Oleh : Dr
Anwar Ridhwan
Komunikasi
generasi muda tiada 'jiwa'
Sebelum wujud laman sosial elektronik, menulis surat peribadi adalah seni
yang membawa keseronokan tersendiri. Surat ditulis dengan ‘peraturan’ tertentu,
umpamanya di atas kertas putih dan dikirim dalam sampul putih atau coklat –
jika surat itu ditujukan kepada ibu, ayah, atau sahabat. Jika ditujukan kepada
kekasih, surat biasanya ditulis atas kertas biru. Kadang-kadang kertas biru itu
wangi baunya. Warna biru dipilih kerana ia melambangkan sesuatu yang romantik,
‘cool’, lembut dan dapat dirimakan dengan ‘rindu’. Hingga ada sebuah lagu
Melayu yang liriknya berbunyi: Kalaulah abang menyurat pandai menyurat/
Suratkan sayalah biru kertas yang biru/ Kalau cik abang mengubat pandai
mengubat/ Ubatkan sayalah rindu hati yang rindu.
Surat wujud sejak sekian lama akibat jarak geografi dan belum tercipta atau
meluasnya penggunaan komunikasi elektronik seperti telefon atau laman sosial.
Perasaan juga dijarakkan oleh persekitaran tradisional yang memaksa penggunaan
surat untuk menzahirkan emosi walaupun penerimanya mungkin rakan satu kelas.
Bagaimanapun dalam era elektronik serta laman sosial yang pantas, perasaan
hampir tidak mempunyai jarak kerana teks dan visual boleh dikirim, diterima dan
dibalas dengan begitu pantas.
Surat peribadi biasanya ditulis kerana beberapa sebab. Pertama, untuk
mendapatkan apa saja berita atau maklumat daripada seseorang. Kedua, untuk
memberitahu sesuatu yang berlaku kepada diri atau keluarga pengirim. Ketiga,
sebagai penzahiran nota sosial seperti untuk mengucapkan tahniah, takziah, terima
kasih dan sebagainya. Keempat, untuk merapatkan hubungan atau mempererat
silaturahim. Kelima, untuk menyatakan sikap, visi, serta impian, seperti mana
surat pemimpin dunia yang terkenal.
Saya amat menghargai pemberian seseorang. Walaupun yang diberi mungkin
kelihatan kecil atau sederhana, itu tidak boleh dinilai dengan wang ringgit.
Sebagai contoh, jika saya menerima kiriman surat daripada seorang sahabat atau
kenalan, ia hanya berupa sehelai atau beberapa lembaran kertas. Namun bukan
kertas itu yang penting, tetapi kandungannya yang berisi emosi, pemikiran atau
pandangan jujur pengirimnya.
Sebab itu, saya menyimpan surat sahabat dan kenalan. Saya teringat dua
baris puisi tulisan Zakiah Hanum dalam bukunya Senandika Tok Wa mengenai
perkara ini: “Jika surat kawan kita tak simpan/Esok tak ada bukti kita punya
persahabatan.” Zakiah Hanum pernah bertugas sebagai Ketua Pengarah Arkib Negara
Malaysia, oleh itu, beliau sangat peka dan arif kepentingan tradisi menyimpan
dan mengumpul bahan bertulis atau bercetak, kerana dokumen mungkin mempunyai
nilai sejarah tinggi.
Saya kurang pasti sama ada sahabat atau kenalan saya yang pernah menerima
surat daripada saya, masih menyimpan atau tidak. Besar kemungkinannya tidak,
kerana dokumentasi perbahanan bertulis tidak membudaya dalam masyarakat kita.
Sesetengah penerima, selepas habis membaca surat, mungkin mencampakkannya ke
tong sampah. Bagi mereka ini, surat sudah diterima, sudah dibaca dan difahami
isinya. Habis perkara.
Bimbang perkara itu terjadi, saya biasanya mempunyai salinan surat peribadi
yang saya kirimkan. Ketika era menggunakan mesin taip dulu, saya gunakan kertas
karbon untuk mendapatkan penduanya. Atau jika surat itu saya tulis tangan, saya
juga menggunakan kertas karbon untuk menyimpan salinannya. Saya ingin menyimpan
sesuatu yang pernah saya tulis, yang menggambarkan pemikiran, sikap, emosi atau
apa jua latar belakang sosio-ekonomi-politik pada masa surat itu ditulis.
Baru-baru ini, saya menerbitkan Menyurat Kepada Sahabat: Warkah-Warkah
Peribadi 1975-2002. Perpustakaan Negara membeli buku ini dalam jumlah yang agak
besar untuk diedarkan ke perpustakaan negeri dan desa. Sambutan orang ramai
terhadap buku ini juga amat menggalakkan. Sambutan yang baik terhadap buku ini
mungkin kerana ia genre yang jarang ditemui dalam pasaran buku di negara ini
(yang didominasi novel popular, buku agama dan buku ulang kaji bagi pelajar
sekolah rendah dan menengah).
Saya juga dalam proses memilih surat peribadi yang pernah saya terima untuk
dibukukan. Antara lain surat itu dikirim oleh sarjana sastera dan bahasa Melayu
antarabangsa, penulis dari dalam dan luar negara, termasuk penulis Indonesia
seperti Taufik Ismail, Rendra dan Sitor Sitomorang.
Penerbitan surat itu kelak bukan saja menunjukkan saya masih menyimpannya
dan pernah bersahabat dengan mereka, seperti mana senandika Zakiah Hanum:
“Kalau surat kawan kita tak simpan/Esok tak ada bukti kita punya persahabatan.”
Lebih daripada itu ia akan menyerlahkan sikap dan pemikiran pengirimnya.
Surat peribadi dalam ‘peraturan’ serta bentuknya yang tradisional mula
menghilang. Di tangan kebanyakan generasi muda, komunikasi mereka dengan kawan
berubah citra dalam laman sosial atau khidmat pesanan ringkas (SMS) – menjelma
dalam bentuk mesej ringkas, tidak beranatomi, ejaan bantut, bahasa pasar dan
slanga. Gejala ini pastinya membayangkan ‘standard’ hubungan manusiawi serta
takah budi daya sesuatu masyarakat.
Penulis ialah Sasterawan Negara dan Dekan Fakulti
Penulisan Kreatif ASWARA
Sumber : http : //www.bharian.com.my/