KUALA LUMPUR : Seramai 7,000 orang
kanak-kanak Orang Asli berusia enam hingga 12 tahun didapati tidak bersekolah,
menurut kajian Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada tahun 2010 hingga
2011.
Pegawai Bahagian Pendidikan dan Perhubungan Awam
Suhakam Hasmah Abd Manaf berkata kajian itu dibuat menerusi lawatan suruhanjaya
itu ke 93 buah sekolah Orang Asli di seluruh Semenanjung.
"Masalah pengangkutan dan
jalan penghubung menjadi penghalang untuk kanak-kanak ini ke sekolah
memandangkan kawasan (penempatan) mereka terletak di pedalaman dan di hutan.
"Ada kanak-kanak yang tidak bersekolah
langsung juga disebabkan oleh tiada sekolah dibina di kawasan mereka selain ada
sekolah yang terletak jauh dari kawasan penempatan mereka," katanya pada
sidang media mengenai Hak Pendidikan dan
Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC)) di sini, Isnin.
Hasmah berkata selain itu,
masalah lain kanak-kanak Orang Asli ialah mereka tidak diajar mengenai bahasa
(ibunda) mereka di sekolah.
Menurut Perkara 30 Konvensyen
Mengenai Hak Kanak-Kanak, kanak-kanak dari komuniti minoriti dan penduduk asli
mempunyai hak untuk menikmati kebudayaan mereka dan mengamalkan bahasa dan
agama mereka sendiri.
"Orang Asli seharusnya
belajar menggunakan bahasa mereka untuk meneruskan kelangsungan budaya
mereka," katanya.
Beliau berkata Suhakam turut
melawat 21 buah Sekolah Agama Rakyat (S.A.R) di Pahang dan Selangor dan tujuh
Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang terletak di ladang dan estet di
Perlis dan Kedah pada tahun ini,.
Hasmah berkata bantuan daripada
pihak berwajib seperti kemudahan prasarana dan teknologi maklumat amat kurang
dan ini menyebabkan murid serta guru tidak berpeluang menggunakan kemudahan
tersebut dan menimba ilmu menerusi internet.
Beliau berkata kebanyakan S.A.R
mempunyai masalah pendaftaran dan mereka tetap terus beroperasi walaupun tidak
mematuhi syarat-syarat pendaftaran.
"Apabila tidak mematuhi
syarat, maka permohonan untuk pendaftaran tidak diluluskan dan mereka dibiarkan
begitu sahaja dan beroperasi seperti biasa, sedang masyarakat pula bergantung kepada
sekolah ini untuk menghantar anak mereka.
Sementara itu, Pesuruhjaya
Suhakam Muhammad Sha'ani Abdullah berkata ada murid yang tiada dokumen
pengenalan diri menyebabkan mereka tidak boleh menduduki peperiksaan awam dan
guru pula tidak tahu bagaimana untuk menguruskan anak murid mereka.
"Inilah kelemahan dalam
pentadbiran sekolah dan Kementerian Pelajaran untuk menyedarkan pihak tertentu
supaya mendaftarkan anak mereka. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga harus
memainkan peranan membantu masyarakat dan bukannya menghukum mereka,"
katanya.
Beliau berkata Suhakam turut
menerima aduan bahawa sebuah sekolah pendidikan khas bagi kanak-kanak cacat
pendengaran di Pulau Pinang tidak mempunyai guru terlatih dalam bahasa isyarat
yang cukup.
"Daripada 52 orang guru,
hanya empat yang pandai berbahasa isyarat.
"Guru-guru yang terlatih
dalam bahasa isyarat dipindahkan ke sekolah biasa. Ini tidak boleh diterima,
tindakan ini mencabuli hak kanak-kanak pekak," katanya. Justeru, Muhammad
Sha'ani berkata kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran harus mengambil
perhatian terhadap permasalahan ini bagi memastikan setiap kanak-kanak mendapat
pendidikan berkualiti dan sama-rata. -BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan