PETALING JAYA : Kaedah
penarahan dan pembakaran untuk pembersihan tanah adalah 40 kali lebih murah
daripada menggunakan mesin, sekali gus menjadikan sukar bagi Indonesia untuk
menghentikan pembakaran terbuka.
"Faktor asas adalah
kos," kata Dr Helena Varkkey dari Jabatan Pengajian Antarabangsa dan
Strategik, Universiti Malaya.
Dr Varkkey, yang mempunyai
kepakaran dalam politik alam sekitar berkata berdasarkan kajian yang dilakukan
oleh pihak lain, kos bagi kaedah menarah dan membakar untuk setiap hektar adalah
kira-kira AS5 (RM16.00).
Menggunakan mesin akan menelan
kos kira-kira USD200 (RM640.00).
Beliau menegaskan petani kecil
bukanlah punca utama kebakaran sebaliknya 60 hingga 80 peratus penyebab adalah
dari ladang-ladang komersial.
"Masalahnya ialah kebanyakan
ladang-ladang komersial juga memilih
untuk menggunakan api, atas sebab yang sama yang berkaitan dengan kos.
"Syarikat-syarikat ini mampu
mengelakkan risiko ditangkap dan dihukum kerana pembakaran terbuka," kata
Dr Varkkey yang telah menghasilkan penulisan tentang jerebu dan kelapa sawit.
Beliau menjelaskan,
syarikat-syarikat ini akan menyewa subkontraktor untuk membersihkan tanah dan
jika mereka ditangkap kerana melakukan pembakaran, mereka mendakwa telah
mengarahkan kontraktor kecil supaya tidak menggunakan kaedah pembakaran.
Syarikat-syarikat ini katanya,
sering memupuk hubungan yang erat dengan pegawai-pegawai kerajaan tempatan dan
pusat.
Satu lagi keadaan yang membawa
kepada kebakaran dan menyebabkan jerebu yang menjejaskan Malaysia dan Singapura
baru-baru ini adalah peningkatan penggunaan tanah gambut untuk menanam pokok
kelapa sawit.
Dr Varkkey berkata terdapat
peraturan-peraturan yang melarang penggunaan tanah gambut untuk tujuan
komersial.
"Apabila dikeringkan untuk
digunakan, tanah gambut mengering dengan cepat dan menjadi sangat mudah
terbakar.
"Walaupun syarikat ini bukan
sengaja membakar untuk pembersihan tanah, saliran tanah gambut adalah sangat
mudah terdedah kepada kebakaran.
"Syarikat-syarikat ini telah
meletakkan konsesi mereka pada risiko kebakaran dengan membuka kawasan-kawasan
ini," katanya.
Beliau menambah walaupun pemilik
ladang getah, kilang pulpa dan kertas juga menggunakan api untuk membersihkan
tanah, kesannya tidak begitu teruk seperti pembakaran tanah gambut.
"Apabila gambut terbakar, ia
mengeluarkan karbon, asap hitam yang menyebabkan jerebu yang sangat buruk dan
api yang sangat sukar untuk dipadamkan.
"Kebakaran pada lain-lain
jenis tanah tidak menghasilkan asap seperti itu, dan biasanya lebih mudah
dipadam," katanya.
Sumber : http : //mstar.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan