KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
pada Isnin menyeru sektor awam dan swasta agar menyediakan peluang pekerjaan
kepada golongan orang kurang upaya (OKU) supaya mereka dapat menjalankan
kehidupan dengan rasa megah dan nilai diri yang tinggi.
Beliau berkata, golongan itu perlu diberikan peluang pekerjaan
untuk memajukan diri agar mereka tidak menjadikan kekurangan pada diri untuk
menagih simpati, sebaliknya membuktikan mereka juga mampu bekerja seperti orang
lain dan menyumbang kepada pembangunan negara.
"Pembukaan bilik pameran Faresh Motor adalah bertepatan
dengan Gagasan 1Malaysia yang saya ilhamkan, di mana kerajaan sesekali tidak
akan mengetepikan kemampuan dan kebolehan mana-mana bakat rakyat daripada
golongan OKU dan sekali gus akan mengoptimumkan potensi mereka.
"Semoga langkah ini akan diikuti oleh badan dan
syarikat swasta termasuk sektor awam supaya sebahagian daripada jawatan di
sektor masing-masing memberi peluang perniagaan dan pekerjaan kepada golongan
OKU agar menjadi warganegara yang berguna dan produktif," katanya dalam
ucapan ketika merasmikan bilik pameran wakil pengedar sah Perodua yang pertama
dimiliki dan berkonsepkan mesra OKU di Faresh Motor (M) Sdn Bhd di sini.
Turut hadir Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid
Salleh dan Pengarah Urusan Faresh Motor (M) Sdn Bhd Ahmad Faresh Ahmad Zahid.
Perdana Menteri berkata, kerajaan juga mengamalkan kebajikan
produktif yang bertujuan untuk memberi perhatian
kepada golongan OKU dengan menyediakan peluang perniagaan kepada mereka melalui
program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) Teman 1Azam OKU.
"Kita lihat bagaimana tokoh-tokoh seperti Professor
Stephen Hawking dari Britain yang menghidapi penyakit 'motor neuron disease'
serta hampir lumpuh seluruh tubuh badan dan hanya mampu berkomunikasi melalui
alat khas, telah memberi sumbangan yang tidak ternilai kepada masyarakat
sejagat.
"Dan di Malaysia sendiri, kita masih ingat akan
kejayaan pakar ekonomi terkemuka Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh yang
cacat penglihatan. Semua ini kita harus menjadikan contoh dan teladan bahawa
seorang yang digelar OKU, tidak bererti tidak boleh menyumbang kepada negara,
diri dan keluarga," kata Najib.
Mengenai pembukaan bilik pameran Faresh Motor, Perdana
Menteri mengucapkan tahniah kepada Perodua kerana memberi peluang kepada Ahmad
Faresh untuk membuka bilik pameran itu yang berkonsepkan mesra OKU.
"Saya bangga dengan kejayaan dan kesungguhan saudara
Faresh sebagai pengedar Perodua, dan berpeluang melihat bilik pameran yang
dijadikan contoh kepada masyarakat bagaimana bilik itu boleh diolah dan
disediakan dengan ciri-ciri yang amat diperlukan oleh golongan OKU,"
katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan