Sabtu, 13 Jun 2009

KPLI 18 BULAN

Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my

Tempoh kursus setahun kurang berkesan lahir guru berkualiti

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan memanjangkan tempoh pengajian Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) selama enam bulan kepada setahun enam bulan, bermula pengambilan Januari 2010.

Pengarah Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Datuk Misrah Ibrahim, berkata keputusan itu diambil berikutan desakan pelbagai pihak selain mengakui tempoh yang diamalkan selama ini kurang berkesan bagi melahirkan guru berkualiti.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya pada peringkat akhir memuktamadkan kertas kerja mengenai cadangan itu sebelum membentangkannya bagi tindakan kementerian.

"Paling awal pelaksanaan lanjutan tempoh pengajian itu adalah bagi pengambilan Januari 2010. Memang jika boleh nak dilaksanakan segera, tetapi untuk tahun ini amat mustahil kerana pengambilan akan datang adalah pada Julai tahun ini.

"Namun, berdasarkan penelitian serta mengambil kira pandangan semua pihak, BPG positif lanjutan tempoh itu perlu dilaksanakan dan mempunyai rasional kukuh. Cuma ada beberapa perkara perlu diperhalusi sebelum dapat dilaksanakan sepenuhnya," katanya ketika dihubungi Berita Minggu.

Mengenai desakan beberapa pihak supaya tempoh pengajian itu dipanjangkan kepada dua tahun, Misrah berkata, ia tidak relevan kerana terlalu mengambil masa bakal guru.

Katanya, jika tempoh KPLI terlalu lama, mungkin graduan tidak berminat dengan kerjaya perguruan kerana jangka masa sama sebenarnya mencukupi untuk mereka menyambung pengajian ke peringkat sarjana.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, ketika mengulas dakwaan bahawa bidang perguruan menjadi tempat longgokan graduan menganggur, berkata sistem tapisan bakal guru bagi mengikuti KPLI cukup ketat.

Katanya, semua pemohon KPLI perlu lulus dengan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 2.75 ke atas pada peringkat sarjana muda sebelum dipanggil mengikuti ujian khas pemilihan guru.

"CGPA itu bukan kecil. Ini bermakna pemohon untuk KPLI terdiri di kalangan antara yang terbaik di universiti. Apabila menduduki ujian pula, banyak perkara boleh dinilai bagi melihat kesungguhan pemohon untuk menjadi guru.

"Jika melepasi ujian, ada pula peringkat ketiga iaitu temu duga yang membolehkan penemuduga menilai secara terperinci sahsiah dan karakter pemohon," katanya.

Katanya, dakwaan itu mungkin berlaku satu ketika dulu kerana tapisan mengikuti KPLI tidak sebegitu ketat, namun dengan 80,000 permohonan tahun ini dan hanya 5,132 pengambilan, persaingan itu pasti sengit dan calon terpilih pastinya antara terbaik.

Pada masa sama, katanya, kementerian kini memperbanyakkan pengambilan guru untuk Program Sarjana Muda Perguruan yang bakal mengisi sehingga 6,200 tempat.

Sumber : www.bharian.com/

ISU ALAM SEKITAR

BAGAI MERACUN RUMAH SENDIRI

Oleh NURUL ANUAR KARI
kesihatan@utusan.com.my

PENCEMARAN udara jelas semakin teruk di seluruh dunia.

MANUSIA mempunyai kurang 10 tahun untuk bertindak. Kita mempunyai kekuatan untuk berubah, jadi apa lagi yang ditunggu?"

Itu menjadi antara ayat terakhir yang disajikan kepada penonton pada malam Hari Alam Sekitar Sedunia pada 5 Jun lalu. Ungkapan itu mengakhiri filem dokumentari bertajuk Home yang ditayangkan serentak di seluruh dunia.

"Dalam hanya 200,000 tahun manusia berkembang di bumi, kita telah berjaya memusnahkan keseimbangan bumi yang berkekalan sejak berjuta tahun lamanya.

"Kita mampu hidup dengan lebih baik jika kurang 'mengambil' dan lebih banyak 'berkongsi'," hasil kisah dokumentari yang mendedahkan bagaimana 80 peratus sumber bumi kini dibolot hanya 20 peratus penduduk dunia.

Dalam erti kata lain, penyumbang utama pencemaran dunia juga paling banyak menikmati hasil bumi. Mereka terus rakus menelan sebanyak mungkin hasil bumi, membazir dan membuang sisanya ke merata dunia, merosak dan membunuh 'rumah' dan penghuninya.

Menginsafi

Walaupun telah menonton berpuluh dokumentari, Home begitu menyentap fikiran bila ditayangkan bagaimana begitu banyak dunia berubah dalam hanya satu generasi, generasi kita.

Sebenarnya, penulis sendiri terpaksa mengakui diri telah lama mengambil mudah isu persekitaran. Pernah juga penulis diajukan soalan, 'apa kaitan persekitaran dan kesihatan?'

Ini boleh dibalas kembali dengan persoalan mudah, 'bila kali terakhir kamu memandu dengan cermin terbuka?' Bukan untuk merokok!

Rata-rata dapat dilihat bagaimana pemandu kini menutup tingkap hampir sepanjang masa ketika memandu, siang atau malam. Jika ditanyakan mengapa, jawapannya sama ada udara kotor, berdebu atau berasap, dan pastinya kerana terlalu panas.

Ini jelas terbukti dengan penggunaan lapisan pelindung berwarna (tint) pada cermin-cermin hampir semua kenderaan. Pasti menjadi satu penyeksaan jika terpaksa memandu dengan cermin terbuka dalam kawasan bandar, siang atau malam, gara-gara penyaman udara rosak. Sedarkah kita penggunaan tint dan juga menutup tingkap itu sahaja sudah menunjukkan situasi semasa alam sekitar?

Semakin ramai juga yang mengadu sakit mata, sukar bernafas dan asma (lelah). Tidak kurang pula peningkatan kes katarak dan kanser kulit dari sinaran matahari (penipisan ozon), dan sudah tentu obesiti yang didorong keengganan orang ramai bersenam dalam cuaca panas. Untuk mengelakkan diri memperakui masalah yang dihadapi, kebanyakan daripada kita menyorokkan diri di dalam bangunan mahupun kenderaan dengan penyaman udara.

Pencemaran udara dan aktiviti menggondolkan hutan telah menjadi penyumbang utama pemanasan global. Ini seterusnya membawa kepada perubahan iklim dunia yang kini dianggarkan membunuh lebih 300,000 orang di seluruh dunia setiap tahun. Menjelang 2030, angka ini akan melonjak kepada lebih 500,000 orang.

Laporan kesan perubahan iklim ke atas manusia oleh Forum Kemanusiaan Global menunjukkan 325 juta penduduk dunia kini menjadi mangsa. Jumlah itu akan berganda dalam tempoh 20 tahun, menjejaskan hampir 10 peratus populasi manusia.

Kembalinya El Nino

Semulajadi atau musibah? Fenomena kejanggalan suhu permukaan laut yang membawa bersamanya kemarau di Pasifik Barat, dan banjir di Amerika Selatan sekali lagi melanda dunia. Walaupun punca sebenar El Nino masih samar, dunia terus berdebat sama ada peningkatan kekuatan dan kejadian El Nino berkait dengan pemanasan global.

Lebih penting lagi, fenomena ini bukan sahaja akan membawa cuaca panas ke rantau Asia, malahan menjejaskan keseimbangan ekosistem laut.

Ikan kehilangan sumber makanan. Ketiadaan nutrien akan menjejaskan kumpulan-kumpulan besar ikan yang menjadi sumber makanan hidupan lain dan juga rezeki nelayan. El Nino juga didakwa menjadi punca kemusnahan beberapa tamadun kuno di benua Amerika Selatan.

Jabatan Meteorologi pada 9 Jun lalu meramalkan cuaca panas dan kering El Nino mungkin berlarutan sehingga September ini, memburukkan lagi masalah jerebu yang dikuatkan lagi dengan aktiviti pembakaran terbuka.

Kualiti udara di seluruh negara juga dilaporkan semakin merosot. Dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) direkodkan antara 101 hingga 200, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mula menegur tindakan pembakaran terbuka, asap hitam (kenderaan) berlebihan dan asap dari pihak industri.

Kemudian Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) pula melaporkan bekalan air di enam empangan sedia ada telah mengalami penyusutan 10 peratus akibat kemarau. Jika berlaku penyusutan mendadak, Syabas terpaksa mengawal atau mengurangkan pelepasan bekalan air kepada pengguna, menyebabkan gangguan bekalan air.

Berbekalkan pengalaman menghadapi El Nino dan krisis air di Lembah Klang antara Oktober 1997 hingga awal 1998, kita sepatutnya lebih bersedia. Pengguna perlu berjimat-cermat menggunakan air di samping mengurangkan aktiviti yang boleh menyumbang kepada peningkatan pemanasan iklim.

Kekurangan bekalan air bukan sahaja boleh menjejaskan kesihatan badan (strok haba, batu karang), malahan penjagaan kebersihan diri, premis dan makanan juga pasti sukar dilakukan dengan baik. Penyimpanan air di rumah secara tidak teratur pula boleh menyebabkan berlakunya pencemaran kuman seperti kolera, demam kepialu dan hepatitis A.

Tidak cukup dengan El Nino, pencemaran sungai dan sumber air dengan sampah, bahan kimia dan sisa toksik memburukkan lagi masalah bekalan air. Ikan pasti mati dan tentu sukar untuk bercucuk tanam atau menternak tanpa air bersih. Ini seterusnya akan membawa kita kepada masalah bekalan air dan makanan yang tidak mencukupi, atau tercemar dengan racun dan bahan kimia.

Pulau terpencil

Bumi bagaikan pulau! Benar, jika dilihat bagaimana kita tiada kemampuan untuk berpindah ke mana-mana planet lain di alam semesta. Sejarah pulau Easter di Lautan Pasifik menjadi petunjuk apa akan berlaku jika tiada tindakan tegas diambil terhadap masalah persekitaran.

Sebahagian besar penduduknya mati kebuluran. Penduduk pulau Easter yang menebang kesemua pokok balak mereka akhirnya tiada hutan dan juga bahan untuk membina perahu nelayan, mahupun perahu untuk berpindah ke tempat lain. Mereka kemudian bertindak membunuh populasi burung laut sebagai makanan. Selepas tiada lagi burung untuk santapan, semakin ramai yang menemui ajal.

Dengan tidak mengambil iktibar tindakan menggondol hutan, puak Rapa Nui di pulau Easter gagal memelihara sumber makanan terakhir mereka, telur dan daging burung. Dengan kematian 97 peratus populasi penduduk, puak Rapa Nui yang tinggal kini hilang budaya, identiti dan juga tanah mereka, yang akhirnya dirampas penjajah.

Mungkinkah terlambat untuk kita menginsafi kejahilan diri sebelum bumi yang diwariskan kepada anak cucu cuma mencerut nyawa mereka? Generasi kini masih mampu meneruskan hidup, tetapi bagaimana dengan pewaris kita?

Bertindak tegas

Pada 31 Mac lalu, kebanyakan negara di seluruh dunia bersatu meringankan beban kesakitan Bumi dengan bergelap selama satu jam. Malaysia juga turut serta, tetapi dalam jumlah yang jauh berbeza. Bekalan elektrik yang masih banyak menggunakan minyak dan arang menjadi antara penyumbang utama pencemaran udara.

Kempen mengurang atau menghentikan penggunaan beg plastik yang baru bermula pula dilihat gagal mencapai momentum yang diharapkan. Pemimpin dunia berterusan membincangkan masalah persekitaran tatkala masa untuk bertindak semakin suntuk. Dikekang usaha melengah pihak pencemar utama, tiada tindakan drastik dan berkesan dapat diambil.

Namun, penemuan kaedah mengitar semula sampah menjadi minyak dan arang minggu lalu menunjukkan masih ada caranya. Cara untuk generasi ini menebus tindakan memusnah keseimbangan alam, seterusnya menjamin warisan dunia untuk anak dan cucu mereka.

Sudah sampai masanya mengitar semula menjadi kewajipan, dan mungkin juga diwajibkan, supaya dapat mengurangkan beban tuntutan bekalan yang sentiasa meningkat. Bukannya satu atau dua, tetapi beratus mahupun beribu jenis bahan yang boleh dikitar semula. Ini secara tidak langsung juga dapat menyelesaikan masalah longgokan sampah dan pencemaran.

Selain itu, lebih banyak usaha dan peruntukan perlu ditumpukan ke arah tenaga alternatif. Tenaga angin, ombak, geotermal dan tentunya tenaga solar menjadi pilihan tenaga paling bersih dan selamat, di samping mampu menampung keperluan tenaga domestik.

Sebarang perubahan pada persekitaran akan memberi kesan secara langsung atau tidak langsung kepada manusia dan hidupan lain di muka bumi. Jangan diambil mudah kemusnahan dan gangguan keseimbangan alam sekitar kerana ia bukan hanya akan mengancam hidup, malahan mampu meragut nyawa anda!

Dokumentari Home menunjukkan sudut tercantik dan juga terburuk bumi. Luangkan sedikit masa mengamati apa yang ingin diketengahkan dan mungkin anda akan sedar hanya kita dapat menentukan rupa bumi yang diwariskan kepada generasi akan datang. Dokumentari ini boleh diperolehi melalui laman web www.youtube.com/homeproject atau melalui DVD.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

RAHSIA KISMIS



Masih ingatkah anda dengan pesan orang tua-tua atau ibu tentang makanan yang harus diambil jika ingin pintar dalam pelajaran? Tentulah kismis. Menjelang peperiksaan inilah satu-satunya diet yang kerap diberikan ibu.

Adakah dakwaan kismis dan kaitan ketajaman minda benar atau ia sekadar mitos? Ini kerana jarang sekali ibu bapa atau orang tua dapat memberikan penjelasan lanjut kenapa kismis baik untuk minda.

Malah keduanya, adakah kebaikan kismis hanya sekadar menyumbang kepada manfaat minda semata-mata?

Kismis atau dipanggil raisin dalam bahasa Inggeris atau zabib dalam bahasa Arab, disabdakan Rasulullah SAW, "Biasakanlah memakan kismis kerana kismis dapat menghilangkan kepahitan, menghilangkan lendir, menyihatkan badan, membaguskan rupa, menguatkan saraf dan menghilangkan letih."

Apakah sebenarnya rahsia kismis sehingga mendapat tempat sejak ratusan tahun dulu?

Kismis sebenarnya berasal daripada buah anggur yang menjalani proses penyahidratan sama ada menggunakan matahari atau menggunakan ketuhar. Terdapat beberapa jenis kismis yang popular seperti sultana, malaga, monukka dan muscat.

Akibat proses penyahidratan saiz kismis menjadi lebih kecil iaitu hanya separuh duit syiling lima sen. Dalam satu penulisan dalam majalah Today Dietitian mengungkapkan kismis sebagai gula-gula asli dan semula jadi.

Kenapa begitu? "Ia adalah salah salah satu daripada buah kering yang paling kaya dengan nutrisi di dunia. Kismis bebas kolesterol, rendah sodium dan bebas lemak. Ia menawarkan nutrisi yang diperlukan tubuh termasuk vitamin, mineral, zat besi, serat dan kalsium," nukil artikel itu.

Jika begitu, tidakkah kismis membahayakan kesihatan? Kismis mengandungi kadar gula yang tinggi tetapi gula fruktosa adalah gula semula jadi yang dipanggil gula ringkas. Ia mudah diproses untuk menjadi tenaga.

Walaupun kering, kismis juga dikategorikan sebagai salah satu buah-buahan yang kaya dengan antioksida selain prun dan aprikot. Oleh itu, kismis turut berfungsi sebagai agen untuk melindungi tubuh daripada radikal bebas.

Snek ini menawarkan pelbagai khasiat lain termasuklah sumber tenaga, tulang yang sihat bagi wanita, kesihatan gigi dan memperbaiki daya penglihatan.

Kepelbagaian manfaat itu sebenarnya bukanlah hanya untuk kanak-kanak, malah orang dewasa.

Menajamkan minda. Gula ringkas dalam kismis telah dikenal pasti dapat meningkatkan daya pemikiran otak. Ini kerana otak memerlukan gula ringkas dalam kuantiti yang banyak untuk berfungsi dengan baik dan kismis dapat menyediakan keperluan gula ringkas dalam kuantiti yang banyak dan cepat.

Antioksida. Kajian mendapati fenol yang terdapat dalam kismis adalah antara sumber yang membolehkan ia dikategorikan sebagai antioksida. Antioksida melindungi tubuh daripada radikal bebas selain menjaga kesihatan kulit.

Gigi sihat. Jangan membiarkan kemanisan dan rasa melekit kismis menipu anda. Kismis tidak menyebabkan kaviti dan penyakit gusi, bahkan mempromosi gigi yang sihat kerana mengandungi asid oleanolik. Asid ini sangat efektif dalam membunuh bakteria.


Sumber : http://info-kesihatan-anda.blogspot.com/

ISU GAGASAN SATU MALAYSIA

CABARAN ATASI KEPELBAGAIAN

Oleh Dr.Firdaus Haji Abdullah

Ada tiga istilah menarik yang membuahkan bualan berlanjutan berikutan “Seminar Gagasan Satu Malaysia: Kesinambungan Satu Perjuangan” di Kuala Terengganu Ahad lalu. Tiga istilah itu ialah ‘kecacamarbaan’, ‘kepelbagaian’ dan ‘keterpinggiran’.

Istilah ‘kecacamarbaan’ dilafazkan oleh Menteri Pertahanan Dato Dr.Ahmad Zahid Hamidi sewaktu merasmikan seminar tersebut. Beliau merujuk kepada empat aliran persekolahan yang wujud di Malaysia ini sekarang sebagai salah satu punca utama melahirkan masyarakat yang ‘cacamarba.’ Tentu sahaja suasana sosial yang ‘cacamarba’ bercanggah dengan semangat Satu Malaysia dan akan merintang pencapaian matlamatnya.

Kerana itu Zahid mencadangkan supaya sistem persekolahan yang pelbagai ragam di peringkat rendah itu disatukan (dipertemukan) pada peringkat yang lebih tinggi untuk memungkinkan interaksi yang lebih luas antara kaum dan antara golongan. Secara tidak langsung Zahid merujuk kepada satu cabaran hebat yang dihadapi dalam usaha merealisasikan matlamat gagasan Satu Malaysia.

Satu cabaran lain yang tidak kurang hebatnya ialah “rasa ketersingkiran” (sense of alienation) pelbagai kelompok etnik di Malaysia ini. Rujukan terhadap “rasa ketersingkiran” secara tidak langsung terdapat hampir di setiap kertas kerja yang dibentangkan dengan penekanan dan perspektif yang berbeza-beza.

Tetapi dalam pembentangan kertas kerja Dr. Thock Ker Pong dari Universiti Malaya dan Profesor Dr. Kamarudin Said dari Universti Kebangsaan Malaysia isu ‘ketersingkiran’ itu disentuh agak panjang dengan perspektif dan sudut pandangan yang bukan sahaja berlainan malah boleh dikatakan bertentangan.

Profesor Kamaruddin mengingatkan kembali ‘ketersingkiran’ atau ‘keterpinggiran’ yang dialami oleh bangsa Melayu selama seratus tahun di bawah pemerintahan kolonial Inggeris. Manakala Dr. Thock membangkitkan ‘rasa ketersingkiran’ orang-orang Cina akibat pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru. Dr. Sivamurugan Pandian dari Univesiti Sains Malaysia dan Dr. Sarjit Singh dari Universiti Putra Malaysia menyebut secara tidak langsung rasa ketersingkiran masyarakat India.

Reaksi

Semuanya memperingatkan kembali bahawa rasa ketersingkiran itu dialami oleh setiap kaum di Malaysia ini. Tetapi masing-masing kaum mempunyai tanggapan dan reaksi yang berbeza terhadap rasa ketersingkiran kaumnya. Mengenai reaski berbagai kaum yang berbeza itu, seorang peserta berkata sambil bergurau: “Reaksi masyarakat Cina berartikulasi, reaksi masyarakat India berdemonstrasi, reaksi masyarakat Melayu berbasa-basi.”

‘Basa-basi’ menurut Kamus Dewan bererti ‘bersopan santun’ atau tenggang menenggang dan bertimbang rasa. Ini mempunyai kaitan dengan kebiasaan orang Melayu yang terkenal sabar dan senantiasa memikirkan “apa orang lain kata” bila hendak melakukan sesuatu. Oleh kerana itu reaksi orang Melayu terhadap ‘rasa keterpinggiran’ mereka lebih banyak dalam bentuk ‘memendam rasa’ atau ‘makan hati’ yang sekali sekala mencapai kemuncak dan meletup dalam bentuk amuk.

Istilah ‘demonstrasi’ atau ‘dramatisasi’ yang merujuk kepada reaksi masyarakat India terhadap rasa ‘keterpinggiran’ mereka, secara setengah bergurau dikaitkan dengan demonstrasi jalanan oleh pertubuhan terlarang yang dipanggil Hindraf itu.

Manakala istilah ‘berartikulasi’ digunakan untuk memerikan reaksi masyarakat Cina terhadap rasa keterpinggiran mereka sesuai dengan kekayaan sumber-sumber intelektual dan pelbagai institusi artikulasi yang mereka miliki. Selain dari bilangan kelas menengah dan golongan profesional yang cukup besar, masyarakat Cina juga mempunyai badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang cukup banyak yang dimudahcarakan pula oleh lebih sepuluh akhbar harian.

Implikasi daripada semuanya itu ialah bahawa masyarakat pelbagai latar belakang yang hendak disatukan menerusi gagasan Satu Malaysia itu masih berada dalam keadaan yang tidak setara dari pelbagai aspek, termasuk dari aspek keupayaan mengartikulasikan kepentingan masing-masing. Keadaan menjadi bertambah kecoh bila masing-masing mempunyai pandangan dan keinginan yang ‘cacamarba’ akibat melalui sistem pendidikan yang berbeza-beza seperti kata Datuk Dr. Zahid. Rasanya kerana itulah maka Datuk Dr. Zahid semasa berucap merasmikan seminar tersebut dan kemudian semasa mengadakan sidang akhbar berulang-ulang menegaskan peri perlunya ‘kesetaraan peluang dan keupayaan’ yang di rujuknya menggunakan ungkapan bahasa Inggeris level playing field.

Ahmad Zahid juga merujuk kepada Penyata Pelajaran Razak sebagai “roh penyatuan kepelbagaian” yang perlu dirujuk kembali sebagai satu “dasar kebangsaan” untuk dijadikan pedoman mewujudkan perpaduan seperti yang dicita-citakan oleh gagasan Satu Malaysia itu. Kemudian secara kebetulan hampir semua kertas kerja memang merujuk kembali pelbagai dasar kebangsaan seperti Dasar Bahasa Kebangsaan, Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pandang Ke Timur dan Wawasan 2020 yang semuanya secara tersurat dan tersirat mendambakan satu negara Malaysia yang bersatu padu dan mempunyai jati diri serta aman makmur dan adil saksama.

Turut dirujuk kembali ialah slogan-slogan perpaduan yang pernah dikumandangkan sepanjang setengah abad yang lalu seperti “Bersekutu Bertambah Mutu”, “Malaysia Berjaya”, “Bersih, Cekap dan Amanah”, “Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.”

Memang diakui bahawa ada pembentang kertas kerja dan para peserta yang berucap dengan nada kesal, menyindir dan sinis bila merujuk kepada pelbagai dasar dan slogan di tahun-tahun yang terdahulu. Mereka kecewa kerana dasar-dasar kebangsaan tersebut tidak dipatuhi dan tidak dilaksanakan sebagaimana sepatutnya.

Begitu juga pelbagai slogan dengan ungkapan yang bombastik dan nada yang berdegar-degar di masa lalu itu, menurut mereka, tak lebih dari ‘halwa telinga’ atau ‘pemanis mulut dan penyedap lidah’. Mereka tidak mahu ungkapan “Satu Malaysia: rakyat didahulukan, prestasi diutamakan” itu merudum menjadi satu slogan kosong dan mengalami nasib yang hampir sama seperti slogan-slogan atau gagasan-gagasan terdahulu.

Pedoman

Zahid sendiri seakan-akan telah “menghidu” luahan dan suara-suara sinis seperti itu. Kerana itulah barangkali maka dalam teks ucapannya beliau menegaskan: “Gagasan Satu Malaysia perlu ‘dimasyarakatkan’ agar senantiasa difahami, dihayati dan dijadikan pedoman dalam proses pembinaan negara bangsa oleh setiap lapisan masyarakat.”

Senada dengan Zahid, Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan atas sifatnya sebagai Pengerusi Bersama Seminar, dalam kata-kata aluannya juga mengingatkan: “Gagasan Satu Malaysia sebagai panduan untuk membina negara bangsa mestilah diberi takrif dan pengisian agar gagasan itu tidak merosot menjadi satu slogan atau klise kosong. Kerana itulah maka seminar ini dibahagikan kepada tiga subtema: (i) Pemahaman dan pentakrifan, (ii) Pengisian dan Pemasyarakatan, (iii) Strategi dan pelaksanaan.”

Tiga subtema yang disebut oleh Datuk Zainal Borhan itu tidak mungkin dihuraikan secara tuntas dalam satu seminar. Sebaliknya perlu ‘dimasyarakatkan’ secara yang lebih terancang dan sistematik kepada kumpulan-kumpulan lain di serata negara dalam satu siri atau rangkaian seminar atau wacana keilmuan . Dan ternyata Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said menyedari dan bersetuju dengan keperluan yang disebut oleh Datuk Dr. Zahid dan Datuk Zainal Borhan itu.

Atas kesedaran itu Datuk Ahmad Said bersetuju dan berjanji untuk meningkatkan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu dengan Akademi Pengajian Melayu dalam usaha mengkaji dan mendalami serta memasyarakatkan gagasan “Satu Malaysia: Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan”.

Sumber : http://www.utusan.com.my/