Ahad, 11 Mac 2012
ISU KESIHATAN : Tangani tingkah laku agresif
TINGKAH laku agresif kerap kali dikaitkan dengan perasaan marah. Marah adalah sebahagian daripada tindak balas normal perasaan manusia tetapi apabila tidak terkawal boleh mengakibatkan kemudaratan serius.
Walaupun perlakuan agresif selalu dikaitkan dengan individu yang mengalami penyakit mental tetapi ia juga boleh berlaku di kalangan manusia normal.
Dari sudut perubatan psikiatri, agresif adalah sebarang perlakuan yang boleh menyebabkan kemudaratan serius kepada tubuh badan atau perasaan seseorang mangsa.
Perlakuan ini boleh berlaku dalam bentuk tindakan ganas atau butiran perkataan yang berunsur ugutan jenayah.
Punca
Mereka yang menunjukkan tingkah laku agresif ini biasanya mengalami kecacatan bahagian otak yang dipanggil prefrontal cortex.
Selain daripada itu ketidakseimbangan bahan kimia di dalam otak yang dipanggil neurotransmitter serta kecelaruan rembesan hormon juga boleh menyebabkan tingkah laku agresif.
Bagi manusia normal, tingkah laku agresif boleh berlaku apabila kemahuannya tidak dipenuhi atau keselamatan diri terancam.
Faktor persekitaran juga boleh memainkan peranan. Sebagai contoh seorang pemandu kereta yang tidak menggunakan penyaman udara di dalam cuaca panas didapati lebih mudah untuk membunyikan hon sesuka hati dan menunjukkan tingkah laku agresif apabila dicabar.
Penjenayah dan seseorang yang mempunyai masalah personaliti seperti antisosial atau borderline, tingkah laku agresif bagi mereka adalah satu keseronokan yang menyebabkan mereka cenderung untuk mengulangi perbuatan tersebut.
Perlakuan tersebut akan lebih kejam dan ganas sekiranya mereka menagih dadah atau mengambil alkohol.
Penagih dadah yang berada di bawah pengaruh dadah pula boleh menjadi agresif apabila mereka mempunyai delusion atau kepercayaan karut yang mengatakan kononnya individu tertentu cuba membuat aniaya atau membunuh mereka.
Penagih merasakan bahawa perkara tersebut seperti benar-benar terjadi lalu mereka akan bertindak agresif terlebih dahulu terhadap individu berkenaan.
Mereka juga selalunya berhalusinasi mendengar suara ghaib yang menyuruh mereka berkelakuan agresif atau membunuh seseorang.
Pesakit yang mengalami kemurungan pula biasanya mempunyai pandangan negatif terhadap diri sendiri.
Ini menyebabkan perasaan kecewa dan marah melampau yang membawa kepada tingkah laku agresif seperti mengamuk dan keinginan membunuh. Mereka juga sangat sensitif kepada teguran dan kritikan.
Penderita pesakit post traumatic stress disorder (PTSD) dalam kalangan anggota tentera yang pernah menyaksikan trauma di medan pertempuran pula boleh menunjukkan tingkah laku agresif selepas mereka bersara sekiranya tidak dirawat.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU SOSIAL : Apakah kecepatan menjamin kejayaan?
NORDEN MOHAMED
Teknologi hari ini mempercepat urusan kita. Manusia yang hanya mampu berjalan 8 hingga 10 kilometer sejam, kini boleh meluncur selaju 267 kilometer sejam dengan menaiki Buggati Veyron Super Sport, kereta terpantas di dunia.
Kita yang pada asalnya menggunakan mesin taip, kini menggunakan komputer yang lebih laju. Tidak perlu lagi memutar kertas tiga helai memasuki penggelek bersama karbannya untuk membuat salinan atau tidak perlu lagi memadam menggunakan Tipp-ex. Dengan komputer, beratus-ratus halaman boleh ditaip dan disimpan. Berpuluh-puluh halaman juga boleh disalin sahaja dengan mesin cetaknya. Kesilapan ejaan juga boleh disemak dengan spelling checker. Semua itu semakin pantas dilakukan.
Dahulu, kita mengirim surat seminggu lebih awal kepada ayah di desa supaya menanti di perhentian bas untuk mengambil kita. Kini, kita boleh sahaja menghubungi ayah dengan telefon kira-kira sejam sebelum bas sampai ke kampung.
Pantasnya teknologi pada hari ini membolehkan kita tahu apa yang berlaku di kerak bumi Lautan Pasifik pada saat ini. Kemudahan internet melalui laman web membolehkan kita tahu apa yang terjadi seantero dunia. Dengan berkomunikasi melalui Twitter, Facebook, Skype, blog dan laman web, komunikasi kita berlangsung secara real-time.
Kecepatan teknologi ini juga mengubah daya dan cara berfikir kita. Ia menjadikan kita, manusia yang sentiasa mahu cepat berbanding dengan manusia dahulu. Kita cepat bosan kalau menanti orang di depan mesin ATM tercangak-cangak mencari butang untuk urusannya. Padahal, tidak lama dahulu kita tidak kisah berbaris panjang untuk mengeluarkan wang dengan buku bank.
Jika dahulu kita boleh menonton satu saluran TV dari Negaraku hingga ke Negaraku, kini kita boleh menukar saluran pada setiap saat. Pantang ada iklan, atau babak yang meleret sedikit, jejari kita cepat sahaja menukar saluran. Akhirnya, kita campak sahaja alat kawalan jauh ke sofa kerana kita bosan. Bosan kerana tidak tahu apa yang sebenarnya kita mahu tontoni.
Ya. Kecepatan menjadikan kita semakin pantas berfikir dan bertindak. Kecepatan juga, bila menjadi perilaku diri, boleh membuat kita tidak sabar. Kerana ingin pantas dalam segala yang kita lakukan, kita menjadi manusia gopoh.
Anak di tadika yang lambat sedikit menguasai A-B-C boleh menjadikan kita panik. Seolah-olah anak itu lembam. Bagi anak-anak yang sudah di sekolah menengah pula, kegagalan mereka untuk memperoleh semua ‘A’ dalam peperiksaan sudah menjadikan kita resah gelisah. Padahal, ada antara kita dahulu yang melonjak sakan apabila memperoleh satu ‘A’ dalam peperiksaan.
Kejayaan itu diukur bukan setakat memperoleh apa yang disasarkan. Sebaliknya, kejayaan itu kini ditafsir sebagai kebolehan mencapai sesuatu dengan cepat. Kerana itu, kenaikan pangkat yang cepat adalah baik. Bertukar tempat kerja untuk memperoleh kenaikan gaji yang cepat adalah baik.
Perniagaan yang mencapai perkembangan peratus tiga angka adalah yang terbaik. Perniagaan yang berkembang ke peratus dua angka, malah satu angka dianggap kurang berjaya. Keuntungan perniagaan mahu dilihat pada tahun yang pertama. Pelbagai usaha dilakukan agar perniagaan itu untung segera. Modal mahu besar, tenaga manusia yang diambil bukannya untuk satu pasukan, malah sebagai sebuah angkatan. Transaksi dan pilihan perniagaan pun jenis yang berjuta-juta.
Kecepatan menjadikan kita rakus dan tamak. Tidak cukup dengan apa yang ada, malah nafsu mula inginkan apa yang tiada. Ia berlawanan dengan fitrah manusia, yang mengambil masa berbulan-bulan daripada meniarap kepada merangkak dan akhirnya berdiri dan berlari. Ia bertentangan dengan kejadian siang dan malam yang beransur-ansur berubah.
Dalam berkejar dan berebut dalam kehidupan, kita tidak punyai masa untuk menikmati titisan embun yang gugur dari hujung daun ke bumi. Kita tidak sempat mendongak ke langit melihat awan yang berarak perlahan. Malah kita tidak dapat merasa lagi air yang diteguk memasuki halkum hingga mengalir perlahan ke perut.
Kita mengetepikan bidalan, ‘biar lambat asal selamat’ dan mengubahnya menjadi ‘biar cepat asal selamat’. Jika kita berhujah, lambat itu tidak semestinya selamat, akuilah, cepat itu juga tidak semestinya selamat. Justeru, apakah kecepatan itu menjamin kejayaan?
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
ISU PERKHIDMATAN AWAM : Angkat imej perkhidmatan awam
NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my
TENGAH hari selepas pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) diumumkan Khamis lalu, saya berkesempatan bersembang dengan tiga orang penjawat awam. Riak wajah mereka ceria. Rancak bertukar cerita sesekali disulami gurauan. Kata mereka, peniaga tentunya kumpulan paling gembira. Naik gaji maknanya ada peluang naikkan harga barang. Naik gaji ertinya kuasa membeli kalangan 1.4 juta penjawat awam bertambah. Luahan kata hati mereka seolah-olah memberi gambaran bahawa kenaikan 13 peratus itu adalah milik peniaga di luar sana. Di akhir perbualan, kami menyimpulkan tajuk perbualan - SBPA, baru bermula sudah berakhir.
SBPA memang sempat bermula. Perjalanan pelaksanaannya amat pantas. Akhir Januari lalu, kumpulan yang memilih SBPA telah pun dibayar gaji baru. Ketika Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) membuat bantahan, sebahagian peruntukan kewangan telah pun berlegar kepada para penerimanya. Apabila SBPA dibatalkan, tentunya timbul persoalan perlukah ia dikembalikan. Penerima premier berjanji untuk memulangkan hak sementara itu. Khabarnya mereka sendiri terkejut melihat perubahan gaji yang amat ketara jumlahnya itu dan tidak keberatan mengembalikan kepada kerajaan lantaran memahami kedudukan kewangan negara.
Keterujaan lebih 1.4 juta kakitangan awam berkisar kepada soal imbuhan. SBPA disanggah kerana kenaikan gaji yang amat tidak setara sehingga mewujudkan senario dua darjat antara kumpulan sokongan dengan pengurusan terutamanya Jawatan Utama Sektor Awam dan Turus.
Saya pernah mengajukan perihal perkembangan perkhidmatan awam kepada bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji. Biar pun tajuk temuramah ketika itu tertumpu kepada siri syarahan perdana Allahyarham Tan Sri Ahmad Ibrahim, soal peningkatan kualiti perkhidmatan awam tidak dilepaskan begitu sahaja.
Berulang kali Ahmad Sarji menekankan tentang kualiti penjawat awam yang menjadi penentu mutu perkhidmatan kepada rakyat dan negara. Beliau bercakap soal ketegasan dan rasa hormat terhadap perkhidmatan awam yang perlu dipelihara. Sebolehnya jangan ada ruang untuk kegagalan, pada masa yang sama laluan terhadap penambahbaikan mesti sentiasa terbuka.
Perkhidmatan awam bukan semata-mata gaji dan imbuhan. Komitmen, cekap, ikhlas, jujur umpama warna pelangi yang saling melengkapi. Hilang satu warna bukan pelangi namanya. Jaluran pelangi tidak akan sempurna jika satu warna hilang atau tercicir. Begitu juga dalam perkhidmatan awam, apabila ciri-ciri yang menjadi darah daging penjawat awam tercicir maka tanggungjawab tidak akan dapat disempurnakan. Sebab itu apabila bercakap tentang perkhidmatan awam, bukan hanya soal gaji. Bukan berapa peratusan pelarasan, bukan juga siapa dan apa yang mereka peroleh semata-mata. Hakikatnya perkhidmatan awam yang ramai anggotanya amat eksklusif sehinggakan martabatnya perlu dipelihara. Jika ada rungutan atau aduan tentang kecacatan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam maka martabatnya jatuh.
Dalam erti kata lain perkhidmatan awam mesti bernafas seiring dengan arus kemajuan dan pembangunan. Kepesatan negara menuntut pemain-pemain di dalam perkhidmatan awam bergerak pantas, bersifat responsif, peka kepada tuntutan semasa, kreatif, inovatif dan pelbagai lagi. Pembaharuan demi pembaharuan menjadikan sektor awam hidup tanpa ada tarikh luputnya.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menekankan tentang peri penting penjawat awam beralih dari tradisi birokrasi. Memperkatakan tentang sektor awam maka istilah paling popular atau sinonim adalah birokrasi dan hierarki yang merimaskan.
Perkara itu pernah diakui bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi dalam kesempatan menemui beliau akhir tahun lepas. Beliau melahirkan rasa pelik tentang birokrasi keterlaluan - sekeping surat pekeliling akan turun naik dari ketua jabatan ke pengarah, ketua pengarah, ketua setiausaha yang kemudiannya turun semula mengikut carta aliran sebelum boleh dipanjangkan kepada pihak yang berkenaan.
Prosedur ketat dan lapisan hierarki yang keterlaluan melambatkan proses penyampaian maklumat sehingga tindakan segera tidak dapat dilaksanakan tentunya mematikan keberkesanan penyampaian awam.
Fleksibel
Untuk membolehkan malar segarnya sektor awam sebagaimana pihak korporat dan swasta maka tentunya segala amalan ketat mesti diubah menjadi lebih fleksibel supaya dapat memenuhi tuntutan yang sentiasa berubah terutamanya dalam keadaan di luar jangka. Contoh paling mudah kesesakan jalan raya luar biasa di bandar raya Kuala Lumpur kelmarin. Kejadian itu cukup untuk semua pihak mengukur sejauh mana cekap, responsif dan fleksibelnya perkhidmatan awam di negara ini yang mana kakitangannya baru saja menerima berita gembira 13 peratus pelarasan gaji. Sejauh mana kreatif serta inovatifnya jabatan terlibat dalam menangani kesesakan yang menimbulkan kemarahan orang ramai sehingga ada yang terpaksa mengambil cuti kecemasan. Perkhidmatan awam bukan sekadar melaksanakan kerja-kerja di pejabat. Biar pun perkhidmatan di kaunter awam diakui semakin meningkat namun dalam menangani keadaan di luar jangka yang melibatkan sektor awam, kelemahan masih ketara.
Perubahan sektor awam supaya lebih kreatif, responsif dan pelbagai lagi itu bertujuan mewujudkan sebuah jentera pentadbiran yang lebih kemas dengan saiz anggota yang sesuai. Jangan pula umpama tikus membaiki labu, apabila perubahan yang dibuat hanya mengisi ruang-ruang yang sebenarnya tidak diperlukan dan akhirnya menambah birokrasi dan hierarki. Dalam sektor awam menuju fleksibiliti, mereka kembali kepada tradisi yang akan membunuh kecekapan sektor awam itu sendiri. Seperkara lagi yang sering menimbulkan rajuk kakitangan awam apabila jawatan baru diwujudkan, yang mengisinya adalah orang luar. Kewujudan kategori premier dalam SBPA amat jelas menjurus ke situ apabila jawatan itu turut dibuka kepada orang luar seolah-olah menafikan kebolehan penjawat awam itu sendiri.
Ingatlah kepada piagam pelanggan yang menghiasi dinding-dinding di jabatan awam. Setiap sen yang diperoleh baik menerusi Sistem Saraan Baru, Sistem Saraan Malaysia mahu pun SBPA yang hanya sebulan usianya perlu berlandaskan mutu perkhidmatan kakitangan awam dalam menyampaikan perkhidmatan masing-masing.
Pembatalan SBPA perlu disusuli dengan penambahbaikan mindset penjawat awam sejajar dengan peranan sebenar sektor awam yang hakikatnya sangat penting jika mahu dibandingkan dengan sektor-sektor lain yang agak terhad fungsinya.
Paling penting setiap perubahan yang hendak diperkenalkan mesti benar-benar difahami dan menjalani proses perbincangan berterusan. Sebelum sesuatu dasar dapat dilaksanakan terutama jika melibatkan keseluruhan penjawat awam maka beri penerangan dan buka ruang untuk maklum balas. Jangan nanti terjadi seperti mana pelaksanaan SBPA yang prosesnya berlangsung secara senyap dan sulit tetapi pantas sehingga akhirnya apabila tembelang pecah baunya tidak dapat ditahan. Tentunya ada yang tidak betul dalam perjalanan SBPA sehinggakan bantahan terhadap pelaksanaannya tidak dapat ditahan membawa kepada pembatalan Khamis lalu.
Sememangnya diakui perkhidmatan awam di negara ini sentiasa menjalani proses penambahbaikan. Perjalanan itu tidak sepatutnya berhenti, lantaran masih banyak kelemahan yang perlu diperhalusi dan diperbaiki. Namun perlu diberi perhatian bahawa memperkenalkan pembaharuan bukannya trial and error. Kesannya amat besar sehingga mampu membunuh integriti perkhidmatan awam dan tidak mudah dipulihkan dalam masa yang singkat.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU BAHASA : Tegas melaksana dasar
ISU bahasa Melayu tidak diletakkan pada kedudukan yang selayaknya sebagai bahasa kebangsaan bukan perkara baru. Ini kerana sudah ada dasar tertentu yang bertujuan mendaulatkan bahasa Melayu. Tetapi masalahnya sesetengah pihak dengan tanpa rasa bersalah melanggar kedudukan bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Ketua Pengarah DBP, DR. AWANG SARIYAN menganggap masalah bahasa Melayu ialah kurang ketegasan melaksanakan dasar yang sedia ada.
Dalam wawancara dengan wartawan Mingguan Malaysia KU SEMAN KU HUSSAIN dan RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM, beliau menyarankan supaya dasar bahasa Melayu dilaksanakan dengan tegas.
MINGGUAN: Apakah masalah utama yang mengekang usaha memartabatkan bahasa kebangsaan walaupun lebih 50 tahun merdeka?
DR. AWANG: Bagi saya salah satu faktor ialah kepimpinan. Masyarakat selalu terdorong kepada ketegasan dasar. Dasar sudah ada iaitu Dasar Bahasa Kebangsaan. Tetapi kadangkala perlaksanaannya tergelincir sikit. PPSMI misalnya yang bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, bertentangan dengan Dasar Bahasa Kebangsaan dan lebih jauh lagi bertentangan dengan undang-undang negara kerana Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dalam undang-undang negara.
Tetapi Alhamdulillah, kepimpinan kita sekarang telah melakukan anjakan. Mudah-mudahan dengan perubahan kepimpinan isyarat di atas akan lebih jelas. Peringkat swasta kita berpadu tenaga seperti dengan Kesatuan Hotel di Malaysia ketika membuat papan tanda arah dalam dwibahasa. Ia merupakan satu kesanggupan yang luar biasa. Namun, bila muncul PPSMI, sebahagian syarikat swasta menyatakan mengapa hendak sibuk-sibuk menggunakan bahasa kebangsaan sedangkan sistem pendidikan pun sudah mahu kembali kepada bahasa Inggeris. Oleh itu, perlaksanaan dasar atau program perlu sejajar dengan dasar negara. Dasar negara adalah bagus, tetapi pengendali atau pelaksana kadang-kala salah membuat keputusan.
Dulu sering diperkatakan masalah guru bahasa Inggeris bukan dari mereka yang menuntut untuk mengajar bahasa Inggeris. Sekarang, guru bahasa Melayu juga mengikut kajian muktahir berdepan dengan masalah yang sama kerana didapati agak besar jumlah guru bahasa Melayu yang bukan dilatih untuk mengajar subjek itu.
Adakah ini masalah negara pelbagai kaum? Jika kita lihat di China, negara itu hanya ada satu kaum.
DR. AWANG: Saya percaya jika perlaksanaan dasar yang tegas, faktor kaum tidak begitu dominan. Selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pulang dari Beijing, saya dapati sekurang-kurangnya empat kenyataan media yang menyatakan beliau sangat mengagumi apa yang berlaku di China. Beliau menyatakan perkara sebegitu perlu diterapkan seperti di acara-acara negara iaitu menggunakan bahasa kebangsaan. Dari segi pendidikan, kalau di sekolah kebangsaan, sudah tentu bahasa pengantaraannya bahasa Melayu. Lebih 20 tahun saya mendidik bakal guru dan saya dapati interaksi di kalangan pelajar dengan bahasa kebangsaan tiada masalah. Dari situ kita nampak penyemaian nilai-nilai perpaduan, persefahaman dan persamaan. Bagi saya, dasar pendidikan kebangsaan ini cukup berjaya. Saya berpendapat Kementerian Pelajaran Malaysia sepatutnya membuat kajian bagaimana kejayaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama sebenarnya telah berjaya memupuk perpaduan dan persefahaman di peringkat generasi muda.
Sejauh manakah kesungguhan agensi kerajaan mempraktikkan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi?
DR. AWANG: Saya boleh katakan masih ada jurang berdasarkan perlaksanaan kementerian atau jabatan tertentu ketika itu. Kajian saya pada tahun 2007 mendapati ada sesetengah dokumen kerajaan, kementerian atau jabatan tertentu yang peratusan penggunaan bahasa Melayu masih agak rendah iaitu 70 hingga 75 peratus. Sepatutnya sudah tidak timbul perkara sebegitu. Paling tidak 90 peratus. Malah ada pekeliling ketika itu boleh dikatakan hanya tajuk utamanya sahaja di dalam bahasa Melayu. Lain-lain tajuk kecil, kandungan semuanya dalam bahasa Inggeris padahal pekeliling itu ditujukan kepada ketua jabatan di peringkat dalam negara. Takkanlah ketua peringkat dalam negara ini tidak faham bahasa Melayu.
Ini bukan sahaja soal sikap, tetapi tidak menghormati keluhuran Perlembagaan, perkara ketiga dalam Rukun Negara. Di peringkat kerajaan Persekutuan, tiada sebuah kementerian yang boleh mendakwa mereka boleh menggunakan bahasa Inggeris dalam konteks penggunaan dalam negara.
Bagaimana dengan cadangan Dr. mengadakan audit bahasa?
DR. AWANG: Hujah saya kalau kita hendak menguji dan menilai kecekapan kewangan, kita ada audit kewangan. Sama seperti bahasa. Saranan saya, kalau nak menilai keberkesanan perlaksanaan dasar itu perlu ada penilaian audit. Audit ada dua aspek, iaitu yang pertama nilai tahap penggunaan bahasa Melayu. Contoh jabatan A, adakah surat, minit mesyuarat, semuanya dalam bahasa kebangsaan. Paling tidak 90 peratus. Kemudian semua itu akan dilaporkan kepada Ketua Setiausaha Negara. Dari aspek mutu pula iaitu ejaan, tanda baca, tatabahasa, pilihan perkataan serta istilah. Itu semua kita nilai dan laporkan. Melalui cara pengauditan begitu, saya yakin dalam tempoh dua tahun, kita dapat lihat lonjakan.
Bagaimana pula penekanan menggunakan bahasa Melayu kalangan warga DBP sendiri?
DR. AWANG: Kami audit diri kami dahulu. Saya memberi arahan dalam tempoh enam bulan ini, setiap orang dalam DBP dari peringkat tertinggi hingga ke peringkat Pembantu Am Pentadbiran, perlu selesai kursus yang disediakan. Warga DBP perlu menjadi duta bahasa dan sastera mengikut aras mereka. Jadi, dalam tempoh enam bulan, kita mahu memantapkan warga DBP dari segi penguasaan bahasa dan pengukuhan dari segi kemahiran serta sistem kerja juga penyuntingan.
Bagaimana dengan kedudukan persuratan ilmu dalam bahasa Melayu yang dikatakan masih rendah?
DR. AWANG: Kita agak kaya dengan persuratan kreatif tapi persuratan ilmu masih agak jauh. Ini disebabkan dasar kita dulu apabila universiti menyatakan arahan 70 peratus kuliah perlu dikendalikan dalam bahasa Inggeris. Jadi, buku-buku rujukan tidak banyak dalam bahasa Melayu. Sarjana dan professor juga tidak mahu menulis dalam bahasa Melayu. Pelajar hanya membaca buku rujukan dalam bahasa Inggeris. Itu kesilapan perlaksanaan dasar. Tetapi selepas Menteri Pengajian Tinggi membuat pengisytiharan kuliah utama mesti dalam bahasa Melayu dan profesor serta pensyarah mesti menghasilkan karya ilmiah dalam bahasa Melayu, susulan daripada kepimpinan universiti pula agak lambat. Bahkan pihak universiti masih terus dengan dasar lama menekankan bahasa Inggeris.
Sejauh manakah kemampuan penterjemahan seperti Institut Terjemahan dan Buku Negara (ITBN) memenuhi keperluan persuratan ilmu dalam bahasa Melayu?
DR. AWANG: Ini memerlukan iltizam dan penglibatan pemerintah sendiri. Tetapi alhamdulillah, ITBM sendiri tidak tertakluk kepada birokrasi. Saya nampak ada perubahan yang lebih jelas. Tetapi jika kita dapat masukkan terjemahan dalam Belanjawan seperti yang dilakukan negara Taiwan, tentu lebih bagus. Sebabnya semua ini memerlukan belanja juga. Zaman Abasiyah, orang Barat membuat terjemahan dari bahasa Arab kepada bahasa masing-masing. Kita pun patut menceduk ilmu dari bahasa lain kepada bahasa Melayu dengan cukup intensif.
Apa komen Dr. tentang kecenderungan menggunakan istilah-istilah Inggeris dalam projek-projek kerajaan sekarang ini?
DR. AWANG: Kita ada Undang-Undang Kecil Pengiklanan serta penamaan di tempat awam yang keutamaan diberikan kepada bahasa Melayu. Sepatutnya itu dimanfaatkan. Daripada kita mengambil nama Barat seperti boulevard, parcel dan precint atau Le Tour de Langkawi, fikirkanlah istilah dalam bahasa Melayu yang cantik menggantikannya. Kita telah menukar roadshow kepada jerayawara ataupun talkshow kepada bicarawara. Kita boleh mencipta berdasarkan kekuatan bahasa dan sastera Melayu. Tetapi yang penting kita mesti ada hati untuk melakukannya.
Saya menganggap BBK gagal mencapai matlamat. Apa pandangan Dr.?
DR. AWANG: Sebenarnya saya ada mencadangkan kepada urus setia supaya jangan tumpukan kepada Oktober iaitu Bulan Bahasa Kebangsaan. Oktober itu bulannya. Kita kena ada kegiatan pra BBK. Misalnya bulan Jun telah dirancakkan BBK. Kita usahakan kembali ialah kembara bahasa. Ia mempunyai matlamat yang jelas melihatkan pelbagai profesion menuju ke satu hala sebagai inspirasi menuju kepada satu matlamat. Bagi saya itu cukup berjaya. Tetapi yang dilihat oleh orang yang tidak faham sebagai membuang duit di jalan raya. Tetapi sebenarnya kembara itu menyuntikkan kesedaran kepada pelbagai lapisan masyarakat terhadap bahasa Melayu.
Boleh Dr. memberitahu pelan jangka pendek dan jangka panjang untuk memperkasakan bahasa Melayu?
DR. AWANG: Jangka pendek di peringkat dalaman untuk memperkukuh tenaga kerja dari segi ilmu dan bahasa serta penghayatan seni sasteranya. Saya percaya kalau DBP berwibawa dengan sendirinya masyarakat nampak contohnya. Saya selalu membuat perbandingan begini, tentera, bomba atau polis orang kenal kerana ada pakaian seragam. Tetapi untuk kenal orang DBP ialah melalui penggunaan bahasa dan cara berfikir. Dalam pengurusan saya berpegang kepada pesanan Datuk Hassan Ahmad (bekas Ketua Pengarah DBP) sewaktu saya berkerja bawah beliau dulu. Katanya menjadi pengurus DBP bukan pengurus biasa tetapi mengurus budaya.
Pelan jangka panjang ialah memastikan bahasa Melayu sebagai bahasa tamadun. Semua bidang telah direntasi oleh bahasa Melayu. Hubungan antarabangsa, diplomatik, ketatanegaraan dan undang-undang. Kita akan memperkasakan ini.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU SOSIAL : 44,643 keluarga hidup amat daif
Oleh Hamid Karim
bhnews@bharian.com.my
Elemen psikologi halangan utama golongan miskin naikkan taraf ekonomi
KLANG: Sebanyak 44,643 keluarga daripada lebih 100,000 keluarga miskin tegar yang dikenal pasti di negara ini didapati hidup dalam keadaan amat daif kerana tidak mempunyai bekalan makanan harian mencukupi setiap hari.
Bagaimanapun, usaha kerajaan membantu mereka meningkatkan taraf hidup menemui pelbagai kekangan termasuk dari segi psikologi kerana ada segelintir mereka seakan tidak mahu keluar daripada kepompong kemiskinan walaupun beberapa agensi bertanggungjawab turun padang menangani masalah itu hampir sepanjang masa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, berkata jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding angka dicatatkan sebelum ini, apabila kerajaan menerusi transformasi melancarkan pelbagai program menerusi 1Azam bagi memastikan negara bebas kemiskinan menjelang 2020.
Beliau berkata, sebahagian keluarga miskin tegar itu hidup merempat di beberapa lokasi di bandar utama, termasuk menjadikan tepi jalan di Kuala Lumpur sebagai kediaman.
Katanya, program 1Azam masih berjalan aktif dan setakat ini sumbangan syarikat swasta dalam menyalurkan bantuan bagi membantu program itu menjadi lebih berkesan, mulai menampakkan hasilnya.
“Setakat ini, usaha mengurangkan bilangan keluarga miskin di kawasan bandar saja yang dilihat berdepan beberapa halangan. Walaupun banyak program kerajaan gerakkan, golongan terbabit dilihat lebih senang berada dalam kemiskinan.
“Malah, ada kes apabila kerajaan menawarkan mereka peluang bekerja di syarikat swasta, tidak ramai menerimanya, sebaliknya mereka menyatakan hanya memerlukan bantuan makanan.
“Ada juga kes mereka yang ditawarkan bekerja hanya bertahan tujuh hari, sebelum berhenti kerja,” katanya pada sidang media selepas merasmikan bangunan Grace Community Services (GSC) di Taman Berkley, di sini semalam.
Hadir sama, Pengarah Urusan TA Enterprise, Datin Alicia Tiah dan pengasas serta Presiden GSC, Dr Henry K Pillai.
Idris turut mendedahkan tidak sampai tiga orang sehari mendaftar dengan program membantu golongan miskin mendapat pekerjaan dan ada yang memberi pelbagai alasan tidak munasabah, seperti ketiadaan tempat tinggal walaupun ada syarikat sanggup menyediakan kediaman dan masalah pengangkutan disediakan.
Katanya, kerajaan melihat elemen psikologi golongan terbabit menjadi antara halangan utama kerana sebahagian besar mereka hanya memerlukan bantuan makanan kerana dipercayai merasakan hidup mereka semakin tidak bernilai.
“Sebab itu, kerajaan dengan kerjasama syarikat swasta mula memperkenalkan pendekatan psikologi dengan menekankan elemen spiritual kepada golongan itu menerusi kata-kata semangat bahawa walaupun miskin, tetapi mereka juga masih mempunyai harapan dalam kehidupan ini sama seperti orang lain,” katanya.
Pada masa sama, Idris berkata, kerajaan melalui program transformasinya, berjaya membuka 500,000 peluang pekerjaan hingga tahun lalu dan semakin menghampiri sasaran ditetapkan iaitu 600,000 peluang pekerjaan kepada golongan sasaran.
“Usaha syarikat swasta seperti TA Enterprise patut dipuji kerana membantu menyediakan empat lot kedai secara percuma kepada GSC bagi memudahkan badan bukan kerajaan itu (NGO) bekerjasama dengan kerajaan membasmi kemiskinan dan membantu mengurangkan masalah sosial di negara ini,” katanya.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Langgan:
Catatan (Atom)