Oleh : Ihsan Noorzali
Ketika segelintir pihak
mempertikaikan kewibawaan guru, golongan itu terus tabah melaksanakan amanah
untuk mendidik anak bangsa.
Selepas lebih sedekad dunia
melalui alaf baru, cabaran guru juga semakin panjang dengan pelbagai tuntutan
bagi menyaingi kehendak globalisasi serta perubahan sistem pendidikan negara.
Malah, kerjaya perguruan yang
dulunya dianggap pilihan terakhir paling selamat untuk memperoleh pekerjaan,
kini tidak lagi menjanjikan peluang itu.
Dengan kata lain, guru alaf baru
terpaksa bersaing dan membuktikan mereka adalah yang terbaik dalam kalangan
terbaik untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Apakah persediaan paling utama
bagi guru alaf baru?
Dekan Fakulti Pendidikan dan
Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya
Dr Noor Shah Saad berkata, guru alaf baru perlu mempunyai persediaan untuk
berdepan senario perubahan dunia pendidikan sama ada di peringkat tempatan
mahupun global.
Beliau berkata, perubahan itu
selaras bagi memenuhi permintaan yang memerlukan guru berperanan sebagai medium
penjana ilmu, sekali gus melahirkan masyarakat berpendidikan.
“Sebagai guru alaf baru, cabaran
mereka cukup hebat dan banyak. Segala perubahan dari segi sistem, modul,
pedagogi dan sebagainya perlu dilaksanakan mengikut standard.
“Justeru, bergelar guru pada
zaman ini memerlukan keberanian dan kemahuan melakukan anjakan pemikiran. Tidak
boleh dibelenggu tanggapan bidang perguruan sama seperti dulu.
“Bidang perguruan kini mempunyai
pelbagai mekanisme dan suntikan baru bagi mengimbangi perubahan drastik
globalisasi. Guru tidak boleh beralasan atau membuat pilihan mengikut kehendak
sendiri,” katanya.
Malah tema Hari Guru tahun ini
iaitu ‘Guru Malaysia: 1Aspirasi, 1Agenda’ turut menggambarkan bahawa golongan
itu menjadi aspirasi kepada semua lapisan masyarakat dan memikul tanggungjawab
berat untuk melahirkan masyarakat berilmu di negara ini.
Beliau berkata, guru alaf baru
berdepan cabaran hebat kerana mereka bukan saja terpaksa bersaing dengan
perubahan sistem, malah kepantasan dan kecekapan pelajar memperoleh maklumat
dengan bantuan teknologi.
“Sebab itu, guru tidak boleh
‘buta’ teknologi kerana pelajar kini bukan calang-calang golongan. Mereka
bersikap lebih ingin tahu kerana mendapat sokongan maklumat daripada
teknologi.
“Berbanding pelajar dulu, mereka
pasif dengan pendedahan maklumat terhad. Apa yang diberikan guru, itulah
maklumatnya.
“Kerja guru mudah, ibu bapa tidak
pernah bersoal jawab. Tapi kini guru berdepan ‘peperangan’ dari segala sudut
hingga memerlukan mereka sentiasa bersedia,” katanya mengakui asakan demi
asakan diterima menyebabkan guru berdepan konflik diri yang hebat.
“Kita sering mendengar rungutan
guru yang terbeban dengan segala tugasan. Situasi ini tidak boleh dielak kerana
perubahan dunia pendidikan memerlukan guru terpaksa menerimanya.
“Tiada lagi kemudahan dan
kesenangan dalam kerjaya ini, sebaliknya dipenuhi dengan desakan serta
keperluan yang sentiasa berubah dengan pantas.
“Malah, jika ada andaian
mengatakan kerjaya ini senang kerana ada banyak cuti atau insentif, perbetulkan
dulu andaian itu,” katanya.
Ditanya pandangan segelintir guru
yang menganggap kerjaya ini pilihan terakhir untuk memperoleh pekerjaan,
katanya tanggapan itu perlu diubah.
Menurutnya, profesyen perguruan
hari ini sudah tidak boleh dijadikan pilihan terakhir kerana ia dikategorikan
profesional serta mengalami penambahbaikan dari semasa ke semasa.
“Sejak dulu lagi, masyarakat
menganggap guru adalah kerjaya selamat yang menjanjikan peluang kerjaya terbuka
sehingga ramai yang berkata, jika tidak dapat kerja, jadilah cikgu.
“Tapi, jika masyarakat mengetahui
betapa sukarnya kini mahu menjadi guru, mereka pasti terkejut. Bidang
pendidikan dan perguruan sudah menuju pelbagai transformasi.
“Ada syarat, mekanisme dan
piawaian ditetapkan Kementerian Pelajaran, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan,
institusi pengajian tinggi dan sebagainya sebelum bergelar guru.
“Untuk jangka panjang, negara
ingin melahirkan masyarakat berilmu, berteknologi serta bergelar teknokrat.
Guru sebagai medium yang menyampaikan ilmu perlu setaraf atau mempunyai
kelayakan diiktiraf,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui
beban tugasan guru yang kadangkala melampau boleh menjejaskan tumpuan terhadap
tanggungjawab hakiki.
Menurutnya, guru di luar negara
mempunyai jadual lebih fleksibel, tidak terbeban dengan kerja perkeranian serta
dianggap kerjaya kolar putih.
“Terbeban dengan segala kerja
terutama perkeranian menyebabkan tumpuan guru agak terjejas. Sebab itu
sebahagian besarnya gagal menjalankan tugasan hakiki dengan baik.
“Biarpun dari sudut gaji dan
inisiatif sudah bertambah baik, masalah sampingan perlu diatasi supaya mereka
dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih baik,” katanya.
Selain itu, kekangan melaksanakan
tugas antara faktor guru gagal menjalankan fungsi mereka dengan baik.
“Saya berpendapat sistem hukuman
kepada pelajar yang dilaksanakan ketika ini kurang cekap dan menyumbang kepada
lemahnya semangat guru.
“Masyarakat terutama ibu bapa
perlu meletakkan diri dalam situasi guru. Katakan anak kita bermasalah tapi
tidak boleh dipukul?
“Jika guru ‘dikembalikan’
kuasanya untuk menghukum pelajar, bebanan perasaan guru boleh dikurangkan,”
katanya.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/