KUALA LUMPUR - Dekad ini
yang menyaksikan lonjakan ketara dalam perkembangan teknologi komunikasi
maklumat (ICT), menjadikan urusan mencari pekerjaan begitu mudah ibarat di
hujung jari tidak seperti tahun-tahun yang lampau.
Menurut 'JobsDB.com' yang
berpusat di Singapura, jumlah pencari kerja atas talian semakin meningkat.
"Antara Januari 2011 dan
Febuari 2012, jumlah pencari kerja secara atas talian dari Malaysia meningkat
365 peratus," jelas Jake Andrew, Pengurus Produk JobsDB.com kepada
Bernama.
Takrif 'atas talian' merujuk
kepada sambungan kepada Internet.
Menurut Andrew, Malaysia adalah
negara ketiga selepas Hong Kong dan Singapura di Asia bagi jumlah pencari kerja
atas talian yang paling ramai.
PENCARI KERJA
Kajian melibatkan 2,000 orang
yang dijalankan JobsDB.com mendapati 82 peratus daripada pencari kerja di
Malaysia memilih portal carian kerja bila mencari peluang yang baru dan
mencabar.
Manakala 41 peratus meninjau
prospek yang lebih baik bagi kerjaya mereka, melawati portal-portal tersebut
tiga hingga empat kali seminggu.
Ada pencari kerja yang melawati
portal itu sekadar untuk memuaskan hati dengan nilai kerjaya yang mereka sedang
tanggung selain ingin mengetahui kebolehan mereka jika berada dalam kerjaya
yang sama di bidang lain.
Kategori pencari kerja ini akan
memohon kerja yang sesuai bila timbulnya peluang walaupun pada asalnya mereka
tidak mempunyai tujuan tersebut.
KOMPUTER
Pencari kerja kini boleh mencari
kerja di mana saja dan tidak kira masa. Tambahan pula warga Malaysia telah
menjadi lebih cekap menggunakan gajet canggih serta mudahalih.
Menurut Pengurus Besar JobsDB.com
Malaysia, Sheldon Fernandez, jumlah pencari kerja atas talian dari Malaysia
semakin meningkat.
"Pencari kerja berusaha
mencari karier yang sesuai," jelas Fernandez sambil menambah kata, mereka
sebenarnya mencari perubahan yang positif.
Statistik JobsDB.com menunjukkan
800,000 pencari kerja dari Malaysia telah melawati portal itu bagi mendapatkan
peluang kerja lebih baik dan dipercayai mereka yang sedang bekerja mewakili 60
peratus daripada kumpulan ini.
INTERNET
Internet telah menjadi laluan
utama bagi pencarian kerja masakini beserta dengan perkembangan teknologi yang
rancak termasuk populariti telefon pintar dan gajet mudahalih lain.
JobsDB Malaysia membuat pelaburan
besar bagi menambahbaik khidmat teknologinya serta pembangunan produk bagi
memberi lebih fleksibiliti dan aksesibiliti kepada kumpulan pencari kerja.
'Enjin Pencarian' itu bertujuan
menjadi portal utama untuk pencari kerja di rantau ini.
Selain membantu majikan menerima
permohonan relevan bagi mengisi kekosongan jawatan, pencari kerja juga akan
diberi 'kerja' yang sesuai dengan kelayakan mereka.
Di Malaysia, kadar kejayaan
pencarian kerja melalui JobsDB.com mencatat empat hingga lima pengambilan
pekerja setiap bulan.
PELAN
"Perkembangan domestik di
Malaysia begitu rancak, 6.0 peratus dalam suku terakhir pada tahun 2012 dan
angka yang sama diunjurkan bagi tahun 2013, terutama dengan adanya sektor SME.
"Wujudnya peluang besar
dalam pasaran kerja di Malaysia, adalah selari dengan strategi dan jangkaan
kita," jelas Angeli Beltran, Pengarah Urusan JobsDB.
Berapa lama seseorang itu boleh
dapatkan kerja melalui enjin pencarian kerja ini?
Berikutan pencarian dilakukan
atas talian, ia adalah lebih senang mendapat pekerjaan yang sesuai dan
permohonan boleh dibuat melalui Internet di mana saja tanpa mengira masa, kata
Beltran.
"Dari permohonan sehinggalah
penerimaan kerja, ia bergantung kepada proses syarikat yang berkenaan,"
jelas beliau.
Katanya, JobsDB.com berperanan
menyediakan liputan yang meluas berhubung pekerjaan di samping membantu
mengurangkan pengangguran di negara seperti Malaysia. - Bernama