11,485 kes denggi, 23 kematian
dari Januari hingga Jun
Selangor catat kes tertinggi,
30 peratus mangsa tinggal di pangsapuri
Boleh terbang sejauh 200
meter, mampu hidup pada ketinggian 750 meter
Membiak lebih kerap pada musim
panas dari Jun hingga September
Kuala Lumpur : Ancaman
nyamuk aedes makin meningkat dengan 11,485 kes denggi dilaporkan dari Januari
hingga Ahad lalu membabitkan 23 kematian, iaitu pertambahan empat peratus
berbanding 11,063 kes dengan 22 kematian bagi tempoh sama tahun lalu.
Daripada jumlah itu, Selangor
mencatatkan jumlah tertinggi membabitkan 4,999 kes dengan lima kematian,
diikuti Johor, 1,421 kes dengan tujuh kematian dan Perak 857 kes.
Rekod tertinggi pada 2010
Berdasarkan analisis 2003-2012,
Kementerian Kesihatan merekodkan 876 kematian akibat denggi dengan rekod
tertinggi pada 2010 membabitkan 134 kematian.
Agak mengejutkan, lebih 30
peratus mangsa di Selangor tinggal di pangsapuri.
Menurut Ketua Sektor Penyakit
Bawaan Vektor, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Rose Nani
Mudin, kajian menunjukkan aedes boleh terbang sejauh 200 meter dan mampu hidup
di tahap ketinggian 750 meter atau bangunan 21 tingkat.
“Justeru, orang ramai perlu
mengetepikan tanggapan kononnya penghuni bangunan tinggi atau pangsapuri tidak
diserang aedes.
“Nyamuk secara semula jadi tidak
mampu terbang pada ketinggian itu, tetapi ia ada cara tersendiri dengan terbang
mengikut mangsa menaiki lif dan singgah di tingkat tertentu seterusnya bertelur
dan membiak.
“Selepas menghasilkan telur di tempat
air bertakung, nyamuk akan mula terbang di ketinggian yang lain pula untuk
mencari mangsa dan tempat bertelur yang baru,” katanya kepada BH.
Faktor cuaca
Sementara itu, Timbalan Ketua
Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Lokman
Hakim Sulaiman, berkata pembiakan nyamuk aedes berkait rapat dengan cuaca.
“Analisis menunjukkan bagi tempoh
lima tahun lalu peningkatan kes denggi berlaku antara Jun hingga September
setiap tahun kerana sepanjang tempoh itu cuaca panas.
“Kadar gigitan dan proses
pembiakan nyamuk lebih kerap berlaku dalam suhu yang tinggi dan aedes mengalami
proses tumbesaran daripada larva ke dewasa dengan lebih cepat dalam keadaan
panas,” katanya.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/