Oleh Nazmi Yaakub
KEUPAYAAN dan kejayaan ketamadunan Melayu dalam aspek rancangan teknologi
maklumat bergantung kepada sejauh mana kandungan serta komuniti yang
menggunakan bahasa Melayu berusaha untuk membangunkannya.
Penekanan terhadap bahasa Melayu dalam rancangan teknologi maklumat tanah
air pernah dibuat bekas Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),
Allahyarham Datuk Dr Hassan Ahmad, pada Sidang Ke-40 Majlis Bahasa Brunei
Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) pada 2001.
Pandangan Dr Hassan itu disorot kembali secara serius pada Syarahan MABBIM
Ke-5: Penyebaran Ilmu dan Penerusan Tamadun Pribumi Melalui Teknologi Maklumat
dan Komunikasi di DBP, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pensyarah Kulliyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Tengku Mohd Tengku Sembok, berkata
kandungan yang menjadi komponen sistem teknologi maklumat menjadi inti pati
ketamadunan yang perlu disimpan, diproses dan disebarkan kepada warga komuniti
tempatan serta global.
“Sekiranya kandungan disimpan dalam bahasa Melayu untuk menyebar ilmu dan
melatari tamadun, maka teknologi pemprosesan bahasa Melayu perlu diwujudkan.
“Ini kerana asas kepada kandungannya ialah teks, iaitu bahasa tabii yang
menggambarkan apa yang ada dalam fikiran kita dan diungkapkan dalam bentuk teks,”
katanya pada syarahan yang dipengerusikan Pensyarah Universiti Pertahanan
Nasional Malaysia (UPN), Prof Madya Daruis Lidin.
Prof Tengku Mohd berkata, kecenderungan penulis blog untuk menulis dan
mengupas nilai budaya bangsa yang baik daripada pelbagai segi, termasuk agama, politik dan ekonomi perlu
digalakkan.
“Ia akan membina komponen sistem teknologi maklumat yang seterusnya, iaitu
komuniti yang dapat menghayati tamadun Pribumi. Komuniti dalam sistem teknologi
maklumat yang menyedari kewujudan jati diri dan menjadikannya sebagai identiti
inilah yang akan membina tamadun yang diharapkan,” katanya pada syarahan yang
turut dihadiri Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan dan pakar bahasa, Prof
Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim.
Bagi Prof Tengku Mohd, kepentingan penggunaan bahasa Melayu itu, dapat
dimanfaatkan kerana era web 2.0 yang dialami kini menjadikan sempadan antara
penjana maklumat dengan pengguna maklumat sebagai sempadan yang kelabu.
“Kita sebagai penjana maklumat dalam web dan rangkaian laman sosial seperti
Facebook dan Wikipedia, tetapi kita juga yang menjadi pengguna maklumat yang
berada dalamnya.
“Malah, kita juga dalam permulaan era web 3.0 apabila komputer bukan saja
menyimpan maklumat yang diberi dan dijana oleh manusia, bahkan ia memahami dan
memproses maklumat itu dengan lebih pantas dan betul,” katanya.
Justeru, beliau mengingatkan kepentingan kandungan dan komuniti kerana
sekiranya ia tidak mempunyai ilmu dan nilai yang melambangkan jati diri
ketamadunan, maka kekalutan boleh berlaku.
“Usaha utama yang patut ditumpukan demi kemajuan teknologi bahasa Melayu
ialah pembentukan leksikografi elektronik yang lengkap bagi perkataan Melayu.
“Leksikografi ini perlu mengandungi maklumat asas bagi setiap perkataan
daripada segi fonem, morfologi, sintaksis, semantik dan pragmatik,” katanya.
Beliau turut mencadangkan nahu pengkomputeran untuk bahasa Melayu
diperlengkapkan supaya pemproses seperti huraian, penterjemahan dan pemahaman
ayat dapat dilakukan secara automatik, sekali gus kewujudan bahan elektronik
asas itu bakal membuka pintu seluas-luasnya untuk penyelidikan teknologi dalam
bahasa Melayu.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/