KITA pasti pernah terbaca tentang
pendapat yang mengatakan bahawa peribahasa yang sebenar ialah “harapkan pegar,
pegar makan padi” bukannya “harapkan pagar, pagar makan padi”.
Penyokong pandangan ini
memberikan hujah bahawa telah berlaku kesilapan semasa menterjemah peribahasa
ini daripada tulisan Jawi kepada tulisan Rumi, lagipun tidak logik untuk
mengharapkan pagar bagi menjaga padi kerana pagar merupakan objek yang tidak hidup.
Lebih logik jika diharapkan pegar
iaitu sejenis burung yang memakan padi atau dikenali juga sebagai burung kuang
untuk menjaga padi kerana burung pegar ini hidup.
Bagi menilai peribahasa yang
sebenar antara dua peribahasa ini, pertama sekali kita perlu melihat
sosiobudaya masyarakat Melayu terlebih dahulu.
Masyarakat Melayu yang hidup
sebagai petani bekerja keras untuk menanam padi bagi menyara hidup mereka. Pada
masa itu, kehidupan mereka seratus-peratus bergantung pada penanaman padi.
Adakah logik jika masyarakat Melayu menyerahkan tanggungjawab untuk menjaga
padi mereka kepada sejenis burung yang memakan padi?
Bukankah pekerjaan itu dianggap
sebagai suatu perbuatan yang sengaja untuk mencari susah.
Berdasarkan kajian tentang
sosiobudaya Melayu, peribahasa “harapkan pagar, pagar makan padi” lebih tepat
kerana istilah pagar di sini bukan hanya merujuk pagar yang diperbuat daripada
kayu-kayu yang dipacak ataupun diperbuat daripada kawat duri tetapi maksudnya
lebih luas daripada itu.
Dalam kamus bahasa Indonesia,
pagar bermaksud pengawal atau penjaga. Kalau diteliti maksud pagar dalam bahasa
Indonesia ini yang merupakan bahasa serumpun kita, semakin kukuhlah pandangan
bahawa peribahasa yang sebenar ialah “harapkan pagar, pagar makan padi”.
Maksud peribahasa “harapkan
pagar, pagar makan padi” ialah harapan yang diletakkan pada bahu seseorang
tetapi akhirnya orang itu pula yang merosakkan. Keyakinan terhadap
kebijaksanaan masyarakat Melayu dahulu masih kuat kerana tidak mungkin mereka
akan meletakkan harapan untuk menjaga tanaman padi mereka kepada sejenis burung
yang memakan padi.
Sebenarnya nenek moyang kita
tidak sewenang-wenangnya mencipta peribahasa mengikut kemahuan sendiri kerana
peribahasa ialah ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan
mengandungi pengertian yang khusus.
Peribahasa telah dicipta melalui
pemerhatian dan kajian yang teliti. Pemilihan perkataan juga amat sesuai dengan
maksud yang hendak disampaikan selain menonjolkan keindahan bahasa Melayu itu
sendiri.
Kita dapat menerima peribahasa
“harapkan pegar, pegar makan padi” jika maksudnya harapan yang diletakkan pada
seseorang yang sudah diketahui kejahatannya kerana lebih relevan dan berkaitan.
Konsepnya sama jika kita mengharapkan kucing untuk menjaga ikan kerana sudah
pasti ikan itu akan dimakan kucing memandangkan ikan merupakan makanan kucing.
Tidak mungkin masyarakat Melayu
menyerahkan kuasa menjaga ikan kepada kucing, mengamanahkan monyet untuk
menjaga pisang ataupun meminta kambing bagi menjaga tanaman sirih. Kalau
percaya akan haiwan-haiwan ini, tunggulah akibatnya.
Penulis pernah terbaca suatu
pesanan daripada orang tua-tua supaya tidak bermalam di rumah perempuan muda
bersuamikan orang tua. Pesanan ini jelas menggambarkan sikap berhati-hati
masyarakat Melayu untuk mengelakkan perkara yang buruk daripada berlaku.
Pemikiran ini jelas menggambarkan bahawa tidak mungkin leluhur kita itu percaya
akan pegar untuk menjaga padinya.
Kalau dikaji peribahasa Melayu
secara menyeluruh, sebenarnya kita dapat mempelajari jati diri dan imej orang
Melayu yang menjadi pendokong kewujudan peribahasa Melayu. Ciri-ciri yang terkandung dalam
peribahasa membolehkan kita mengenali sifat dan perwatakan orang Melayu sejak
dahulu lagi.
Orang Melayu sebenarnya suatu
bangsa yang tersusun dalam pelbagai bidang sejak dahulu lagi. Kemantapan orang
Melayu dari segi politik, ekonomi dan sosial dapat kita kaji dan pelajari
melalui kisah-kisah sejarah dan hasil karya lama. Imej itu merupakan imej orang
Melayu yang dapat diperhatikan melalui khazanah ciptaan mereka iaitu peribahasa
kerana peribahasa itu sendiri merupakan ayat atau kelompok kata yang teratur,
ringkas dan padat.
Penulis ialah Munsyi Dewan dan Guru Cemerlang Bahasa Melayu SM Sains Tengku Muhammad Faris
Petra
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/