Sabtu, 1 Mei 2010

Catatan Usman Awang penuh pesanan


MAZLAN NORDIN

JARANG ada buku dalam bahasa Melayu dengan terjemahan serentak pelbagai bahasa. Demikian Sahabatku buku khas memaparkan 12 buah puisi Usman Awang yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris, Cina, Tamil dan bahasa Iban.

Lalu dalam kata pengantar oleh anaknya, Lyna Usman, dicatat pengalamannya semasa masih muda: "Hidupnya susah, kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang".

Oleh kerana itu, ayah hanya dapat bersekolah hingga darjah enam sahaja. Apabila Perang Dunia II meletus, dia menjadi petani, kemudian diambil pihak komunis untuk menjadi buruh paksa. Setelah tamat perang, dia mohon kerja sebagai seorang polis.

Beliau mendapat banyak bahan bacaan ketika menjadi polis apabila berkenalan dengan ramai guru sekolah di Melaka, ketika itu. Mereka dengan senang hatinya meminjamkan buku-buku sastera kepada ayah. Bagi seorang yang dahagakan bahan penulisan yang baik, ini adalah satu peluang emas. Dari sini penghayatan dan bakat penulisannya diasah dan digilap sehingga beliau mula membuahkan perasaannya di atas kertas dengan penanya.

Beliau memilih puisi untuk meluahkan kandungan isi hati dan mindanya. Demikian antara catatan Lyna. Pada tahun 1954 Usman Awang menulis puisi berjudul Bahasa Bonda:


Tersusun indah menjadi madah

jauh mengimbau menjangkau pulau

ayun beralun lembut membuai

jauh meresap mendakap damai.


Ada ketika marak menyala

memercik api semangat bangsa

meletus gemuruh menyadap segala

menjadi alat perjuangan merdeka.


Seribu tingkah membawa lagu

mainan gadis diusik rindu

senjata teruna menawan cinta

pusaka rakyat pendukung budaya.


Seribu bahasa kita bicara,

manakan sama bahasa bonda.


Beliau kemudian berkhidmat dengan Utusan Melayu di Singapura bersama Keris Mas dan Asraf. Menjadi ketua ialah Samad Ismail dan kesemuanya berperanan dalam penubuhan ASAS 50. Lantas berlaku debat mengenai "Seni untuk seni dan seni untuk masyarakat".

Selanjutnya beliau berkhidmat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada tahun 1955 beliau menulis puisi berjudul Tanah Melayu (Malaya dalam bahasa Inggeris). Antara lain disebut:


Kita rakyat di bumi jantung ini

tiada beza dalam segala apa jua

penanam padi atau buruh memberi tenaga

terkepung dalam semboyan muluk "demokrasi".


Ketika penekanan jauh sampai ke tulang

dengarlah jeritan keras tani di ladang

dengarlah teriakan gemuruh buruh di kilang

sama bersatu sederap barisan bangun berjuang!

Puisinya memupuk perhubungan akrab antara kaum seperti dalam puisi Anak Jiran Tionghua. Antara yang ditulis:

Begitu kecil ia berdiri di tepi pagar

kilat matanya memanggil Iskandar

siapa lalu siapa berkaca

melihat keduanya bergurau senda.


Anak Tionghua kelahirannya di sini

di bumi hijau ladang-ladang getah dan padi

ia bisa bercerita untuk siapa saja

di sini tanahnya dan ibunya bersemadi.


Bumi tercinta resapkan wahyumu

jantung mereka adalah langitmu

darah mereka adalah sungaimu

nafas mereka adalah udaramu.


Juga menarik ialah Surat Dari Masyarakat Burung Kepada Datuk Bandar. Antaranya:


Tuan Datuk Bandar

kami masyarakat burung telah mengadakan mesyuarat agung

pada suatu pagi yang manis dan ranum

di atas bangunan Parlimen yang kosong.


Seluruh kaum burung telah diwakili

oleh para cerdik pandainya, kecuali

perwakilan burung gagak yang sibuk dengan urusan kematian

penembakan, bangkai hanyut di Sungai Klang.


Puisi Mereka Telah Bangkit ditulis pada tahun 1967:


Mereka telah bangkit

dari buku yang dibacanya

dan tembok yang melindunginya

dengan bendera dan lilit kepala.


Mereka telah bersuara

dari bumi tanah air yang subur

demi Islam yang mengajar hidup berani

demi janji yang kini telah dimungkiri.


Mereka sekarang telah bangkit

di tengah-tengah gelombang zaman

dari keperibadian yang telah ditindas

untuk masa depan warisan keturunan.


Dari bahasa lidah zaman hidup kita

kebangkitan ini dipancang detik batu-tanda

untuk pelaksanaan: Satu Bahasa

yang berdaulat menyinar mutiara.


Pada kulit buku pula diulangi:


Bilakah semua warganegara mendapat hak layanan dan keadilan yang sama dikenal dengan satu rupa nama: Bahasa Malaysia?

Ertinya beliau dari dulu lagi "prescient", iaitu mengetahui lebih dahulu akan hal-hal yang akan terjadi pada masa akan datang. Sahabatku dalam bahasa Iban ialah Bakihku.

Setelah menjadi anggota polis beliau memakai nama samaran Tongkat Warrant. Selain daripada anugerah Sasterawan Negara (1983) beliau juga menerima SEA Write Award (1982) dan Doktor Kehormat (Persuratan) Universiti Malaya (1983). Beliau meninggal dunia pada 29 November 2001.

Al-Fatihah.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/