Oleh Nazmi Yaakub
ANEH apabila masih ada pihak yang berpandangan sekolah
aliran Inggeris yang diwujudkan pada zaman kolonial sebagai jawapan kepada
usaha memperkukuh bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat Malaysia
Malah, kelompok itu sanggup menggunakan perbandingan yang salah dengan mengaitkan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil serta agama sedangkan ia bukan saja dalam konteks yang salah, bahkan tidak bertepatan dengan sejarah.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang
Sariyan, berkata SJK Cina dan Tamil mewakili komponen rakyat Malaysia, manakala
sekolah agama pula tidak wajar dipersoalkan kerana majoriti orang Melayu
beragama Islam.
“Malah, sekolah agama di negara ini tidak mengetepikan dasar
pendidikan kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar
utama berbanding sekolah aliran Inggeris yang dicadangkan lagi tidak diketahui
apakah hala tujunya,” katanya kepada Sastera di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Minggu lalu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka
Siong, berkata kementeriannya masih mengumpulkan pandangan pihak berkaitan
sebelum membuat sebarang keputusan dalam memperkenalkan semula sekolah aliran
Inggeris.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada
Ahli Dewan Negara, Senator Dr S Ramakrishnan yang bertanyakan mengapa kerajaan
tidak boleh berbuat demikian sedangkan SJK Cina dan Tamil serta sekolah agama
dibenarkan wujud bersama-sama sekolah kebangsaan.
Pada September tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin memberi jaminan sekolah kerajaan aliran bahasa Inggeris tidak
akan diwujudkan di negara ini kerana bertentangan dengan Akta Pendidikan dan
Dasar Pendidikan Negara.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau
bertanggungjawab untuk melaksanakan apa yang termaktub dalam akta dan dasar
yang jelas menyebut bahawa bahasa pengantar di sekolah kebangsaan ialah bahasa
Melayu atau bahasa Malaysia.
“Tidak mungkin akan wujud sekolah (kerajaan) aliran bahasa
Inggeris kecuali jika berlaku perubahan dalam Akta Pendidikan dan Dasar
Pendidikan Negara,” katanya.
Mengulas cadangan pihak tertentu agar kerajaan menubuhkan
sekolah dua aliran, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, beliau berkata, dalam
aliran kebangsaan hanya aliran bahasa Melayu dibenarkan, tetapi sekolah swasta
boleh memilih apa juga bahasa.
Dr Awang berpendapat, pihak berkenaan perlu sedar bahawa
tindakan mewujudkan sekolah aliran Inggeris akan membina jurang besar antara
masyarakat luar bandar dengan bandar, selain golongan pertengahan dengan
bawahan.
“Jika cadangan ini dilaksanakan ia akan menjejaskan dasar
bahasa kebangsaan yang secara langsung bertentangan dengan usaha yang sudah
dilakukan pelbagai pihak termasuk DBP dalam memperteguh dasar bahasa
kebangsaan.
“Anak yang dihantar ibu bapa ke sekolah Inggeris tidak akan
mengutamakan bahan bacaan dalam bahasa Melayu dan saya yakin kesan besar
sekolah Inggeris adalah melebarkan jurang perbezaan, sekali gus memperlihatkan
kita tidak mempunyai dasar bahasa yang jelas,” tegasnya.
Pandangan Dr Awang turut dikongsi Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khir Ngadiron yang melihat
cadangan mewujudkan sekolah aliran Inggeris sebagai satu ironis.
“Selepas kita berjaya meraih kemerdekaan dan melepasi laluan
berliku serta merungkai kekusutan sehingga berjaya memartabatkan bahasa Melayu
sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan, tentulah tidak wajar untuk kita
kembali ke era penjajahan.
“Sudah terbukti sekolah kebangsaan dengan bahasa pengantar
bahasa Melayu boleh berfungsi sebagai sekolah yang baik dan bagus, tidak ada
sebab untuk kita memberikan justifikasi untuk membuka ruang kepada sekolah
aliran Inggeris,” katanya.
Mohd Khir turut menolak tanggapan yang menyamakan sekolah
aliran Inggeris dengan kewujudan SJK Cina dan Tamil yang diasaskan sejak awal
kemerdekaan atas persetujuan dan permuafakatan.
Alasan penubuhan sekolah Inggeris itu turut ditempelak
Timbalan Pengarah, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong.
“SJK Cina dan India serta sekolah agama ada asasnya, iaitu
mewakili kumpulan etnik di negara ini dengan orang Cina dan India mempunyai hak
untuk menuntut pendidikan dalam bahasa ibunda, manakala orang Melayu Islam
inginkan pendidikan agama yang lebih terarah.
“Namun, sekolah Inggeris tidak perlu wujud untuk memenuhi
hasrat mana juga kelompok kerana tidak ada kumpulan etnik sedemikian,” katanya
yang juga ahli panel Dialog Pendidikan Nasional.
Prof Teo menolak tanggapan keperluan sekolah Inggeris untuk
meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris yang lebih meluas, sebaliknya
menegaskan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris
(MBMMBI) berupaya memastikan dua bahasa itu diberi perhatian mengikut
martabatnya.
“Pelaksanaan sekolah Inggeris tidak selari dengan
nasionalisme Malaysia yang mengangkat bahasa sepunya, sekali gus boleh
menjejaskan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan negara.
“Ini kerana bahasa Inggeris mempunyai prestij, kuasa dan
glamor yang cukup hebat sehingga kita lihat kekuasaan bahasa Inggeris
meranapkan beberapa bahasa besar dan kecil di dunia khususnya di negara dunia
ketiga,” katanya.
Justeru, beliau hairan apabila ada dalam kalangan bangsa
Melayu sendiri yang mengutarakan cadangan penubuhan sekolah Inggeris termasuk
dalam Dialog Pendidikan Nasional, sekali gus menganggap cadangan itu tidak
mempunyai pandangan yang jauh.
Tidak hairanlah Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu
Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan,
menyifatkan cadangan penubuhan sekolah aliran Inggeris sebagai tindakan balik
ke belakang.
“Sepatutnya usaha ditumpukan untuk memperkasa sekolah
kebangsaan yang juga bermakna memastikan dasar MBMMBI berjalan serentak
sehingga tidak lagi memerlukan kewujudan sekolah aliran Inggeris.
“Kewujudannya juga bertentangan dengan falsafah pendidikan
dan Akta Pendidikan Negara yang menegaskan alat pengajaran adalah bahasa
Melayu,” katanya.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/