Penulis benar-benar tersentak
membaca kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan yang
mendedahkan hutang isi rumah kini mencecah RM800 bilion atau 89.2 peratus
daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Menurut beliau hutang itu
sebahagian besarnya disumbangkan hutang berpanjangan golongan berpendapatan
bawah RM3,000 dan penjawat awam yang meminjam daripada institusi bukan bank seperti
koperasi, sekali gus meningkatkan bebanan isi rumah.
Kecenderungan untuk berhutang
masyarakat Malaysia amat terkait dengan faktor memudarnya budaya qanaah atau
hidup secara sederhana dan berpada-pada. Malah sikap bermewahan dalam kehidupan
sering mendorong umat berbelanja melebihi keperluan hingga akhirnya terjerat
dalam lilitan hutang yang tiada kesudahan.
Sikap sesetengah bank dan
institusi pemberi pinjaman termasuk koperasi yang cuba mengaut keuntungan
jangka pendek dengan menawarkan pelbagai insentif terhadap produk berupa
pembiayaan peribadi turut menyumbang kepada gaya hidup berhutang.
Fokus pemasaran produk pembiayaan
ini juga sering tertumpu kepada penjawat awam yang mempunyai gaji tetap. Namun,
pembiayaan sebegini hanya menjurus kepada budaya berhutang bagi tujuan hidup
bermewah melebihi apa yang diperlukan.
Didik perbelanjaan berhemah
Selain memerlukan tindakan
drastik kerajaan melalui peruntukan dan penguatkuasaan undang-undang, generasi
muda dan masyarakat perlu dididik agar lebih berhemah dan bijak dalam
menguruskan kewangan dan perbelanjaan hidup berasaskan prinsip dan nilai
muamalah Islam yang sejati.
Sememangnya aspek perbelanjaan
dan pengurusan kewangan adalah antara sifat utama seorang mukmin. Bahkan dalam
permulaan surah al-Baqarah, kita dapati bahawa kedudukannya disejajarkan Allah
SWT dengan ibadat solat yang juga tiang agama.
Ini jelas dinukilkan Allah SWT
sebagaimana firman-Nya: “(iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang
mendirikan solat dan membelanjakan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan
kepada mereka,” (Al-Baqarah: 3).
Ayat ini jelas mengisyaratkan
setiap rezeki dan harta adalah kurniaan Allah SWT yang wajib dibelanjakan
berasaskan prinsip dan nilai yang ditentukan syariat yang jelas memperincikan
ikatan serta batasan dalam perbelanjaan.
Dalam satu keadaan, prinsip Islam
menuntut pemilik harta membelanjakan harta secara berhemah untuk kepentingan
diri dan keluarga, perjuangan di jalan Allah SWT dan bebas daripada kebakhilan
dan kekikiran. Namun, dalam keadaan lain, manhaj Islam yang adil turut
mengharamkan sikap membazir dan berlebih-lebihan. Setiap sen daripada harta
yang diperoleh atau dibelanjakan akan ditanya dan dipertanggungjawabkan oleh
Allah SWT ke atas setiap insan.
Muslim tidak bebas untuk memperoleh
harta daripada sumber haram, maka dia juga tidak bebas membelanjakan hartanya
dalam perkara yang haram. Bahkan dia tidak dibenarkan untuk berbelanja secara
berlebih-lebihan walaupun dalam perkara yang halal.
Begitulah hebatnya Islam yang
membenarkan penganutnya untuk menikmati kehidupan di dunia. Malah Islam
menentang gaya hidup seperti rahib atau pendeta yang membekukan kehidupan serta
menghalangi perkembangan peradaban.
Tidak langgar had
Bagaimanapun, Islam juga
membatasi kebenaran yang diberikan ini agar manusia tidak melanggar had
keseimbangan. Natijahnya, perbelanjaan yang sewajarnya bersifat sederhana yang
dibenarkan Allah SWT berubah menjadi penghamburan dan amalan bermewah.
Apa yang pasti Islam menentang
bahkan mengisytiharkan perang menentang kecenderungan bermewah. Al-Quran jelas
menyebut bahawa kemewahan adalah ciri utama penghuni neraka yang bakal mendapat
kemurkaan dan seksa pedih daripada Allah.
Firman Allah SWT: “Dan golongan
kiri, siapakah golongan kiri itu? Dalam (seksaan) angin yang amat panas dan air
panas yang mendidih, dan dalam naungan asap yang hitam, tidak sejuk dan tidak
menyenangkan. Sesungguhnya mereka sebelum itu hidup bermewah-mewah. Mereka
terus-menerus mengerjakan dosa yang besar,” (Al-Waqiah: 41-46)
Kecenderungan hidup mewah dan
bergayalah yang menjerumuskan seseorang untuk berbelanja melebihi kemampuan
atau berhutang melalui kad kredit mahupun produk pembiayaan peribadi lain.
Kedangkalan ilmu, kebobrokan
nilai dan kegelojohan berbelanja mengakibatkan umat terbelenggu dalam hutang
yang mampu menghakis jati diri, memporak-perandakan maruah dan menjahanamkan
masa depan negara. Bahkan umat yang dibebani hutang lantaran kerakusan
berbelanja adalah umat yang bakal terjerumus ke dalam kancah kegawatan,
kebejatan dan kecelakaan.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan