Khamis, 27 Mei 2010
Rasionalisasi subsidi mampu bina masyarakat berdikari
SAMA ada negara ini akan bebas sepenuhnya daripada penggantungan subsidi bergantung kepada kerelaan hati rakyat untuk memahami senario persaingan dunia hari ini demi generasi masa depan. Betul, tidak ada orang yang begitu mudah melepaskan apa yang sekian lama dinikmati walaupun menyedari hakikat, mereka tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada subsidi. Langkah untuk mengurangkan subsidi di negara ini bukanlah perkara baru. Walaupun pada suatu ketika rakyat agak ‘malu’ apabila dikaitkan dengan mentaliti subsidi, jika ada ura-ura untuk memansuhkannya, ia sering terhalang. Mungkin ketika itu, kaedah menyampaikan maklumat kurang jelas dan rakyat tidak dapat menerima rasional perlunya subsidi dikurang atau dimansuhkan.
Hari ini pembiayaan subsidi yang begitu besar menyebabkan kerajaan terpaksa meminjam. Dengan pembayaran subsidi berterusan, kerajaan terpaksa menanggung hutang berpanjangan. Tahun lalu kerajaan berhutang untuk menanggung subsidi yang RM74 bilion. Mungkin masanya sudah tiba untuk kerajaan melihat semula bayaran subsidi ini khasnya berhubung subsidi sosial, makanan, tenaga dan infrastruktur termasuk tol. Kita yakin, pengurang atau pemansuhan subsidi akan melegakan akaun negara.
Subsidi ternyata menyumbang kepada beberapa kesan negatif. Sebagai contoh, subsidi tenaga (petrol, gas cecair asli, LPG dan elektrik) mencatatkan jumlah RM23.5 bilion tahun lalu. Subsidi itu menyebabkan harga petrol lebih murah berbanding negara jiran. Akibat, bahan api itu diseludup ke negara jiran. Ini bermakna, Malaysia turut membiayai subsidi petrol rakyat negara jiran. Ini turut meningkatkan kos penguatkuasaan bagi melengkapkan keperluan logistik, membiayai kemudahan, penyelenggaraan serta pemantauan.
Gula dan minyak masak juga dijual dengan harga subsidi. Akibatnya, pengguna mengambil gula secara maksimum dan kerap membazir. Gula berlebihan menyebabkan ramai rakyat Malaysia mengalami obesiti dan kencing manis yang turut menghasilkan pakej penyakit darah tinggi, jantung atau buah pinggang. Akibatnya, kos kerajaan membiayai subsidi perubatan meningkat. Gula juga diseludup ke negara jiran. Ini mencetuskan rentetan akibat yang saling berangkai dan rencam. Mengikut semangat asal, subsidi bermakna membantu pihak yang memerlukan. Tetapi, kini semakin jelas, subsidi kerajaan lebih banyak meliputi pihak yang berkemampuan atau dinikmati mereka yang tidak berhak.
Sewajarnyalah kerajaan menggariskan kerangka kerja merasionalisasikan subsidi untuk bergerak ke depan secara lebih ekonomik dalam perubahan sosiopolitik sekarang. Langkah itu juga akan mengelakkan pembaziran dan penyalahgunaan yang merugikan berbilion ringgit setahun.
Umumnya, subsidi menyebabkan peningkatan defisit bajet dan hutang sekali gus mengancam keupayaan kerajaan melaksanakan pembangunan negara. Semua unsur negatif ini tidak sewajarnya dibiar berterusan. Menyusun semula keutamaan dalam soal pembiayaan subsidi akan membolehkan kerajaan lebih fokus membela golongan kurang berkemampuan seterusnya membina masyarakat yang mampu berdikari. Merasionalisasikan subsidi juga bermakna melebarkan komitmen kerajaan meningkatkan taraf sosioekonomi setiap rakyat.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tukar kerja atau tukar sikap dalam kerjaya
Maka perubahan sikap terhadap kerjalah yang membawa kepada nilai-nilai yang baik antaranya sikap budi pekerti yang tinggi, perhubungan yang baik terutama sesama rakan sepejabat, majikan dan seterusnya dapat menghasilkan daya usaha yang memuaskan, bertanggungjawab, rajin, inovatif dan juga berdisiplin.
Begitu juga dengan sikap pekerja yang dipilih untuk bekerja dalam organisasi tertentu perlu serasi dan sesuai dengan nilai, budaya dan fahaman yang dikongsi bersama oleh setiap individu dalam organisasi berkenaan.
Misalnya organisasi Islam akan memberi keutamaan kepada pekerja yang terdiri daripada orang Islam kerana hanya pekerja Muslim yang faham akan budaya dan persekitaran dalaman sesebuah organisasi Islam. Apabila timbulnya kefahaman dan keserasian ini, maka pekerja itu akan berasa seronok dan cintakan kerjayanya dengan sepenuh hati. Seterusnya, meletakkan dirinya sebagai seorang pekerja yang bertanggungjawab, amanah, bersemangat di tempat kerja, komited dan dapat melaksanakan tugas dengan tekun dan bersungguh-sungguh (itqan).
Bayangkan bagaimana keadaan diri pekerja sekiranya tidak seronok dengan kerjaya yang dilakukan seharian di tempat kerja? Sedangkan itulah tempat bagi mereka mencari rezeki untuk menyara diri dan keluarga.
Apabila perkara ini berlaku maka sebenarnya mereka telah mengheret satu pertiga daripada masa kehidupan seharian ke tempat kerja dengan sikap malas, rasa bosan, tidak seronok dan asyik bersungut sepanjang masa sehinggalah tibanya waktu untuk pulang.
Apabila jam menunjukkan pukul 5 petang barulah pekerja itu berasa bersemangat semula, boleh tersenyum dan ceria untuk pulang ke rumah. Begitulah halnya jika pekerja yang tidak berminat dengan apa yang dilakukan terhadap tugas tetapi terpaksa dilakukan demi menyara kehidupan diri dan keluarga.
Keadaan ini seterusnya sudah tentu memberi implikasi kepada majikan di setiap organisasi. Pekerja yang tidak berminat dengan kerjayanya akan menyatakan pelbagai alasan kepada majikannya apabila kerja tidak dapat disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan, kerja yang dihasilkan tidak berkualiti, produktiviti menurun dan tidak memuaskan.
Malah bagi mereka yang tidak seronok di tempat kerja kita boleh melihat dan mengenali riak wajahnya, pergerakannya, percakapannya yang bersikap negatif terhadap tugas. Pelbagai alasan turut diberikan jika datang lewat ke pejabat, ponteng kerja, kerja tidak siap dan sebagainya.
Bukan itu sahaja, apabila pekerja ini berurusan dengan pelanggan pula, sikap negatif mereka turut sama terbawa-bawa. Tidak berkomunikasi dengan baik, gagal mengawal perasaan, sikap yang suka marah-marah, muka yang masam mencuka, kerja yang lembap turut dikaitkan dengan pekerja sebegini.
Mereka bukan sahaja tidak seronok apabila berurusan dengan para pelanggan malah turut dilabel sebagai pekerja yang tidak mesra pelanggan. Jadi jika kita mahukan perubahan, produktivi tinggi dan kejayaan organisasi, maka mereka ini perlulah disuntik semangat sukakan kerjaya di samping mempunyai niat dan matlamat menaikkan nama organisasi.
Justeru, apakah cara terbaik untuk memupuk sikap terhadap kerja supaya timbulnya minat bekerja dalam organisasi? Mungkin mudah masyarakat beranggapan bahawa jika tidak lagi berminat dengan kerjaya yang diceburi, maka mereka boleh berhenti kerja atau tukar kerja lain.
Namun, jika pekerja itu mengambil pendekatan sebegini dalam ekonomi semasa, pada perkiraan penulis, mungkin agak sukar bagi mereka memperoleh pekerjaan, melainkan jika mereka mengubah atau mentransformasikan sikap terhadap pekerjaan tersebut. Sebagaimana firman Allah dalam surah Ar-Ra'd ayat 11 "Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu mengubah diri mereka sendiri".
Bukan tugas mudah untuk mengubah sikap. Namun, sebagai pekerja Muslim perubahan itu perlu bermula dalam diri sendiri melalui transformasi sikap terhadap tugas yang diamanahkan. Malah perubahan yang baik apabila diri pekerja Muslim itu melihat kerjaya mereka sebagai ibadah.
Sikap segelintir pekerja yang menganggap tugas yang mereka lakukan di pejabat semata- mata sebagai proses makan gaji akan merugikan diri mereka sendiri. Sekiranya seorang pekerja ingin mencapai kejayaan, kenaikan pangkat dan gaji - mereka harus menanam sikap membuat kerja lebih daripada apa yang dibayar. Yang pada akhirnya mereka akan dibayar lebih daripada apa yang dikerjakan.
Ini merupakah prinsip kejayaan dalam kerjaya. Jika seseorang bekerja kerana gaji, maka mereka tidak akan bekerja melebihi gaji yang diterimanya. Tetapi jika sebaliknya, mereka akan melipat gandakan lagi kerja di tahap yang lebih baik, produktif dan berkualiti.
Nabi Muhammad SAW menjelaskan di dalam hadisnya yang masyhur, setiap amal kebajikan itu perlu disertakan dengan niat. Jika diniatkan kerana menunaikan perintah Allah, maka berpahalalah dia. Jika niat hanya kerana makan gaji, makan gaji sajalah yang diperoleh.
Di samping itu, sikap pekerja dengan sesama rakan sekerja juga perlu dijaga dengan baik dan harmoni. Dengan menganggap rakan sekerja itu sebahagian daripada ahli keluarga dan saudara mara sendiri, maka sudah tentu kita akan sanggup berbuat apa sahaja untuk menolong dan membantu mereka.
Bekerja atas dasar kasih sayang jelas terbayang daripada sabda Rasulullah SAW dalam hadisnya "Amalan sesudah beriman kepada Allah ialah berkasih sayang kepada para manusia" (Riwayat Tabrani).
Dengan demikian setiap kerja yang dilakukan bukan sahaja membawa faedah dan dinikmati oleh masyarakat sejagat malah sikap yang baik antara sesama rakan sekerja juga menjadikan diri pekerja lebih komited serta bermotivasi untuk terus menjalankan tugas mereka dengan baik dan cemerlang.
Begitu juga dengan persepsi sikap pekerja terhadap majikan perlukan perubahan. Sebagai pekerja kita perlu taat dengan majikan selagi perintah, teguran dan keputusannya itu tidak bercanggah dengan syariat. Ketaatan itu bukan mengampu sebaliknya dilakukan atas dasar taat kepada Allah SWT.
Begitu juga sikap majikan terhadap pekerja, perlu menghormati pekerja, mengasihi dan tidak menzaliminya. Jika hubungan majikan dan pekerja baik maka pekerja juga akan merasakan kerja itu lebih seronok malah turut dihargai. Justeru, ukuran kejayaan sesebuah organisasi dilihat sangat bergantung kepada sikap kita terhadap kerja yang telah diamanahkan. Mungkin sukar untuk kita bertukar tempat kerja tetapi tidaklah sesukar mana untuk kita mengubah diri dan sikap terhadap kerja kita yang sedia ada. Maka laksanakannya dengan terbaik.
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Pengadil Malaysia angkat imej guru sekolah
PUTRAJAYA - Subkhiddin Mohd. Salleh, rakyat Malaysia pertama menjadi pengadil Piala Dunia yang bermula di Afrika Selatan bulan depan, semalam mengunjungi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini.
Subkhiddin, 44, guru Sekolah Menengah Vokasional Nibong Tebal di Pulau Pinang, menemui Muhyuiddin yang juga Menteri Pelajaran, di pejabat beliau di Kementerian Pelajaran di sini, bagi melahirkan penghargaan terhadap sokongan kerajaan kepadanya.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Subkhiddin berkata, Muhyiddin memberikan nasihat supaya beliau sentiasa mengekalkan tahap kecergasan dan berusaha lebih gigih untuk membuktikan golongan pengajar juga boleh menjadi pengadil yang baik.
"Saya berasa sangat bangga kerana dapat mewakili negara dan mewakili warga pendidikan," katanya.
Subkhiddin, yang berasal dari Butterworth, mula menjadi pengadil bola sepak pada 1990 dan diiktiraf ke peringkat antarabangsa oleh FIFA pada 2000.
Sumber : http : //www. bernama. com/