Sabtu, 21 Januari 2012

ISU BAHASA : Warga pernah muda vs warga emas


DI Malaysia, orang yang sudah meningkat umur atau lanjut usia dipanggil warga emas, gelaran paling hormat untuk orang tua. Kategori golongan warga emas adalah mereka yang sudah berpencen wajib. Sesiapa saja mencapai usia 55 tahun sebelum ini secara automatik mendapat gelaran percuma warga emas untuk melayakkan mereka mendapat beberapa kemudahan termasuk rawatan perubatan di hospital, tambang murah kenderaan awam dan sebagainya.

Sekarang, umur berpencen dinaikkan kepada 60 tahun. Kalau begitu, sesiapa yang melepasi usia 60 tahun termasuk dalam golongan warga emas.

Hari ini, kita sering membaca berita baik atau buruk mengenai berita dan cerita warga emas. Ada berita warga emas ditangkap kerana melakukan kesalahan, warga emas yang menderita dan memerlukan bantuan, kisah warga emas di Rumah Orang Tua, warga emas ditangkap berkhalwat atau berkahwin dengan wanita muda dan sebagainya.

Jika warga emas ini melakukan sesuatu yang tidak baik, ia menjadi berita sensasi hanya disebabkan faktor usia mereka.

Sebenarnya, bagi yang berusia 55 atau awal 60-an, mereka tidak gemar dengan gelaran ini, walaupun bunyinya sedap didengar. Bagi mereka walaupun gelaran penghormatan, ia terlalu awal diberikan kepada mereka.

Mereka masih berjiwa muda. Pada mesyuarat sidang pengarang Berita Harian/Berita Minggu, kami sering juga berbincang mengenai terminologi warga emas ini, khasnya mengenai kesesuaian penggunaannya dalam berita.

Dalam konteks perhubungan dan panggilan seharian, gelaran pak cik, mak cik, datuk, nenek dan sebagainya sudah cukup menggambarkan ciri-ciri dan hierarki seseorang walaupun ia tidak semestinya menggambarkan usia sebenar.

Dalam konteks jangka hayat penduduk Malaysia, usia 60-an, tidak boleh dianggap tua. Mereka masih aktif dan produktif dan mampu menjalankan kerja.

Hari ini ramai mereka yang berusia 70-an, malah 80-an, masih menerajui pelbagai syarikat besar sama ada syarikat milik persendirian atau menjadi pengerusi syarikat kerana nama dan pengalaman mereka. Ramai juga aktif dalam persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Secara bergurau, ada cadangan daripada anggota sidang pengarang supaya gelaran baru bagi warga emas ditukar kepada panggilan yang lebih boleh diterima – warga pernah muda. Isnin lalu, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan Berita Harian mengumumkan Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi untuk penulis muda warga Malaysia. Maka terdengarlah suara, bagaimana dengan penulis warga emas. Serentak itu kedengaran suara menyatakan bukan warga emas, tapi warga pernah muda.

Sumber : http : //wwww.bharian.com.my/

ISU AGAMA : Orang sabar tetap dapat pertolongan Allah


Oleh Maulana Arrif

PERKATAAN Islam berasal daripada bahasa Arab iaitu rangkuman salam dan aslama. Makna salam ialah selamat, sejahtera dan aman damai, manakala aslama ialah tunduk dan patuh kepada perintah Allah S.W.T dengan penyerahan diri yang mutlak atau total.

Maka seseorang Muslim sifatnya adalah sentiasa berserah diri kepada Allah dalam mengharungi kehidupan di dunia yang tidak kekal ini.

Kebiasaan juga Islam dihuraikan sebagai addin atau cara hidup berlandaskan peraturan dan panduan yang digariskan oleh al-Quran dan sunah Nabi Muhammad S.A.W. Konsep inilah yang selalunya diberi penekanan pada zaman ini.

Seseorang dianggap Muslim apabila dia menunaikan lima rukun Islam, iaitu mengucap dua kalimah syahadat, menunaikan solat wajib, berpuasa pada bulan Ramadan, membayar zakat dan menunaikan ibadat haji. Ertinya keislaman seseorang boleh dinilai atau diukur secara lahiriah berdasarkan ketaatannya menyempurnakan rukun yang lima ini.

Amat jarang kita menilai keislaman seseorang berdasarkan kriteria penyerahan dirinya kepada Allah. Sebabnya, adalah lebih sukar untuk menilai secara lahiriah penyerahan diri seseorang kepada Allah kerana ia bersifat rohaniah yang tidak boleh dilihat oleh orang lain. Hanya Allah sahaja yang maha mengetahui isi hati manusia. Malaikat pun tidak tahu.

Bagaimanapun, sepandai mana seseorang manusia menyembunyikan isi hatinya, ada kala menjelma juga dalam bentuk tutur kata atau perbuatan buruk yang boleh dilihat orang lain, jika Allah mahu mendedahkannya.

Ini disebabkan dia sebenarnya tidak ‘berserah diri kepada Allah ini.’ Tanpa berserah diri kepada Allah, seseorang akan mudah hilang kesabaran dan melakukan perkara yang tidak Allah redai. Sebab itulah Allah berulang kali mengingatkan manusia supaya bersikap sabar. Terlalu banyak ayat Quran yang menyentuh soal kesabaran.

Namun tidak ramai manusia, termasuk sebilangan besar yang mengaku Muslim, mentaati perintah Allah dalam bab kesabaran ini. Di kalangan mereka termasuklah juga orang-orang yang sering membaca Quran. Bagaimanapun, disebabkan iman mereka tidak kukuh, sering juga mereka hilang kesabaran apabila berhadapan dengan situasi yang menguji keimanan mereka.

Antara berpuluh firman Allah yang mengingatkan manusia supaya bersabar ialah:

Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung. - Ali Imran (3): 200

Berdasarkan ayat ini, jelas bahawa kesabaran itu adalah salah satu sifat utama yang mesti dimiliki oleh seseorang Muslim yang beriman. Tanpa kesabaran ertinya kita tidak beriman, hanya sekadar mengaku Islam tetapi bukan Muslim yang sejati.

KESABARAN


Punca manusia mudah hilang kesabaran adalah kerana iman mereka sangat goyah. Mereka tidak berserah diri kepada Allah kerana sifat keakuan terlalu tebal pada dirinya. Akulah yang kuat, akulah ulama, akulah yang pandai, akulah yang layak jadi pemimpin, akulah yang berkuasa dan kaya, akulah yang benar dan betul...dan pelbagai lagi sifat keakuan. Apabila sifat keakuan terlalu tebal, seseorang akan lupa siapa sebenar dirinya dan akhirnya akan melupai Allah Yang Maha Berkuasa ke atas sekelian makhluk-Nya.

Apabila manusia lupakan Tuhan, maka semakin hebatlah sifat keakuan pada dirinya. Lalu Allah menguji mereka dengan kesusahan, kelaparan, hilang kuasa, susut harta dan kekayaan dan sebagainya. Disebabkan iman yang rapuh atau langsung sifar, maka mereka tidak sabar lalu melakukan perbuatan dan tindakan yang bertentangan dengan syariat Islam.

Ada yang memaki hamun orang lain, ada yang menipu untuk melepaskan diri daripada hukum dunia, ada murtad, malah ada yang membunuh orang lain atau membunuh diri sendiri.

Di dalam Quran, Allah menceritakan beberapa kisah nabi yang diuji kesabaran mereka. Paling terkenal ialah Nabi Ayub yang menghidap penyakit sukar diubati selama berbelas tahun. Akhirnya dia bukan sahaja dipulaukan oleh masyarakat sekelilingnya, malah isterinya sendiri meninggalkannya berkelana dalam kehidupan terasing daripada manusia lain.

Nabi Ayub tidak menyalahkan sesiapa dan menerima segala apa yang menimpanya sebagai ujian daripada Allah. Berkat kesabarannya, Allah bukan sahaja menyembuhkan penyakitnya, malah si isteri kembali kepadanya dan beliau akhirnya dikurniakan dengan keluarga yang bahagia dan kekayaan yang melebihi daripada apa yang dimiliki sebelum dia jatuh sakit. Sudah tentu kehidupan yang jauh lebih baik menunggunya di akhirat.

Diceritakan juga dalam Quran kisah Nabi Yunus yang hilang kesabaran kerana tidak seorang pun di kalangan kaumnya mahu menerima ajaran yang disampaikannya. Terlalu marah, beliau mengambil keputusan meninggalkan kaumnya dan merantau ke tempat lain. Dalam perjalanan dengan kapal, dia dicampak ke dalam laut lalu ditelan ikan besar.

Di dalam perut ikan, Nabi Yunus teringat bahawa apa yang dialaminya adalah kerana dia tidak sabar menghadapi ujian Allah supaya berdakwah kepada kaumnya. Dalam sesal beliau berdoa dan meminta keampunan Allah dalam doa yang masyhur bermaksud: “Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.”

