Rabu, 19 Jun 2013

ISU KESIHATAN : Aedes mengganas


Oleh :  Nor Hatina Shuib dan Suhaila Shahrul Annuar

11,485 kes denggi, 23 kematian dari Januari hingga Jun

Selangor catat kes tertinggi, 30 peratus mangsa tinggal di pangsapuri

Boleh terbang sejauh 200 meter, mampu hidup pada ketinggian 750 meter

Membiak lebih kerap pada musim panas dari Jun hingga September

Kuala Lumpur : Ancaman nyamuk aedes makin meningkat dengan 11,485 kes denggi dilaporkan dari Januari hingga Ahad lalu membabitkan 23 kematian, iaitu pertambahan empat peratus berbanding 11,063 kes dengan 22 kematian bagi tempoh sama tahun lalu.

Daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan jumlah tertinggi membabitkan 4,999 kes dengan lima kematian, diikuti Johor, 1,421 kes dengan tujuh kematian dan Perak 857 kes.

Rekod tertinggi pada 2010

Berdasarkan analisis 2003-2012, Kementerian Kesihatan merekodkan 876 kematian akibat denggi dengan rekod tertinggi pada 2010 membabitkan 134 kematian.

Agak mengejutkan, lebih 30 peratus mangsa di Selangor tinggal di pangsapuri.

Menurut Ketua Sektor Penyakit Bawaan Vektor, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Rose Nani Mudin, kajian menunjukkan aedes boleh terbang sejauh 200 meter dan mampu hidup di tahap ketinggian 750 meter atau bangunan 21 tingkat.

“Justeru, orang ramai perlu mengetepikan tanggapan kononnya penghuni bangunan tinggi atau pangsapuri tidak diserang aedes.

“Nyamuk secara semula jadi tidak mampu terbang pada ketinggian itu, tetapi ia ada cara tersendiri dengan terbang mengikut mangsa menaiki lif dan singgah di tingkat tertentu seterusnya bertelur dan membiak.

“Selepas menghasilkan telur di tempat air bertakung, nyamuk akan mula terbang di ketinggian yang lain pula untuk mencari mangsa dan tempat bertelur yang baru,” katanya kepada BH.

Faktor cuaca

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman, berkata pembiakan nyamuk aedes berkait rapat dengan cuaca.

“Analisis menunjukkan bagi tempoh lima tahun lalu peningkatan kes denggi berlaku antara Jun hingga September setiap tahun kerana sepanjang tempoh itu cuaca panas.

“Kadar gigitan dan proses pembiakan nyamuk lebih kerap berlaku dalam suhu yang tinggi dan aedes mengalami proses tumbesaran daripada larva ke dewasa dengan lebih cepat dalam keadaan panas,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Gaya hidup berhutang mampu hancurkan ummah


Oleh : Dr Asyraf Wajdi Dusuki 

Penulis benar-benar tersentak membaca kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan yang mendedahkan hutang isi rumah kini mencecah RM800 bilion atau 89.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Menurut beliau hutang itu sebahagian besarnya disumbangkan hutang berpanjangan golongan berpendapatan bawah RM3,000 dan penjawat awam yang meminjam daripada institusi bukan bank seperti koperasi, sekali gus meningkatkan bebanan isi rumah.

Kecenderungan untuk berhutang masyarakat Malaysia amat terkait dengan faktor memudarnya budaya qanaah atau hidup secara sederhana dan berpada-pada. Malah sikap bermewahan dalam kehidupan sering mendorong umat berbelanja melebihi keperluan hingga akhirnya terjerat dalam lilitan hutang yang tiada kesudahan.

Sikap sesetengah bank dan institusi pemberi pinjaman termasuk koperasi yang cuba mengaut keuntungan jangka pendek dengan menawarkan pelbagai insentif terhadap produk berupa pembiayaan peribadi turut menyumbang kepada gaya hidup berhutang.

Fokus pemasaran produk pembiayaan ini juga sering tertumpu kepada penjawat awam yang mempunyai gaji tetap. Namun, pembiayaan sebegini hanya menjurus kepada budaya berhutang bagi tujuan hidup bermewah melebihi apa yang diperlukan.

Didik perbelanjaan berhemah

Selain memerlukan tindakan drastik kerajaan melalui peruntukan dan penguatkuasaan undang-undang, generasi muda dan masyarakat perlu dididik agar lebih berhemah dan bijak dalam menguruskan kewangan dan perbelanjaan hidup berasaskan prinsip dan nilai muamalah Islam yang sejati.

Sememangnya aspek perbelanjaan dan pengurusan kewangan adalah antara sifat utama seorang mukmin. Bahkan dalam permulaan surah al-Baqarah, kita dapati bahawa kedudukannya disejajarkan Allah SWT dengan ibadat solat yang juga tiang agama.

Ini jelas dinukilkan Allah SWT sebagaimana firman-Nya: “(iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat dan membelanjakan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka,” (Al-Baqarah: 3).

Ayat ini jelas mengisyaratkan setiap rezeki dan harta adalah kurniaan Allah SWT yang wajib dibelanjakan berasaskan prinsip dan nilai yang ditentukan syariat yang jelas memperincikan ikatan serta batasan dalam perbelanjaan.

Dalam satu keadaan, prinsip Islam menuntut pemilik harta membelanjakan harta secara berhemah untuk kepentingan diri dan keluarga, perjuangan di jalan Allah SWT dan bebas daripada kebakhilan dan kekikiran. Namun, dalam keadaan lain, manhaj Islam yang adil turut mengharamkan sikap membazir dan berlebih-lebihan. Setiap sen daripada harta yang diperoleh atau dibelanjakan akan ditanya dan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT ke atas setiap insan.

Muslim tidak bebas untuk memperoleh harta daripada sumber haram, maka dia juga tidak bebas membelanjakan hartanya dalam perkara yang haram. Bahkan dia tidak dibenarkan untuk berbelanja secara berlebih-lebihan walaupun dalam perkara yang halal.

Begitulah hebatnya Islam yang membenarkan penganutnya untuk menikmati kehidupan di dunia. Malah Islam menentang gaya hidup seperti rahib atau pendeta yang membekukan kehidupan serta menghalangi perkembangan peradaban.

Tidak langgar had

Bagaimanapun, Islam juga membatasi kebenaran yang diberikan ini agar manusia tidak melanggar had keseimbangan. Natijahnya, perbelanjaan yang sewajarnya bersifat sederhana yang dibenarkan Allah SWT berubah menjadi penghamburan dan amalan bermewah.

Apa yang pasti Islam menentang bahkan mengisytiharkan perang menentang kecenderungan bermewah. Al-Quran jelas menyebut bahawa kemewahan adalah ciri utama penghuni neraka yang bakal mendapat kemurkaan dan seksa pedih daripada Allah.

Firman Allah SWT: “Dan golongan kiri, siapakah golongan kiri itu? Dalam (seksaan) angin yang amat panas dan air panas yang mendidih, dan dalam naungan asap yang hitam, tidak sejuk dan tidak menyenangkan. Sesungguhnya mereka sebelum itu hidup bermewah-mewah. Mereka terus-menerus mengerjakan dosa yang besar,” (Al-Waqiah: 41-46)

Kecenderungan hidup mewah dan bergayalah yang menjerumuskan seseorang untuk berbelanja melebihi kemampuan atau berhutang melalui kad kredit mahupun produk pembiayaan peribadi lain.

Kedangkalan ilmu, kebobrokan nilai dan kegelojohan berbelanja mengakibatkan umat terbelenggu dalam hutang yang mampu menghakis jati diri, memporak-perandakan maruah dan menjahanamkan masa depan negara. Bahkan umat yang dibebani hutang lantaran kerakusan berbelanja adalah umat yang bakal terjerumus ke dalam kancah kegawatan, kebejatan dan kecelakaan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/