JEREBU melanda lagi. Bagi yang
alah dengan asap, mereka akan mudah diserang batuk, selesema dan lelah. Apabila
jerebu datang, pandangan jadi terbatas. Debu yang hangat akan membuat suasana
jadi membahang dan hati turut panas. Semalam, hujan mula turun di beberapa
kawasan.
Ramai yang terpegun menyaksikan
air gugur seolah-olah sudah berbulan-bulan tidak nampak langit menangis.
Hati masing-masing mengucapkan
syukur ke hadrat Ilahi. Mudah-mudahan IPU akan turut turun apabila kualiti
udara makin baik setelah asap ditelan hujan. Walaupun hujan turun tidak lebat,
asalkan indeks pencemaran udara tidak naik lagi, itu pun sudah cukup baik.
Jerebu. Siapa yang suka suasana
yang menyesakkan dada dan menyakitkan mata itu? Pembekal topeng, walaupun suka
topeng-topengnya laku, mereka juga tidak sukakan jerebu. Namun, mengapa ada
orang yang membakar hutan hingga mengakibatkan jerebu walaupun mereka juga
tidak suka kepada keadaan cuaca sebegitu?
Atas kepentingan mahu jimatkan
kos operasi pertanian bila membuka atau membersihkan hutan, cara yang cepat
adalah dengan membakar. Mereka sanggup mengundang malapetaka yang mereka
sendiri tidak mahu, asalkan mereka dapat jimatkan duit. Duit, soal jangka
pendek. Jerebu pula, kesan jangka panjang.
Ertinya mereka berfikiran
singkat. Walaupun mereka dapat jimatkan kos operasi, kos perubatan mereka pula
sebaliknya meningkat bila para pekerja mereka sakit kerana berada di kawasan
titik panas! Jelas sekali, hati dan minda mereka yang tidak bertanggungjawab
itu turut kabut asap!
Mereka hanya nampak duit yang
kononnya untuk kebahagiaan, sedangkan mereka akhirnya terpaksa menggunakan duit
untuk membeli kesihatan akibat tidak berfikiran jauh.
Untuk sekian kalinya, matlamat
tidak menghalalkan cara kerana jika apa juga cara dihalalkan, risikonya
seringkali tidak berbaloi. Apatah lagi apabila akibatnya terkena kepada berjuta-juta
manusia lain.
Dalam kehidupan seharian kita
sendiri, berapa ramaikah antara kita yang pada zahirnya baik, tetapi tanpa
disedari sebenarnya sedang diselaputi jerebu fikiran dan hati? Jika jerebu
udara dapat dilihat dan dielak, apakah kita boleh menangkis jerebu yang
menyerang minda dan jiwa?
Jerebu fikiran datang dalam
bentuk audio dan visual. Ia mengganggu fikiran untuk melihat dan mendengar
dengan jelas. Seperti jerebu di udara, jerebu di fikiran adalah apa jua berita,
cerita dan maklumat yang dikaburi oleh zarah-zarah kepalsuan dan kepesongan
hingga kita tidak dapat mentafsir menggunakan akal yang sejernih hablur.
Ertinya, jerebu fikiran itu
mengaburi apa yang dipandang dan didengar hingga ia merencat minda untuk
menelah dan mentafsir. Akibatnya, kita hanya menengok, tetapi tidak berdaya memerhati
dan merenungi.
Kita hanya mendengar, tetapi
tidak mampu lagi mengamati. Sesuatu yang sampai ke minda yang berjerebu itu
hanya dibaca secara lahiriah atau selapis. Tidak lagi batiniah dengan makna.
Jerebu hati pula tiba apabila
kita membiarkan ia bertindak sesukanya. Orang kata, membiarkan diri mengikut
perasaan apabila sampainya bisikan prasangka.
Akibatnya, prasangka yang
menjerebu di hati itu menjadikan ia tidak lagi dapat menerima kebaikan dan
kemurnian. Sebaliknya yang buruk dan kotor itulah yang dibiarkan hingga menjadi
noda yang menghitamkan hati.
Jerebu di hati dan minda akan
merosak dan memusnahkan diri. Fikiran dan perasaan akan menjadi tumpul. Berapa
ramai di antara kita yang mengetahui kesusahan orang lain, tetapi tidak berasa
sedih.
Melihat orang miskin, tanpa
berasa simpati. Berdepan dengan kemungkaran tetapi buat-buat tidak tahu kerana
tidak mahu terlibat.
Jerebu di udara akan merosakkan
fizikal, jerebu di hati akan merosakkan spiritual dan jerebu di minda akan
merosakkan mental.
Soalnya, bagaimanakah kita
menghindarinya? Seperti jerebu di udara yang dielak dengan menggunakan topeng
sebagai perisai, jerebu di fikiran boleh dilawan dengan ilmu.
Hanya pengetahuan yang dapat
menangkis segala kepalsuan. Dan, jerebu di hati pula boleh dikesampingkan
dengan perisai keikhlasan.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/