|
Elakkan pertengkaran di hadapan anak |
Oleh : Norlaila
Hamima Jamaluddin
Kemahiran keibubapaan memang sangat penting dalam membentuk keluarga
bahagia dan memperoleh anak yang mendengar kata. Sana sini orang memberikan
panduan keibubapaan yang baik, malah ada beratus buku membincangkan perkara ini
dengan terperinci.
Namun, ramai ibu bapa terlepas pandang sikap mereka sendiri yang boleh
memberi kesan buruk pada perkembangan psikologi dan perlakuan anak. Ramai juga
ibu bapa yang berasakan mereka ‘terlepas’ untuk menikmati saat anak membesar
kerana kesibukan kerja dan perkara ini hanya disedari apabila anak meningkat
remaja serta menunjukkan perlakuan yang memeningkan kepala.
Sebenarnya tanpa sedar, anak banyak ‘mewarisi’ sikap kita terutama
perlakuan yang buruk. Sebelum ia terjadi, marilah kita sama-sama menilai semula
sikap yang boleh memberi kesan negatif kepada perkembangan anak seperti:
i. Memberi gelaran tidak baik kepada seseorang
Anak sekarang bijak dan mereka boleh mengesan apabila mendengar sesuatu
yang tidak sepatutnya diucapkan. Jika anda ada tabiat ini, berusahalah
menghentikannya supaya anda tidak menjadi teladan buruk kepada anak.. Memberi
gelaran sama ada kepada guru, ahli keluarga, jiran atau orang yang melewati di
depan rumah anda adalah satu tabiat yang sangat hodoh.
Oleh sebab kanak-kanak masih belum pandai membezakan antara baik dan buruk,
dikhuatiri dia melakukannya ketika berada di khalayak ramai.
Pada masa sama, elakkan juga memberi gelaran kurang manis kepada anak
seperti ‘hitam’ (kerana kulitnya gelap) atau ‘cik mok’ (disebabkan badannya
montel) seperti yang kerap dilakukan kebanyakan ibu bapa. Jangan beri anak
gelaran negatif seperti penipu, bodoh, lembab, degil, lembik atau pembelot.
Walaupun ada kalanya ia bertujuan untuk mengusik, ia memberi kesan buruk kepada
psikologi anak.
Panggilan seperti ini akan mengikis keyakinan diri mereka dan perkara ini
boleh berlanjutan sehingga dewasa. Mereka akan membesar sebagai individu yang
kurang yakin dan mempunyai tanggapan negatif pada diri sendiri. Panggilan
negatif yang diulang berkali-kali lama-kelamaan akan meresap dalam fikiran anak
dan dia percaya dirinya memang mempunyai sifat seperti nama gelaran itu.
Kita boleh mengubah panggilan negatif ini kepada positif. Contohnya jika
memang kulitnya agak gelap berbanding anak lain, panggillah dia ‘si hitam
manis’, namun lebih baik jika perkataan yang menggambarkan warna kulitnya
dipadamkan terus. Ciri fizikal seperti warna kulit dan bentuk badan hanyalah
sifat luaran, apa yang penting ialah budi pekertinya. Jika si anak gemuk, ibu
bapa perlu mengambil tanggungjawab untuk membantu menguruskan berat anak demi
kesihatan dan keyakinan dirinya.
ii. Bercakap dengan nada suara yang tinggi atau suka
menengking
Sedarkah kita tabiat yang buruk itu lebih mudah dan cepat ditiru berbanding
nilai murni? Anak akan menganggap bercakap dengan nada tinggi itu satu perkara
normal dan melakukan perkara yang sama tidak kira di mana dia berada.
iii. Tidak memberikan perhatian kepada anak
Tidak mengendahkan anak secara fizikal atau emosi boleh memberi kesan
negatif kepada anak anda. Tidak mengendahkan anak adalah antara penganiayaan
yang paling biasa berlaku. Tidak memberi perhatian kepada keperluan anak
membabitkan makanan, tempat tinggal, pendidikan, penjagaan kesihatan dan
keselamatan akhirnya akan membuatkan anak berasa dipinggirkan dan rendah diri.
Ia boleh meninggalkan parut psikologi yang berpanjangan.
iv. Mendera anak secara fizikal dan lisan
Tanpa disedari kita melakukan penderaan lisan kepada anak-anak dengan
mengherdik, mencemuh, memaki-hamun atau memanggilnya dengan nama yang
memalukan. Kita tidak sedar kerosakan psikologi yang berlaku dalam fikiran anak
kita. Akibatnya anak akan hilang keyakinan dan sentiasa berasa rendah diri.
Memang tidak salah kita menghukum anak jika dia melakukan kesalahan, tetapi
biarlah hukuman yang berpatutan, sesuai dengan jenis kesalahan dan umurnya. Ada
banyak cara tidak menyakitkan boleh kita gunakan untuk menghukum anak supaya
dia sedar. Kanak-kanak memerlukan sentuhan fizikal daripada ibu bapa seperti
pelukan, ciuman dan tanda penghargaan yang lain.
Jika anda marah menjerit-jerit, memanggilnya dengan nama gelaran, kerap
mengatakan dia bodoh, tidak berguna, tidak bagus dan seumpamanya, lama-kelamaan
anak akan percaya dia memang dilahirkan begitu. Setiap orang dicipta dengan
kelebihan tersendiri. Carilah dan pupuk kelebihan itu supaya ia boleh menjadi
‘ejen’ untuk meningkatkan keyakinan dan jati diri anak.
v. Pilih kasih
Kata orang tua-tua dulu, setandan pisang bukan semuanya sama baik. Sama
juga dengan anak kita, masing-masing mempunyai karakter, kelebihan dan
kekurangan masing-masing. Di sesetengah negara contohnya China dan India,
budaya pilih kasih ini memang sangat ketara yang mana anak lelaki disayangi dan
dihargai. Anak perempuan pula bukan saja kurang diberikan peluang pendidikan,
bahkan mereka perlu bekerja untuk membantu keluarga menghantar anak lelaki ke
sekolah.
Ada banyak faktor yang boleh menyebabkan berlakunya sikap pilih kasih,
antaranya ialah pencapaian pelajaran, kerjaya, rupa paras dan peribadi anak itu
sendiri. Malah rasa benci atau dendam kepada pasangan juga boleh menyebabkan
seseorang bersikap pilih kasih pada anak.
Sikap pilih kasih akan mencetuskan suasana kurang sihat dan membuatkan anak
berasa kecil hati, tidak disayangi dan ada kemungkinan besar ia merapuhkan
hubungan kekeluargaan akibat timbulnya rasa tidak puas hati. Ada sesetengah ibu
bapa tidak sedar mereka bersikap pilih kasih tetapi ia amat jelas di mata
anak-anak. Jika ada antara anak merungut mengatakan kita pilih kasih atau tidak
adil, ambil berat rungutan mereka. Nilai semula tindakan kita dan berusahalah
untuk memberi layanan sama rata kepada anak.
vi. Menggalakkan anak berkelakuan tidak elok dengan
tidak menetapkan disiplin
Ramai ibu bapa tidak berbuat apa-apa apabila anak menunjukkan perlakuan
tidak elok dan lebih malang mereka marah apabila ada orang menegur tindakan si
anak. Sebelum kita hendak menegur anak, perhatikan dulu tingkah laku kita.
Kebarangkalian untuk anak mewarisi perwatakan kita amat tinggi kerana
setiap hari dia melihat tingkah laku anda yang sedikit sebanyak mempengaruhi
pemikiran dan perlakuannya. Jika kita bercakap kasar, tentulah teguran supaya
anak bercakap sopan tidak akan meninggalkan kesan di hatinya.
Selain itu, jika berlaku perselisihan faham antara anda dan isteri, paling
penting elakkan bertengkar di depan anak. Simpanlah sikit rasa malu pada
anak-anak, jangan tunjukkan sikap buruk anda berdua di depan mereka.
