Sabtu, 28 Mei 2011

ISU ANTARABANGSA : ALAM MENGAMUK

Sebahagian Bandar Joplin yang musnah teruk akibat puting beliung.


Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my

Puting beliung ragut 500 nyawa dalam tempoh sebulan adalah yang paling ganas sejak 1950-an

DALAM tempoh sebulan ini, Amerika Syarikat, teruk diganyang alam apabila satu demi satu kejadian ribut yang membawa bersama puting beliung, meragut lebih 500 rakyatnya, setakat ini.

Sejak April lalu, puting beliung yang melanda selatan negara itu termasuk Alabama, Tennessee, Mississippi, Georgia, Arkansas, Virginia, Kentucky dan Louisiana, mengorbankan kira-kira 500 penduduk dengan kerugian dianggarkan bernilai RM18 bilion.

Puting beliung merujuk angin kencang ribut petir yang berputar secara ganas dari udara dan mencecah daratan. Ia terbentuk apabila angin panas, lembap bertembung dengan udara sejuk dan kering.

Namun, amukan puting beliung terbaru di Joplin, Missouri, sudah pun menyebabkan 125 maut dan setakat ini jumlah kerugian mencecah RM9 bilion. Malah, bencana kali ini adalah paling bahaya pernah direkodkan sejak tahun 1950-an dan terburuk sejak 1974.

Ia sekadar satu lagi musim penuh derita yang dilalui penduduk Amerika ketika kerajaannya turut terbabit dalam pelbagai operasi ketenteraan di Libya, Pakistan dan Afghanistan atas nama memerangi keganasan.

Malah, puting beliung di Joplin dilaporkan adalah fenomena pemusnah yang jarang berlaku dikenali sebagai ‘kepelbagaian putaran,’ mengandungi dua atau lebih taufan dengan bukaan angin lebih luas.

Kebanyakan bahagian selatan Missouri yang dihuni 50,000 penduduk rosak teruk dengan gereja, sekolah, kawasan perniagaan dan rumah diranapkan angin dengan kelajuan sehingga 316 kilometer sejam!

Puting beliung itu turut mewujudkan laluan sepanjang 9.6 kilometer panjang dan 0.8 hingga lebar kira-kira 1.2 kilometer.

Ia adalah puting beliung kelapan paling bahaya pernah direkodkan di Amerika dan bakal mencatat sejarah penyebab kematian tinggi disebabkan bencana alam itu. Apa tidaknya, belum pun 2011 melabuhkan tirainya, angka korban puting beliung dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini sudah melebihi apa dicatatkan sepanjang tahun lalu.

Ketika pakar dan penyelidik terus diselubungi buntu mengenai amukan puting beliung dan ribut taufan kali ini yang dahsyat, di satu sudut lain penyelamat trauma apabila menemui mayat dalam keadaan yang menyayat hati - dalam kenderaan terbalik, putus anggota badan dan dihimpit seperti tin kosong. Mayat seorang kanak-kanak berusia lima tahun ditemui di bawah timbunan besi dan batu-bata.

Persoalannya bagaimanakah negara yang sedemikian maju tidak dapat mengelak amarah alam itu? Tiadakah sebarang sistem pengesanan yang berkesan dan mampu menepis bencana sedemikian?

Namun seperti ditegaskan pakar cuaca yang juga Timbalan Pengarah Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Wilayah Tengah negara itu, Thomas Schwein, amaran yang dikeluarkan berdasarkan radar, bukan penglihatan.

“Petunjuk radar menyebabkan kami mengeluarkan amaran ketika ribut itu masih jauh daripada kawasan barat Joplin. Taufan itu berlaku 24 minit selepas amaran dikeluarkan, Ia cuma dikeluarkan apabila kami melihat puting beliung besar bergerak ke sesuatu kawasan dan mengesahkan ia sememangnya puting beliung. Dalam kes ini, amaran dikeluarkan berdasarkan radar. Tiada laporan puting beliung berlaku,” katanya.

Puting beliung Joplin adalah antara 68 bencana alam itu yang dilaporkan melanda tujuh negeri bahagian tengah utara Amerika, menurut Pusat Ramalan Ribut NWS. Kemusnahan di Missouri adalah terburuk, yang menyamai amukan puting beliung yang membunuh lebih 300 orang di seluruh selatan negara itu bulan lalu.

Penduduk di selatan turut diberi amaran sekerap 24 minit sekali tetapi taufan itu terlalu kuat untuk dihalang. Ia melanda seluruh bandar dari Tuscaloosa hingga Bristol dalam apa yang dikatakan puting beliung terburuk sejak April 1974.

Menurut statistik Agensi Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan Amerika (NOAA), sudah 1,200 puting beliung melanda setakat tahun ini saja - dengan 875 berlaku sepanjang April lalu, sekali gus menyebabkan pakar tertanya-tanya mengapa 2011 menghasilkan sebegitu banyak ribut ganas.

“Lebih banyak ribut dalam kategori empat dan lima tahun ini berbanding tahun lalu,” kata Pengarah NWS, Jack Hayes, merujuk kepada dua kategori puting beliung paling ganas. Malah kali ini ia tidak menyentuh ladang dan kebun sebaliknya mengamuk di kawasan bandar raya seperti Joplin dan Tuscaloosa.

Satu badan penyelidik mengaitkannya dengan kitaran penurunan suhu di Lautan Pasifik sebagai sebahagian jawapan fenomena itu. Digelar La Nina, kitaran itu berlanjutan sekurang-kurangnya lima bulan dan berulang setiap tiga hingga lima tahun. Tahun ini, La Nina menolak arus kuat utara dan selatan, mengubah laluan angin yang biasa. Arus angin sejuk yang tinggi dalam atmosfera menolak udara panas daripada bawah, dan membentuk ribut petir.

Pengarah Pusat Ramalan Ribut, Russell Schneider, berkata puting beliung mempunyai pelbagai putaran, yang muncul daripada dinding bukaan angin utama.

“Banyak puting beliung daripada kuat kepada bahaya serta ganas mempunyai banyak putaran. Ia selalunya singkat dan putaran pelbagai itu menyebabkan kemusnahan teruk kerana kelajuan angin boleh mencecah 80 hingga 128 kilometer sejam lebih kuat,” katanya.

Pakar berkata bukaan awan yang besar boleh menyembunyikan dua atau lebih puting beliung, fenomena dikenali sebagai ‘kepelbagaian putaran.’ Ia selalunya boleh meranapkan bangunan yang berada dalam laluannya tetapi tidak menyentuh struktur berhampiran.

Siapa sangka, di sebalik segala kecanggihan teknologinya, negara Uncle Sam ini tidak dapat lari daripada senjata ‘alam’ - daripada puting beliung dan selepas ini menanti musim taufan pula.

FAKTA: Apa puncanya?

Pembentukan: Angin kencang ribut petir yang berputar secara ganas dari udara dan mencecah daratan. Ia terbentuk apabila angin panas, lembap bertembung dengan udara sejuk dan kering.

Musim : Bermula pada awal musim bunga di kawasan sepanjang Teluk Mexico.

Tempoh : Puting beliung yang turut diiringi ribut taufan, angin kencang dan hujan batu boleh berlanjutan beberapa saat hingga lebih sejam. Kebanyakannya tidak sampai 10 minit.

Fizikal : Purata ukuran puting beliung adalah lebar kira-kira 200 meter

Kekerapan: Kira-kira 1,300 puting beliung menyerang Amerika setiap tahun. Statistik Agensi Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan Amerika (NOAA), sudah 1,200 puting beliung melanda setakat tahun ini saja.

Laluan : Kebanyakan puting beliung bergerak dari barat daya ke timur laut, atau barat ke timur. Sebahagiannya menukar arah atau berpatah balik

Ramalan: Satu atau dua hari sebelum, pakar kaji cuaca melihat suhu dan aliran tiupan angin yang boleh menyebabkan kelembapan mencukupi, ketidakstabilan untuk menentukan kehadiran puting beliung.

Peralatan kesan : Pusat Kaji Cuaca Kebangsaan Amerika guna radar, satelit, belon cuaca dan komputer bagi memantau langit.

Pusat kejadian : Di sekitar Missouri, Arkansas dan Illinois dan bergerak ke arah Indiana, Ohio, Kentucky, Tennessee dan utara Mississippi, Amerika. Malah kawasan laluan utamanya Tornado Alley yang mrentasi Texas ke Nebraska serta kawasan Colorado, Iowa, Indiana, Illinois, Kansas, Missouri dan Arkansas.

Negara lain : Puting beliung turut dilaporkan di Britain, India, Argentina.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Panduan merancang waktu

1. Sediakan jadual harian

Jadual harian merupakan aspek yang penting dalam merangka aktiviti harian. tentukan segala tugas dan waktu. Kita perlu berdisiplin ketika melaksanakan jadual harian bagi memastikan keberkesanannya.

2.Tetapkan dan ingati matlamat pada setiap masa

Penetapan matlamat dapat membantu kita bertindak mengikut apa yang dicita-citakan. Matlamat dapat mengelakkan kita daripada menghabiskan masa dengan tugas dan aspirasi yang tidak ada kena mengena dengan aspirasi dan cita-cita. Matlamat juga dapat menjadikan kita lebih produktif.

3. Mengetahui apa yang hendak dilakukan pada setiap masa

Setiap saat amat berharga dan kita mesti mengetahui apakah yang hendak dilakukan pada setiap masa. Kita tidak boleh membazirkan waktu tanpa tujuan.

4. Kenal pasti masalah dan cari resolusi yang boleh menguntungkan

Kita mesti mengetahui punca masalah dan mencari jalan penyelesaiannya. Sia-sia sahaja jika anda dapat mengenal pasti dan menyelesaikan masalah yang tidak membawa sebarang keuntungan.

5.Jangan menangguhkan kerja

Orang yang suka menangguhkan kerja tidak akan berjaya di dalam hidup mereka kerana kerja yang ditangguhkan tidak akan menjadi, malah ia akan menambahkan lagi bebanan kerja.

6. Membuat penilaian harian

Amalan membuat penilaian diri hendaklah dilakukan pada setiap hari, seelok-eloknya sambil berbaring atau berehat-rehat sebelum tidur. Ia merupakan amalan yang baik kerana kita akan dapat membuat penilaian diri serta memikirkan cara terbaik untuk membetulkan kesilapan, kelemahan dan kekurangan diri.

Sumber : http : //www.adap.com.my/

ISU SOSIAL : Kenapa Melayu terus jadi hamba dadah?

Oleh Mahfar Ali
bhnews@bharian.com.my

Masyarakat patut bantu pihak berkuasa pastikan negara bersih penagih

KES penyalahgunaan dadah dalam kalangan orang Melayu semakin membimbangkan sehinggakan seorang hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, baru-baru ini, melahirkan kesedihannya apabila melihat banyak kes dadah di negara ini membabitkan orang muda berketurunan Melayu dan beragama Islam. Hakim Datuk Abd Rahim Uda menegaskan orang Melayu dididik sejak kecil bahawa dadah itu haram kerana ia seperti perbuatan membunuh diri yang sememangnya tidak dibenarkan dalam agama Islam. “Masalahnya kita orang Islam, tetapi tidak menghayati apa erti Islam sebenarnya,” katanya ketika menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan ke atas tukang kebun, Fazizol Mohd Razali, 25, yang mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan memiliki ganja seberat 216 gram di tempat letak kenderaan, Flat Seri Sementa, Kapar, Klang.

Apa yang diluahkan Hakim Abd Rahim seharusnya mendapat perhatian serius seluruh masyarakat Melayu. Malah, kita patut berasa bimbang kerana berdasarkan perangkaan, remaja dan belia Melayu adalah golongan paling ramai terbabit dalam penyalahgunaan dadah. Mengikut laporan Agensi Antidadah Kebangsaan (ADK), etnik Melayu adalah penagih paling ramai dikesan sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu, iaitu 9,734 orang (80.59 peratus), berbanding Cina sebanyak 1,096 orang (9.07 peratus), India 926 orang (7.67 peratus), pribumi Sabah 238 orang (1.97 peratus), pribumi Sarawak 29 orang (0.24 peratus) dan etnik lain 56 (0.46 peratus). Keseluruhannya, penagih yang dikesan dalam tempoh itu menunjukkan peningkatan sebanyak 361.91 peratus berbanding tempoh sama pada 2009.

Menurut statistik Bukit Aman pula, 222 rakyat Malaysia berketurunan Melayu kini ditahan di penjara luar negara kerana kesalahan dadah sama ada dijadikan keldai dadah atau secara sedar. Dari sini, timbul persoalan mengapa orang Melayu mudah terpengaruh dan terjebak dalam kes penyalahgunaan dadah? Dalam perbualan dengan Presiden Pengasih Malaysia, Datuk Yunus Fathi, beliau mengemukakan beberapa faktor, termasuk berkait dengan soal budaya, perilaku, latar belakang keluarga dan tempat tinggal, pendidikan serta pengaruh luar.

“Taraf pendidikan orang Melayu pula secara umumnya masih rendah dan yang terbabit dalam dadah kebanyakannya daripada keluarga miskin. Selain itu, sistem kekeluargaan yang dulunya kuat, kini semakin rapuh menyebabkan anak terbiar dan tidak diberi perhatian,” katanya yang pernah menjadi penagih sebelum mengasaskan Pengasih – badan yang dianggotai bekas penagih dadah.

Sememangnya mengikut statistik ADK, majoriti penagih yang dikesan sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu menunjukkan 8,492 orang (78.40 peratus) adalah mereka yang sekurang-kurangnya mempunyai tahap pendidikan tamat Tingkatan Tiga, iaitu mempunyai sijil LCE/SRP/PMR. Bilangan penagih tertinggi juga dikesan pada mereka yang mempunyai sijil pada peringkat LCE/SRP/PMR, iaitu seramai 4,069 orang (37.56 peratus).

Persoalannya, kenapa kes penyalahgunaan dadah terus meningkat sedangkan banyak program dianjurkan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengekang gejala ini? Malah, pelbagai undang-undang digubal dan hukuman lebih berat dikenakan terhadap kesalahan dadah, termasuk hukuman mati mandatori. Penguatkuasaan juga diperhebatkan dan mengikut statistik, rampasan beberapa jenis dadah, seperti heroin, ecstasy, candu dan kokain menunjukkan peningkatan sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu. Namun, di sebalik kejayaan ini, isu dadah terus menghantui kita. Sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu, penagih baru yang dikesan berjumlah 8,984 orang, meningkat 507.44 peratus berbanding 1,479 orang dalam tempoh sama tahun lalu, manakala penagih berulang seramai 3,095 orang, meningkat 172.45 peratus berbanding 1,136 tahun sebelumnya.

“Kita semua berisiko dan yang tidak mempunyai kekuatan diri lebih berisiko tinggi untuk mudah terjebak dalam penyalahgunaan dadah. Sebab itu, kempen kena bermula dari rumah dengan menggalakkan ibu bapa bercakap dengan anak mengenai bahaya dadah. Kita juga kena banyakkan aktiviti bagi meningkatkan jati diri serta pembangunan intelektual dan rohaniah anak. Malah, mengikut satu kajian, anak yang selalu bersukan bersama ibu bapa didapati jarang terbabit dalam dadah. Peranan pertubuhan komuniti seperti PIBG, JKK kampung, jawatankuasa kariah surau atau masjid juga penting bagi membantu memerangi gejala dadah,” katanya.

Mesej ini sepatutnya membuka mata seluruh masyarakat agar bersama-sama membantu pihak berkuasa membanteras kes penyalahgunaan dadah. Kita percaya rakyat sedar kes penyalahgunaan dadah ini serius, tetapi ramai yang cuma mengeluh, tetapi tidak membantu. Kita tidak boleh lagi melihat dan membiarkan saja apa yang berlaku di sekeliling kita. Mungkin ramai tidak ambil peduli kerana menganggap itu bukan masalah mereka atau tidak membabitkan anak atau ahli keluarga mereka. Barangkali ramai juga tahu anak jiran kita mengambil dadah, tetapi kita buat tak tahu kerana tidak mahu dianggap mencampuri hal orang lain. Ini bukan soal hendak jaga tepi kain orang, tetapi membabitkan masa depan generasi kita. Bersamalah membanteras dadah.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/