Oleh : DATUK AHMAD KHUSAIRI YAHAYA
KESERIUSAN kerajaan dalam meningkatkan integriti dan mengekang jenayah
rasuah di kalangan pegawai awam jelas menerusi pelaksanaan pelbagai dasar dan
program yang diperkenalkan sejak sedekad lalu.
Antaranya menjadikan rasuah sebagai salah satu daripada bidang penting yang
ditekankan dalam Pelan Transformasi Kerajaan (GTP). Untuk itu, sebanyak 27
inisiatif telah dan sedang dilaksanakan dengan giatnya menerusi Bidang
Keberhasilan Utama Negara atau NKRA Berkaitan Rasuah.
Apa yang menjadi faktor paling kritikal dalam memastikan usaha meningkatkan
tahap integriti perkhidmatan awam, sebenarnya bukanlah terletak pada hanya
kesungguhan kerajaan. Kesungguhan itu juga perlu datang dari kepimpinan agensi
kerajaan dan menuntut semua lapisan warganya untuk berubah.
Sejak kebelakangan ini, terdapat perubahan yang boleh dibanggakan
ditunjukkan oleh kalangan anggota perkhidmatan awam berbanding sedekad lalu.
Hakikatnya, tahap kesedaran para pegawai awam terhadap integriti dan semangat
anti-rasuah jelas meningkat. Namun demikian, masih banyak ruang boleh
diperbaiki untuk menjadikannya unggul di kaca mata masyarakat.
Berdasarkan perangkaan SPRM sepanjang sembilan tahun iaitu 2003 hingga
2011, secara keseluruhannya, purata tangkapan ke atas penjawat awam adalah
seramai 260 orang setahun. Berbanding jumlah keseluruhan penjawat awam di
Malaysia iaitu 1.4 juta orang, peratusannya adalah terlalu kecil iaitu sekitar
0.018 peratus sahaja.
Walaupun kelihatan kecil namun jika tidak dibendung ia mampu meruntuhkan
negara. Pegawai awam dilihat mempunyai kuasa dan kuasa ini jika disalahgunakan
boleh mengakibatkan kesan yang amat buruk.
Trend perubahan ke arah pembudayaan integriti dan anti-rasuah di kalangan
pegawai awam jelas ketara bermula 2009. Terdapat pengurangan yang jelas dari
segi jumlah tangkapan ke atas penjawat awam berbanding tangkapan ke atas sektor
swasta dan orang awam. Kempen Perangi Pemberi Rasuah benar-benar menghasilkan
impak yang besar dalam sejarah pencegahan rasuah di negara ini. Sejak
pelancarannya pada 2009, jumlah penjawat awam dan swasta yang ditangkap kerana
cuba menyogok pegawai awam melonjak begitu tinggi. Dalam 2009 misalnya, jumlah
tangkapan keseluruhan SPRM ialah seramai 500 orang kerana ditangkap cuba
memberi rasuah seramai 98 orang. Melonjak melebihi empat kali ganda iaitu
seramai 424 orang dalam 2010 dan 389 orang dalam 2011. Jumlah wang sogokan bermula
dari RM50 ke angka RM1 juta.
Perubahan BPR kepada SPRM dalam 2009 sebenarnya membawa kepada perubahan
dari segi pendekatan dan strategi pencegahan rasuah di negara ini. SPRM
menetapkan tiga bidang utama iaitu penguatkuasaan, perolehan (sebut harga dan tender
awam) dan projek mega kerajaan sebagai fokus utamanya.
Beberapa kelemahan yang selama ini menghalang usaha pencegahan rasuah
dikenal pasti, antaranya tanggapan bahawa tanggungjawab memerangi rasuah
terletak di tangan SPRM semata-mata, kurangnya inisiatif agensi awam untuk
mencegah rasuah; mekanisme kawalan dalaman yang longgar dan tidak sempurna dan
kesalahan rasuah tidak dianggap sebagai kesalahan berat bagi kes tatatertib.
Terdapat segelintir ketua yang menganggap tugas mencegah rasuah adalah
tanggungjawab SPRM. Justeru, pembudayaan integriti dan pencegahan rasuah bukan
merupakan agenda utama. Yang lebih penting menjaga suasana harmoni dan semangat
esprit de corp di kalangan pegawai/staf. Jika tindakan keras diambil dan
pembudayaan anti-rasuah menjadi berkesan maka ia kononnya akan mewujudkan
suasana kurang selesa dan syak wasangka sesama anggota.
Perkara yang lebih disesalkan ialah sikap kasihan kepada pesalah rasuah
masih menjadi asas pertimbangan dalam proses tindakan tatatertib. Bagi SPRM,
siasatan sesuatu kes tidak hanya berakhir dengan tindakan menghadapkan suspek
ke mahkamah semata-mata. Sebaliknya, banyak kes yang disiasat SPRM dikemukakan
sebagai Laporan SPRM untuk tindakan tatatertib. Namun, atas dasar simpati,
suspek-suspek ini terlepas daripada hukuman berat seperti ditamatkan
perkhidmatan dan hanya diberikan surat teguran atau amaran sahaja.
Perangkaan SPRM sepanjang 10 tahun lalu berhubung kes tatatertib jelas
menunjukkan sebanyak 1,957 laporan dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib
Agensi. Daripada jumlah itu, hanya 60 kes dikenakan hukuman buang kerja.
Sebaliknya, 979 atau 50% dikenakan surat amaran yang tidak mendatangkan apa-apa
kesan deterrent. Ini jelas menunjukkan tiada istilah serius dalam kes-kes yang
melibatkan perbuatan jenayah rasuah.
Cabaran utama yang perlu diperbaiki dalam memastikan kelangsungan program
pemantapan integriti dan pencegahan rasuah dalam perkhidmatan awam adalah
melibatkan dua pendekatan strategik yang dikenal pasti SPRM iaitu memperkasakan
entiti kawalan dalaman agensi awam dan memperkukuhkan SPRM.
Justeru, dalam konteks memperkasakan entiti kawalan dalaman agensi awam,
SPRM telah mencadangkan kepada kerajaan untuk mewujudkan model pencegahan
rasuah yang berbentuk kawalan dalaman menerusi penubuhan Unit Integriti di
kementerian, jabatan Persekutuan dan negeri.
Model unit ini sama seperti di Amerika Syarikat (AS) dan Taiwan. Di AS ia
lebih dikenali sebagai Inspector General Office (IGO). Unit ini diwujudkan di
jabatan-jabatan berisiko tinggi dan bertanggungjawab sepenuhnya memantau dan
menjalankan siasatan ke atas kes-kes berkaitan integriti, rasuah dan lain-lain
jenayah yang melibatkan warga agensi terbabit.
Mengambil contoh di AS, unit integriti New York Police Department (NYPD)
ditubuhkan dengan keanggotaan seramai 700 orang bagi memantau 35,000 pegawai
polis di NYPD iaitu nisbah 1:50 manakala Pihak Berkuasa Pelabuhan New York
mempunyai keanggotaan 70 orang bagi memantau 7,000 pekerjanya iaitu nisbah
1:100.
Idea berhubung penubuhan Unit Integriti di agensi-agensi kerajaan ini
disambut baik. Buat masa ini, empat agensi telah mewujudkan unit ini iaitu
Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan
Pengangkutan Jalan dan SPRM sendiri. Pegawai-pegawai SPRM akan dilantik dan
ditempatkan sebagai Ketua Unit Integriti di agensi-agensi terbabit.
Perubahan status daripada BPR ke SPRM dalam 2009 sebenarnya selari dengan
perubahan besar kepada budaya kerja dan sistem operasi SPRM secara
keseluruhannya. Bermula dengan Pelan Strategik SPRM 2011-2013, tiga bidang
utama diperkukuhkan termasuk memperkenalkan sistem pengurusan siasatan
berkesan, sistem pengurusan pencegahan dan pendidikan berkesan dan pembangunan
serta pemantapan modal insan SPRM secara menyeluruh.
Jawatankuasa Eksekutif Transformasi yang terdiri daripada ahli-ahli Lembaga
Penasihat SPRM dibentuk bagi memacu proses transformasi. Kesan kepada proses
transformasi ini jelas memantapkan SPRM dari segi memperbaiki struktur
organisasi, memperkenalkan sistem pengurusan modal insan berdasarkan
kompetensi, memperkenalkan sistem pengurusan bakat yang fleksibel dan membawa
masuk tenaga pakar yang berkepakaran tinggi bagi meningkatkan operasi SPRM.
PENULIS ialah Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan
Penyelidikan SPRM
Sumber : http : //www.utusan.com.my/