Khamis, 11 Oktober 2012

ISU KESIHATAN : Tangani sakit mental seperti penyakit serius lain


TAN SRI LEE LAM THYE

PROMOSI dan peningkatan kesihatan mental dalam kalangan rakyat Malaysia daripada  semua golongan umur harus diberikan keutamaan dan dijadikan sebahagian agenda utama kesihatan nasional berkaitan isu-isu kesihatan yang perlu ditangani.

Masalah kesihatan mental terutamanya yang berkaitan tekanan mental hendaklah ditangani segera supaya stres, kemarahan dan keganasan, kemurungan dan cubaan bunuh diri dapat dielakkan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mendedahkan baru-baru ini bahawa masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di negara ini berada pada tahap membimbangkan.

Prevalen masalah kesihatan mental dalam kalangan orang dewasa adalah 11.2% dalam tahun 2006 berbanding 10.6% dalam 1996 dan prevalen masalah kesihatan mental di kalangan kanak-kanak dan remaja adalah 20.3% berbanding 13.0% dalam 1996. Selain itu, prevalen masalah kesihatan mental di kalangan wanita 12.1% dan di kalangan lelaki adalah 10.4%.

Prevalen masalah kesihatan mental paling tinggi di kalangan kumpulan umur 70 -74 tahun, iaitu 19.5% dan diikuti dengan kumpulan umur 16 - 19 tahun adalah 14.4%.

Prevalen masalah kesihatan mental lebih tinggi di kalangan mereka yang bujang adalah 13.1% dan diikuti balu 12.2% dan bercerai adalah 13.6% berbanding yang statusnya berkahwin sebanyak 10.5%. Selain itu, prevalen masalah kesihatan mental paling tinggi di kalangan mereka yang tiada pendidikan iaitu 16.6%.

Peningkatan pada tahap tekanan dan tanggungjawab sosial yang rumit adalah di antara faktor-faktor yang menyebabkan lebih ramai orang mengalami masalah mental.

Tekanan yang berlebihan akan memberi kesan yang serius kepada kesihatan mental dan kehidupan seharian kita.

Tiada negara atau individu yang terkecuali daripada gangguan mental dan kesannya ke atas keadaan psikologikal, sosial dan kesan terhadap ekonomi juga tinggi. Kesihatan mental tidak lagi boleh diabaikan sebaliknya ia perlu diberikan perhatian sama seperti masalah kesihatan lain.

Kesihatan mental bukan sekadar berkenaan penyakit mental. Ia adalah perasaan kesejahteraan, keupayaan menghadapi cabaran dan untuk memastikan sikap positif terhadap diri sendiri.

Promosi kesihatan mental boleh diperkenalkan di sekolah untuk menyediakan pelajar-pelajar menghadapi tekanan mental di sekolah dan kaedah menanganinya dengan baik, terutamanya semasa menduduki peperiksaan.

Antara aktiviti untuk mempromosikan kesihatan mental yang boleh dilakukan di sekolah termasuklah meningkatkan pemahaman mengenai kesihatan mental di kalangan warga sekolah melalui sesi ceramah, pameran dan kuiz atau pertandingan yang boleh dilakukan sebagai aktiviti kurikulum tambahan yang melibatkan PIBG dan kelab-kelab sekolah.

Lebih ramai kaunselor yang terlatih dengan kemahiran dan teknik untuk memimpin dan membantu pelajar-pelajar menangani masalah tekanan atau stres sangat diperlukan. Isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar perlu ditangani segera. Sekiranya mereka tidak mendapat bantuan, negara kita akan menanggung beban satu generasi yang menghadapi masalah kesihatan mental yang serius di dalam suasana persaingan global yang kian meningkat.

Kita tidak dapat menidakkan bahawa sistem persekolahan yang berorientasikan peperiksaan menyebabkan tekanan daripada ibu bapa ke atas anak-anak untuk berjaya di sekolah.

Kita perlu menerapkan sikap percaya akan diri sendiri kepada anak-anak supaya kegagalan atau kekecewaan dapat dilihat sebagai peluang untuk mencuba lagi dan bukan sebagai kekurangan atau kelemahan diri.

Pendidikan dan promosi ke atas kesihatan mental yang bertujuan mengekang peningkatan masalah psikososial dalam kalangan masyarakat, adalah amat penting, selari dengan aspirasi kita untuk menjadi negara maju yang sudah semestinya akan memberi tekanan hebat kepada kita untuk menjalankan tanggungjawab dalam kehidupan seharian.

Gangguan mental dan penyakit mental lain adalah satu peringatan pahit di dalam kehidupan yang tidak sepatutnya kita abaikan di dalam usaha untuk mencapai status negara maju.

Penulis ialah  Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Majikan jangan memperlekeh isu penjagaan anak


Oleh : Fauziah Arof

BUKAN satu perkara luar biasa di negara ini apabila wanita berpendidikan tinggi, sudah mendapat pekerjaan yang baik, alih-alih terpaksa berhenti kerja untuk menumpukan perhatian sepenuhnya menjaga anak-anak di rumah.

Dan bukan juga satu saranan yang baharu kita dengar apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, mengharapkan lebih 1,000 syarikat swasta akan mendirikan taska di premis masing-masing dalam masa terdekat bagi menggalakkan golongan wanita yang bergelar ibu menyertai pasaran kerja.

Keciciran kaum wanita berpendidikan tinggi ini daripada pasaran pekerjaan sememangnya amat dirasai.

Betapa tidak, kerajaan telah berbelanja besar untuk pendidikan sehingga 68 peratus pelajar di universiti ialah wanita, tapi hanya 48 peratus sahaja wanita dalam pasaran kerja dan ini sudah tentunya memberikan kerugian besar kepada negara.

Kajian oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati masalah penjagaan anak-anak adalah punca utama wanita di negara ini menamatkan kerjaya mereka lebih awal.

Ini berlaku terutamanya dalam kalangan wanita berusia lingkungan 35 hingga 39 tahun iaitu sebanyak 71 peratus yang mana di peringkat umur sebegini adalah kemuncak kerjaya bagi wanita dan pada masa sama anak-anak memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada ibu.

Kemudahan taska ini bukan sahaja akan membuka ruang kepada wanita yang berpendidikan tinggi untuk terus berkerjaya, malah wanita yang berpendidikan rendah dan sederhana turut menerima manfaatnya.

Dalam mengharungi kos sara hidup yang tinggi terutamanya di bandar-bandar, golongan isteri tidak kira tahap mana pendidikannya turut membantu suami yang berpendapatan rendah atau gaji sekadar cukup makan untuk mencari rezeki dan membina ekonomi keluarga yang lebih kukuh.

Jadi, sudah tentunya, soal penjagaan anak merupakan satu isu yang cukup besar, bukan isu remeh-temeh yang sering diperlekehkan oleh majikan apabila pekerjanya memberi alasan datang lewat kerana terpaksa menguruskan hal-hal anak.

Hendak membawa anak ke pejabat ‘pada waktu-waktu genting’ kerana pengasuh ada hal kecemasan, tentunya menimbulkan rasa tidak selesa diri sendiri, anak dan juga pekerja-pekerja sekeliling, yang akan menjeling-jeling sekiranya anak tersebut menangis atau nakal.

Untuk mencari pembantu rumah, lebih-lebih lagi dengan macam-macam ragam pembantu rumah asing dan macam-macam hal, demand dan proses yang perlu dilalui untuk mengambil mereka bekerja, akan memberi satu lagi tekanan lain pula.

Dalam pada itu, kes penderaan, kecederaan dan kematian bayi dan kanak-kanak di pusat penjagaan dan jiran yang diberikan tanggungjawab untuk menjaga anak-anak turut amat merisaukan ibu bapa untuk melepaskan anak mereka dalam penjagaan orang lain ketika bekerja.

Sehubungan itu, kemudahan taska di tempat kerja terutamanya di sektor-sektor swasta banyak membantu dalam menangani masalah ini.

Dengan insentif yang diberikan oleh kerajaan seperti geran RM10,000 dan pelbagai potongan cukai menerusi peruntukan Bajet 2013 yang selari dengan pelan pembangunan awal kanak-kanak jika kemudahan ini diwujudkan di syarikat-syarikat swasta, sepatutnya tiada kekangan yang besar untuk menyediakannya.

Jika syarikat-syarikat besar terutamanya boleh dan mampu berbelanja sakan untuk projek tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) setiap tahun, membantu masyarakat susah di luar sana, mengapa tidak memperuntukkan kos tertentu untuk membina kemudahan taska untuk kebajikan pekerja-pekerjanya sendiri.

Jika boleh membina ruang untuk beriadah untuk pekerja-pekerjanya, ruang kafe yang besar dan ada pula syarikat besar yang boleh meletakkan pusat rawatan kecemasan di premisnya, mengapa tidak boleh membina ruang untuk taska.

Kemudahan ini secara tidak langsung, akan menyebabkan pekerja-pekerja berasa ‘tenang’ untuk bekerja kerana tidak perlu ‘terkejar-kejar’ menghantar dan mengambil anak di pusat penjagaan.

Dalam pada itu, mereka boleh meluangkan masa dengan anak-anak yang berada di depan mata pada waktu rehat dan mungkin juga akan mengurangkan masa kepada pekerja-pekerja yang gemar berkunjung ke pusat-pusat beli belah pada waktu makan tengah hari terutamanya pada waktu rehat yang panjang, iaitu hari Jumaat.

Jadi masa akan lebih terurus, mereka akan ada masa yang berkualiti untuk anak-anak, dan pada masa yang sama mereka akan lebih fokus pada kerja.

Jika majikan bimbang, pejabat akan `beroperasi’ seperti pusat jagaan anak-anak pula, peraturan-peraturan tertentu boleh dibuat bagi memastikan kemudahan itu tidak sama sekali menganggu perjalanan dan urusan kerja.

Pun begitu, dalam menyediakan pusat taska di tempat kerja, soal keselamatan, tenaga penjaga, kemahiran, dan kepakaran perlu diberi penekanan, agar tidak diadakan sekadar ‘tangkap muat’.

Ini penting, agar taska di pejabat-pejabat ini tidak membawa masalah sama yang sering berlaku di pusat penjagaan kanak-kanak lain atau pengasuh yang beroperasi di rumah yang akhirnya memberikan tekanan yang serupa kepada ibu yang bekerja.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/