinasaan akan berlaku.

Tidak keterlaluan bila dikatakan memerangi perubahan iklim merupakan "perjuangan" yang perlu diutamakan oleh setiap manusia.

Namun ia tidak akan mampu direalisasikan andainya masyarakat tidak memahami impak perubahan iklim kepada manusia dan alam.

Hakikatnya, tindakan manusia dikenal pasti telah memberi pengaruh kepada perubahan iklim melalui tiga cara.

Pertama, mengubah sifat bahangan permukaan bumi seperti mengubah kadar nisbah bahangan yang dipantulkan oleh permukaan berbanding dengan bahangan yang sampai.

Kedua, pelepasan haba secara berlebihan ke atmosfera bumi. Dan ketiga, mengubah kepekatan gas atau aerosol yang terdapat di atmosfera bumi.

Ketiga-tiga perkara inilah yang memberi kesan terhadap perubahan iklim global.

Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC), dalam laporan penilaian ke-4 tahun 2007 melaporkan, 98 peratus daripada kenaikan suhu bumi disebabkan oleh pembebasan gas karbon dioksida.

Antara aktiviti yang dikenal pasti menyebabkan peningkatan gas rumah hijau ialah pembakaran bahan api fosil seperti petrol, arang batu dan gas sehingga membebaskan karbon dioksida secara berlebihan.

Pada masa ini janakuasa arang batu, aktiviti perindustrian dan kenderaan adalah punca utama yang menyebabkan pembebasan gas karbon dioksida.

Sehingga akhir tahun lalu, dianggarkan terdapat sejumlah 600 juta kenderaan di seluruh dunia. Ia menyumbang kepada peningkatan paras karbon dioksida di atmosfera. Gas-gas rumah hijau lain yang boleh merangsang pemanasan global ialah gas metana, ozon, dan kloroflorokarbon (CFC).

Kesan-kesan perubahan iklim telah berlaku dengan dahsyat sejak 1950-an. Dilaporkan kejadian bencana alam seperti banjir besar, ribut taufan dan kebakaran hutan meningkat secara mendadak. Taufan dan ribut juga semakin meningkat.

Ia terjadi disebabkan oleh pertembungan dan perbezaan arus sejuk dan panas berdasarkan kelembapan suhu. Kejadian ribut taufan semakin bertambah di kawasan sub tropika.

Perubahan iklim turut mendatangkan implikasi buruk terhadap kesihatan manusia. Pelbagai penyakit muncul disebabkan keadaan cuaca yang berubah-ubah. Penyakit sensitif iklim seperti seperti malaria, kolera dan denggi dikatakan meningkat semasa fenomena El-Nino sekitar tahun 1997/98.

Sementara itu, fenomena gelombang panas juga boleh memudaratkan kesihatan khususnya kepada pesakit jantung, respiratori dan warga emas. Penularan penyakit baru pada masa kini turut menimbulkan tanda tanya adakah ia berpunca daripada masalah perubahan iklim ?

Dalam konteks Malaysia, selain memperkukuhkan penguatkuasaan terhadap aspek alam sekitar, pendidikan dan kesedaran mengenai isu perubahan iklim perlu dijalankan secara berterusan.

Semoga penghayatan kita terhadap tema Alam Sekitar Sedunia 2009 dapat memberi cetusan yang bermakna terhadap satu lagi pengisian untuk gagasan Satu Malaysia. Ini kerana konsep itu meliputi pelbagai aspek termasuk alam sekitar kerana kita perlu hidup dalam persekitaran sihat untuk membangunkan negara .

PENULIS ialah aktivis alam sekitar

Sumber : http://www.utusan.com.my/

IKRAR SETIA BAHASA

Sewaktu saya membelek-belek koleksi buku program yang ada dalam simpanan saya, pandangan mata saya tertarik kepada buku program sempena majlis pelancaran Bulan Bahasa dan Sastera Negara 2005 . Yang menarik, pada bahagian kulit belakang buku program tersebut terkandung lafaz ikrar setia bahasa yang mengingatkan kita akan tanggungjawab untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan negara tercinta. Untuk itu, saya perturunkan sepenuhnya ikrar tersebut untuk renungan para pejuang bahasa Kebangsaan di mana-mana jua anda berada.


IKRAR SETIA BAHASA

Kami rakyat Malaysia, berikrar akan terus setia memperjuangkan bahasa Kebangsaan sebagai:
  • Bahasa yang mencipta kedaulatan bangsa.
  • Bahasa kesatuan politik, ekonomi, budaya, sosial, pendidikan, sains dan teknologi serta pembangunan negara yang menjamin kelangsungan bangsa Malaysia.
  • Bahasa yang menjaga dan memupuk kebebasan intelektual serta memerdekakan pemikiran bangsa, dan
  • Bahasa yang membawa, memelihara, mencipta, menyalurkan serta mengembangkan ilmu dan tamadun di negara dan di dunia.
Sesungguhnya, kami bertekad akan meneruskan perjuangan ini.

TIGA PUNCA KESESATAN

AL-QURAN memberitahu, kesesatan muncul melalui tiga jalan iaitu mengikut kemahuan sendiri, menurut ajaran nenek moyang tanpa berfikir dan kepatuhan kepada selain Allah.

Jalan pertama ialah kemahuan diri sendiri. "Kalau mereka tidak dapat menerima cabaranmu maka ketahuilah, sesungguhnya mereka hanyalah menurut hawa nafsu; dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsu dengan tidak mendapat petunjuk Allah. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.(al-Quran, surah al-Qasas: Ayat 50)

Maksud ayat di atas memberikan erti faktor terbesar penyebab kesesatan manusia adalah dorongan hawa nafsu sendiri.

Dia akan terus memikirkan pekerjaan yang mendatangkan wang, usaha yang membawa kemasyhuran dan penghormatan kepada dirinya, bahkan mengejar apa saja memberikan kesenangan dan kepuasan.

Pendeknya, orang terbabit sanggup menempuh segala rintangan dengan pelbagai cara untuk mencapai tujuan terbabit, tanpa mempedulikan larangan Allah.

Mereka tidak teragak-agak menipu, rasuah dan manipulasi asalkan kehendak nafsunya tercapai.

Sama sekali tidak mungkin bagi seseorang untuk menjadi hamba Allah, sedangkan dia masih menuruti hawa nafsunya.

Bagi orang ini, perintah tinggal perintah. Jadi, Tuhan bagi orang seperti itu ialah dirinya sendiri, bukannya Allah Yang Maha Agung.

"Adakah engkau nampak orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya?

Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami, Mereka hanya seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi." (al-Furqan: Ayat 43-44)

Menjadi hamba hawa nafsu adalah lebih jelek daripada menjadi haiwan.

Jika melihat alam haiwan, tiada seekor pun yang mahu melanggar batas ditetapkan, bahkan rantaian kehidupannya hanya melaksanakan peranan yang ditentukan Allah.

Tetapi manusia yang mempunyai segala-galanya apabila sudah menjadi hamba nafsu akan melakukan tindakan yang lebih 'hebat' bahkan membuatkan syaitan 'gementar.'

Jalan kedua menuju kesesatan ialah menuruti adat kebiasaan, kepercayaan dan pemikiran, malah amalan dan upacara kuno nenek moyang secara membuta tuli dan menganggap ia lebih penting daripada perintah Allah.

Apabila perintah Allah dibacakan, orang yang suka menjadi pak turut nenek moyang akan bersikap keras dan hanya melakukan amalan biasa.

Bagaimana orang yang terkena penyakit ini akan dapat menjadi hamba Allah? Tuhannya adalah nenek moyang, kaum keluarga dan suku bangsanya. Apakah hak bagi dirinya untuk mendakwa yang dia adalah hamba Allah?

"Dan apabila dikatakan kepada mereka: Turutlah apa yang telah diturunkan oleh Allah, mereka menjawab: (tidak), bahkan kami hanya menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami lakukannya. Patutkah (diikut) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham suatu apapun."(Surah al-Baqarah: Ayat 170)

Jahatnya kesesatan itu adalah sedemikian rupa, sehingga semua orang menjadi dungu di setiap zaman akibat terkena cengkamannya. Kepada anak cucu diingatkan menjaga pantang larang, kononnya mengelak musibah.

Tetapi sebenarnya kesesatan menuruti kepercayaan karut marut nenek moyang itulah musibah terbesar, cuma ia tidak dimengertikan. Kesesatan mencegah mereka menerima petunjuk dari Allah, sehingga yang terang lagi bersuluh tidak kelihatan.

Ketika Nabi Musa a.s mengajak kaumnya mengikuti syariat Allah, mereka menjawab: "Apakah kamu datang kepada kami untuk memalingkan kami dari apa yang kami dapati nenek moyang kami mengerjakannya?" (Surah Yunus: Ayat 78)

Jalan ketiga menuju kesesatan ialah kepatuhan kepada selain Allah, seperti mengikuti setiap kata dan perintah manusia yang jelas menyisihkan perintah Allah.

"Dan jika engkau menurut kebanyakan orang di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta."(Surah al-An'am: Ayat 116)

Maksud ayat di atas memberikan penjelasan bahawa manusia hanya boleh berada di jalan lurus apabila menyerahkan diri sepenuhnya kepada Tuhan yang satu.

Sumber : http://www.hmetro.com.my/