Allah memperkenankan doa Nabi Yunus dan mengampuninya, lalu dia dimuntahkan dari perut ikan ke darat. Dia kembali kepada kaumnya dan meneruskan usaha dakwah dengan penuh kesabaran sehingga akhirnya seluruh kaumnya menerima seruannya supaya beriman kepada Allah.

Nabi Yusuf pula memperoleh kebahagiaan dan mendapat kedudukan yang tinggi berkat kesabarannya menghadapi pelbagai ujian Allah sejak zaman kanak-kanak hingga dewasa. Melalui kisah-kisah ini, Allah mahu manusia yakin bahawa mereka yang sabar akan tetap mendapat pertolongan-Nya, sama ada lambat atau cepat.

Rasulullah S.A.W dan para pengikut pada zamannya juga diperintahkan bersabar dalam menghadapi tentangan dan ancaman kaum musyrikin dan munafik untuk membunuh mereka.

Hai Nabi, kobarkanlah semangat orang-orang beriman untuk berperang. Jika ada 20 orang yang sabar di antaramu, niscaya mereka akan dapat mengalahkan 200 orang musuh. Dan jika ada 100 orang yang sabar di antaramu, niscaya mereka akan dapat mengalahkan 1,000 orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti. - al Anfaal (8): 65

Pada hari ini, lihatlah berapa ramai orang Islam yang sabar. Di jalan raya, adakah mereka bersabar? Kita sepatutnya menjadi contoh kepada pemandu-pemandu bukan Islam, tetapi malangnya yang paling cepat hilang kesabaran adalah orang Islam.

Dan betapa ramai orang yang tidak sabar untuk cepat kaya. Mereka tidak berusaha dengan cara yang diredai, tetapi melakukan kesalahan rasuah, menipu dan pecah amanah. Yang paling ramai adakah orang Islam atau bukan Islam?

Juga berapa ramai ahli politik yang tidak sabar untuk berkuasa. Mereka mengadakan pelbagai cerita bohong dan memfitnah musuh-musuh politik mereka dengan pelbagai tuduhan palsu semata-mata untuk menghasut kebencian rakyat. Adakah mereka ini orang yang berserah diri kepada Allah?

Selagi umat Islam tidak benar-benar berserah diri kepada Allah mengikut konsep yang dikehendaki-Nya sebagaimana yang digariskan dalam al-Quran, selagi itulah kita akan terus dibelenggu zaman kemurungan dan kelemahan. Kita hilang kekuatan kerana kesalahan kita sendiri. Dan kita tidak lagi mendapat pertolongan-Nya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : 416 Kes Pemerdagangan Orang Sejak 2008 Hingga 2011


PUTRAJAYA: Sejumlah 416 kes dan 591 tangkapan telah dilaksanakan bahagian penguatkuasaan bagi pemerdagangan orang dari tahun 2008 sehingga 2011, demikian menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Kenyataan itu berkata, bagi kes pendakwaan pula, sebanyak 383 kes telah dituduh di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 sementara 243 kes sedang di peringkat perbicaraan, 59 kes telah selesai dan 60 kes berjaya disabitkan.

Menurut kenyataan KDN pada Sabtu, mangsa yang telah diselamatkan dan mendapat Perintah Perlindungan Tetap (PO) pula terdiri daripada 261 lelaki, 545 wanita dan 118 kanak-kanak.

Statistik diumumkan dalam mesyuarat pertama Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) 2012 yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Mahmood Adam.

Mesyuarat pertama itu juga memutuskan untuk menjemput Jabatan Audit Negara bagi melaksanakan pengauditan atas aktivitinya dan badan bukan kerajaan (NGO)yang lain, dalam usaha membanteras pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

Selain itu, mesyuarat tersebut bersetuju untuk menandatangani persefahaman bersama dengan agensi kerajaan berkaitan serta rakan strategik antarabangsa bagi meneruskan komitmen memerangi jenayah tersebut.

Turut dilaporkan, MAPO telah membuat tinjauan di Kukup Pontian, Johor, memandangkan kawasan itu merupakan laluan keluar masuk bot-bot kecil yang membawa penumpang dari negara ini ke Tanjung Balai, Indonesia. - BERNAMA

ISU PERKHIDMATAN AWAM : 3 Bulan Kaji SBPA - Najib


KUANTAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata jawatankuasa khas yang dipengerusikan Tan Sri Ismail Adam diberikan tempoh tiga bulan bagi membuat kajian dan penambahbaikan pelaksanaan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Perdana Menteri berkata skim baru berkenaan mestilah mendapat kepuasan semua pihak sebelum dilaksanakan.

"Kerajaan akan pertimbangkan sebaik-baiknya agar ia memberi kepuasan kepada semua," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama penjawat awam negeri Pahang di sini, Sabtu.

Turut hadir bersama hampir 7,000 penjawat awam itu ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Najib berkata kerajaan amat prihatin terhadap sebarang rasa tidak puas hati dan dakwaan kepincangan sistem baru itu dan bersedia menimbang rayuan yang dibuat dalam menambahbaikkan sistem berkenaan.

Perdana Menteri baru-baru ini mengarahkan SBPA disemak semula untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan pihak-pihak tertentu.

Berikutan itu, satu pasukan petugas ditubuhkan dipengerusikan Ismail yang juga bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berdasarkan pengalaman luas beliau dalam hal berkaitan perkhidmatan awam.

Najib berkata kerajaan juga bersedia menimbangkan pemberian gaji yang lebih kepada penjawat awam, bagaimanapun ia perlu dikaitkan dengan peningkatan produktiviti mereka.

"Kerajaan boleh bagi tambahan gaji dan bonus tetapi ia perlu dikaitkan dengan produktiviti yang tinggi, kalau ekonomi menguncup, macam mana nak bagi kenaikan gaji dan bonus?," katanya.

Beliau berkata penjawat awam dilihat sebagai kumpulan yang amat penting dalam pentadbiran negara kerana apa jua dasar dan agenda besar bergantung kepada peranan serta sumbangan mereka.

"Penjawat awam adalah sekumpulan dalam pentadbiran negara, penting kerana apa agenda besar negara yang hendak dibawa kerajaan pada kesudahannya, kesampaiannya, bergantung kepada peranan dan sumbangan penjawat awam di seluruh negara, sama ada di peringkat pusat atau negeri," kata Najib.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga sedang dan akan melaksanakan pelbagai program pembangunan dan menggunakan strategi baru yang perlu didukung penjawat awam bagi mencapai impian menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

"Menjelang fajar 2020, kita hendak mencapai sebuah negara maju, saya anggap wawasan yang dibuat (bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai satu impak kepada negara, itulah yang kita sambut ketika itu, dan kurang daripada 10 tahun, kita nak capai negara maju, inilah cabaran kepada kita," katanya.

Najib berkata kerajaan yang ketika ini melaksanakan pelbagai transformasi baru, juga melaksanakan pelbagai strategi baru bagi mencapai hasrat berkenaan.

"Ada kalanya strategi yang digunakan dahulu (pimpinan sebelum ini) baik dan tepat, tapi strategi itu menjadi kekangan (pada masa ini) dalam usaha kita untuk mencapai pertumbuhan yang lebih tinggi," katanya.

Justeru, Najib berkata pendekatan di bawah kepimpinannya ketika ini adalah menggunakan strategi yang dilihat mampu untuk mencapai kesinambungan dan harapan kepimpinan sebelum ini, dan ia perlulah didukung semua pihak terutamanya penjawat awam.

Dalam ucapannya itu, Najib turut menyentuh berkenaan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), yang menurutnya rakyat dilihat lebih "senang" menerima bantuan sedemikian berbanding bantuan yang tidak dilihat dalam bentuk wang tunai, misalnya pemberian subsidi dan kemudahan prasarana yang dilaksanakan kerajaan.

"Bajet 2012, short term, selagi tak merasa (wang), tak puas hati, jadi kita putuskan beri BR1M. Bila kita tolong (beri) subsidi (kepada barang keperluan), itu (dilihat sebagai) perkara biasa, subsidi bertambah kepada RM22 bilion untuk bantu rakyat bagi tahun ini," katanya.

Najib berkata pemberian BR1M sebenarnya bertujuan membantu golongan rakyat yang susah dan ia terjemahan daripada slogan 1Malaysia: Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan".

"Kalau kita hendak berjaya dalam abad ke-21 ini, idea kita mestilah lebih baik daripada orang lain bagi mencapai transformasi besar, namun kita mestilah berpijak di bumi nyata.

"Kalau dah terbukti (kepimpinan kerajaan Barisan Nasional), kalau dah proven (rakyat) tak perlu tolak. Apa yang perlu adalah kepada penambahbaikan, (rakyat) janganlah tolak sesuatu yang sudah terbukti (kepimpinan pemerintahan).

"Saya tak kata kita (kerajaan sedia ada) perfect. Kalau tak betul, kita akui dan kita buat penambahbaikan dalam semua perkara," katanya. BERNAMA