Rabu, 26 Jun 2013

ISU ALAM SEKITAR : Kesan Jerebu Terhadap Ekonomi


Oleh :  DR. MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD

KEADAAN jerebu semasa telah memaksa kerajaan mengisytiharkan darurat bagi kawasan Muar dan Ledang.  Beberapa buah negeri juga menutup sekolah-sekolah bagi mengelakkan masalah kesihatan yang serius, terutama buat kanak-kanak.

Masalah jerebu sejak sedekad kebelakangan ini sudah menjadi masalah tahunan. Pembakaran di Indonesia bagi pembersihan ladang menjadi punca utama kedatangan jerebu secara bermusim ini.

Meskipun di peringkat kerajaan Malaysia, Singapura dan Indonesia sudah wujud usaha serantau bagi mengatasi masalah jerebu, namun setakat ini tidak ada hasil yang ketara. Langkah-langkah yang diambil adalah reaktif dan tidak membawa kepada penyelesaian menyeluruh.

Sikap pihak tidak bertanggungjawab yang hanya mementingkan keuntungan sendiri dengan membakar ladang untuk membersihkannya menunjukkan betapa kepentingan sosial tidak diambil peduli oleh mereka. Ya, kosnya murah buat syarikat ladang, namun kos kepada umum adalah mahal.

Kesan jerebu boleh dilihat dalam jangka masa panjang dan pendek. Gangguan kepada aktiviti ekonomi dan sosial harian boleh membawa kesan kepada segala perancangan yang telah sedia dibuat.

Jika keadaan berjerebu ini berakhir kurang dari seminggu dan tidak melangkau jauh ke banyak kawasan, impak ekonominya mungkin minimum, tidak mencecah bilion ringgit.

Sekiranya keadaan jerebu kali ini bertambah serius, berpanjangan serta melangkau kebanyakan kawasan, kesan ke atas ekonomi boleh menjejaskan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun semasa. Kerugian boleh mencecah hingga berbilion ringgit ekoran daripada banyak kegiatan sosial dan ekonomi yang tergendala.

Banyak lagi kesan negatif jerebu yang mungkin kita terlepas pandang dalam menilai kesannya. Misalnya, kita tidak pasti apakah kesan ke atas kesihatan akibat terdedah dengan sinaran matahari yang terbias dek jerebu. Kos juga sukar dikira bagi impak pertanian yang musnah dek kurangnya pancaran matahari akibat bumi diselubungi jerebu. Sehinggalah saintis mengenal pasti perkara-perkara ini, barulah kita dapat membuat anggaran kos jerebu kepada ekonomi dan kesejahteraan hidup manusia.

Antara industri yang akan terjejas teruk oleh jerebu adalah sektor pelancongan. Hotel, restoran dan taman-taman tema di kawasan berjerebu akan menerima tempias negatif jerebu berikutan kurangnya aktiviti luaran oleh orang ramai.

Lebih dikhuatiri jika masalah jerebu ini konsisten trendnya dan agensi-agensi pelancongan asing tidak mengesyorkan pelanggan mereka untuk datang ke rantau ini dalam bulan-bulan jerebu.

Di sinilah impak jangka panjang jerebu akan mula kita rasai. Pelancong asing tidak lagi mahu datang ke sini dan pelancong tempatan memilih destinasi luar negara sebagai pilihan.

Keadaan jerebu yang serius juga boleh membawa kesan negatif kepada sektor perindustrian. Dengan keadaan berjerebu, pihak berkuasa akan memerintahkan kilang-kilang, kuari dan semua aktiviti yang melibatkan pelepasan pencemaran ke udara dikurangkan atau terus diberhentikan.

Di kawasan darurat jerebu misalnya, semua aktiviti ini mesti diberhentikan. Semua ini merenjatkan aktiviti ekonomi di mana banyak kilang dan syarikat akan terpaksa menanggung kos tinggi tanpa pulangan yang diharapkan.

Jerebu juga membawa kepada masalah kesihatan yang serius dan kosnya sukar dikira. Bil-bil untuk mendapatkan rawatan dek masalah jerebu pastinya meningkat pada masa ini.

Sekurang-kurangnya pun kita terpaksa membeli topeng muka. Semua ini merupakan kos dek jerebu. Meskipun industri kesihatan akan menyaksikan lonjakan hasil, pulangan ini kecil dan hanya untuk firma atau individu minoriti berbanding kesan dan kos negatif besar yang terpaksa ditanggung masyarakat.

Para pekerja pasti ramai yang terpaksa mengambil cuti sakit atau pihak majikan sendiri mengambil langkah menutup syarikat dalam keadaan jerebu pada paras bahaya.

Di sini, kos lepas atau kos akibat dari kegiatan ekonomi yang tidak dijalankan akan menambahkan lagi kesan negatif jerebu kepada ekonomi.

Jerebu merupakan masalah oleh tangan-tangan manusia. Masalah ini menjadi ketara sekarang kerana wujudnya estet-estet perladangan berskala besar. Natijahnya, pembakaran ladang untuk tujuan pembersihan juga mencapai ke skala industri yang mencemarkan.

Jika pihak syarikat tidak ambil peduli dengan kesan kegiatan mereka, pihak berkuasa mesti mengambil langkah serius untuk menangani masalah ini ke akar umbi.

Pemberian lesen, permit serta cukai pencemaran boleh dilaksanakan sebagai langkah kawalan. Semua ketidakpatuhan kepada undang-undang wajar dikenakan tindakan keras agar masalah tidak berulang.

Udara bersih merupakan hak semua yang wajar dipelihara. Rakyat marah dengan pencemaran ini dan rakyat menuntut kebajikan mereka dipelihara!

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Pusat Ekonomi IslamUniversiti Islam Antarabangsa Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan