Selasa, 26 Jun 2012

ISU BAHASA : Bahasa Melayu dalam teknologi maklumat


Oleh Nazmi Yaakub

KEUPAYAAN dan kejayaan ketamadunan Melayu dalam aspek rancangan teknologi maklumat bergantung kepada sejauh mana kandungan serta komuniti yang menggunakan bahasa Melayu berusaha untuk membangunkannya.

Penekanan terhadap bahasa Melayu dalam rancangan teknologi maklumat tanah air pernah dibuat bekas Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Allahyarham Datuk Dr Hassan Ahmad, pada Sidang Ke-40 Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) pada 2001.

Pandangan Dr Hassan itu disorot kembali secara serius pada Syarahan MABBIM Ke-5: Penyebaran Ilmu dan Penerusan Tamadun Pribumi Melalui Teknologi Maklumat dan Komunikasi di DBP, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pensyarah Kulliyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Tengku Mohd Tengku Sembok, berkata kandungan yang menjadi komponen sistem teknologi maklumat menjadi inti pati ketamadunan yang perlu disimpan, diproses dan disebarkan kepada warga komuniti tempatan serta global.

“Sekiranya kandungan disimpan dalam bahasa Melayu untuk menyebar ilmu dan melatari tamadun, maka teknologi pemprosesan bahasa Melayu perlu diwujudkan.

“Ini kerana asas kepada kandungannya ialah teks, iaitu bahasa tabii yang menggambarkan apa yang ada dalam fikiran kita dan diungkapkan dalam bentuk teks,” katanya pada syarahan yang dipengerusikan Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPN), Prof Madya Daruis Lidin.

Prof Tengku Mohd berkata, kecenderungan penulis blog untuk menulis dan mengupas nilai budaya bangsa yang baik daripada pelbagai segi,  termasuk agama, politik dan ekonomi perlu digalakkan.

“Ia akan membina komponen sistem teknologi maklumat yang seterusnya, iaitu komuniti yang dapat menghayati tamadun Pribumi. Komuniti dalam sistem teknologi maklumat yang menyedari kewujudan jati diri dan menjadikannya sebagai identiti inilah yang akan membina tamadun yang diharapkan,” katanya pada syarahan yang turut dihadiri Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan dan pakar bahasa, Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim.

Bagi Prof Tengku Mohd, kepentingan penggunaan bahasa Melayu itu, dapat dimanfaatkan kerana era web 2.0 yang dialami kini menjadikan sempadan antara penjana maklumat dengan pengguna maklumat sebagai sempadan yang kelabu.

“Kita sebagai penjana maklumat dalam web dan rangkaian laman sosial seperti Facebook dan Wikipedia, tetapi kita juga yang menjadi pengguna maklumat yang berada dalamnya.

“Malah, kita juga dalam permulaan era web 3.0 apabila komputer bukan saja menyimpan maklumat yang diberi dan dijana oleh manusia, bahkan ia memahami dan memproses maklumat itu dengan lebih pantas dan betul,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan kepentingan kandungan dan komuniti kerana sekiranya ia tidak mempunyai ilmu dan nilai yang melambangkan jati diri ketamadunan, maka kekalutan boleh berlaku.

“Usaha utama yang patut ditumpukan demi kemajuan teknologi bahasa Melayu ialah pembentukan leksikografi elektronik yang lengkap bagi perkataan Melayu.

“Leksikografi ini perlu mengandungi maklumat asas bagi setiap perkataan daripada segi fonem, morfologi, sintaksis, semantik dan pragmatik,” katanya.

Beliau turut mencadangkan nahu pengkomputeran untuk bahasa Melayu diperlengkapkan supaya pemproses seperti huraian, penterjemahan dan pemahaman ayat dapat dilakukan secara automatik, sekali gus kewujudan bahan elektronik asas itu bakal membuka pintu seluas-luasnya untuk penyelidikan teknologi dalam bahasa Melayu.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Malaysia diiktiraf negara paling selamat


JOHOR BAHRU : Malaysia diiktiraf oleh badan antarabangsa World Justice Project sebagai negara yang paling selamat di kalangan 19 negara berpendapatan sederhana tinggi di dunia.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi, berkata Malaysia juga diiktiraf sebagai negara yang ke-12 paling selamat secara keseluruhan mengatasi Amerika Syarikat dan Britain.

Sehubungan itu, katanya, rakyat Malaysia seharusnya berbangga kerana tinggal dalam sebuah negara yang aman dan selamat.

"Program GTP (Program Transformasi Kerajaan) dan NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) Mengurangkan Jenayah sudah mendapat pengiktirafan antarabangsa, contohnya Global Peace index menempatkan Malaysia di tempat pertama selamat dan aman di Asia Tenggara serta keempat aman di kawasan Asia Pasifik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup taklimat isu semasa keselamatan di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha KDN Bahagian Pendaftaran dan Imigresen, Datuk Wan Ali Besar.

Beliau berkata, kajian yang dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula mendapati, hasil tindakan yang dilakukan oleh kerajaan itu juga, kadar ketakutan rakyat negara ini terhadap jenayah berkurangan sebanyak 12 peratus iaitu daripada 33 peratus pada tahun 2010 kepada 21 peratus tahun lalu.

"Mungkin ramai yang bertanya apakah kesan semua ini kepada negara. Sebenarnya kesannya amat besar sekali, sebagai contoh pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia sudah melonjak kepada kedudukan ke-10 tahun lalu berbanding kedudukan ke-21 pada tahun 2010.

"Ini membuktikan keyakinan pelabur asing terhadap iklim politik, keselamatan serta kestabilan negara ini," katanya.

Beliau berkata, keadaan itu memberikan gambaran bahawa apa yang dirancang oleh KDN selama ini dalam mengurangkan kadar jenayah telah menampakkan hasil.

Kementerian itu, katanya, akan meneruskan usaha untuk mencari jalan dan kaedah bagi memastikan peratusan penurunan kadar jenayah indeks dan jenayah jalanan lebih besar daripada apa yang disasarkan. - BERNAMA

Qunut Nazilah senjata yang tidak kalah



A RAZAK MUTHALIB

Jiwa manusia berperikemanusiaan tidak mampu lagi menanggung kesedihan dan menahan kemarahan terhadap jenayah durjana atas umat Islam di Palestin, Syria dan terbaru di Myanmar.

Jenayah terancang ini tidak boleh dimaafkan lagi.

Saban hari ada saja nyawa yang gugur. Mungkin inilah tanda kemanusiaan yang semakin terkubur.

Untuk berjuang bersama, ramai tidak mampu, tetapi hulurkan sumbangan apa yang termampu kerana ALLAH Maha Tahu, walaupun sepotong doa.

Antara amalan sunnah yang dituntut ketika berlaku musibah dahsyat atas umat Islam adalah membaca doa Qunut Nazilah.

Amalan ini seakan-akan tidak dikenali dan jarang diamalkan di Malaysia.

Dari segi bahasa, nazilah ialah suatu keadaan yang gawat, mencemaskan dan terdesak.

Dari segi istilah, ia bermaksud suatu keadaan bencana yang menimpa umat Islam seperti adanya musuh, kemarau dan wabak penyakit. Ringkasnya Qunut Nazilah adalah doa yang dibaca dalam solat apabila berlaku sesuatu musibah yang menimpa umat Islam.

Terdapat banyak hadis sahih berkenaan Qunut Nazilah. Antaranya, Abu Hurairah RA berkata: “Ketika solat Subuh, selepas Rasulullah SAW selesai membaca Al-Fatihah dan surah, baginda bertakbir (untuk rukuk) dan mengangkat kepalanya kembali, lalu baginda membaca: “Sami’allahu liman hamidahu, rabbana walaka al-hamdu”.

Kemudian, baginda membaca doa dalam keadaan berdiri: “Ya Allah, selamatkanlah al-Walid bin al-Walid, Salamah bin Hisham, ‘Iyash bin Abi Rabia’h dan semua golongan yang tertindas daripada golongan Mukminin.

Wahai ALLAH, hancur dan musnahkanlah kaum kafir yang memberi mudarat, dan jadikanlah ke atas mereka tahun-tahun yang sengsara seperti yang berlaku pada zaman nabi Yusuf”. (Riwayat Al-Bukhari)

Rasulullah SAW mendoakan supaya ALLAH menyelamatkan beberapa sahabat Baginda yang masih tinggal di Makkah.

Selepas masuk Islam, mereka itu diseksa dan diazab oleh kafir Quraisy. Dengan keberkatan doa Rasulullah, mereka selamat dan seterusnya berhijrah bersama-sama  Baginda di Madinah.

Dalam hadis lain, Anas bin Malik melaporkan Rasulullah mengutus 70 qurra’ (yang berilmu dan mahir dalam bacaan al-Quran). Kumpulan ini dihantar untuk memenuhi permintaan beberapa kabilah seperti Ri’l dan Zakwan. Apabila rombongan tersebut sampai kepada kabilah Ri’l dan Zakwan berhampiran dengan sebuah telaga, dikenali telaga Mau’nah (Bi’r Mau’nah), kabilah tersebut berkata: Demi ALLAH, bukan kamu yang kami perlukan, sesungguhnya kami inginkan Nabi Muhammad.

Kabilah tersebut menipu dan khianat kepada Rasulullah. Mereka membunuh semua 70 qurra’ itu. Apabila berita ini sampai kepada Rasulullah, Baginda amat sedih, lalu, baginda mendoakan laknat ke atas kabilah tersebut selama sebulan di dalam solat Subuh. Maka, inilah permulaannya doa qunut. (Sahih al-Bukhari )

Berdasarkan hadis lain pula, Qunut Nazilah boleh dibaca dalam semua solat fardu, sama ada sebelum atau selepas bangun rukuk ketika rakaat terakhir.

Tidak ada doa khusus untuk Qunut Nazilah ini. Ia dibaca apa- apa doa yang berkaitan dengan musibah yang berlaku.

Dari sudut yang lain, dalam menghadapi serangan dan cengkaman pihak musuh, tidak cukup sekadar berdoa dan mengutuk mereka sahaja, harus bertindak dan berusaha memperjuangkan agama.

Generasi agung salafusoleh adalah mereka yang dijamin mendapat keredaan ALLAH, beribadat dan berzikir di masjid, tetapi keluar berdakwah, berjuang demi menegakkan agama.

Justeru, hulurkan bantuan dan sokongan kepada saudara kita yang sedang menghadapi pelbagai tekanan dan kezaliman.

Biar jutaan peluru dihamburkan, semangat juang mereka tidak pernah luntur. Malah semakin banyak strategi yang disusun atur. Membaca Qunut Nazilah bukan bererti menyerah kalah.

Berusahalah, kemudian kita pasrah dan berserah kepada ALLAH yang Maha Gagah.

*Penulis ialah Pensyarah dari International Islamic College (IIC)

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU SOSIAL : PM Seru Sektor Awam, Swasta Sedia Peluang Pekerjaan Kepada Golongan OKU



KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin menyeru sektor awam dan swasta agar menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) supaya mereka dapat menjalankan kehidupan dengan rasa megah dan nilai diri yang tinggi.

Beliau berkata, golongan itu perlu diberikan peluang pekerjaan untuk memajukan diri agar mereka tidak menjadikan kekurangan pada diri untuk menagih simpati, sebaliknya membuktikan mereka juga mampu bekerja seperti orang lain dan menyumbang kepada pembangunan negara.

"Pembukaan bilik pameran Faresh Motor adalah bertepatan dengan Gagasan 1Malaysia yang saya ilhamkan, di mana kerajaan sesekali tidak akan mengetepikan kemampuan dan kebolehan mana-mana bakat rakyat daripada golongan OKU dan sekali gus akan mengoptimumkan potensi mereka.

"Semoga langkah ini akan diikuti oleh badan dan syarikat swasta termasuk sektor awam supaya sebahagian daripada jawatan di sektor masing-masing memberi peluang perniagaan dan pekerjaan kepada golongan OKU agar menjadi warganegara yang berguna dan produktif," katanya dalam ucapan ketika merasmikan bilik pameran wakil pengedar sah Perodua yang pertama dimiliki dan berkonsepkan mesra OKU di Faresh Motor (M) Sdn Bhd di sini.

