Jumaat, 28 Jun 2013

ISU ALAM SEKITAR : Teroris ekologi dari perspektif Islam


Oleh : DR MASHITAH IBRAHIM

KESAN jerebu yang menyelelubungi negara kita dan kualiti udara yang buruk sejak lebih seminggu lalu sangat besar. Ratusan sekolah terpaksa ditutup.

Terdapat peningkatan nyata dalam kes kemalangan kenderaan dan sakit dalam kalangan kanak-kanak, warga tua, orang uzur dan ibu-ibu mengandung. Produktiviti negara menurun kerana kegiatan ekonomi dan sosial terganggu.

Sektor perladangan, perusahaan dan pelancongan termasuk perhotelan, pengangkutan dan syarikat penerbangan terjejas teruk, mengalami kerugian dianggarkan berbilion ringgit. Kejayaan kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 boleh terancam.

Ada pihak yang melabelkan ‘serangan jerebu’ ini sebagai terorisme ekologi. Ia berpunca daripada pembakaran hutan secara terbuka dan berleluasa oleh peladang individu dan syarikat di Sumatera.

Walaupun banyak rundingan diadakan dan pelbagai usaha dilakukan secara unilateral, bilateral dan multilateral, pengeksportan jerebu dari Indonesia ke negara-negara jiran berlaku setiap tahun sejak 1990.

Dari perspektif Islam, pemusnah alam sekitar tergolong mereka yang mungkar dan zalim. Sifat teroris ekologi adalah tidak bertanggungjawab, rakus, tamak, cuai dan tidak memikirkan kebajikan orang lain.

Menteri Alam Sekitar Indonesia telah menamakan beberapa syarikat pemilik ladang kelapa sawit, termasuk dari Malaysia, antara yang terbabit. Syarikat-syarikat ini dikatakan bertanggungjawab terhadap 80 peratus masalah jerebu, manakala 20 peratus akibat pembakaran terbuka oleh peladang individu.

Ramai di Malaysia tidak faham kenapa tindakan tidak diambil penguasa Indonesia terhadap mereka ini. Kerana tidak menangani perjanjian Asean berhubung pencemaran jerebu, Indonesia dilihat melindungi cara pembakaran begini.

Ada pihak cadangkan agar kempen diadakan untuk mengadakan sekatan antarabangsa terhadap produk kelapa sawit Indonesia bagi mendorong kerajaannya bertindak ke atas syarikat terbabit. Mereka mahu melihat hukuman berat dikenakan.

Mungkin ini salah satu sebab kenapa Indonesia dilihat antara negara yang gagal mengelola sumber daya alamnya secara bijaksana. Berbeza dengan Malaysia, menerima pujian Bank Dunia sebagai contoh negara yang berjaya menggunakan sumber daya alam sehingga mampu melaburkannya dalam sektor perekonomian lain seperti industri, pembangunan prasarana dan pendidikan.

Menurut laporan bertajuk Malaysia Economic Monitor: Harnessing Natural Resources yang baru dikeluarkan, kejayaan Malaysia ini memberi manfaat besar kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Dari perspektif agama Islam, penjagaan sumber alam sekitar sangat diutamakan. Sebagai pemimpin di dunia, manusia disyaratkan begitu kerana alam sekitar adalah anugerah ILAHI.

ALLAH SWT mencipta alam ini seimbang untuk kemakmuran dan kesejahteraan manusia: bumi untuk tempat tinggal, gunung-ganang sebagai pemasak bumi, manakala sumber makanan dan perubatan pula daripada laut, sungai dan hutan. Ini semua dikongsi dengan makhluk ALLAH yang lain, termasuk tumbuh-tumbuhan dan haiwan. 

Ingat firman ALLAH SWT pada ayat 24-32: Surah ‘Abasa bermaksud: “Maka hendaklah manusia itu memperhatikan makanannya. Sesungguhnya Kami benar-benar mencurahkan air dari langit.

Kemudian Kami belah bumi dengan sebaiknya. Lalu Kami tumbuhkan biji-bijian di bumi itu. Anggur dan sayuran. Zaitun dan pohon kurma. Kebun-kebun (yang lebat) dan buah-buahan serta rumput-rumputan untuk kesenanganmu dan binatang-binatang ternakmu.”

Banyak hadis Rasulullah SAW yang menekankan peri pentingnya pengurusan alam sekitar serta ihtimam (keprihatinan) Baginda terhadap pelestariannya. Justeru, yang Islam tekankan ialah penjagaan, pencegahan, pengawalan dan pemuliharaan alam daripada dicemari atau pupus, selain menitik beratkan nilai ihsan, kasih sayang, timbang rasa dan kebersihan dalam hal kaitan manusia dengan alam.

Dr Yusuf al-Qaradhawi, dalam bukunya Riayatul-Baiat fi Syariatul-Islam (Islam Agama Mesra Alam Sekitar) menyebut bahawa Islam menjaga alam sekitar dan seluruh isinya dengan cara memberi penekanan kepada tuntutan moral, peraturan dan undang-undang.

Syariat Islam melarang pemusnahan melibatkan kekerasan atau penghapusan makhluk lain seperti haiwan.

Menurutnya, pemusnah alam sekitar akan menerima hukuman yang berat, justeru segala kegiatan  mensabotaj dan memusnah alam sekitar atau elemen-elemen di dalam mesti dihentikan segera.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Sumbangan Ibu Bapa Kepada Keberkesanan Sekolah


Anjakan kesembilan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 menetapkan bahawa penglibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta dalam pendidikan perlu diperluas  untuk menjayakan pembangunan pendidikan di Malaysia. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa peranan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta dalam pendidikan adalah amat besar. Hal ini kerana pendidikan atau lebih khusus lagi pembelajaran tidak berlaku dalam lingkungan sekolah sahaja apatah lagi di dalam sekolah dan bilik darjah.

Pendidikan dan pembelajaran dalam abad ke-21 ini berlaku di mana-mana sahaja, pada bila-bila masa, dengan apa cara sekalipun melalui apa-apa sahaja perantaraan atau media dan alat bantu yang berbagai-bagai. Justeru, sistem sekolah yang selalunya dikaitkan dengan kepimpinan dan pengurusan sekolah, kurikulum, pedagogi, jadual waktu dan pentaksiran yang formal dan one-off sifatnya telah berubah kepada sistem pembelajaran (learning system) yang lebih luas cakupan maknanya.

Sistem pembelajaran dalam pendidikan abad ke-21 menuntut penglibatan pelbagai pihak di luar lingkungan sekolah tanpa mengetepikan atau mengurangkan peranan sekolah dan guru. Penglibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta menjadi pelengkap, penguat dan pencepat (accelerator) kepada kemajuan pendidikan sesebuah negara.

Kajian menunjukkan ibu bapa yang mengambil berat tentang pembelajaran anak di sekolah dan di rumah adalah ibu bapa kepada anak-anak yang berjaya dalam pendidikan berbanding ibu bapa yang mengambil berat akan pembelajaran anak di rumah sahaja apatah lagi yang tidak mengambil berat langsung pembelajaran anak di rumah atau di sekolah. Kajian ini mendapati ibu bapa yang sering kali datang ke sekolah untuk tujuan yang berkaitan dengan kemajuan pelajaran anak adalah ibu bapa yang anaknya berjaya.

Hal ini demikian kerana kejayaan anak-anak dalam pembelajaran memadai dengan motivasi. Jika hanya dengan motivasi, terutama intrinsiks (dalaman), pun anak-anak boleh berjaya apatah lagi jika ditambah dengan sokongan moral, spiritual, fizikal dan kewangan orang lain terutama ibu bapa.

Terdapat banyak perbezaan antara pembelajaran di sekolah dan di rumah. Antaranya, di sekolah pembelajaran terkongkong oleh jadual waktu, subjek dipelajari, masa, perkara yang hendak dipelajari dan media pembelajaran. Di rumah pembelajaran boleh berlaku hampir tiada batasan atau kongkongan seperti dinyatakan. Namun hal tersebut bergantung kepada apa dan bagaimana sumbangan ibu bapa yang boleh menjamin atau menyokong perkara tersebut berlaku.

Tidak dinafikan bahawa selama ini telah banyak sumbangan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta terhadap keberkesanan sekolah. Melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) banyak sumbangan telah diberikan. Namun, banyak lagi yang boleh diteroka tanpa banyak mengubah peruntukan dalam perlembagaan PIBG dan Akta Pendidikan 1996. Sedikit sahaja penyesuaian struktur PIBG perlu dibuat iaitu penubuhan Biro ICT untuk pengutipan data tentang penglibatan ibu bapa kepada keberkesanan sekolah dan Biro Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) atau Parent Support Group dalam PIBG.

Di kebanyakan negara maju KSIB menjadi wadah yang sangat berkesan membantu sekolah berubah kepada sekolah pada masa hadapan (the school of future) yang telah wujud pada hari ini. Antara ciri-ciri sekolah sedemikian ialah tumpuan atau pusat perhatian semua aktiviti adalah pembelajaran murid manakala tumpuan kepimpinan sekolah adalah kepimpinan instruksional. Sekolah ini memanfaatkan sepenuhnya ICT dalam pembelajaran dan pengurusan sekolah. Sekolah pada masa hadapan atau sekolah abad ke-21 juga memberi penekanan kepada kemenjadian atau outcome murid.

Oleh sebab itulah PPPM 2013-2025 direka bentuk sedemikian rupa untuk memastikan aspirasi murid dan aspirasi sistem tercapai melalui sebelas anjakan yang mana satu daripadanya iaitu yang kesembilan adalah mengenai penglibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta dalam pembelajaran anak-anak. Dalam tulisan ini saya hanya menyentuh tentang penglibatan ibu bapa. Penglibatan komuniti dan sektor swasta yang tidak kurang penting dan banyaknya akan disentuh dalam tulisan yang lain.

Sumber : http : //drjamiladimin.wordpress.com/

ISU PERKHIDMATAN AWAM : 45 peratus penjawat awam tak mampu beli rumah


KUALA LUMPUR - Kira-kira 45 peratus atau 650,000 daripada 1.5 juta penjawat awam masih tidak mampu memiliki rumah kerana faktor harga, kata Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman hari ini.
  
Katanya kajian yang dijalankan kesatuan itu baru-baru ini menunjukkan harga rumah yang semakin meningkat menjadi kekangan utama kepada impian tersebut.
  
Menurutnya rata-rata penjawat awam terbabit adalah daripada kumpulan sokongan dan bergaji rendah, manakala bagi golongan berusia 40 tahun ke atas, bergred tinggi selain telah berkhidmat lebih 20 tahun telah memiliki rumah.
  
"Golongan 45 peratus ini terpaksa terus menyewa atau tinggal di kuarters dan terpaksa mengutamakan kos sara hidup," katanya kepada Bernama.

Beliau turut meluahkan kebimbangan akan implikasi masalah itu jika tidak ditangani segera.
  
"Antaranya ialah jika mereka membeli rumah pada usia lanjut, ini bermakna mereka akan mengambil masa lebih panjang untuk membayar balik pinjaman.
  
"Kesannya mereka akan menggunakan semua simpanan dan duit pencen yang sepatutnya digunakan untuk hari tua untuk membayar balik pinjaman itu. Kehidupan mereka selepas bersara akan terus dibelenggu hutang," katanya.
  
Malah katanya, mereka juga tidak mampu memohon skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) kerana harga rumah PR1MA yang mencecah RM250,000 adalah di luar kemampuan penjawat awam.
  
Justeru katanya, Cuepacs menggesa kerajaan mengkaji isu itu dan mencadangkan supaya Jabatan Perumahan Negara menyediakan rumah kos sederhana untuk penjawat awam.
  
"Seboleh-bolehnya biarlah ia berharga RM250,000 ke bawah. Saya harap kerajaan dapat kaji isu ini secara serius," katanya. - Bernama