Selasa, 2 Mac 2010

Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri : 51 negara bersaing

SEBAHAGIAN peserta luar negara yang menyertai Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri menunggu giliran masing-masing di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, 2 Mac.

PERTANDINGAN Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2010 (PABM 2010) bakal menyaksikan 56 peserta akan mengambil bahagian mewakili 51 negara yang berlangsung selama empat hari mulai kelmarin, di Pusat Persidangan Putrajaya (PICC), di Putrajaya.

Program yang diadakan masuk tahun keempat itu sebelumnya dianjurkan bagi merebut Piala Timbalan Perdana Menteri bagaimanapun dinaikkan taraf kepada Piala Perdana Menteri mulai tahun ini. Majlis kemuncak pertandingan itu akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di PICC, Jumaat ini.

Pertandingan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Kementerian Pelancongan itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori nusantara dan kategori antarabangsa.

KPT dalam kenyataannya berkata, kategori nusantara dianggotai peserta dari negara pengamal Bahasa Melayu sebagai bahasa utama seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand dan Singapura.

Bagi kategori antarabangsa pula, penyertaan terdiri daripada anak watan negara berkenaan yang mengambil jurusan bahasa Melayu sebagai kursus elektif di institusi pengajian tinggi yang menawarkan program pengajian Bahasa Melayu.

Setakat ini terdapat 130 institusi pengajian tinggi di 45 negara seluruh dunia menawarkan program berkenaan.

Peserta dari negara berkenaan antaranya, Amerika Syarikat, Argentina, Jepun, China, Korea Selatan, New Zealand, Jerman, Belanda, Vietnam, Ukraine, Romania, Yaman, Mesir dan India akan mengambil bahagian.

Johan pertandingan menerima wang tunai AS$5,000 (RM17,500) serta hadiah sampingan berupa kamus dan buku bahasa Melayu serta hadiah sampingan. Naib johan menerima wang tunai AS$3,000 (RM10,500) dan hadiah iringan manakala tempat ketiga akan membawa pulang AS$2,000 (RM7,00) dan sijil penyertaan.

Sebagai menghargai sumbangan peserta dalam meningkatkan penguasaan mereka dalam pengucapan Bahasa Melayu, penganjur menyediakan cenderamata berupa plak, sagu hati RM1,000 dan sijil penyertaan kepada semua peserta.

PABM bertujuan memartabatkan pengaruh Bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa selain memupuk semangat cinta akan bahasa kebangsaan dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi tempatan serta pelajar antarabangsa yang mengikuti program berkenaan.

Sumber : http : http://www.bharian.com.my/

Kita jaguh 'meniru' dialek orang luar?

Oleh : Rahman Shaari

Di mana-mana pun ada masalah. Jika tiada masalah, agensi media akan kehilangan fungsi, hilanglah juga kerja melapor kerana yang dinanti-nantikan orang ialah laporan masalah.

Saya ingin menarik perhatian masalah yang wujud di negara kita sejak sekian lama, ada yang benar-benar besar dan ada yang kecil tetapi disangka besar, atau diperbesar.

Masalah bahasa misalnya, sejak merdeka tahun 1957, kita tidak pernah berhenti mengatakan kita ada masalah bahasa. Kita mengatakan orang Melayu tidak menyukai bahasa Melayu, apatah lagi bukan Melayu. Kita menganggap itu adalah masalah besar, hingga sejumlah pencinta bahasa Melayu, baik yang baku mahupun berdialek, berdemonstrasi di jalan-jalan.

Antara yang berdemonstrasi itu, ada yang bermuncung-muncung menyebutkan hujah kritis, dan ada pula yang sarkastik atau kesat dan sinis. Mereka kesal kerana bahasa Melayu diketepikan orang Melayu, khususnya dan orang Malaysia umumnya.

Jika kita tinjau hal tersebut secara saksama, apatah lagi menggunakan pendekatan berbeza, kita dapati masalah di atas adalah kecil, tetapi diperbesar. Seseorang yang mencintai bahasa Melayu tentu akan berbuat sesuatu yang menuju ke arah peningkatan martabat bahasa Melayu secara praktis, bukannya melaksanakan kebisingan yang amat pelik dalam sejarah manusia.

Bahasa Melayu akan dihormati jika cendekiawan atau ilmuwan Melayu menghasilkan karya-karya yang bagus, hebat dan menakjubkan. Pejuang bahasa perlu berbuat sesuatu yang menunjukkan kehebatan bahasa Melayu, bukannya menulis sajak-sajak tentang peranan bahasa Melayu zaman purba kala, yang khabarnya digunakan orang lama merentas pulau-pulau dan benua-benua. Bahasa Melayu akan disanjung jika kita menyanjungnya secara ikhlas dan bijaksana, bukan berlebih-lebihan atau propagandistik.