Turut hadir Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh dan Pengarah Urusan Faresh Motor (M) Sdn Bhd Ahmad Faresh Ahmad Zahid.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga mengamalkan kebajikan produktif yang bertujuan untuk memberi  perhatian kepada golongan OKU dengan menyediakan peluang perniagaan kepada mereka melalui program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) Teman 1Azam OKU.

"Kita lihat bagaimana tokoh-tokoh seperti Professor Stephen Hawking dari Britain yang menghidapi penyakit 'motor neuron disease' serta hampir lumpuh seluruh tubuh badan dan hanya mampu berkomunikasi melalui alat khas, telah memberi sumbangan yang tidak ternilai kepada masyarakat sejagat.

"Dan di Malaysia sendiri, kita masih ingat akan kejayaan pakar ekonomi terkemuka Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh yang cacat penglihatan. Semua ini kita harus menjadikan contoh dan teladan bahawa seorang yang digelar OKU, tidak bererti tidak boleh menyumbang kepada negara, diri dan keluarga," kata Najib.

Mengenai pembukaan bilik pameran Faresh Motor, Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada Perodua kerana memberi peluang kepada Ahmad Faresh untuk membuka bilik pameran itu yang berkonsepkan mesra OKU.

"Saya bangga dengan kejayaan dan kesungguhan saudara Faresh sebagai pengedar Perodua, dan berpeluang melihat bilik pameran yang dijadikan contoh kepada masyarakat bagaimana bilik itu boleh diolah dan disediakan dengan ciri-ciri yang amat diperlukan oleh golongan OKU," katanya. - BERNAMA

ISU GLOBAL : Cabaran hebat menanti Mohamed Mursi


Oleh MUHAMMAD AFIFI ABDUL RAZAK


Ribuan rakyat Mesir meraikan kemenangan Mohamed Mursi sebagai Presiden di Dataran Tahrir, Kaherah, kelmarin.

MOHAMED Mursi, pemimpin gerakan Ikhwan Muslimin yang juga jurutera profesional berpendidikan Amerika Syarikat, akhirnya diumumkan sebagai Presiden baru Mesir. Beliau berjaya menewaskan pencabarnya dalam Pilihan Raya Presiden Mesir, Ahmed Shafik, dengan mendapat 51% undi berbanding Shafik, 48% undi.

Apa yang paling menarik, Mursi merupakan Presiden pertama Mesir dalam sejarah negara itu yang dilantik menerusi proses pilihan raya secara demokrasi. Sebelum ini, Mesir diterajui oleh kerajaan beraja, tentera dan sistem berpresiden yang diamalkan secara autoritarian penuh.

Mesir merupakan sebuah negara republik sejak 1953. Ia di perintah oleh beberapa Presiden dari pemimpin tentera seperti Muhammad Naguib (1953-1954), Jamal Abdel Nasser (1954-1970), Anwar Sadat (1970-1981), Hosni Mubarak (1981-2011) dan Mohamed Hussien Tantawi (2011-2012).

Selepas revolusi rakyat 2011 yang menjatuhkan Mubarak, Mesir terus diperintah secara republik di mana tentera Mesir yang menubuhkan 'Majlis Tinggi Angkatan Tentera' di bawah teraju Jeneral Mohamed Hussien menguasai negara tersebut.

Pilihan Raya Presiden Mesir ini sangat penting khasnya bagi rakyatnya. Inilah kali pertama dalam sejarah negara itu mereka diberikan hak penuh mengundi dan memilih pemimpin secara demokrasi. Sejak Mubarak digulingkan menerusi revolusi rakyat yang membanjiri Dataran Tahrir di bandar raya Kaherah tahun lalu, Mesir dalam keadaan tidak menentu.

Tentera Mesir yang diterajui oleh Mohamed Hussien memerintah negara tersebut untuk sementara waktu sehingga proses Pilihan Raya Presiden Mesir tamat kelmarin.

Walaupun kepimpinan tentera Mesir ketika ini kelihatan agak 'liat' untuk menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada Mursi, tindakan Hussein Tantawi yang mengalu-alukan kemenangan Mursi sebagai Presiden baru Mesir memberikan signal bahawa perubahan besar bakal berlaku di negara tersebut. Kuasa dan pengaruh tentera bakal 'dicabut' daripada tampuk pentadbiran negara dan Mesir kelak bakal ditadbir dan dikuasai sepenuhnya oleh 'pemimpin rakyat' yang dipilih secara demokrasi.

Sesungguhnya, kemenangan Mursi dari gerakan Ikhwan Muslimin ini memberikan sinar baru bukan sahaja kepada rakyat Mesir, tetapi kepada gerakan itu yang sekian lama berjuang untuk 'menguasai' Mesir.

Sejarah perjuangan gerakan Ikhwan Muslimim di Mesir menyaksikan ramai pemimpinnya seperti Hassan al-Banna, Hassan al-Hudaybi, Umar al-Tilmisani dan ramai lagi dibunuh, dipenjarakan dan diusir ke luar negara. Sementara gerakan Ikhwan Muslimin pula diharamkan.

Hari ini, dengan kemenangan Mursi, gerakan Ikhwan Muslimin tidak lagi 'bermimpi di siang hari' kerana mereka sudahpun menguasai Mesir secara sah. Kini, tibalah masanya gerakan itu merealisasikan segala idea, falsafah dan janji mereka kepada seluruh rakyat Mesir.

Pun begitu, di samping merayakan kemenangan Mursi, cabaran yang bakal menanti beliau sebagai Presiden Mesir sangat besar dan hebat. Antara cabaran itu:

* Membentuk Kabinet kerajaan Mesir yang seimbang.

* Menyusun semua sistem politik, ekonomi dan sosial Mesir yang telah porak-peranda selepas revolusi.

* Menyatukan semua rakyat Mesir tanpa mengira agama, warna kulit, fahaman dan ideologi politik.

* Memindahkan kuasa politik daripada tentera kepada rakyat.

* Merancang dan membangunkan negara selepas revolusi.

* Melunaskan janji-janji politik yang ditabur kepada penyokong, penentang dan seluruh rakyat Mesir.

* Mendaulat idealisme gerakan Ikhwan Muslimin yang berteraskan 'Islam' dan 'Syari'ah'.

* Menyubur idealisme dan praktik demokrasi di Mesir tanpa sebarang prejudis dan diskriminasi.

* Melaksana dasar luar yang seimbang dan tegas, khasnya terhadap negara jiran Israel dan negara-negara kuasa besar dunia.

* Menghormati atau meminda perjanjian-perjanjian antarabangsa yang ditandatangani oleh kerajaan Mesir sebelum revolusi.

* Memainkan peranan penting di peringkat serantau dan antarabangsa, khasnya dalam isu-isu penting seperti isu Palestin dan konflik Arab-Israel, dan memperkenalkan satu model baru politik dan pemerintahan Islam baru yang boleh diterima umum dan seluruh masyarakat antarabangsa.

Ringkasnya, bertanding dan menang dalam Pilihan Raya Presiden Mesir hanyalah permulaan bagi Mursi dan gerakan Ikhwan Muslimin. Ia bukanlah bersifat mutlak. Ini kerana dengan undi dan sokongan rakyatlah Mursi dan Ikhwan Muslimin dapat menerajui Mesir. Kenyataan ini bukan untuk mengurangkan keyakinan terhadap kredibiliti Mursi, tetapi sejauh mana kemampuan beliau dan gerakannya untuk 'bertahan' dalam jangkamasa lama, sekiranya ia berlaku, bakal mewujudkan satu legasi baru, iaitu Mesir diperintah oleh pemimpin dari kalangan rakyatnya sendiri.

Sejarah politik dunia Islam telah membuktikan betapa 'rapuhnya' kerajaan pimpinan gerakan-gerakan Islam di beberapa negara. Kerajaan-kerajaan ini tidak bertahan lama dalam menghadapi cabaran politik tempatan dan global yang sangat hebat.

Lihatlah apa yang berlaku kepada parti Refah di Turki, parti Islam FIS di Algeria, serta beberapa kerajaan 'Islam' yang ditubuhkan secara gerakan revolusi seperti di Iran, Iraq, Libya, dan Afghanistan, semuanya mengalami sindrom 'pendek umur' lantaran tidak dapat menahan gelombang politik global dan tempatan yang mencabar.

Kita juga masih menunggu reaksi dari negara-negara kuasa besar dunia dan Israel mengenai perkembangan terbaru di Mesir ini. Yang jelas, rasa bimbang yang amat sangat terpancar di 'muka' negara-negara kuasa besar dunia dan Israel berikutan kemenangan Mursi dan Ikhwan Muslimin ini.

Kemenangan Mursii merupakan tamparan hebat kepada dunia Barat yang seringkali tidak pernah memberikan peluang dan ruang kepada gerakan Islam menunjukkan 'bakat' mentadbir negara. Seluruh rakyat Mesir kini menaruh harapan yang tinggi kepada Mursi untuk memimpin negara itu keluar daripada kemelut politik. Mereka inginkan 'Mesir baru'.

PENULIS ialah Pensyarah Sains Politik di Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Malaysia model contoh menentang rasuah


Oleh NURUL ANUAR KARI

PIHAK yang sering mencanang Malaysia sebagai sebuah negara yang diselubungi rasuah minggu lalu menerima tamparan hebat apabila sebuah media Barat mengangkat negara ini sebagai model contoh dalam menentang aktiviti rasuah.

Bagai meletakkan 'garam ke luka' bagi musuh kepimpinan negara, penulis rencana itu juga adalah pengasas bersama Transparency International, Michael J. Hershman yang menganggap sistem anti rasuah Malaysia di bawah program transformasi Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai sesuatu yang komprehensif dan unik.

Hershman dalam artikel bertarikh 22 Jun itu menasihatkan agar negara yang terlibat dalam rusuhan 'Arab Spring' mahupun negara yang berisiko mengalami nasib serupa melihat kepada model inovatif Malaysia dalam menentang rasuah, isu utama yang membawa kepada kebangkitan rakyat di  sana.

Antara contoh yang dipuji beliau adalah penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2008, satu badan tetap bagi mengatasi kelemahan yang timbul dalam usaha menentang gejala rasuah dalam kerajaan, dunia perniagaan dan masyarakat setempat.

Selain itu, penglibatan kakitangan awam dan komuniti perniagaan dalam usaha itu turut dipuji melalui Perjanjian Integriti secara sukarela yang bukan sahaja memberi insentif tertentu malahan implikasi besar jika terlibat dengan aktiviti rasuah.

Hershman turut mengaitkan ketelusan dan pembaharuan perundangan sebagai salah satu strategi penting bagi Malaysia menentang aktiviti rasuah terutamanya penubuhan mahkamah anti rasuah dan memendekkan perjalanan kes rasuah dalam tempoh 12 bulan sahaja.

Peningkatan penggunaan pangkalan data elektronik untuk proses pemerolehan, akauntabiliti, memudahkan ketelusan penuh, kemampuan mengaudit serta penubuhan Akademi Anti Rasuah Malaysia turut dilihat satu kejayaan bagi Malaysia.

Walaupun masih ada ruang penambahbaikan, beliau mengakui sistem antirasuah Malaysia masih dalam proses pembangunan tetapi menegaskan komitmen dan sasaran jelas telah ditonjolkan di bawah program transformasi untuk kerajaan dan ekonomi oleh Perdana Menteri.

Bagi pensyarah di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling, apa yang ditulis Hershman itu merupakan satu pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap kualiti pentadbiran dan pengurusan negara.

"Usul  Hershman agar Malaysia dijadikan model contoh negara luar dalam menentang rasuah bertepatan kerana kerajaan telah memberi kuasa besar kepada SPRM sehingga berjaya menurunkan kadar rasuah.

"Rakyat kita juga perlu sedar keberkesanan usaha kerajaan menentang rasuah sedangkan orang luar sendiri telah memperakuinya," katanya.

Tegasnya, walaupun langkah-langkah yang diambil kerajaan positif dan berkesan, pengiktirafan terhadap kejayaan itu juga sesuatu yang penting.

Menurutnya lagi, proses transformasi menentang rasuah sejak 2008 menggambarkan kesungguhan Perdana Menteri membawa pembaharuan dan meningkatkan kualiti dalam urus tadbir negara dan masyarakat.

"Ini bagi menjamin kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat dan negara ini. Apa yang ditulis Hershman itu perlu dilihat secara positif dan secara meluas kerana ia satu pengiktirafan. Mereka yang kutuk atau kritik artikel beliau itu menunjukkan usaha memburukkan imej SPRM dan kerajaan di mata rakyat demi kepentingan peribadi, sedangkan ia benda baik dan berfaedah," ujarnya.

Berkenaan komen negatif terhadap artikel Hersman yang dipaparkan melalui blog dan media alternatif, Mohamad Faisol beranggapan minda pemikiran dan sifat semulajadi pembangkang adalah untuk membangkang sahaja dan cuba mengaburi mata rakyat terhadap kebaikan yang dilakukan kerajaan.

"Malang apabila orang kita sendiri mengutuk negara sedang orang lain memuji. Masyarakat sepatutnya bersama membantu usaha menentang rasuah ini dan menilai hasilnya secara adil. Pembaharuan dalam sesuatu dasar akan mengambil masa dan tidak mungkin melihat hasilnya dalam sekelip mata," tegasnya.

Beliau berpendapat proses transformasi minda dan sikap manusia berkaitan amalan rasuah adalah yang paling sukar dan akan mengambil masa panjang.

Tambahnya, walaupun ada sudut yang boleh ditingkatkan, pengiktirafan antarabangsa dalam tempoh singkat program transformasi oleh Perdana Menteri menjadi bukti ia satu kejayaan bagi negara.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak pula berpendapat mereka yang jujur dan tiada kepentingan politik pasti dapat menilai apa yang dicapai Malaysia dalam menentang rasuah.

"Bukan sahaja rasuah, kita juga telah berusaha keras mengurangkan jurang sosioekonomi antara orang kaya dan miskin, lebih-lebih lagi bila melibatkan jurang etnik.

"Apabila satu kaum dilihat kaya dan satu lagi miskin, ini berpotensi membawa ketidakstabilan. Kita telah mengenalpasti masalah itu dan menjadikan usaha menanganinya satu agenda nasional," katanya.

Usaha mengurangkan jurang antara yang kaya dan miskin itu tegasnya, juga dapat mengurangkan potensi berlakunya rasuah.

Jelas beliau, Arab Spring berlaku apabila kumpulan majoriti merasakan mereka tiada apa-apa sementara yang minoriti dan pemerintah ada segalanya.

"Kita berjaya urus dan bangunkan negara sehingga kekayaan dapat dikongsi. Walaupun ada yang tidak berpuas hati, sekurang-kurangnya tidak sampai tahap rakyat merasakan tiada apa-apa.

"Demokrasi sahaja tidak cukup, perlu ada dasar kurangkan jurang kaya-miskin, menentang rasuah dan pendidikan. Inilah resipi rahsia kita sejak merdeka," ujarnya.

Tambahnya, kombinasi pelbagai faktor ini memainkan peranan penting dan sekalipun Malaysia tidak bersih sepenuhnya, sekurang-kurangnya negara ini tidak sekumpulan dengan negara yang teruk amalan rasuahnya.

"Jika mahu banding, lihat kepada situasi rasuah di Indonesia, Thailand dan Filipina. Mereka juga ada demokrasi tetapi rasuah tetap banyak berlaku. Jangan pula dibanding dengan Singapura yang sudah capai negara maju serta pendapatan per kapita yang tinggi," tegasnya.

Menurutnya lagi, Singapura juga lebih kecil dan penduduknya jauh lebih sedikit dengan sebilangan besar daripada mereka membayar cukai berbanding sekitar satu juta rakyat Malaysia sahaja membayar cukai individu.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/