Jumaat, 21 Januari 2011

ISU PENARIKAN BALIK NOVEL SPM : Sediakan glosari, nota kaki kepada guru

LABIS 21 Jan. - Kementerian Pelajaran mencadangkan beberapa usul untuk memudahkan tugas guru yang mengajar novel Interlok di sekolah-sekolah termasuk menyediakan glosari dan nota kaki untuk menjelaskan maksud perkataan-perkataan tertentu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya juga mencadangkan supaya guru yang mengajar novel berkenaan disediakan panduan yang jelas bagi mengelakkan timbul masalah pada kemudian hari.


"Kita ada beberapa perkara sudah kita usulkan dan Kabinet minta kita teruskan perbincangan dengan MIC supaya lebih jelas bagaimana hendak atasi perkara ini termasuk menyediakan glosari, nota kaki dan panduan yang jelas disediakan kepada guru yang mengajar novel ini," katanya mengulas perkembangan terbaru mengenai isu novel berkenaan.


Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian selepas merasmikan majlis pecah tanah tapak bangunan tambahan Sekolah Agama Labis, di sini hari ini.


Beliau berkata, perbincangan mengenai novel tersebut akan diteruskan dengan pemimpin MIC sebelum keputusan muktamad diambil Kabinet sama ada meneruskan penggunaan novel tersebut dalam Sastera tingkatan lima atau sebaliknya.


"Saya akan umumkan keputusannya nanti. Keputusan mengenainya tidak berapa lama lagi," tegasnya.


Timbalan Perdana Menteri memberitahu, beliau telah menjelaskan mengenai hasil perbincangan antara panel terdiri daripada wakil Kementerian Pelajaran dan pemimpin MIC sebelum ini kepada Jemaah Menteri pada mesyuarat minggu ini.


Berdasarkan makluman, perbincangan itu berlangsung dalam suasana yang baik, intelektual, profesional dan semua ahli panel mendengar hujah dan pandangan dalam suasana mesra, katanya.


Muhyiddin berkata, sekiranya diteliti secara mendalam, (kandungan novel) tidak ada apa yang harus dibimbangkan.


"Pada peringkat akhirnya, saya dimaklumkan semua ahli panel akhirnya bersetuju bahawa novel Interlok adalah sebuah novel yang baik. Novel Interlok menyeru kepada soal perpaduan kaum. Ia selaras dengan gagasan 1Malaysia.


"Cuma ada kebimbangan MIC atau pun beberapa pihak dalam kelompok masyarakat India terhadap beberapa perkataan yang digunakan. Penulis ini (Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain) apabila dibaca secara keseluruhannya tidak ada niat untuk menghina atau memperkecilkan mana-mana kaum dalam novel itu," katanya.


Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PELAJAR STRES : Guru Kaunselor Perlu Kreatif

PETALING JAYA: Semua guru kaunselor di negara ini perlu menyediakan pelan preventif dalam usaha mengatasi masalah stres di kalangan pelajar.

Presiden Lembaga Kaunselor Malaysia, Datuk Dr Ismail Alias berkata, guru kaunselor tidak seharusnya mengehadkan peranan mereka dengan mengadakan sesi kaunseling untuk pelajar yang mempunyai masalah semata-mata.

"Nisbah setiap guru kaunselor adalah untuk 500 pelajar dan difahamkan kira-kira 7,000 guru kaunselor di seluruh negara.

“Jumlah ini amat besar, memperlihatkan peranan mereka begitu penting di sekolah bagi mengenal pasti pelajar yang berhadapan dengan stres dan kemurungan.

“Mereka juga perlu melakukan program preventif dan pembangunan terhadap golongan ini dari masa ke semasa,” katanya kepada mStar Online, Jumaat.

Beliau yang juga Naib Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia (Perkama) mengulas mengenai rancangan Kementerian Kesihatan yang memperkenalkan modul kesihatan mental di sekolah menengah untuk menangani masalah stres.

Pengenalan oleh kementerian itu berikutan kebimbangan terhadap masalah kesihatan mental di Malaysia meningkat seramai 400,227 pesakit menjalani rawatan di hospital kerajaan iaitu 15.6 peratus pada tahun 2010 berbanding 2009.

Peningkatan angka itu dilihat selari dengan ramalan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa beban masalah kesihatan mental dijangka akan terus meningkat pada kadar 15 peratus menjelang 2020.

Sebagai permulaan, program tersebut akan diperkenalkan di empat sekolah perintis selama enam bulan sebelum dikembangkan ke seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Program menangani kesihatan mental seawal usia remaja itu antaranya bertujuan memberi pendedahan kepada guru untuk mengenal pasti pelajar yang mengalami stres bagi memastikan golongan itu menerima rawatan dan bimbingan seawal mungkin.

Empat sekolah perintis yang dipilih adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Abdullah Ahmad Badawi, Sekolah Menengah St Michael, Sekolah Menengah Sains Teluk Intan dan Sekolah Menengah Simpang Bekoh.

Ismail berkata, rancangan Kementerian Kesihatan itu disifatkan baik dan guru kaunselor perlu melihat perkara tersebut secara serius.

“Modul itu akan dilaksanakan secara perintis di empat sekolah dan sekiranya ia berjaya, saya mencadangkan ia akan diguna pakai oleh semua kaunselor di negara ini.

“Perkama dan Lembaga Kaunselor Malaysia turut bersedia untuk membantu dalam menambah baik program atau modul berkenaan sekiranya diperlukan,” katanya.

Sehubungan itu Ismail berkata, mereka seharusnya merancang pelbagai program tambahan serta memperluaskan sasarannya untuk guru-guru lain dan ibu bapa.

Katanya, harus diingatkan, guru juga boleh menjadi stres dan tekanan yang dihadapi oleh pelajar turut berpunca daripada ibu bapa, rakan-rakan dan persekitaran.

“Mengalami stres adalah sesuatu yang normal dalam kehidupan manusia namun kita perlu belajar untuk menguruskannya dengan baik.

“Stres merupakan masalah awal sebelum ia menjadi kronik kepada kecelaruan fikiran iaitu penyakit mental dan pelajar berpotensi mengalaminya,” kata Ismail.

Sumber : http://mstar.com.my

ISU IPT TEMPATAN : Ada masa kita tonjol potensi, merendah diri

Oleh Dr Zaini Ujang

Universiti tempatan tidak patut sembunyi kelebihan elak tanggapan negatif negara luar

RAKYAT Malaysia secara umumnya mempunyai sifat merendah diri yang ketara. Dalam masyarakat Melayu misalnya, semakin merendah diri, semakin dipandang tinggi, tandanya semakin beradab. Selain itu kita sering kali diperingatkan supaya tidak mengikut resmi ayam, telur sebiji riuh sekampung. Apatah lagi berlagak seperti 'tin kosong'. Ikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.

Dalam kehidupan harian kita juga kerap memohon maaf sebelum berbuat sesuatu, atau memula bicara kerana mungkin ada kelemahan atau kesilapan nanti. Malah sudah menjadi prosedur rasmi dalam mana-mana majlis diakhiri dengan kata-kata stereotaip pengerusi atau pengacara majlis memohon maaf terhadap apa saja kepincangan pada majlis itu, walaupun hakikatnya sangat cemerlang.

Justeru, sifat merendah diri atau tawaduk itu membuatkan kita jarang menonjolkan kehebatan diri. Kita selalunya ‘beralas’ dalam mengemukakan sesuatu pendapat atau idea. Hal ini juga terbawa-bawa dalam bidang saintifik dan pengajian tinggi.

Biasanya apabila menjawab persoalan orang asing berkaitan kualiti akademik atau pencapaian saintifik, kita akan mencari pendekatan merendah diri. ‘Kami baru bermula’ atau ‘peralatan belum lengkap dan tidak begitu canggih’. Barangkali hal ini kita ungkapkan dalam konteks pembandingan dengan negara serantau yang semakin maju, terutama Singapura, China dan Korea Selatan.

Bagi kita masih banyak kelemahan yang ada perlu ditangani. Malah tidak sedikit yang melihat kelemahan sebagai suatu ‘deskripsi utama’ terutama dalam sistem pendidikan dan pembangunan saintifik. Maka itulah sebabnya kita sering kali kritis terhadap mutu kebanyakan graduan yang tidak mahir berkomunikasi. Kita juga menyuarakan kebimbangan mengenai keupayaan generasi muda memacu daya saing negara dalam bidang strategik.

Namun hal ini ada juga baiknya. Itu tandanya kita tidak berpuas hati dengan pencapaian semasa. Kita ingin lebih maju dan mantap. Kita juga sentiasa berusaha untuk mencari kekuatan baru, pengetahuan dan ilmu baru. Hal ini mudah ditanggapi ramai pelancong dan tetamu yang berkunjung ke Malaysia.

Minggu lalu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima kunjungan rombongan peringkat tertinggi dari Universiti Qatar (UQ), diketuai oleh Presidennya, Prof Sheika Abdalla Al-Misnad dan timbalannya, Profesor Sheika Jabbor Al-Thani. Bagi mereka sifat merendah diri orang Malaysia begitu ketara, sekali gus menimbulkan tanda tanya. Menurut mereka pencapaian Malaysia dalam bidang akademik jauh melebihi promosi dilakukan. Standard pengajian tinggi universiti utama di Malaysia mengatasi banyak universiti yang lebih tua dan berbelanja besar.

Malangnya, sifat merendah diri itu juga membuatkan kita tidak begitu dikenali. Ada kalanya tidak begitu dihargai dalam kalangan komuniti antarabangsa. Pakej promosi kita, khususnya universiti awam dan agensi berkait penyelidikan dan inovasi di Malaysia, tidak menggambarkan pencapaian sebenar kita yang jauh lebih baik. Pakej promosi kita juga kurang mantap dalam konteks strategi dan penyampaian, berbanding, misalnya Singapura.

Hal ini diaibkan lagi dengan komentar negatif yang sering kali tersiar dalam media massa yang turut dibaca pelancong dan pengamat luar, seolah-olah hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan tidak relevan dengan keperluan industri.

Set kemahiran graduan tempatan seolah-olah tidak relevan dengan kehendak pasaran, dan sebagainya. Hal ini diulang-ulang seolah-olah suatu fenomena lumrah dalam pelbagai kesempatan, media dan forum. Walaupun banyak langkah pembaikan sudah diambil tetapi lebih bersifat defensif, bukan dalam konteks pembinaan set minda baru.

Lawatan UQ ke UTM, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM) itu bertujuan untuk mencari kerangka baru mempergiatkan lagi aktiviti penyelidikan, inovasi dan pengajian siswazah. Secara terbuka, pada majlis yang turut dihadiri oleh Canselor UTM, Raja Zarith Sofia.

Prof Sheikha Al-Misnad menyebut mengenai kelainan dan kekuatan universiti di Malaysia berbanding universiti di Korea Selatan dan Hong Kong yang beliau baru kunjungi, malah universiti lain di serata dunia. Universiti awam berstatus universiti penyelidikan di Malaysia bukan saja cemerlang tetapi mempunyai perancangan realistik, hala tuju jelas, mengambil kira kepentingan negara sendiri dan berdaya saing.

Hal ini disedari apabila ramai graduan universiti di Malaysia menyerlah dalam pelbagai lapangan di Negara Teluk ketika ini. Mereka adalah model kelompok profesional yang semakin mendapat perhatian. Malah ‘label Malaysia’ adalah suatu jaminan kualiti dari segi etika, kemahiran dan profesionalisme. Walaupun kita sering merungut mengenai kemampuan berbahasa Inggeris dalam kalangan graduan tempatan, apabila berada di alam kerjaya, mereka cepat belajar dan menyesuaikan diri berbanding graduan dari negara lain.

Tanggapan positif terhadap graduan Malaysia di Negara Teluk sama dengan tanggapan terhadap graduan universiti ternama India di Amerika Syarikat. Mereka bukan saja diberi kedudukan yang baik malah menjadi penggerak pembangunan teknologi di negara terbabit.

Dalam konteks ini, saya berpendapat kita perlu melakukan lonjakan minda supaya tidak lagi terikat dengan sikap merendah diri keterlaluan. Promosi kita memerlukan pakej lebih bergaya dan kelas tersendiri.

Henry Ford (1863-1947) menyebut bahawa ‘sama ada kita fikir boleh (positif) atau sebaliknya, kedua-duanya betul’.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENARIKAN BALIK NOVEL SPM : Kabinet arah dialog Interlok diterus


Oleh Syuhada Choo Abdullah

choo@bharian.com.my

Kementerian, pihak berkepentingan perlu cari penyelesaian diterima semua

KUALA LUMPUR: Kabinet mengarahkan Kementerian Pelajaran meneruskan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan, termasuk wakil MIC, berhubung isu novel Interlok sehingga satu penyelesaian yang boleh diterima oleh semua, dicapai.

Timbalan Presiden MIC yang juga Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata ini berikutan cadangan penyelesaian yang dibentangkan Kementerian Pelajaran pada mesyuarat Kabinet, kelmarin, belum mendapat persetujuan semua pihak.

"Mereka (Kementerian Pelajaran) pun mahu satu penyelesaian kepada isu itu, cuma kita kena cari satu penyelesaian yang sesuai untuk kedua-dua pihak.

“Bagaimanapun, tiada tempoh yang ditetapkan (untuk mencapai penyelesaian) dan Kementerian Pelajaran akan mengatur perjumpaan seterusnya dengan wakil kita (MIC),” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengunjungi ke Batu Caves sempena sambutan Thaipusam, semalam.

Selasa lalu, Kementerian Pelajaran mengadakan dialog kira-kira empat jam dengan 22 wakil pelbagai organisasi, termasuk MIC, untuk membincangkan kontroversi teks Komponen Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS) itu, dan laporannya diserahkan kepada Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum dibentangkan pada mesyuarat Kabinet pada Rabu.

Subramaniam menyifatkan dialog kali pertama itu sebagai satu pembukaan kepada isu berkenaan, tetapi perbincangan lanjut masih diperlukan sehingga mencapai penyelesaian yang boleh diterima semua pihak.

Sementara itu mengulas isu berasingan pula, Presiden MIC, Datuk G Palanivel, berkata insiden seorang peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Basant Singh, 18, yang mendakwa rambutnya digunting ketika dia tidur, awal pagi Ahad lalu, adalah sensitif kepada masyarakat berkenaan.

Justeru, katanya, isu itu mesti diselesaikan segera dengan Jabatan Latihan Khidmat Negara sekurang-kurangnya memohon maaf kepada keluarga peserta terbabit dan masyarakat Sikh.

“Saya tidak fikir kejadian rambut dipotong itu berlaku secara tidak sengaja, seseorang mesti sudah melakukannya. Oleh itu, paling tidak pegawai PLKN harus memohon maaf atas insiden berkenaan,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/