Sekarang, persidangan untuk menyanjung bahasa Melayu secara propaganda telah tamat, atau hampir tamat. Jika dibuat pun, sambutannya mengecil atau jika besarpun, palsu. Kita perlu mengadakan persidangan tentang hal-hal lain, dan bahasa untuk penyampaian kandungan di persidangan itu ialah bahasa Melayu yang baik dan berkesan.

Kita mungkin elok mengadakan persidangan Matematik, Biologi atau Undang-undang. Pejuang bahasa yang bermuncung-muncung itu mestilah menjadi penulis kertas kerja. Daripada seminar itu, jika kita berasa puas dari segi bahasa, penyampaian, dan lebih-lebih lagi kesan intelektualnya, maka dapatlah kita anggap bahasa Melayu sudah berjaya sebagai pengantar ilmu. Jika para pembentang asyik menyebut istilah Inggeris, atau istilah daripada bahasa lain, maka kita mesti berfikir terus untuk memajukan ilmu Matematik, Biologi dan Undang-undang melalui bahasa Melayu.

Persidangan dalam lapangan lain juga hendaklah diadakan secara terus menerus. Adakan persidangan Ekonomi, Kejuruteraan, Falsafah dan aneka ilmu yang kita fikir amat berguna untuk rakyat Malaysia.

Jika penulis kertas kerja (seterusnya pembentang) menyatakan mereka lebih selesa berbahasa Inggeris, janganlah sesiapa menyergah mereka. Kebolehan mereka berbahasa Inggeris, dan kelemahan mereka dalam bahasa Melayu ialah hakikat yang datang daripada pendidikan dilalui mereka. Apa-apa usaha pun, janganlah kita berlandaskan emosi. Kita akhirnya akan mendapati bahawa masalah kita amat kecil.

Kita hendaklah sentiasa ingat bahawa Perdana Menteri, sejak dahulu hingga kini, terdidik melalui bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Demikian juga para Timbalan Perdana Menteri, termasuk yang kini menjadi ketua pembangkang. Pejuang-pejuang bahasa yang bermuncung-muncung itu pun sebahagiannya berjaya dalam hidup mereka melalui pendidikan bahasa Inggeris sebagai pengantar.

Tentu ada cara lain untuk kita memaparkan rasa cinta terhadap bahasa Melayu. Orang Melayu yang ke Indonesia, dalam perhatian saya, amat suka memilih dialek Indonesia. Seelok saja sampai di lapangan terbang, orang Melayu telah menukar cara bermain lidah, hingga tiba-tiba mahir menyebutkan “Apa kabar, pak?” dan kemudian, “Apa bapak bisa bantu, saya mau dapatkan taksi”

Jika orang Indonesia menemui orang Melayu di tengah-tengah Kuala Lumpur, si Melayu Malaysia juga yang bertukar dialek. “Sila gunakan tangga bu. Lif macet ”. Orang Indonesia tidak perlu bersusah-susah menukar dialek, kerana orang Melayu Malaysia adalah ‘jago’ dalam peniruan dialek.

Jika kita menganggap sikap meniru dialek seperti di atas ialah kelemahan, maka kita akan mengatakan orang Melayu lemah. Hukum anjakan makna mengizinkan, bahkan menganjurkan agar kita bergerak ke tapak lain. Kita katakan, orang Melayu Malaysia hebat berbahasa Inggeris, dan hebat meniru dialek Indonesia. Saya ada mendengar orang Melayu berbahasa Arab. Saya dapati, mereka tahu mengajuk dialek Arab.

Jika orang Melayu berjumpa temannya orang Cina, orang Melayulah yang berkata: “Hai, Chong, mana lu pigi? Sulah lama wa tak lampak lu” Jika orang Melayu bersua dengan orang India, orang Melayu jugalah yang berkata dalam bahasa pasar, dialek India.

Ketika sejumlah orang Melayu berjuang membalikkan bahasa Melayu ke subjek Sains dan Matematik, semua kita tahu, bahawa penggunaan bahasa Inggeris sebagai pengantar pada awal dekad ini bukannya hasil usaha orang lain. Orang Melayu berfikir tentang berbagai-bagai hal, dan berbagai-bagai cara.

Kecilkah atau besarkah masalah ini? Kacang saja. Usaha mestilah dengan penuh keikhlasan, bukan penuh kebisingan.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/