Jumaat, 30 Disember 2011

ISU PPSMI : Keputusan guna bahasa Melayu tepat


Oleh Norfatimah Ahmad

PETALING JAYA: Sebanyak 89 peratus pelajar Tingkatan Satu yang akan memulakan persekolahan 3 Januari depan memilih bahasa Melayu atau dwibahasa bagi mempelajari mata pelajaran Sains dan Matematik.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ini menunjukkan keputusan kerajaan untuk melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah tepat.

Beliau berkata, berdasarkan rekod Kementerian Pelajaran, hanya 11 peratus pelajar memilih belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

"Angka yang diperoleh membuktikan dengan jelas kenapa kerajaan menetapkan untuk meminda PPSMI kepada MBMMBI," katanya ketika mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail, di sini, bagi melihat persiapan pihak sekolah menghadapi sesi persekolahan 2012, bermula minggu depan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, dasar yang diputuskan itu sesuai dengan tahap keupayaan pelajar yang akan mengikuti proses Pembelajaran dan Pengajaran (P&P) bagi Sains dan Matematik.

Beliau berkata, pekeliling sudah diedarkan supaya Pegawai Pelajaran Daerah diberi tanggungjawab menangani sebarang masalah sepanjang pelaksanaan MBMMBI.

Katanya, Jawatankuasa Khas MBMMBI merumuskan 164,324 pelajar menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya untuk mempelajari Sains dan 161,123 dalam Matematik, berbanding 56,025 pelajar menggunakan bahasa Inggeris untuk belajar Sains dan Matematik pula seramai 56,248 pelajar.

“Selebihnya pelajar yang mempelajari subjek berkenaan menggunakan dwibahasa, seramai 258,622 untuk Sains, manakala 261,600 bagi Matematik,” katanya.

Muhyiddin juga berkata, Majlis Bahasa Inggeris akan ditubuhkan tahun depan bagi menentukan penanda aras dan tahap pencapaian BI pelajar dalam sistem persekolahan negara.

Katanya, majlis yang berkelayakan sebagai tempat rujukan dan menentukan tanda aras bahasa itu akan menggunakan pakar dalam dan luar negara serta mengadakan kerjasama dengan Universiti Cambridge.

“Bila kata pelajar itu pandai dalam BI, itu apa maknanya, apa ukurannya, jadi kita sedang memikirkan pembentukan majlis ini untuk menanda aras standard BI yang digunakan di Malaysia.

“Kerajaan tidak mahu syok sendiri untuk menyatakan tahap BI di sekolah mencapai piawaian antarabangsa kerana ada orang kata mutu BI pelajar dan rakyat negara ini masih rendah dan ada yang kata sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang merangka struktur, format, komposisi organisasi majlis itu termasuk berbincang dengan Kementerian Pengajian Tinggi bagi merealisasikan penubuhannya.

Ditanya sama ada penubuhan majlis itu sebagai langkah kerajaan menetapkan supaya pelajar lulus BI untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhyiddin berkata: “Kita akan lihat kemudian.”

Muhyiddin juga berkata, mulai tahun depan beberapa sekolah dipilih menyertai projek rintis apabila ibu bapa boleh mengikuti perkembangan pelajaran anak mereka menerusi konsep maya.

Beliau berkata, konsep yang dijangka diperkenalkan dua tahun lagi itu antara lain membolehkan ibu bapa berinteraksi dengan pihak sekolah menerusi persidangan video dan mendapatkan nasihat guru bagi meningkatkan prestasi anak mereka.

“Projek rintis yang dikenali sebagai ‘Virtual Learning" atau Pembelajaran Maya mengambil contoh konsep di negara maju seperti Korea Selatan,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Tingkat jati diri menerusi budi bahasa


Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

"YANG kurik itu kundi, yang merah itu saga, yang baik itu budi, yang indah itu bahasa. Putih tulang dikandung tanah, budi yang baik dikenang juga".

Itu adalah antara peribahasa yang mengeksplisitkan betapa budi bahasa amat disanjung tinggi oleh masyarakat negara ini. Tambahan pula, pemupukan budi bahasa kepada seseorang individu itu menjadi warisan turun-temurun dari satu generasi ke generasi seterusnya, iaitu resam kita sejak sekian lama.

Kerana itu, sepanjang tahun 2011, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPPK), telah merancang 60 program pelaksanaan nilai-nilai murni dan budi bahasa yang dilaksanakan oleh semua agensi di bawahnya melibatkan kerjasama dan penglibatan agensi lain, sektor swasta dan masyarakat.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, pelaksanaan program-program itu dibahagikan kepada empat kategori melibatkan pendidikan, penyemarakan, penerbitan dan promosi yang disertai murid-murid sekolah, pelajar-pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) dan masyarakat awam.

Antara program yang dihasilkan ialah Merentas Kampus yang dijalankan oleh Jabatan Penerangan bagi tempoh sembilan bulan bermula dari Mac hingga November tahun ini, melibatkan IPTA dan IPTS.

"Dua pengisian utama program ini ialah Forum Jati Diri,seminar dan ceramah.

"Forum Jati Diri diadakan sebanyak 11 kali dan dihadiri seramai 11,100 pelajar manakala ceramah dan seminar diadakan sebanyak 14 kali melibatkan 7,200 peserta," kata beliau kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Rais, program tersebut telah dapat meningkatkan kesedaran jati diri dan amalan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar IPTA dan IPTS. Dalam konteks ini, Jabatan Penerangan turut melaksanakan program bersama Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Dua aktiviti utama dijalankan iaitu aktiviti ceramah yang mana sebanyak 242 diadakan di Kem PLKN melibatkan seramai 67,000 pelatih PLKN.

"Program ceramah ini telah meningkatkan kefahaman peserta mengenai konsep 1Malaysia dan mengamalkan budi bahasa nilai-nilai murni di dalam kehidupan seharian.

"Bagi program khidmat komuniti PLKN, sejumlah 218 aktiviti khidmat komuniti seperti gotong-royong telah diadakan yang disertai 87,000 orang peserta," kata beliau sambil menjelaskan para peserta didedahkan dengan kehidupan masyarakat setempat dan dapat memupuk sikap mengambil berat antara satu sama lain, di samping sikap hormat menghormati.

Selain itu, kata Rais, Program Khemah Kerja Kelab Setia turut dilaksanakan melibatkan pelajar-pelajar sekolah menengah seluruh negara yang bertujuan menekankan penghayatan nilai-nilai murni melalui kerja berkumpulan.

Kata beliau: "Program-program yang diadakan juga melibatkan pelbagai kaum seperti Pertandingan Pidato 1Malaysia bukan Melayu.

"Ia dijalankan sebanyak 17 kali iaitu satu kali di setiap negeri dan dua kali di peringkat kebangsaan yang disertai 173 peserta dengan kehadiran 14 orang tetamu. Pertandingan ini dapat menekankan nilai-nilai murni dan perpaduan."

Dalam pada itu, Majlis Bicara Bahasa, Kurik Kundi Merah Saga telah diadakan bagi membincangkan mengenai keindahan Bahasa Melayu antaranya dalam puisi, teromba, syair, pepatah, nazam dan seloka. Program ini dihadiri para pensyarah dan pelajar IPTA dan IPTS, guru-guru dan para pelajar sekolah menengah serta budayawan yang dianggarkan sekitar 300 orang.

Rais berkata, usaha-usaha untuk mempromosikan nilai-nilai murni, bahasa kebangsaan dan budi bahasa telah dijalankan dengan giatnya secara berterusan oleh KPKK melalui agensi-agensi di bawahnya.

Katanya: "FINAS telah menerbitkan 37 promo pendek mengenai nilai-nilai murni dan bahasa kebangsaan antaranya, Tiru Yang Baik, Budi Bahasa Budaya Kita, Senyum Selalu.

"Filem Negara Malaysia pula menghasilkan 17 trailer yang berkaitan dengan nilai murni dan bahasa kebangsaan seperti trailer animasi Bahasa Jiwa Bangsa dan Lagu Pembudayaan Bahasa. Trailer-trailer ini telah disiarkan oleh RTM sepanjang tahun".

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Ajar anak berbudi bahasa sejak kecil


Oleh MUHAMAD AMIRUL AFIQ MASTOR

BUDI bahasa merupakan suatu nilai murni yang bukan hanya dilaksanakan dalam pertuturan, bahkan juga kelakuan dan saling menghormati antara satu sama lain.

Dalam situasi di Malaysia yang rakyatnya terdiri daripada berbilang kaum dan adat resam, sudah pasti budi bahasa memainkan peranan penting bagi menikmati kehidupan yang aman dan damai.

Tokoh sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berkata, amalan budi bahasa perlu ditanam dalam diri anak-anak sejak peringkat awal lagi bagi membolehkan ia terus mengalir dalam diri mereka sehingga dewasa.

"Pendidikan mengenai perkara ini hendaklah diajar sejak anak-anak di peringkat sekolah rendah kerana di sana mereka sudah mula bercampur dan berkenalan dengan komuniti lain, selain keluarga.

"Justeru, peranan ibu bapa dan guru perlu sama penting dalam memastikan generasi hadapan negara kita terus mempunyai sikap budi bahasa yang tinggi," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni telah dilancarkan pada 11 Januari 2005 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Kempen yang dilaksanakan secara berterusan dalam tempoh lima tahun itu disasarkan kepada setiap golongan rakyat dan masyarakat negara ini.

Ia merupakan agenda penting kerajaan untuk menyemarakkan dan menyemai semula budi bahasa dan nilai-nilai murni ke dalam jiwa setiap rakyat Malaysia.

Kay Kim berkata, sebagai masyarakat Timur, amalan budi bahasa dan nilai-nilai murni bukan suatu perkara baru. Malah kita telah diasuh sejak kecil lagi supaya sentiasa bersopan santun dan berbudi bahasa dalam menjalani kehidupan seharian.

Namun demikian, tanpa disedari, kehidupan hari ini tidak lagi sama seperti dahulu. Nilai-nilai murni yang dahulunya kaya dalam diri masyarakat kian terhakis lantaran daripada tuntutan mengejar kekayaan dan kebendaan.

Menurutnya, cabaran globalisasi dan dunia tanpa sempadan dilihat antara faktor masyarakat hari ini tidak lagi mengamalkan budaya yang dahulunya kuat seperti semangat bantu membantu dan hormat menghormati.

"Satu kaji selidik yang dijalankan di universiti mendapati ada yang sanggup menerima rasuah untuk melakukan sesuatu perkara dan ini membuktikan bahawa masyarakat hari ini kian hilang nilai-nilai murni dalam diri mereka, " katanya.

Beliau berkata, tidak salah mencari kekayaan dan mengejar kemodenan, namun nilai-nilai ketimuran yang telah menjadi identiti kita sejak dahulu lagi, mesti terus diterapkan dalam diri setiap rakyat Malaysia.

Menurutnya, peranan ibu bapa, pihak sekolah dan kerajaan amat berat dalam mewujudkan generasi masa hadapan agar terus mempunyai nilai-nilai murni sebagai orang Timur.

"Melentur buluh biar dari rebungnya. Jadi, generasi muda perlu diajar dan diterapkan dengan nilai-nilai tersebut secukupnya agar tidak hilang ditelan kemodenan dan kemajuan negara," katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Internet lubuk kaut keuntungan


Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM

DUNIA tanpa sempadan. Ia cukup sinonim dengan perkembangan teknologi alam siber yang semakin serba canggih hari ini.

Dengan hanya satu klik sahaja, pelbagai maklumat, kemudahan, perkhidmatan dan banyak lagi dapat diakses di mana-mana sahaja tanpa perlu mengerah keringat sehingga titisan peluh jatuh ke bumi.

Bagaimanapun, kecanggihan teknologi ini disalah guna sesetengah pihak untuk mengaut keuntungan melalui alam siber sehingga menyebabkan kerugian mencecah berbilion ringgit.

Bahkan, penjenayah siber ini akan mencari pelbagai taktik dalam mencari kemewahan melalui jalan pintas.

Modus Operandi

Menurut Penolong Pengarah Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Asisten Komisioner Kamarudin Md. Din, terdapat pelbagai taktik yang diguna pakai penjenayah siber dalam memerangkap mangsa untuk kepentingan mereka.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, antara modus operandi tertinggi dicatatkan dalam kes-kes jenayah siber adalah belian barangan, penyamaran sebagai pegawai bank atau polis, mesin pengeluaran wang automatik (ATM), bungkusan dan phishing.

“Belian barangan mencatatkan kes tertinggi apabila suspek akan mengiklankan penjualan barangan di internet dan meminta mangsa membuat bayaran membeli barangan tersebut.

“Mangsa hanya akan menyedari ditipu setelah membuat pembayaran dan tidak menerima barangan dijanjikan seperti di dalam laman berkenaan,” katanya.

Kamarudin menambah, penyamaran sebagai pegawai bank atau polis menyaksikan sindiket membuat panggilan atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) secara rambang kepada mangsa.

“Selepas itu, ahli sindiket akan menyamar sebagai pegawai bank atau polis dengan menjawab panggilan mangsa lalu meminta mendedahkan butiran akaun.

“Mangsa akan diarahkan mengunjungi mesin ATM dan melaksanakan arahan diberikan melalui perbualan telefon sehingga wang mangsa dipindahkan ke akaun lain,” katanya.

Suspek turut akan menggunakan maklumat perbankan pemegang akaun untuk pengeluaran wang melalui mesin ATM

Satu lagi taktik yang biasa digunakan adalah mangsa akan berkenalan dengan suspek melalui laman sosial dan diyakinkan suspek ikhlas untuk bersahabat.

Mangsa kemudian akan dijanjikan menerima satu bungkusan dikirim dari luar negara. Kebiasaannya bungkusan tersebut mengandungi barangan berharga seperti wang atau barangan kemas.

“Mereka akan dimaklumkan bahawa barangan tersebut telah ditahan kastam dan perlu membuat bayaran untuk pelepasan barangan tersebut,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, kaedah phishing pula digunakan untuk mencuri maklumat secara dalam talian.

Katanya, suspek akan mewujudkan laman web palsu bagi mendapatkan maklumat peribadi atau pun perbankan mangsa.

Pilih Alam Siber

"Pensyarah Kriminologi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. P. Sundramoorthy pula berkata, terdapat beberapa faktor yang mendorong penjenayah siber memilih alam maya dalam melakukan jenayah.

“Di alam siber penjenayah biasanya lebih bersikap meyakinkan kerana mereka tidak perlu berkonfrantasi dengan mangsa malah, boleh dilakukan di mana-mana sahaja.

“Selain daripada itu, mereka juga mempunyai persepsi bahawa alam siber selamat daripada dikesan pihak berkuasa,” ujarnya.

Sundramoorthy berkata, ia disebabkan identiti mereka tidak boleh dicam dan atau boleh dipalsukan.

Menyentuh mengenai mengapa mangsa mudah diperdaya penjenayah siber, beliau menjelaskan, antara penyebab ia berlaku adalah cinta itu buta.

“Akibat penangan cinta dan beranggapan telah menemui teman hidup, mereka mudah percaya kepada orang tidak dikenali.

“Kebiasaannya, kes-kes sebegini disebabkan mangsa jatuh cinta dan mempercayai suspek sehingga ditipu. Ada juga di antara mereka tidak pernah menemui suspek,” katanya.

Ujarnya lagi, sikap tamak turut memainkan peranan apabila mangsa ingin menjadi kaya dengan jalan pintas.

Menyedari pelbagai amaran dan pendedahan telah dilakukan pihak berkuasa serta media, mereka masih yakin dengan iklan atau pun skim cepat kaya ini.

“Bagaimanapun, majoriti mangsa-mangsa jenayah siber tidak mengetahui mereka adalah mangsa.

“Ia boleh dikatakan kecuaian apabila memberi atau pun mendedahkan maklumat kritikal kepada penjenayah siber,” katanya.

Pencegahan


Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt. Kol. (Bersara) Prof. Datuk Husin Jazri berkata, orang ramai perlu sentiasa mempunyai sikap berwaspada dan berhati-hati apabila berada di alam siber.

"Jangan mudah percaya dengan orang yang baru dikenali terutama melalui laman web sosial kerana kita tidak mengetahui identiti sebenar mereka serta tujuan mereka menjalinkan persahabatan dengan kita.

“Dalam pada itu, mereka juga dinasihatkan agar tidak mendedahkan maklumat diri serta keluarga kepada orang yang baru dikenali kerana mereka mungkin mempunyai niat tidak baik. Bahkan, akhirnya anda akan terdedah kepada anasir-anasir negatif serta berniat jahat,”katanya.

Husin menegaskan, pengguna alam siber tidak perlu memuatnaik (upload) atau berkongsi gambar-gambar serta video yang berbentuk peribadi.

Katanya, mereka perlu memastikan mewujudkan tetapan privasi untuk melindungi maklumat peribadi daripada mereka yang bukan berada di kelompok rakan-rakan.

“Orang ramai boleh mengunjungi laman web kami iaitu www.cybersecurity.my kerana daripada laman web ini, mereka boleh masuk ke laman CyberSAFE (www.cybersafe.my) yang terdapat pelbagai tip serta nasihat berhubung keselamatan siber di situ,” katanya lagi.

Sekiranya jenayah siber tidak diambil perhatian dengan serius, potensi kerugian dalam beberapa sektor ekonomi di Malaysia dalam jangka masa lima tahun dianggarkan boleh mencecah sehingga RM2.73 bilion.

Jenayah siber boleh memberi kesan negatif kepada imej negara dan menjejaskan peluang pelaburan dari luar negara kerana kurangnya keyakinan serta kepercayaan terhadap tahap keselamatan siber negara.

Sumber : http://www.kosmo.com.my/

ISU BAHASA : Budi bahasa makin hilang?


APABILA bercakap tentang budi bahasa ramai akan berkata bahawa rakyat Malaysia terutama orang Melayu cukup kaya dengan nilai-nilai tersebut.

Lebih ekstrem lagi ada yang akan menjawab budi bahasa dan sopan-santun tidak boleh dipisahkan daripada masyarakat timur terutama rakyat negara ini.

Tetapi adakah realitinya sama seperti yang diperkatakan itu. Adakah masyarakat kita mengotakan apa yang mereka kata apabila membabitkan budi bahasa?

Jika masyarakat kita mendakwa mereka menjadikan budi bahasa sebagai amalan apakah ukurannya?

Budi merupakan perbuatan atau akhlak yang baik terutama sesama manusia. Ia termasuk membabitkan tingkah laku, pertuturan dan perangai.

Termasuk juga dalam kategori budi itu ialah mereka yang jujur, ikhlas, pemurah, suka tolong orang, ada belah ihsan dan saling bantu membantu.

Tetapi apabila seseorang itu dikatakan berbudi bahasa maka ia bermaksud perbuatan, tingkah laku dan perangai yang baik termasuk pertuturannya sekali. Sebabnya, bahasa juga melambangkan sama ada seseorang itu berbudi atau tidak.

Apabila bercakap soal budi bahasa ia mencakupi aspek yang sangat luas. Ia membabitkan nilai dan norma hidup masyarakat kita.

Masyarakat yang berbudi bahasa adalah masyarakat yang terdiri daripada individu yang jujur, ikhlas, sopan, pemurah, saling tolong menolong, berakhlak mulia, menggunakan bahasa yang baik, hormat, menghargai orang lain, berterima kasih dan faham akan kedudukan orang lain.

Berbudi bahasa akan memberikan kesan yang baik kepada masyarakat. Ia merapatkan silaturahim, saling percaya-mempercayai dalam dalam konteks Malaysia dapat meningkatkan perpaduan antara kaum.

Budi bahasa sepatutnya dijadikan asas dalam proses membina masyarakat yang beradab dan bertamadun. Bagi orang Islam pula ia selari dengan ajaran agama.

Bukankah orang Islam apabila bertemu perlu mengucapkan salam? Tetapi adakah ia menjadi amalan dalam kehidupan seharian?

Adab mengenai salam juga sudah disusun dengan cantik. Yang baru sampai memberi salam kepada yang sudah lama sampai. Tetamu memberi salam kepada tuan rumah dan yang muda memberi salam kepada yang tua.

Semua itu merupakan perbuatan yang mempunyai kaitan dengan budi bahasa.

Berbudi bahasa pula bukan sekadar melayan orang yang bertanding ke rumah atau orang yang kita kenali dengan baik.

Tetapi untuk sesuatu masyarakat itu dianggap berbudi bahasa ia melibatkan pelbagai aspek.

Satu ketika rakyat negara ini melenting apabila satu laporan media barat mengatakan penduduk negara ini tidak atau kurang berbudi bahasa.

Kenapa kita perlu melenting sekiranya dalam kehidupan seharian budi bahasa memang tidak menjadi amalan kita terutama apabila berada di tempat awam.

Pernah kita meminta maaf apabila terlanggar bahu orang lain ketika di pasar raya atau di tempat yang agak sesak? Pernahkah kita mengucapkan terima kasih kepad pelayan yang menghantar air kepada kita? Atau hanya memandangnya dengan pandangan sinis kerana menganggap itu memang tugasnya.

Itu belum mengambil kira perbuatan membantu orang kurang upaya, orang tua, wanita mengandung mereka yang dalam kesusahan dan sebagainya.

Malah budi bahasa juga dinilai melalui kata-kata. Jika di lihat kepada bahasa yang digunakan oleh generasi muda hari ini, nilai-nilai budi bahasa itu semakin terhakis.

Orang yang berbudi bahasa akan melafazkan kata-kata yang mengandungi maksud yang baik dengan nada yang elok dan tidak menyakitkan perasaan orang lain.

Bahasa-bahas kasar yang kian berleluasa dan dilafazkan secara terpekik-pekik serta ditambah pula dengan kata-kata lucah tidak mencerminkan masyarakat yang berbudi bahasa.

Tetapi jangan pula apabila dengan berbudi bahasa itu kita akan menjadi menjadi masyarakat yang lemah. Sebaliknya ia akan menjadikan sesuatu bangsa itu lebih disegani dan dihormati.

Sebagai masyarakat timur terutamanya penduduk Melayu yang beragama Islam, mereka sepatutnya tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengamalkan budi bahasa dan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.

Budi bahasa juga akan membawa kepada masyarakat yang saling hormat menghormati tanpa mengira perbezaan kaum dan agama.

Tetapi jika dilihat kepada senario hari ini ia seolah-olah menggambarkan nilai-nilai murni dan budi bahasa semakin terhakis di kalangan masyarakat kita terutama generasi muda.

Perbuatan merosakkan harta benda awam, menconteng, tidak mematuhi peraturan, melawan guru dan sebagainya adalah contoh keadaan masyarakat kita yang semakin terpesong daripada landasan budi bahasa.

Malah kemalangan maut yang meragut ribuan nyawa setiap tahun juga sedikit sebanyak mempunyai kaitan dengan amalan budi bahasa.

Jika kita berbudi bahasa di jalan raya kamalangan tentunya dapat dielakkan.

Di mana silapnya? Adakah ibu bapa yang gagal berperanan atau guru-guru gagal memberikan didikan?

Jika dilihat kepada sistem kekeluargaan hari ini yang lebih bersifat materialistik ia sedikit sebanyak menyumbang kepada penghakisan budi bahasa di kalangan masyarakat.

Kerana sibuk anak-anak dan ibu bapa semakin jarang bertegur sapa. Kerana terlalu biasa duduk bersendirian tanpa pemantauan anak-anak menjadi tidak endah. Sikap itu tentunya akan dibawa pula ke sekolah. Pantang ditegur guru-guru pula menjadi mangsa.

Perkara ini jika tidak dibendung akan melahirkan masyarakat yang berjaya tetapi tidak ada jiwa.

Sebab itu Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan mengambil inisiatif melancarkan Adab Sopan dan Nilai-nilai Murni bagi membentuk masyarakat Malaysia yang bersatu padu, bertoleransi, saling memahami dan bekerjasama serta cintakan negara.

Tidak ada maknanya jika Malaysia mencapai status negara maju tetapi rakyatnya langsung tidak berbudi bahasa.

Rakyat berkemahiran tinggi memang penting untuk negara. Tetapi pada masa sama ia juga memerlukan rakyat yang berbudi bahasa.

Sejarah telah membuktikan bahawa banyak empayar atau negara yang maju telah runtuh lantaran generasi yang mewarisinya gagal menjaga ketamadunan yang dicapai kerana mereka mempunyai moral yang rendah.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/