Oleh : Ruhaiza Rusmin
Pilihan raya umum ke-13 (PRU-13)
tidak lama lagi bakal mencatatkan lembaran baru sebagai pentas politik baru
mahasiswa.
Selepas sekian lama terikat
dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), golongan terbabit yang
berkelayakan akhirnya diberi pelepasan mengundi buat pertama kalinya sejak
1971.
Sudah tentu persoalan utama ialah
sejauh mana golongan itu bijak menggunakan peluang diberikan, adakah mereka
akan mengikut acuan yang betul atau sebaliknya?
Melihat reaksi mahasiswa alaf
baru yang lebih agresif, semua kemungkinan boleh berlaku.
Pengarah Pusat Akreditasi
Pembelajaran Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Khaidzir Ismail
berkata, mahasiswa perlu melihat PRU sebagai pentas politik baru yang memberi
mereka peluang belajar erti demokrasi dalam konteks sebenar.
Beliau berkata, jika sebelum ini
mereka menganggap tangan terikat dan mulut dikunci kerana AUKU, PRU kali ini
membolehkan golongan itu menggunakan kebebasan untuk menzahirkan kehendak dan
sokongan terhadap proses perjalanan politik negara.
“Buat pertama kalinya selepas
AUKU dipinda, pentas politik bagi mahasiswa akan berubah dengan memberi
kebebasan mereka terbabit dalam proses demokrasi dan politik.
“Mereka yang layak akan
berpeluang mengundi dan membuat pilihan terhadap parti. Tiada lagi sekatan
kecuali di dalam kampus yang masih tertakluk kepada pembabitan aspek kepartian.
“Ini sesuatu yang menarik kerana
ia seperti menyahut cabaran mahasiswa sebelum ini yang mahukan hak mereka untuk
mengundi selaras Perlembagaan Negara. Mereka sudah memperolehnya, jadi jalankan
tanggungjawab itu,” katanya.
Beliau berkata, pada masa sama
pentas politik baru ini seperti mengembalikan semula kegemilangan dan fungsi
mahasiswa sebagai bakal pemimpin negara.
“Dulu, kita lihat perjuangan
mahasiswa berlandaskan usaha untuk pembangunan ekonomi masyarakat. Dan, melalui
perjuangan itu berjaya melahirkan generasi masa kini yang dinamik.
“Hari ini masih memperlihatkan
mahasiswa memperjuangkan aspek yang sama, tapi lebih kehadapan dengan pelbagai
isu berbangkit berani diutarakan.
“Ini satu perkembangan yang baik
kerana mahasiswa boleh melihat kepentingan peranan mereka sebagai salah satu
kumpulan pembangunan negara.
“Melalui perjuangan itu, kita
boleh menilai sejauh mana bakat dan nilai kepemimpinan mereka. Ini juga satu
proses pembelajaran yang baik kerana mereka berpeluang merasai sendiri
perjalanan politik dan demokrasi negara,” katanya.
Mengulas sama ada kesuraman
kebangkitan mereka dulu ada hubung kait dengan AUKU, beliau berkata, akta itu
bukan persoalannya.
“Seharusnya mereka sebagai
golongan terpelajar kena faham mengapa akta itu diperkenalkan. Tapi ini tidak
bermakna hak mereka dirampas sepenuhnya.
“Mereka masih bebas bersuara dan
masih berpeluang merasai terbabit dalam politik menerusi pilihan raya kampus.
Saya berpendapat pada waktu tertentu, AUKU memang perlu digunakan berdasarkan
situasi tertentu.
“Kini akta itu sudah dipinda
kerana pihak terbabit masanya sudah tiba melakukan pindaan. Jangan jadikan AUKU
isu besar biarpun ia dianggap sebagai pencabulan hak mahasiswa,” katanya.
Mahasiswa alaf baru, katanya,
perlu berfikiran positif, mempunyai wawasan serta sentiasa melihat jauh ke
depan berlandaskan fakta bukan emosi.
“Mereka ini aset negara, justeru
tahap pemikiran perlu jauh ke depan. Fokus pada sesuatu perancangan yang
mempunyai nilai kebaikan.
“Tidak perlu lagi membandingkan
diri dengan perjuangan mahasiswa dulu. Setiap perjuangan perlu realistik dan
disesuaikan dengan situasi dan masa.
“Jika mahasiswa dulu terbelenggu,
mahasiswa sekarang pula sedang menikmati arus perubahan dalam pentas politik
negara. Justeru tidak perlu mengungkit lagi isu yang boleh mengganggu
sensitiviti pihak lain,” katanya.
Malah, pentas politik baru ini
juga adalah landasan terbaik menonjolkan sisi sebenar mahasiswa.
“Di mana-mana pun, mahasiswa
antara golongan yang sentiasa mencuri tumpuan. Jarang kehadiran mereka tidak
disedari.
“Sebab itu, mereka harus pandai
meletak diri dengan imej yang baik supaya tumpuan tidak bertukar cacian atau
kejian.
“Tonjolkan bakat, kredibiliti dan
nilai kepemimpinan yang boleh mengangkat nama mereka. Bukan menonjolkan imej
dari sisi sebaliknya,” katanya.
Pentas politik baru juga adalah
wadah terbaik mahasiswa menggali seberapa banyak ilmu mengenai dunia politik.
Menurutnya, politik sebahagian
proses pembangunan negara yang berterusan dengan kepemimpinan silih berganti.
“Generasi dulu sedang memimpin
manakala generasi sekarang akan meneruskannya pada masa depan.
“Inilah kesempatan terbaik mereka
mencari seberapa banyak ilmu dan pengalaman supaya boleh menjadi pemimpin hebat
kelak.
“Selain berbaloi dengan
perjuangan mereka yang meminta diberikan hak untuk mengundi selama ini,”
katanya.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/