Ahad, 29 Julai 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : Kerajaan kaji mekanisme penuntut Malaysia di Syria sambung pengajian


PASIR GUDANG - Kerajaan akan mengkaji mekanisme terbaik bagi membolehkan 130 penuntut Malaysia di Syria menyambung pengajian mereka di Jordan atau di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan.
  
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penuntut terbabit yang telah kembali ke Malaysia diminta berhubung terus dengan pihak kementerian untuk tindakan susulan.

"Penuntut kita di Syria yang balik ini digalakkan untuk menyambung semula pengajian mereka di Jordan atau mungkin boleh berunding untuk kita lihat apa yang boleh kita lakukan untuk membolehkan mereka menyambung semula pengajian.
  
"Mereka perlu berhubung dengan kita dan kementerian akan kaji apa tindakan yang terbaik untuk membantu mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Surau Darussalam dan majlis berbuka puasa di Taman Scientex, di sini semalam.
  
Kerajaan mengambil keputusan memindahkan penuntut Malaysia dari Syria pulang ke tanah air memandangkan pergolakan yang semakin meruncing di negara itu.
 
Kumpulan pertama sebanyak tujuh penuntut tiba di tanah air pada Rabu lepas manakala kumpulan terakhir membabitkan 100 penuntut tiba semalam.
  
Selain itu, seramai tujuh penuntut pulang ke Malaysia atas inisiatif sendiri, lapan penuntut sedang bercuti atau berada di luar Syria manakala lapan lagi penuntut enggan kembali ke tanah air.
  
Mengenai lapan pelajar yang enggan pulang itu, Khaled menegaskan pihaknya tidak dapat mengambil sebarang tindakan terhadap mereka kerana keputusan itu dibuat atas kehendak mereka sendiri.
  
"Kita sudah minta dan pujuk mereka untuk balik ke Malaysia, ini keputusan mereka sendiri dan kita tidak dapat buat lebih daripada itu, katanya. - Bernama

ISU GLOBAL : Rahsia kehebatan Yahudi


Oleh : Ku Seman Ku Hussain

BARANGKALI sebahagian besar daripada kita melihat konflik di Asia Barat antara Israel dan Palestin dengan penuh persoalan; kenapa Israel kuat dan sukar ditewaskan? Israel kini menjadi satu-satunya negara Yahudi selepas merampas daripada Palestin tahun 1948.

Israel yang saiznya jauh lebih kecil berbanding negara-negara dunia Arab. Tetapi sejak 1948 hingga kini Israel terus kuat, apa lagi dengan sokongan padu oleh Amerika Syarikat (AS). Maka kita pun berkata, Yahudi di Israel hebat kerana diberi perlindungan oleh AS.

Melihat Yahudi di Israel dalam penguasaan politik di Asia Barat sebenarnya berbeza dengan melihat kejayaan dan penguasaan Yahudi di peringkat global. Yahudi pada relatifnya tidak ramai. Tetapi Yahudi muncul sebagai bangsa yang berkuasa daripada sudut ekonomi dan teknologi.

Buku Mengapa Yahudi Berprestasi ini membawa kita menyusuri banyak hujah yang menyuraikan persoalan tersebut. Suatu yang penting dimuatkan dalam buku ini ialah sikap orang Yahudi yang berkerja keras dan sentiasa berazam menguasai ilmu setinggi yang mungkin. Dengan ilmu, Yahudi boleh menguasai dunia.

Satu hakikat yang kita tidak dapat menolaknya ialah Yahudi didokong oleh warga yang patriotik terhadap bangsanya. Sebelum ini buku The Jews Contribution to the 20th Century susunan Alan Symons telah menyenaraikan 1,000 tokoh Yahudi di pelbagai bidang. Dari korporat, sastera, filem dan falsafah, semuanya dikuasai oleh tokoh berbangsa Yahudi. Bangsa lain tidak begitu beriltizam untuk memperjuangkan bangsanya.

Pengalaman pahit pada era Nazi pimpinan Hitler adalah cetusan kebangkitan Yahudi abad ke-20. Jumlah 1,000 tokoh dalam senarai Symons ini datangnya dari 40 buah negara di dunia. Pada akhir abad ke-20, Spielberg diangkat sebagai wira apabila menghasilkan filem Schindler's List. Filem ini mengingatkan kekejaman terhadap Yahudi semasa Perang Dunia Kedua di Jerman.

Penulis buku Mengapa Yahudi Berprestasi pula sangat realistik apabila menyenaraikan sekian banyak tokoh Yahudi dalam pelbagai bidang yang seterusnya menguasai dunia. Tokoh-tokoh ini bukan melalui jalan singkat tetapi berkerja keras selain tidak berpecah belah seperti banyak bangsa lain yang kemudiannya melemahkan bangsa tersebut. Tetapi Yahudi bersatu dan saling membantu demi bangsanya.

Yahudi tidak seperti bangsa-bangsa lain yang sangat kemaruk dengan politik kononnya boleh membantu bangsa. Tetapi politik sebenarnya bergantung kepada kuasa ekonomi yang dipegang oleh Yahudi. Di AS misalnya, biar siapa pun yang dipilih menjadi Presiden, yang menentukan haluannya ialah Yahudi. Sebab itu Barack Obama semasa berkempen dan semasa baru menjadi Presiden memperlihatkan dasarnya mendekati dunia Islam.

Tetapi lihatlah apa yang berlaku sekarang? Obama tidak boleh mengubah dasar yang ditentukan Yahudi sesuka hati. Akhirnya Obama juga seperti Bush yang berhasrat menyerang Iran sebabnya Iran satu-satunya negara di dunia Islam yang memberi masalah kepada Yahudi di Israel.

Menurut buku ini, pengalaman hidup yang pahit serta kemampuan mendepani pelbagai tentangan telah membawa kepada satu hipotesis bahawa Yahudi bertahan kerana mahu terus hidup. Mereka seakan-akan terus hidup dalam suasana terancam dan ini telah mempengaruhi psikologi sense of competition. Ini menjadikan mereka sentiasa waspada, proaktif dan kuat dalam semua bidang.

Dengan bermodalkan kemampuan untuk terus hidup dalam setiap pentas sejarah telah dijadikan fakta keunggulan bangsa untuk terus meraih kejayaan.

Yahudi memang berkiblatkan wang kerana wang adalah kuasa. Tetapi mereka tidak ada jalan pintas untuk mendapat wang kecuali berkerja keras dan berfikiran cerdas. Yahudi telah lama mengalihkan sesuatu yang negatif menjadi positif. Misalnya pada setiap tragedi yang menyakitkan dilihat sudut positif sebagai pendorong mendepani tentangan.

Forbes

Bayangkan, majalah Forbes telah mencatatkan 400 orang terkaya di dunia setakat ini di mana 45 peratus daripadanya adalah Yahudi padahal populasi Yahudi hanya dua peratus daripada penduduk Amerika Syarikat. Selain itu 20 peratus profesor yang mengajar di universiti ulung di AS adalah Yahudi, 40 peratus syarikat perundangan di bandar raya New York dan Washington dimiliki oleh Yahudi.

Di dunia ini, bangsa yang besar pun boleh terpecah dua atau tiga kerana berbeza fahaman politik biarpun satu agama. Akhirnya bangsa lain yang lebih kecil tetapi bersatu telah menguasai ekonomi. Tetapi perpecahan begini tidak berlaku dalam  kalangan Yahudi kerana mereka sedar dengan jumlah yang kecil tetapi mempunyai otak (kebijaksanaan) yang besar, mereka boleh berkuasa.

Untuk mendapatkan otak yang besar, Yahudi terpaksa berusaha berlipat ganda sebagai golongan minoriti khususnya di AS. Sebenarnya untuk duduk sebagai orang nombor satu mengepalai syarikat gergasi di AS bukanlah mudah. Tetapi Yahudi boleh melakukannya kerana kesatuan dan sangat yakin dengan bangsanya.

Maka kita tidak perlulah menjadi panik apabila dikaitkan dengan Yahudi. Ini kerana jaringan Yahudi berada di sekeliling kita dan kita pula memanfaatkan mereka, setidak-tidaknya barangan yang ada pertalian dengan Yahudi. Kenapa kita tidak mencontohi Yahudi sebagai bangsa yang bersatu, berkerja keras dan sentiasa sanggup mendepani tentangan. Sebabnya itulah kunci mengapa Yahudi berprestasi tinggi di seluruh dunia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU GLOBAL : Dunia berada di banyak persimpangan


Oleh : ZIN MAHMUD

SEMALAM majlis pembukaan temasya sukan Olimpik dianggap paling bersejarah dari segi gilang-gemilangnya. London boleh senyum bergaya.

Pesta Olimpik merupakan perhimpunan kemanusiaan terbesar yang berjaya menyumbangkan perasaan kesejagatan sesama insan tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik melalui semangat kesukanan.

Ia adalah lebih bermakna dalam menyatukan tumpuan manusia di seluruh dunia berbanding institusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Lebih-lebih lagi pada zaman dunia dikecilkan dan disatukan melalui rangkaian media sosial yang telah menyelubungi keseluruhan planet bumi. Inilah istimewanya sukan.

Maka dari satu segi, Olimpik London kali ini bersejarah kerana liputan acaranya ke seluruh dunia secara lintas langsung bukan saja melalui televisyen tetapi juga telefon pintar dalam bentuk Internet dan media sosial, khususnya facebook dan twitter.

Teknologi maklumat dan komunikasi mengubah dunia dan manusia dengan tahun 2012 ini melihat kecanggihan yang lebih tinggi. Bukan saja tablet sedang mengubah dunia tetapi telefon pintar yang memiliki pelbagai ciri canggih seperti antaranya diperkenalkan oleh Samsung mampu mengatasi Apple, dengan persaingan bertambah sengit.

Namun begitu, teknologi dalam bentuk kejuruteraan juga sedang mengubah pemahaman manusia terhadap kewujudan ini. Selain daripada pembinaan roket dan kapal angkasa, manusia juga mampu melakukan penyelidikan ke atas zarah-zarah yang kecil dengan menggunakan teknologi tinggi ini.

Justeru bagi 2012 yang sudah masuk separuh keduanya, mungkin pencapaian terbesar manusia tahun ini ialah penemuan partikel Boson Higgs yang diumumkan 4 Julai lalu di Pertubuhan Eropah bagi Penyelidikan Nuklear (CERN) di Geneva, Switzerland.

Penemuan partikel ini mengesahkan teori berkaitan Model Standard fizik partikel dalam menjelaskan alam subatomik partikel asas dan daya interaksi antara mereka. Ia merupakan suatu langkah penting bagi ilmu fizik memahami alam.

Keupayaan ahli-ahli fizik pelbagai bangsa membuat penemuan itu hanya dapat dilakukan melalui uji kaji dengan menggunakan penjana pecutan Large Hadron Collider (LHC), sebuah alat berupa terowong keliling 27 kilometer di bawah tanah di Geneva, Switzerland.

Justeru, kesemua ini adalah merupakan hasil daripada teknologi yang dicapai oleh manusia dengan Eropah dapat menawarkan tempat serta kemudahan bagi pencarian penemuan baru untuk ahli-ahli fizik.

Ketika mana ahli-ahli fizik bidang berkenaan dari pelbagai negara meraikan kejayaan itu, penduduk Eropah sendiri sedang dicabar dengan krisis kewangan yang menggugat bukan saja sistem kewangan mereka melalui Eurozone tetapi juga idealisme perpaduan benua itu dalam gagasan Kesatuan Eropah (EU).

Krisis ekonomi yang kini melanda Greece dan sedang merebak ke Sepanyol mengakibatkan pendapatan rakyat di sana terhakis teruk di samping meningkatkan pengangguran.

Keadaan ini menggugat kepercayaan penduduk Eropah tentang kemapanan Eurozone dan EU sendiri. Jerman sebagai negara yang mempunyai kemampuan menyelamatkan sistem ini tidak jelas untuk membantu kerana bantahan penduduk mereka sendiri. Tanpa penyelesaian yang berkesan, penyatuan Eropah boleh tergugat kerana krisis ini.

Apa yang berlaku di Eropah ini hanya menambahkan cabaran terhadap sistem ekonomi kapitalisme sejagat itu sendiri. Dengan cabaran krisis kewangan Amerika Syarikat sejak dua tahun lalu, berpunca daripada pinjaman hartanah yang tidak baik dan penyelewengan saham membawa kepada persoalan terhadap sistem kapitalisme itu.

Setelah sistem ini berjaya mengalahkan kaedah komunisme apabila blok Soviet terlerai, pada tahun ini terserlah suatu ironi global yang menuntut penilaian semula cara manusia menjalankan kehidupan ekonominya.

Ironi global yang dimaksudkan di sini ialah dunia kapitalisme Barat, baik di Amerika mahupun Eropah kini bergantung kepada sebuah negara yang masih mengisytiharkan dirinya komunis walaupun ia mengamalkan sistem pasaran terbuka. Negara itu ialah Republik Rakyat China yang menghasilkan barangan-barangan murah untuk kegunaan seluruh dunia.

Kekuatan ekonomi China ini tentu mengukuhkan kedudukan politiknya di mata dunia. Suatu petanda utama kedudukannya yang kuat kini ialah usahanya yang berterusan untuk meneroka angkasa lepas. China yang tahun ini mengirim angkasawan wanita pertamanya, Liu Yang berazam untuk mendaratkan manusia di muka bulan.

Dalam keadaan sebegini kuat, China tidak perlu takut pada sesiapa, walaupun Amerika Syarikat. Maka ia dengan mudah membina kota Sansha di pulau terpencil di Laut China Selatan.

Pulau ini, Yongxing adalah sebahagian daripada kepulauan Paracel. Kepulauan ini bukan saja dituntut oleh China tetapi juga Vietnam dan Filipina. Langkah China untuk mengisytiharkan Sansha sebagai munisipaliti terbarunya adalah merupakan usaha untuk mengukuhkan tuntutannya ke atas kepulauan-kepulauan Paracel, Spratly dan Tebing Macclesfield.

Kepulauan Spratly dan sebahagiannya juga dituntut oleh Malaysia, Brunei dan Taiwan, selain daripada Vietnam dan Filipina.

Ini bermakna negara-negara ASEAN berdepan dengan China dalam soal tuntutan kepulauan ini yang pasti menimbulkan rasa tidak senang antara kedua belah pihak.

Bukan itu saja, rencana pengarang akhbar milik Parti Komunis China, The Global Times telah menggesa kerajaannya membuat tuntutan pula ke atas pulau Jepun, Okinawa sebagai miliknya.

Sejak kebangkitan China, pihak negara-negara ASEAN sedar bahawa mereka harus bersatu dan mengukuhkan diri untuk dapat berdepan dengan China.

Dalam tahun ini, perkembangan yang baik bagi ASEAN ialah Myanmar mula membuka sistemnya dan berduyun-duyunlah pelabur dari Barat datang. Sememangnya diharapkan Myanmar akan bangkit untuk menjadi makmur dan bersama-sama negara-negara lain dalam ASEAN memperkukuhkan kekuatan untuk menghadapi cabaran ekonomi China dan India,

Tetapi malangnya ketika mana Myanmar menampakkan sinar, terserlah pula masalah Muslim Rohingya yang ditolak hak kewarganegaraannya oleh kerajaan mereka sendiri.

Nasib yang menimpa Rohingya ini menimbulkan kemarahan umat Islam bukan saja di negara-negara ASEAN tetapi juga di Pakistan, malah sehingga di Tunisia. Di negara-negara itu, bantahan dibuat kerana layanan buruk yang diberikan oleh kerajaan Myanmar terhadap bangsa Rohingya.

Inilah pertama kalinya terdengar rakyat Tunisia menyatakan prihatin terhadap nasib umat Islam yang begitu jauh dari tempat mereka.

Tunisia baru saja mendapat kerajaan baru melalui sistem demokrasi. Apa yang disebut sebagai kebangkitan Musim Bunga Arab yang bermula di Tunisia telah pun turut mengubah kerajaan di Libya dan Mesir. Kesemuanya didorong oleh media sosial.

Kini, kebangkitan itu berubah dalam bentuk perang saudara di Syria. Maka berlakulah pembunuhan sesama Islam, malah pada bulan Ramadan.

Tetapi Syria kini menjadi persimpangan bagi geopolitik dunia. Masing-masing pihak kerajaan dan pemberontak menjadi proksi dalam persaingan lama yang diperbaharui antara Amerika Syarikat dan lawan-lawannya.

Maka apabila Amerika menyokong pemberontak Syria seperti mana ia merestui kebangkitan di Tunisia, Mesir dan Libya, ia membuka satu medan di mana Iran dan Rusia pastinya memberi sokongan kepada Bashar Assad.

Rusia yang kembali dipimpin oleh Vladimir Putin menunjukkan tanda bahawa Moscow mahu memulihkan kedudukannya sebagai kuasa besar bagi mengimbangi Amerika.

Inilah simpang-simpang baru dalam geopolitik di mana peperangan akan berterusan dalam bentuk-bentuk baru.

Walaupun kini manusia bertambah maju dari segi pemahaman sainsnya, teknologi semakin canggih dan usaha mencari sistem ekonomi dan politik yang lebih baik berjalan terus, tetapi persaingan geopolitik yang membawa bersama peperangan dari satu tempat ke tempat lain akan berterusan.

Akan ada manusia yang terus terkorban dalam peperangan. Ketika mana pusat-pusat konflik yang lepas seperti Palestin, Iraq, Afghanistan, Sudan dan Somalia masih belum berakhir, muncul pula konflik-konflik baru.

Manusia walaupun berganti generasi akan terus menyesuaikan diri dengan perubahan ini. Ini belum lagi dikira betapa perubahan iklim akan membawa banyak lagi bencana pada masa mendatang.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KENEGARAAN : Janji Ditepati daripada perspektif rakyat


Oleh Khairuddin Mohd Zain

BELUM pernah rasanya persoalan tema Hari Kebangsaan menjadi polemik yang memecahbelahkan pemikiran rakyat. Entah apa tujuan dan objektif, sepertinya tidak ada sesuatu yang ‘kena’ dan molek tema tahun ini kepada sesetengah pihak. Sehinggakan tema Hari Kebangsaan mahu dijadikan gelincir pandangan yang sangat negatif dan merosakkan.

Penulis melihat penuh minat dengan pelbagai ungkapan sinikal, kejian, hinaan dan makian yang dikemukakan banyak pihak mengenai isu tema ini. Pernah satu ketika, media baru, terutamanya penggunaan platform ‘twitter’ dijadikan medan debat mengenai isu sama. Maka, bertempiaranlah anak muda kita, termasuk mereka yang berada di luar negara, memberikan takrifan sendiri mengenai isu ini.

Mereka yang selama ini tidak pernah minat dan ambil tahu tentang tema Hari Kebangsaan, tiba-tiba sahaja menjadi kalangan pengkaji bahasa, pakar media, ahli strategi politik yang menilai tema tersebut dalam pelbagai segi. Tak kurang juga yang menjadikannya bahan lawak jenaka untuk menghina pemimpin dan individu tertentu.

Daripada satu segi, tema '1Malaysia: 55 Tahun Merdeka - Janji Ditepati’ memungkinkan suatu perkongsian pandangan yang sihat, asalkan ia tidak disulami dengan nada sinikal, kecaman dan dendam politik yang melampau.

Sejujurnya, minat generasi muda terhadap tema ini sangat luar biasa! Walaupun mereka punya pandangan berbeza, namun ia haruslah dilihat dalam konteks yang lebih luas. Pada pandangan penulis, frasa ‘Janji Ditepati’ ini bukanlah sesuatu yang eksklusif dan politikal. Buka sedikit minda, kita akan melihat maknanya yang lebih besar.

Janji Ditepati - ini mestilah juga dilihat melalui pandangan yang objektif dan tidak sarat dengan niat politik. Jika itu dapat menjadi rentak mula pandangan dan pemikiran, rasanya ia bukanlah satu terma yang jijik. Malahan, ungkapan ‘janji’ ini sudah sewajarnya menjadi sebahagian daripada kehidupan kita rakyat Malaysia.

Mungkin kita sudah lupa bahawa ‘ikrar’ Rukunegara juga adalah satu ‘perjanjian rakyat kepada negara’ yang perlu dijadikan landasan tindakan kita sebagai warga negara yang bertuah ini.

Berapa ramai generasi muda kita yang benar-benar dapat menghayati makna dan ‘ikrar’ kita kepada negara. Ikrar ini tahapnya lebih tinggi daripada janji. Definisi ikrar - istilah Arab; janji yang sungguh-sungguh, janji yang disertai dengan sumpah, pengakuan. Apakah kita masih ingat dengan bait-bait ayat ‘ikrar’ yang berikut:

Bahawasanya, negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak: mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya; memelihara satu cara hidup demokratik; mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dinikmati bersama secara adil dan saksama; menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak; membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

Ideal kita bermasyarakat dan memelihara hubungan antara ‘rakyat dan kerajaan’ ini bukan perkara baru. Ia legasi politik yang berusia lebih 42 tahun. Entah mengapa hari ini kita menjadi ‘fobia’ dengan istilah janji. Atau kita sebenar-benarnya mahu mengambil ‘jalur politik’ dalam semua perkara?

Sudah tiba masanya jagoan-jagoan politik melonggarkan sedikit ketaksuban politik dan mula melihat Hari Kebangsaan dengan semangat cintakan negara yang tepat dan betul. Polemik politik tidak akan pernah berakhir. Namun, apakah kita sudah menjadi sedemikian terdesak untuk mempolitikkan perkara yang sepatutnya berada di landasan neutral dan dikongsi bersama?

Istilah ‘Janji Ditepati’ ini wajar juga dijadikan wadah untuk kita menilai kembali sejauh mana kita, sebagai rakyat, sudah memenuhi ‘aura rakyat’ dan menepati ikrar kita dalam mengisi niat rukun kita bernegara. Ini asasnya. Ini bukan soal hak mutlak dan prerogatif siapa. Ini soal kaedah kita dalam memberi makna. Niat untuk hidup dalam suasana demokratik’ini bukan cita baru. Ia sudah termeterai dalam ikrar kita sejak 1970 lagi!

Soalnya, sejauh mana demokratiknya kita kalau kita sendiri tidak tahu menghormati pandangan orang lain? Menganggap kita dan kumpulan kita sahaja betul dan wibawa? Hari Kebangsaan seharusnyalah menjadi landasan kita mengukur kembali ‘ikrar, janji dan baiah’ kita sebagai anak Malaysia yang sebenar. Wajar agaknya kita menilai kembali, sejauh mana kita sudah menjadi pemangkin kepada usaha membina perpaduan, mencipta masyarakat adil, memuliakan budaya dan membina masyarakat progresif. Ini semua ‘ikrar dan janji’ kita.

Semua usaha dan niat ini digabung jalinkan dengan lima prinsip yang sangat integral:-

* Kepercayaan kepada Tuhan

* Kesetiaan kepada Raja dan Negara

* Keluhuran Perlembagaan

* Kedaulatan Undang-Undang

* Kesopanan dan Kesusilaan

Janji Ditepati - seharusnya menjadi wadah untuk kita menilai fiil dan tingkah kita dalam mengisi tuntutan dan prinsip Rukunegara yang lima ini. Sebagai mana-mana manusia politik dan organisasi sekalipun, kita tidak seharusnya keluar daripada ‘baiah’ yang sangat asas ini. Rukun Negara bukannya sebuah legasi politik usang yang tidak relevan. Malahan, dengan asas yang sama, kita sudah banyak menjauhkan negara daripada tribulasi yang merosakkan.

Banyak masalah yang dapat kita murnikan jika rakyat terus memegang ‘ikrar’ dan ‘janji’ yang lima ini. Ia sangat asas. Namun begitu, malangnya, kita sudah mula untuk menduga sesetengah prinsip sebagai kaedah mendapat laba politik yang bersifat sementara. Masing-masing mahu membawa pandangan jumud dan sempit, sehingga adakalanya mahu menguji keabsahan prinsip yang sedemikian asas.

Apa mesej yang mahu kita sampaikan kepada generasi baru, sekiranya terma ‘ikrar, janji dan baiah’ ini juga mahu kita polemikkan? Eloklah agaknya, dalam tempoh meraikan Hari Pahlawan, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia untuk kita mempunyai minda yang lebih terbuka dan tidak terlalu politikal sifatnya.

Molek untuk kita kurangkan gegak gempita pemikiran politik dengan sambutan Hari Kebangsaan yang neutral dan dimiliki semua. ‘Janji Ditepati’ ini bukan soal janji kerajaan kepada rakyat semata. Ia juga soal menepati janji dan ikrar kita, sebagai rakyat - terhadap negara. Apakah kita ini agaknya sudah menjadi kalangan mereka yang hanya mahu melihat sumbangan’ kerajaan kepada kita; dan bukan sebaliknya.

Kita seharusnya menjadi generasi yang matang dan tidak melihat semua perkara dalam kacamata politik. Selama 13 tahun (1957-1970) kita ‘merdeka’ tanpa memegang sebarang ikrar dan janji. Politik kita berasaskan laissez-faire. Kontrak sosial kita bernegara hanya berasaskan ‘faham kerjasama’ yang longgar. Nyata, politik tidak akan menjadi semudah itu. Kita membayar harga yang tinggi untuk memahami bahawa sesungguhnya kita memerlukan ikrar dan janji’ yang lebih mengikat. Lalu, apa salahnya jika kita menilai semangat 55 tahun merdeka dengan bermuhasabah tentang ‘ikrar dan janji’ yang wajar ditepati.

Namun penulis terpaksa mengakui bahawa logo Hari Kebangsaan kali ini perlu diperbaiki dan diperhalusi semula. Ia terlalu simplistik dan tidak membawa bersamanya semangat ‘maju dan makmur’ yang diinginkan. Rasanya kita punya ramai pereka muda yang jauh lebih dinamik, artistik dan berpandangan jauh! Ini bukan soal ‘politik’ tapi soal cita rasa dan rekaan yang sedap dipandang mata. Logo Hari Kebangsaan tidak boleh bersifat, ‘janji ada’.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Terjebak kes penipuan kerana bodoh atau tamak?


Oleh : Azman Anuar

TIDAK dapat dibayangkan bagaimana kes-kes penipuan semakin meningkat. Tidak perlu merompak atau memaksa, dengan mudah sesetengah masyarakat kita mudah tertipu.

Bayangkan bagaimana 740 pencagar emas palsu yang kebanyakannya penduduk kampung begitu mudah diperdaya dengan upah RM300 hingga RM800 untuk memajak emas palsu.

Senang-senang sindiket penipuan hanya menggunakan taktik menyadur tembaga dengan emas berjaya mengakibatkan sebuah bank negara ini kerugian RM75 juta.

Rupa-rupanya bukan sahaja bank tersebut, tetapi 11 kedai pajak gadai di seluruh negara turut diperdaya sindiket yang sama. Cuma jumlah kerugian masih dalam siasatan. Mudah betul anggota sindiket itu menipu orang kampung, kerani bank dan tauke pajak gadai.

Nampaknya mangsa penipuan tidak kira pangkat. Sudah banyak kita membaca orang yang bergelar Tan Sri dan beberapa ahli politik pun mudah ditipu. Oleh kerana mahu jalan mudah mendapatkan ijazah, ada yang sanggup membelinya konon ijazah universiti luar negara yang didalangi sebuah institusi pengajian tinggi swasta boleh meningkatkan harga diri mereka.

Sekarang macam mana perasaan mereka apabila sedar bahawa ijazah yang dikejar itu adalah palsu belaka.

Khabarnya sudah ramai penerima ijazah palsu itu. Siasatan polis mendapati kebanyakan yang memiliki ijazah menggunakan nama universiti palsu luar negara itu memegang jawatan penting dalam organisasi tertentu.

Bagaimana kedudukan mereka dalam jawatan baik awam atau swasta sekarang. Jika begini caranya, mereka tidak jujur dan telah menipu majikan masing-masing. Bukan setakat institusi pengajian itu menipu pelajarnya, mereka juga penipu. Apa hukum orang yang menipu kelayakan akademik?

Sepanjang minggu pertama umat Islam berpuasa di bulan Ramadan ini, banyak berlaku kes penipuan. Kitaran  kes penipuan akan berulang dari semasa ke semasa.

Lihatlah bagaimana kes-kes penipuan Awang Hitam kembali diperkatakan. Cerita Awang Hitam yang jadi penggoda dan master mind pengedaran dadah sampai sekarang masih belum dapat ditangani sepenuhnya.

Bilangan mereka yang bijak menipu rakyat tempatan terutama wanita yang belum berkahwin cukup hebat.

Dengan menggunakan Internet, segala kepakaran ilmu cinta palsu digunakan. Malangnya masyarakat kita mudah tergoda dan akhirnya terpedaya.

Banyak yang mengalami kerugian beribu-ribu ringgit kerana ayat-ayat power Awang Hitam yang turut menggunakan khidmat warga tempatan.

Kes seorang wanita tempatan bersekongkol dengan tujuh kasanova warga Nigeria untuk memperdayakan lebih 10 janda dan andartu kesunyian hingga melibatkan kerugian lebih RM300,000 bukan kes baharu.

Penipuan demi penipuan berjaya dilakukan Awang Hitam. Dalam ruang e-mel peribadi anda mungkin sudah biasa menerima mesej daripada wanita yang mengaku bekerja di Eropah sedang mencari rakan kongsi untuk urus niaga batu berlian di Afrika. Sekejap pengirim e-mel mengguna nama Aminah, sekejap Siti Amirah dan macam-macam nama lain tetapi susunan dan struktur ayatnya sama sejak empat atau lima tahun lalu.

Mungkin inilah kerja kumpulan Awang Hitam bertindak licik menggunakan wanita tempatan untuk menipu rakyat Malaysia.

Apa tindakan yang patut pihak berkuasa lakukan terhadap Awang Hitam? Bagaimana rakyat kita mudah tertipu?

Mengikut statistik polis, sepanjang tahun lalu sahaja sebanyak 6,586 kes penipuan melalui Internet melibatkan nilai kerugian lebih RM34 juta dilaporkan di negara ini.

Kes itu meningkat 348 kes berbanding 6,238 kes jenayah siber pada tahun 2010.

Peningkatan kes jenayah siber di negara kita menunjukkan golongan pengguna menjadi sasaran penjenayah untuk mengaut keuntungan mudah.

Elok rasanya pihak berkuasa segera menangani kes penipuan menerusi Internet yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) harus bekerjasama membanteras perkara ini. Letaklah pegawai yang boleh membaca pemikiran ‘penipu’ yang mahir dalam bidang teknologi maklumat.

Hakikatnya, walaupun telah diingatkan beberapa kali, tetapi sifat tamak dan inginkan wang yang lebih dalam kalangan rakyat kita menyebabkan mangsa akhirnya tertipu juga.

Sebagai manusia sepatutnya kita berfikir terlebih dahulu sebelum menyerahkan wang atau apa sahaja kerana kita kena membuat keputusan apatah lagi menyerahkan sesuatu kepada orang yang baru dikenali.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU GLOBAL : Dihukum merekrut tentera kanak-kanak


SUASANA semasa perang saudara yang berlaku selama lima tahun dari 1998 hingga 2003 di Republik Demokratik Congo.

Susunan AMIRUDDIN HARUN
amir.harun@utusan.com.my

PEMIMPIN militia, Thomas Lubanga baru-baru ini, dijatuhi hukuman penjara 14 tahun oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana kesalahan merekrut dan menggunakan kanak-kanak sebagai anggota tentera ketika perang saudara di Republik Demokratik Congo.

Lubanga, 51, merupakan individu pertama disabitkan bersalah dalam perbicaraan jenayah perang di The Hague, Belanda.

Hukuman itu dikenakan setelah pemimpin berkulit hitam itu disabitkan bersalah pada Mac lalu kerana melarikan budak lelaki dan perempuan di bawah umur 15 tahun dan memaksa mereka terlibat dalam kancah peperangan di timur wilayah Ituri di negara benua Afrika tersebut antara tahun 2002-2003.

Pihak pendakwa sebelum ini memohon 'hukuman berat' selama 30 tahun terhadap pemimpin tersebut. Ketua pendakwaan, Luis Moreno-Ocampo menggesa hukuman ''atas nama setiap kanak-kanak yang direkrut, atas nama wilayah Ituri."

Bagaimanapun pendakwa raya turut menyatakan, pihaknya bersedia mengurangkan hukuman kepada 20 tahun sekiranya Lubanga memohon 'maaf dengan ikhlas' kepada mangsa-mangsa kekejamannya.

Kanak-kanak berusia semuda 11 tahun dilarikan dari rumah dan sekolah, kemudian direkrut untuk terbabit dalam kekejaman persengketaan etnik dalam tempoh lima tahun peperangan yang berakhir pada 2003. Mereka dibawa ke kem-kem latihan ketenteraan dan dipukul serta dibekalkan dadah. Kanak-kanak perempuan pula digunakan sebagai hamba seks.

Lubanga membuat pengakuan tidak bersalah dan menyatakan dia tidak menyokong penggunaan tentera kanak-kanak oleh pihak militan terbabit.

Namun begitu, menurut laporan berita The Guardian, dalam keputusan sebulat suara ICC, hakim-hakim menyatakan, Lubanga bertanggungjawab atas kekejaman tersebut.

''Lubanga dihukum penjara 14 tahun mulai tarikh dia diletakkan di bawah tahanan pada 16 Mac 2006,'' menurut Hakim Adrian Fulford.

Ini bermakna Lubanga akan menjalani hukuman penjara dalam tempoh kurang dari lapan tahun.

Lelaki tersebut tidak menunjukkan sebarang emosi ketika Hakim Fulford membacakan hukuman tersebut pada 10 Julai lalu.

Menurut hakim berkenaan, fakta bahawa Lubanga merupakan seorang 'bijak dan berpendidikan tinggi' menjadi faktor yang relevan dalam keputusan untuk mensabitkan lelaki itu bersalah.

Lubanga yang ditahan sejak 2006 dan dibicarakan mulai 2009, mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan.

Pemerhati Hak Asasi Manusia menganggarkan lebih 60,000 orang terbunuh dalam konflik antara kumpulan etnik Hema dan Lendu di Ituri.

Sebelum hukuman dijatuhkan, pengarah penyokong keadilan antarabangsa di Pemerhati Hak Asasi Manusia, Geraldine Mattioli-Zeltner berkata:

''Hukuman terhadap Lubanga sepatutnya adil dan mencerminkan kesalahan yang dilakukan. Hukuman ke atas Lubanga adalah penting bukan hanya kepada mangsa-mangsa yang mahukan keadilan ditegakkan tetapi juga sebagai amaran kepada sesiapa sahaja yang menggunakan tentera kanak-kanak di seluruh dunia.''

Sabitan terhadap Lubanga adalah berkaitan konflik semasa di timur Congo, apabila puak pemberontak menuju ke ibu kota wilayah tersebut, Goma.

Puak pemberontak diketuai oleh seorang jeneral yang berpaling tadah, Bosco Ntaganda. Beliau turut dikehendaki ICC kerana merekrut dan menggunakan tentera kanak-kanak di Ituri dalam peperangan tersebut.

Sekalipun hukuman dijatuhkan, ICC tetap dikritik kerana terlalu menumpukan jenayah perang di Afrika dan tidak di bahagian lain di dunia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/