Selasa, 26 Jun 2012

ISU GLOBAL : Cabaran hebat menanti Mohamed Mursi


Oleh MUHAMMAD AFIFI ABDUL RAZAK


Ribuan rakyat Mesir meraikan kemenangan Mohamed Mursi sebagai Presiden di Dataran Tahrir, Kaherah, kelmarin.

MOHAMED Mursi, pemimpin gerakan Ikhwan Muslimin yang juga jurutera profesional berpendidikan Amerika Syarikat, akhirnya diumumkan sebagai Presiden baru Mesir. Beliau berjaya menewaskan pencabarnya dalam Pilihan Raya Presiden Mesir, Ahmed Shafik, dengan mendapat 51% undi berbanding Shafik, 48% undi.

Apa yang paling menarik, Mursi merupakan Presiden pertama Mesir dalam sejarah negara itu yang dilantik menerusi proses pilihan raya secara demokrasi. Sebelum ini, Mesir diterajui oleh kerajaan beraja, tentera dan sistem berpresiden yang diamalkan secara autoritarian penuh.

Mesir merupakan sebuah negara republik sejak 1953. Ia di perintah oleh beberapa Presiden dari pemimpin tentera seperti Muhammad Naguib (1953-1954), Jamal Abdel Nasser (1954-1970), Anwar Sadat (1970-1981), Hosni Mubarak (1981-2011) dan Mohamed Hussien Tantawi (2011-2012).

Selepas revolusi rakyat 2011 yang menjatuhkan Mubarak, Mesir terus diperintah secara republik di mana tentera Mesir yang menubuhkan 'Majlis Tinggi Angkatan Tentera' di bawah teraju Jeneral Mohamed Hussien menguasai negara tersebut.

Pilihan Raya Presiden Mesir ini sangat penting khasnya bagi rakyatnya. Inilah kali pertama dalam sejarah negara itu mereka diberikan hak penuh mengundi dan memilih pemimpin secara demokrasi. Sejak Mubarak digulingkan menerusi revolusi rakyat yang membanjiri Dataran Tahrir di bandar raya Kaherah tahun lalu, Mesir dalam keadaan tidak menentu.

Tentera Mesir yang diterajui oleh Mohamed Hussien memerintah negara tersebut untuk sementara waktu sehingga proses Pilihan Raya Presiden Mesir tamat kelmarin.

Walaupun kepimpinan tentera Mesir ketika ini kelihatan agak 'liat' untuk menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada Mursi, tindakan Hussein Tantawi yang mengalu-alukan kemenangan Mursi sebagai Presiden baru Mesir memberikan signal bahawa perubahan besar bakal berlaku di negara tersebut. Kuasa dan pengaruh tentera bakal 'dicabut' daripada tampuk pentadbiran negara dan Mesir kelak bakal ditadbir dan dikuasai sepenuhnya oleh 'pemimpin rakyat' yang dipilih secara demokrasi.

Sesungguhnya, kemenangan Mursi dari gerakan Ikhwan Muslimin ini memberikan sinar baru bukan sahaja kepada rakyat Mesir, tetapi kepada gerakan itu yang sekian lama berjuang untuk 'menguasai' Mesir.

Sejarah perjuangan gerakan Ikhwan Muslimim di Mesir menyaksikan ramai pemimpinnya seperti Hassan al-Banna, Hassan al-Hudaybi, Umar al-Tilmisani dan ramai lagi dibunuh, dipenjarakan dan diusir ke luar negara. Sementara gerakan Ikhwan Muslimin pula diharamkan.

Hari ini, dengan kemenangan Mursi, gerakan Ikhwan Muslimin tidak lagi 'bermimpi di siang hari' kerana mereka sudahpun menguasai Mesir secara sah. Kini, tibalah masanya gerakan itu merealisasikan segala idea, falsafah dan janji mereka kepada seluruh rakyat Mesir.

Pun begitu, di samping merayakan kemenangan Mursi, cabaran yang bakal menanti beliau sebagai Presiden Mesir sangat besar dan hebat. Antara cabaran itu:

* Membentuk Kabinet kerajaan Mesir yang seimbang.

* Menyusun semua sistem politik, ekonomi dan sosial Mesir yang telah porak-peranda selepas revolusi.

* Menyatukan semua rakyat Mesir tanpa mengira agama, warna kulit, fahaman dan ideologi politik.

* Memindahkan kuasa politik daripada tentera kepada rakyat.

* Merancang dan membangunkan negara selepas revolusi.

* Melunaskan janji-janji politik yang ditabur kepada penyokong, penentang dan seluruh rakyat Mesir.

* Mendaulat idealisme gerakan Ikhwan Muslimin yang berteraskan 'Islam' dan 'Syari'ah'.

* Menyubur idealisme dan praktik demokrasi di Mesir tanpa sebarang prejudis dan diskriminasi.

* Melaksana dasar luar yang seimbang dan tegas, khasnya terhadap negara jiran Israel dan negara-negara kuasa besar dunia.

* Menghormati atau meminda perjanjian-perjanjian antarabangsa yang ditandatangani oleh kerajaan Mesir sebelum revolusi.

* Memainkan peranan penting di peringkat serantau dan antarabangsa, khasnya dalam isu-isu penting seperti isu Palestin dan konflik Arab-Israel, dan memperkenalkan satu model baru politik dan pemerintahan Islam baru yang boleh diterima umum dan seluruh masyarakat antarabangsa.

Ringkasnya, bertanding dan menang dalam Pilihan Raya Presiden Mesir hanyalah permulaan bagi Mursi dan gerakan Ikhwan Muslimin. Ia bukanlah bersifat mutlak. Ini kerana dengan undi dan sokongan rakyatlah Mursi dan Ikhwan Muslimin dapat menerajui Mesir. Kenyataan ini bukan untuk mengurangkan keyakinan terhadap kredibiliti Mursi, tetapi sejauh mana kemampuan beliau dan gerakannya untuk 'bertahan' dalam jangkamasa lama, sekiranya ia berlaku, bakal mewujudkan satu legasi baru, iaitu Mesir diperintah oleh pemimpin dari kalangan rakyatnya sendiri.

Sejarah politik dunia Islam telah membuktikan betapa 'rapuhnya' kerajaan pimpinan gerakan-gerakan Islam di beberapa negara. Kerajaan-kerajaan ini tidak bertahan lama dalam menghadapi cabaran politik tempatan dan global yang sangat hebat.

Lihatlah apa yang berlaku kepada parti Refah di Turki, parti Islam FIS di Algeria, serta beberapa kerajaan 'Islam' yang ditubuhkan secara gerakan revolusi seperti di Iran, Iraq, Libya, dan Afghanistan, semuanya mengalami sindrom 'pendek umur' lantaran tidak dapat menahan gelombang politik global dan tempatan yang mencabar.

Kita juga masih menunggu reaksi dari negara-negara kuasa besar dunia dan Israel mengenai perkembangan terbaru di Mesir ini. Yang jelas, rasa bimbang yang amat sangat terpancar di 'muka' negara-negara kuasa besar dunia dan Israel berikutan kemenangan Mursi dan Ikhwan Muslimin ini.

Kemenangan Mursii merupakan tamparan hebat kepada dunia Barat yang seringkali tidak pernah memberikan peluang dan ruang kepada gerakan Islam menunjukkan 'bakat' mentadbir negara. Seluruh rakyat Mesir kini menaruh harapan yang tinggi kepada Mursi untuk memimpin negara itu keluar daripada kemelut politik. Mereka inginkan 'Mesir baru'.

PENULIS ialah Pensyarah Sains Politik di Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan