Rabu, 26 Jun 2013

ISU SOSIAL : Menghindar jerebu di hati dan minda


Oleh : NORDEN MOHAMED

JEREBU melanda lagi. Bagi yang alah dengan asap, mereka akan mudah diserang batuk, selesema dan lelah. Apabila jerebu datang, pandangan jadi terbatas. Debu yang hangat akan membuat suasana jadi membahang dan hati turut panas. Semalam, hujan mula turun di beberapa kawasan.

Ramai yang terpegun menyaksikan air gugur seolah-olah sudah berbulan-bulan tidak nampak langit menangis.

Hati masing-masing mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi. Mudah-mudahan IPU akan turut turun apabila kualiti udara makin baik setelah asap ditelan hujan. Walaupun hujan turun tidak lebat, asalkan indeks pencemaran udara tidak naik lagi, itu pun sudah cukup baik.

Jerebu. Siapa yang suka suasana yang menyesakkan dada dan menyakitkan mata itu? Pembekal topeng, walaupun suka topeng-topengnya laku, mereka juga tidak sukakan jerebu. Namun, mengapa ada orang yang membakar hutan hingga mengakibatkan jerebu walaupun mereka juga tidak suka kepada keadaan cuaca sebegitu?

Atas kepentingan mahu jimatkan kos operasi pertanian bila membuka atau membersihkan hutan, cara yang cepat adalah dengan membakar. Mereka sanggup mengundang malapetaka yang mereka sendiri tidak mahu, asalkan mereka dapat jimatkan duit. Duit, soal jangka pendek. Jerebu pula, kesan jangka panjang.

Ertinya mereka berfikiran singkat. Walaupun mereka dapat jimatkan kos operasi, kos perubatan mereka pula sebaliknya meningkat bila para pekerja mereka sakit kerana berada di kawasan titik panas! Jelas sekali, hati dan minda mereka yang tidak bertanggungjawab itu turut kabut asap!

Mereka hanya nampak duit yang kononnya untuk kebahagiaan, sedangkan mereka akhirnya terpaksa menggunakan duit untuk membeli kesihatan akibat tidak berfikiran jauh.

Untuk sekian kalinya, matlamat tidak menghalalkan cara kerana jika apa juga cara dihalalkan, risikonya seringkali tidak berbaloi. Apatah lagi apabila akibatnya terkena kepada berjuta-juta manusia lain.

Dalam kehidupan seharian kita sendiri, berapa ramaikah antara kita yang pada zahirnya baik, tetapi tanpa disedari sebenarnya sedang diselaputi jerebu fikiran dan hati? Jika jerebu udara dapat dilihat dan dielak, apakah kita boleh menangkis jerebu yang menyerang minda dan jiwa?

Jerebu fikiran datang dalam bentuk audio dan visual. Ia mengganggu fikiran untuk melihat dan mendengar dengan jelas. Seperti jerebu di udara, jerebu di fikiran adalah apa jua berita, cerita dan maklumat yang dikaburi oleh zarah-zarah kepalsuan dan kepesongan hingga kita tidak dapat mentafsir menggunakan akal yang sejernih hablur.

Ertinya, jerebu fikiran itu mengaburi apa yang dipandang dan didengar hingga ia merencat minda untuk menelah dan mentafsir. Akibatnya, kita  hanya menengok, tetapi tidak berdaya memerhati dan merenungi.

Kita hanya mendengar, tetapi tidak mampu lagi mengamati. Sesuatu yang sampai ke minda yang berjerebu itu hanya dibaca secara lahiriah atau selapis. Tidak lagi batiniah dengan makna.

Jerebu hati pula tiba apabila kita membiarkan ia bertindak sesukanya. Orang kata, membiarkan diri mengikut perasaan apabila sampainya bisikan prasangka.

Akibatnya, prasangka yang menjerebu di hati itu menjadikan ia tidak lagi dapat menerima kebaikan dan kemurnian. Sebaliknya yang buruk dan kotor itulah yang dibiarkan hingga menjadi noda yang menghitamkan hati.

Jerebu di hati dan minda akan merosak dan memusnahkan diri. Fikiran dan perasaan akan menjadi tumpul. Berapa ramai di antara kita yang mengetahui kesusahan orang lain, tetapi tidak berasa sedih.

Melihat orang miskin, tanpa berasa simpati. Berdepan dengan kemungkaran tetapi buat-buat tidak tahu kerana tidak mahu terlibat.

Jerebu di udara akan merosakkan fizikal, jerebu di hati akan merosakkan spiritual dan jerebu di minda akan merosakkan mental.

Soalnya, bagaimanakah kita menghindarinya? Seperti jerebu di udara yang dielak dengan menggunakan topeng sebagai perisai, jerebu di fikiran boleh dilawan dengan ilmu.

Hanya pengetahuan yang dapat menangkis segala kepalsuan. Dan, jerebu di hati pula boleh dikesampingkan dengan perisai keikhlasan.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : Kesan Jerebu Terhadap Ekonomi


Oleh :  DR. MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD

KEADAAN jerebu semasa telah memaksa kerajaan mengisytiharkan darurat bagi kawasan Muar dan Ledang.  Beberapa buah negeri juga menutup sekolah-sekolah bagi mengelakkan masalah kesihatan yang serius, terutama buat kanak-kanak.

Masalah jerebu sejak sedekad kebelakangan ini sudah menjadi masalah tahunan. Pembakaran di Indonesia bagi pembersihan ladang menjadi punca utama kedatangan jerebu secara bermusim ini.

Meskipun di peringkat kerajaan Malaysia, Singapura dan Indonesia sudah wujud usaha serantau bagi mengatasi masalah jerebu, namun setakat ini tidak ada hasil yang ketara. Langkah-langkah yang diambil adalah reaktif dan tidak membawa kepada penyelesaian menyeluruh.

Sikap pihak tidak bertanggungjawab yang hanya mementingkan keuntungan sendiri dengan membakar ladang untuk membersihkannya menunjukkan betapa kepentingan sosial tidak diambil peduli oleh mereka. Ya, kosnya murah buat syarikat ladang, namun kos kepada umum adalah mahal.

Kesan jerebu boleh dilihat dalam jangka masa panjang dan pendek. Gangguan kepada aktiviti ekonomi dan sosial harian boleh membawa kesan kepada segala perancangan yang telah sedia dibuat.

Jika keadaan berjerebu ini berakhir kurang dari seminggu dan tidak melangkau jauh ke banyak kawasan, impak ekonominya mungkin minimum, tidak mencecah bilion ringgit.

Sekiranya keadaan jerebu kali ini bertambah serius, berpanjangan serta melangkau kebanyakan kawasan, kesan ke atas ekonomi boleh menjejaskan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun semasa. Kerugian boleh mencecah hingga berbilion ringgit ekoran daripada banyak kegiatan sosial dan ekonomi yang tergendala.

Banyak lagi kesan negatif jerebu yang mungkin kita terlepas pandang dalam menilai kesannya. Misalnya, kita tidak pasti apakah kesan ke atas kesihatan akibat terdedah dengan sinaran matahari yang terbias dek jerebu. Kos juga sukar dikira bagi impak pertanian yang musnah dek kurangnya pancaran matahari akibat bumi diselubungi jerebu. Sehinggalah saintis mengenal pasti perkara-perkara ini, barulah kita dapat membuat anggaran kos jerebu kepada ekonomi dan kesejahteraan hidup manusia.

Antara industri yang akan terjejas teruk oleh jerebu adalah sektor pelancongan. Hotel, restoran dan taman-taman tema di kawasan berjerebu akan menerima tempias negatif jerebu berikutan kurangnya aktiviti luaran oleh orang ramai.

Lebih dikhuatiri jika masalah jerebu ini konsisten trendnya dan agensi-agensi pelancongan asing tidak mengesyorkan pelanggan mereka untuk datang ke rantau ini dalam bulan-bulan jerebu.

Di sinilah impak jangka panjang jerebu akan mula kita rasai. Pelancong asing tidak lagi mahu datang ke sini dan pelancong tempatan memilih destinasi luar negara sebagai pilihan.

Keadaan jerebu yang serius juga boleh membawa kesan negatif kepada sektor perindustrian. Dengan keadaan berjerebu, pihak berkuasa akan memerintahkan kilang-kilang, kuari dan semua aktiviti yang melibatkan pelepasan pencemaran ke udara dikurangkan atau terus diberhentikan.

Di kawasan darurat jerebu misalnya, semua aktiviti ini mesti diberhentikan. Semua ini merenjatkan aktiviti ekonomi di mana banyak kilang dan syarikat akan terpaksa menanggung kos tinggi tanpa pulangan yang diharapkan.

Jerebu juga membawa kepada masalah kesihatan yang serius dan kosnya sukar dikira. Bil-bil untuk mendapatkan rawatan dek masalah jerebu pastinya meningkat pada masa ini.

Sekurang-kurangnya pun kita terpaksa membeli topeng muka. Semua ini merupakan kos dek jerebu. Meskipun industri kesihatan akan menyaksikan lonjakan hasil, pulangan ini kecil dan hanya untuk firma atau individu minoriti berbanding kesan dan kos negatif besar yang terpaksa ditanggung masyarakat.

Para pekerja pasti ramai yang terpaksa mengambil cuti sakit atau pihak majikan sendiri mengambil langkah menutup syarikat dalam keadaan jerebu pada paras bahaya.

Di sini, kos lepas atau kos akibat dari kegiatan ekonomi yang tidak dijalankan akan menambahkan lagi kesan negatif jerebu kepada ekonomi.

Jerebu merupakan masalah oleh tangan-tangan manusia. Masalah ini menjadi ketara sekarang kerana wujudnya estet-estet perladangan berskala besar. Natijahnya, pembakaran ladang untuk tujuan pembersihan juga mencapai ke skala industri yang mencemarkan.

Jika pihak syarikat tidak ambil peduli dengan kesan kegiatan mereka, pihak berkuasa mesti mengambil langkah serius untuk menangani masalah ini ke akar umbi.

Pemberian lesen, permit serta cukai pencemaran boleh dilaksanakan sebagai langkah kawalan. Semua ketidakpatuhan kepada undang-undang wajar dikenakan tindakan keras agar masalah tidak berulang.

Udara bersih merupakan hak semua yang wajar dipelihara. Rakyat marah dengan pencemaran ini dan rakyat menuntut kebajikan mereka dipelihara!

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Pusat Ekonomi IslamUniversiti Islam Antarabangsa Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : 40 Kali Lebih Murah Punca Kaedah Pembakaran Dipilih Berbanding Penggunaan Mesin


Oleh :  RASHVINJEET S.BEDI

PETALING JAYA : Kaedah penarahan dan pembakaran untuk pembersihan tanah adalah 40 kali lebih murah daripada menggunakan mesin, sekali gus menjadikan sukar bagi Indonesia untuk menghentikan pembakaran terbuka.

"Faktor asas adalah kos," kata Dr Helena Varkkey dari Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Universiti Malaya.

Dr Varkkey, yang mempunyai kepakaran dalam politik alam sekitar berkata berdasarkan kajian yang dilakukan oleh pihak lain, kos bagi kaedah menarah dan membakar untuk setiap hektar adalah kira-kira AS5 (RM16.00).

Menggunakan mesin akan menelan kos kira-kira USD200 (RM640.00).

Beliau menegaskan petani kecil bukanlah punca utama kebakaran sebaliknya 60 hingga 80 peratus penyebab adalah dari ladang-ladang komersial.

"Masalahnya ialah kebanyakan ladang-ladang  komersial juga memilih untuk menggunakan api, atas sebab yang sama yang berkaitan dengan kos.

"Syarikat-syarikat ini mampu mengelakkan risiko ditangkap dan dihukum kerana pembakaran terbuka," kata Dr Varkkey yang telah menghasilkan penulisan tentang jerebu dan kelapa sawit.

Beliau menjelaskan, syarikat-syarikat ini akan menyewa subkontraktor untuk membersihkan tanah dan jika mereka ditangkap kerana melakukan pembakaran, mereka mendakwa telah mengarahkan kontraktor kecil supaya tidak menggunakan kaedah pembakaran.

Syarikat-syarikat ini katanya, sering memupuk hubungan yang erat dengan pegawai-pegawai kerajaan tempatan dan pusat.

Satu lagi keadaan yang membawa kepada kebakaran dan menyebabkan jerebu yang menjejaskan Malaysia dan Singapura baru-baru ini adalah peningkatan penggunaan tanah gambut untuk menanam pokok kelapa sawit.

Dr Varkkey berkata terdapat peraturan-peraturan yang melarang penggunaan tanah gambut untuk tujuan komersial.

"Apabila dikeringkan untuk digunakan, tanah gambut mengering dengan cepat dan menjadi sangat mudah terbakar.

"Walaupun syarikat ini bukan sengaja membakar untuk pembersihan tanah, saliran tanah gambut adalah sangat mudah terdedah kepada kebakaran.

"Syarikat-syarikat ini telah meletakkan konsesi mereka pada risiko kebakaran dengan membuka kawasan-kawasan ini," katanya.

Beliau menambah walaupun pemilik ladang getah, kilang pulpa dan kertas juga menggunakan api untuk membersihkan tanah, kesannya tidak begitu teruk seperti pembakaran tanah gambut.

"Apabila gambut terbakar, ia mengeluarkan karbon, asap hitam yang menyebabkan jerebu yang sangat buruk dan api yang sangat sukar untuk dipadamkan.

"Kebakaran pada lain-lain jenis tanah tidak menghasilkan asap seperti itu, dan biasanya lebih mudah dipadam," katanya.

Sumber : http : //mstar.com.my/