Oleh : ROHAMI SHAFIE
BENARKAH Malaysia telah bankrap? Bagi orang biasa, apabila terdapat dakwaan
Malaysia telah bankrap boleh menyebabkan mereka berasa risau apa akan terjadi kepada
masa depan mereka dan keluarga mereka.
Bankrap satu istilah yang amat dibimbangi oleh sesiapa sahaja hatta
mana-mana negara di dunia sekali pun. Kebankrapan menyebabkan seseorang itu
tidak bebas, manakala negara pula mudah mengikut telunjuk pemberi hutang tanpa
boleh membuat keputusan sendiri.
Natijahnya, bagi seseorang yang diisytiharkan bankrap, kehidupannya tidak
seperti manusia normal. Begitu juga negara yang telah bankrap, rakyatnya
menerima padahnya yang amat dahsyat. Inilah yang terjadi di negara-negara Barat
seperti Greece yang secara teknikalnya boleh dikatakan sebagai negara yang
bankrap.
Tetapi bagaimana pula dengan Malaysia? Bagi penganalisis ekonomi dan
kewangan, Malaysia tidak berada dalam keadaan gawat kewangan, jauh sekali
bankrap. Jika Malaysia bankrap, sudah
lama ada petanda-petanda Malaysia bankrap.
Sebagai contoh, petanda paling utama adalah kerajaan tidak mampu membayar
hutang kerajaan. Usah kata hutang pokok kerajaan, kadar faedah pun tidak mampu
dibayar. Sebaliknya berlaku, apabila hutang kerajaan Malaysia mampu dibayar
oleh kerajaan, dan pemegang hutang kerajaan tidak pernah sesekali tidak dibayar
kadar faedah.
Dalam istilah kewangan tidak pernah berlaku kemungkiran pembayaran faedah
(default). Disebabkan tidak pernah berlaku kemungkiran pembayaran faedah oleh
kerajaan Malaysia, Indeks Risiko Kedaulatan Blackrock (BSRI) meletakkan
Malaysia di kedudukan ke-18 hutang
kerajaan paling kurang risiko. Dengan
kata lain, hutang-hutang kerajaan
termasuklah bon kerajaan berisiko rendah untuk terjadinya kemungkiran
pembayaran faedah. BSRI meletakkan negara-negara yang sememangnya bermasalah
seperti Greece, Portugal, Mesir, Venezuela, Itali dan Ireland sebagai negara
yang hutang kerajaannya paling berisiko.
Negara-negara ini boleh dikatakan sebagai negara yang gawat kewangan kerana
faktor ketidakstabilan politik. Antara negara yang dikategorikan sebagai negara
yang mempunyai hutang kerajaan yang berisiko tinggi ialah negara-negara yang mengamalkan konsep
negara berkebajikan.
Penulis mengambil contoh Greece
yang sebelum negara itu gawat
kewangan, rakyatnya menerima pelbagai manfaat kewangan yang tidak setimpal
dengan keupayaan kewangan kerajaan seperti pencen penjawat awam dibayar terlalu
tinggi dan rakyatnya diberikan kemewahan.
Ini semuanya hanya kerana inginkan rakyatnya menyokong kerajaan. Adakah
kita mahu perkara sebegitu berlaku ke atas negara ini dengan rakyatnya
diberikan kemewahan yang tidak setimpal dengan keupayaan kewangan negara?
Dasar segala-gala percuma seperti tol dihapuskan,
menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Negara (PTPTN), minyak
diturunkan pada tahap yang tidak munasabah dan meningkatkan subsidi yang tidak
produktif boleh meletakkan Malaysia di
kedudukan bahaya sebagai negara yang bakal bankrap.
Usah hanya kerana ingin mengambil hati rakyat,
perkara yang sukar dilakukan atau di luar keupayaan kewangan negara ditawarkan
kepada rakyat. Ini belum termasuk hasrat untuk mengangkat pendapatan pekerja
pada tahap yang orang biasa pun mengetahui sukar dilaksanakan.
Apabila segala-galanya diberi percuma akan lahirlah golongan yang malas
bekerja, maklumlah segala-galanya percuma, buat apa perlu bekerja keras.
Kesannya, amat teruk sama sekali apabila produktiviti negara semakin
menurun dan seterusnya pendapatan negara akan semakin berkurangan. Pendapatan
negara semakin berkurangan dek cukai yang dikutip semakin berkurangan.
Cukai yang semakin berkurangan sudah pastinya tidak mampu menanggung
kemewahan yang diberikan kepada rakyat selama ini. Kerajaan bukan sahaja tidak
mampu meneruskan kemewahan tersebut bahkan kewangan negara sudah tidak mapan
lagi. Kesan akhirnya dan inilah yang terjadi kepada Greece, secara teknikalnya
negara akan bankrap dan terpaksa meminta bantuan daripada negara asing bagi
membiayai kewangan negara.
Rakyat mula memberontak dan pelbagai demonstrasi akan melanda di pelosok
negara. Kehidupan rakyat tidak berjalan seperti biasa. Dua kerisauan akan
terjadi. Pertama, rakyat risau nyawa dalam keadaan bahaya apabila terjadinya
demonstrasi berleluasa.
Kedua, risau tidak mampu lagi makan dan minum seperti biasa kerana aktiviti
ekonomi tidak berjalan seperti biasa. Usah cakaplah menikmati makan dan minum
secara bermewah-mewah, menikmati makan dan minum sebagai orang biasa pun tidak
mampu lagi.
Mengimbas kembali sejarah kegawatan kewangan Malaysia, kita tidak boleh
sesekali melupakan apa yang terjadi pada tahun 1997/98. Bagi generasi muda yang
berumur di bawah 35 tahun mereka tidak merasai kegawatan kewangan tersebut.
Pada masa itu, ramai rakyat Malaysia yang bankrap, nasib baiklah kerajaan
ketika itu tangkas mengambil tindakan drastik dan tepat pada masanya untuk
memastikan ekonomi negara stabil semula. Ramai pelajar yang bijak tidak dapat
dihantar ke luar negara. Kita hampir-hampir meminta bantuan asing. Kadar faedah
pula terlalu tinggi.
Generasi muda perlu merujuk kembali angka-angka ekonomi negara ketika itu
terutamanya indeks komposit dan kadar faedah yang terlalu tinggi merencatkan
sistem ekonomi negara. Lebih teruk lagi, kadar Ringgit Malaysia berbanding dollar
Amerika Syarikat (AS) menjunam teruk.
Hutang individu amat tinggi, hutang syarikat pun usah cakaplah dan akhirnya
banyak syarikat gulung tikar. Situasi pada ketika itu membuka peluang
seluas-luasnya untuk negara luar menjajah Malaysia secara halus dan bukannya
secara ketenteraan.
Adakah keadaan ekonomi ketika itu sebagaimana sekarang? Tidak sama sekali.
Tetapi tidak mustahil ia berulang kembali sekiranya Malaysia mengamalkan sistem
ekonomi seperti Greece.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan
Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan dan Felo Penyelidik, Institut Keusahawanan
dan Koperasi, Universiti Utara Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan