Selasa, 16 April 2013

ISU PENGAJIAN TINGGI : Gali ilmu politik melalui PRU



Oleh :  Ruhaiza Rusmin

Pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) tidak lama lagi bakal mencatatkan lembaran baru sebagai pentas politik baru mahasiswa.

Selepas sekian lama terikat dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), golongan terbabit yang berkelayakan akhirnya diberi pelepasan mengundi buat pertama kalinya sejak 1971.

Sudah tentu persoalan utama ialah sejauh mana golongan itu bijak menggunakan peluang diberikan, adakah mereka akan mengikut acuan yang betul atau sebaliknya?

Melihat reaksi mahasiswa alaf baru yang lebih agresif, semua kemungkinan boleh berlaku.

Pengarah Pusat Akreditasi Pembelajaran Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Khaidzir Ismail berkata, mahasiswa perlu melihat PRU sebagai pentas politik baru yang memberi mereka peluang belajar erti demokrasi dalam konteks sebenar.

Beliau berkata, jika sebelum ini mereka menganggap tangan terikat dan mulut dikunci kerana AUKU, PRU kali ini membolehkan golongan itu menggunakan kebebasan untuk menzahirkan kehendak dan sokongan terhadap proses perjalanan politik negara.

“Buat pertama kalinya selepas AUKU dipinda, pentas politik bagi mahasiswa akan berubah dengan memberi kebebasan mereka terbabit dalam proses demokrasi dan politik.

“Mereka yang layak akan berpeluang mengundi dan membuat pilihan terhadap parti. Tiada lagi sekatan kecuali di dalam kampus yang masih tertakluk kepada pembabitan aspek kepartian.

“Ini sesuatu yang menarik kerana ia seperti menyahut cabaran mahasiswa sebelum ini yang mahukan hak mereka untuk mengundi selaras Perlembagaan Negara. Mereka sudah memperolehnya, jadi jalankan tanggungjawab itu,” katanya.

Beliau berkata, pada masa sama pentas politik baru ini seperti mengembalikan semula kegemilangan dan fungsi mahasiswa sebagai bakal pemimpin negara.

“Dulu, kita lihat perjuangan mahasiswa berlandaskan usaha untuk pembangunan ekonomi masyarakat. Dan, melalui perjuangan itu berjaya melahirkan generasi masa kini yang dinamik.

“Hari ini masih memperlihatkan mahasiswa memperjuangkan aspek yang sama, tapi lebih kehadapan dengan pelbagai isu berbangkit berani diutarakan.

“Ini satu perkembangan yang baik kerana mahasiswa boleh melihat kepentingan peranan mereka sebagai salah satu kumpulan pembangunan negara.

“Melalui perjuangan itu, kita boleh menilai sejauh mana bakat dan nilai kepemimpinan mereka. Ini juga satu proses pembelajaran yang baik kerana mereka berpeluang merasai sendiri perjalanan politik dan demokrasi negara,” katanya.

Mengulas sama ada kesuraman kebangkitan mereka dulu ada hubung kait dengan AUKU, beliau berkata, akta itu bukan persoalannya.

“Seharusnya mereka sebagai golongan terpelajar kena faham mengapa akta itu diperkenalkan. Tapi ini tidak bermakna hak mereka dirampas sepenuhnya.

“Mereka masih bebas bersuara dan masih berpeluang merasai terbabit dalam politik menerusi pilihan raya kampus. Saya berpendapat pada waktu tertentu, AUKU memang perlu digunakan berdasarkan situasi tertentu.

“Kini akta itu sudah dipinda kerana pihak terbabit masanya sudah tiba melakukan pindaan. Jangan jadikan AUKU isu besar biarpun ia dianggap sebagai pencabulan hak mahasiswa,” katanya.

Mahasiswa alaf baru, katanya, perlu berfikiran positif, mempunyai wawasan serta sentiasa melihat jauh ke depan berlandaskan fakta bukan emosi.

“Mereka ini aset negara, justeru tahap pemikiran perlu jauh ke depan. Fokus pada sesuatu perancangan yang mempunyai nilai kebaikan.

“Tidak perlu lagi membandingkan diri dengan perjuangan mahasiswa dulu. Setiap perjuangan perlu realistik dan disesuaikan dengan situasi dan masa.

“Jika mahasiswa dulu terbelenggu, mahasiswa sekarang pula sedang menikmati arus perubahan dalam pentas politik negara. Justeru tidak perlu mengungkit lagi isu yang boleh mengganggu sensitiviti pihak lain,” katanya.

Malah, pentas politik baru ini juga adalah landasan terbaik menonjolkan sisi sebenar mahasiswa.

“Di mana-mana pun, mahasiswa antara golongan yang sentiasa mencuri tumpuan. Jarang kehadiran mereka tidak disedari.

“Sebab itu, mereka harus pandai meletak diri dengan imej yang baik supaya tumpuan tidak bertukar cacian atau kejian.

“Tonjolkan bakat, kredibiliti dan nilai kepemimpinan yang boleh mengangkat nama mereka. Bukan menonjolkan imej dari sisi sebaliknya,” katanya.

Pentas politik baru juga adalah wadah terbaik mahasiswa menggali seberapa banyak ilmu mengenai dunia politik.

Menurutnya, politik sebahagian proses pembangunan negara yang berterusan dengan kepemimpinan silih berganti.

“Generasi dulu sedang memimpin manakala generasi sekarang akan meneruskannya pada masa depan.

“Inilah kesempatan terbaik mereka mencari seberapa banyak ilmu dan pengalaman supaya boleh menjadi pemimpin hebat kelak.

“Selain berbaloi dengan perjuangan mereka yang meminta diberikan hak untuk mengundi selama ini,” katanya.

Sumber : http :  //www.hmetro.com.my/