Pertengkaran tidak akan membawa kebaikan pada mana-mana pihak termasuk
anak-anak. Tempias negatifnya turut terkena pada anak kerana anak yang kerap
menyaksikan ibu bapa bertengkar akan berasa tertekan, sedih dan mungkin
menganggap merekalah punca berlakunya keadaan berkenaan.
vii. Terlalu sibuk sehingga tiada masa melayan anak
Ini juga antara tanda gaya keibubapaan yang buruk. Memang diakui ibu bapa
kini sibuk bekerja bagi memberikan kehidupan yang lebih baik kepada anak.
Bagaimanapun, perkara terpenting dalam perkembangan anak adalah kita ibu bapa
bukan wang ringgit atau gajet elektronik yang mahal. Kesibukan sehingga tiada
masa untuk diluangkan bersama anak bermakna kita mengabaikan anak sendiri.
Luangkan masa untuk berbual, mengambil tahu apa yang berlaku pada anak
ketika di sekolah, siapa kawan-kawannya, meneliti dan membantu dia menyiapkan
tugasan sekolah serta terbabit dalam aktivitinya adalah antara cara untuk
mendekati hati si kecil.
Jika duduk menemaninya, tetapi kita sibuk melayan laman sosial atau telefon
bimbit, pun tiada gunanya. Keasyikan kita melayan laman sosial atau telefon
bimbit memberi gambaran tidak baik kepada anak kerana ia menunjukkan teman di
laman sosial itu lebih penting berbanding dirinya yang ada di sisi kita.
viii. Tidak rajin melayan pertanyaan anak
Ketika anak mula belajar bercakap, kita sibuk memperkenalkannya dengan
banyak perkataan namun apabila dia sudah petah, kita pula malas hendak melayan
pertanyaannya. Lebih buruk jika pertanyaannya kita jawab dengan satu atau dua
patah perkataan saja seperti ‘Entah’, ‘Ibu tidak tahu’, ‘Jangan bisinglah’ atau
ayat lain yang membantutkan sikap ingin tahunya.
Jangan kecewa atau marah apabila anak remaja memberikan jawapan yang pendek
juga seperti ‘baik’, ‘okay’, ‘tidak tahu’, ‘biasa saja’ apabila kita bertanya
perjalanan harinya. Mereka belajar daripada kita. Kita yang mengajarnya untuk
menjawab begitu. Jika kita tidak tahu jawapan kepada pertanyaannya, kita boleh
kata ‘Ibu tidak tahu, nanti ibu cari jawapannya’ dan tunaikan janji ini secepat
mungkin.
ix. Mengamalkan corak pemerintahan kuku besi
Semua ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak dan berasakan kita berhak
membuat semua keputusan. Walaupun kita lebih dulu makan garam, tidak semestinya
semua keputusan yang kita ambil itu betul. Ketahuilah anak juga mempunyai
minat, cita rasa dan pendapat sendiri sesuai dengan zamannya. Dengar pendapat
anak dan beri cadangan untuk mendapat keputusan yang lebih baik. Dengan cara
ini anak akan berasa dirinya penting dan dihargai.
x. Memanjakan anak dengan wang atau barangan
berjenama
Anak yang dimanjakan dengan wang dan barang berjenama akan bersikap
individualistik dan materialistik (mementingkan kebendaan). Ia akhirnya boleh
membuahkan sikap suka menunjuk-nunjuk dan kurang prihatin kepada kawan yang
kurang berkemampuan. Sikap ini perlu dibendung lebih-lebih lagi jika dia anak
tunggal.
Pupuk sikap pemurah dengan menggalakkan dia bersedekah sejak kecil. Jadikan
bersedekah itu amalan keluarga supaya sikap yang baik ini akan terus subur
dalam jiwa anak. Jika kita sendiri kedekut, tidak mustahil anak juga akan
bersikap kedekut.
Ketahuilah, bersedekah tidak menjadikan kita miskin atau susah sebaliknya
ia akan membuatkan rezeki kita lebih berkat dan bertambah. Pada masa sama, kita
dapat menggembirakan orang lain.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/