Isnin, 30 Mac 2009

MENYELAMI MAKSUD YANG TERSIRAT (Siri 2)




BULAT AIR KERANA PEMBETUNG BULAT MANUSIA KERANA MUAFAKAT

Dalam siri kedua ini, marilah kita sama-sama cuba menyelami maksud yang tersirat di sebalik peribahasa bulat air kerana pembetung bulat manusia kerana muafakat. Peribahasa ini bermaksud keputusan sebulat suara akan dicapai dengan adanya persepakatan atau muafakat.

Dalam Kamus Dewan, pembetung merujuk “alat untuk membetung (menyalurkan air)”

Di kampung, khususnya di kawasan sawah tempat padi ditanam, air didapati dari sungai atau anak sungai yang disalurkan melalui tali air. Dari tali air inilah pembetung dipasang. Pembetung yang berbentuk selinder itu, biasanya dibuat dari buluh atau kini digantikan dengan besi paip.

Orang tua-tua dahulu memerhatikan keadaan air yang berubah menjadi bulat apabila melalui pembetung yang mengalirkan air dari tali air ke dalam sawah. Bekalan air yang cukup yang disalurkan menerusi pembetung di sawah telah membesarkan dan menyuburkan padi yang ditanam. Dalam hal ini, air yang pada awalnya berselerak dan mengalir tanpa kawalan telah menjadi bulat dan dapat dialirkan menurut kemahuan kita apabila melalui pembetung.

Keadaan yang sedemikian dapat dibandingkan dengan kepentingan amalan pemuafakatan dalam menjalani kehidupan bermasyarakat. Peribahasa muafakat membawa berkat membuktikan bahawa seandainya amalan ini disuburkan dalam komuniti setempat, apa-apa juga perancangan yang dibuat pasti akan dapat dijayakan. Secara tidak langsung, kesejahteraan hidup masyarakat juga akan terhasil dan dapat dipertahankan. Oleh itu, semangat peribahasa ini sewajarnya menjadi amalan dalam kehidupan seharian.