Oleh MUHAMMAD AFIFI ABDUL RAZAK
Ribuan rakyat Mesir meraikan kemenangan Mohamed Mursi
sebagai Presiden di Dataran Tahrir, Kaherah, kelmarin.
MOHAMED Mursi, pemimpin gerakan Ikhwan Muslimin yang juga
jurutera profesional berpendidikan Amerika Syarikat, akhirnya diumumkan sebagai
Presiden baru Mesir. Beliau berjaya menewaskan pencabarnya dalam Pilihan Raya
Presiden Mesir, Ahmed Shafik, dengan mendapat 51% undi berbanding Shafik, 48%
undi.
Apa yang paling menarik, Mursi merupakan Presiden pertama
Mesir dalam sejarah negara itu yang dilantik menerusi proses pilihan raya
secara demokrasi. Sebelum ini, Mesir diterajui oleh kerajaan beraja, tentera
dan sistem berpresiden yang diamalkan secara autoritarian penuh.
Mesir merupakan sebuah negara republik sejak 1953. Ia di
perintah oleh beberapa Presiden dari pemimpin tentera seperti Muhammad Naguib
(1953-1954), Jamal Abdel Nasser (1954-1970), Anwar Sadat (1970-1981), Hosni
Mubarak (1981-2011) dan Mohamed Hussien Tantawi (2011-2012).
Selepas revolusi rakyat 2011 yang menjatuhkan Mubarak, Mesir
terus diperintah secara republik di mana tentera Mesir yang menubuhkan 'Majlis
Tinggi Angkatan Tentera' di bawah teraju Jeneral Mohamed Hussien menguasai
negara tersebut.
Pilihan Raya Presiden Mesir ini sangat penting khasnya bagi
rakyatnya. Inilah kali pertama dalam sejarah negara itu mereka diberikan hak
penuh mengundi dan memilih pemimpin secara demokrasi. Sejak Mubarak digulingkan
menerusi revolusi rakyat yang membanjiri Dataran Tahrir di bandar raya Kaherah
tahun lalu, Mesir dalam keadaan tidak menentu.
Tentera Mesir yang diterajui oleh Mohamed Hussien memerintah
negara tersebut untuk sementara waktu sehingga proses Pilihan Raya Presiden
Mesir tamat kelmarin.
Walaupun kepimpinan tentera Mesir ketika ini kelihatan agak
'liat' untuk menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada Mursi, tindakan Hussein
Tantawi yang mengalu-alukan kemenangan Mursi sebagai Presiden baru Mesir
memberikan signal bahawa perubahan besar bakal berlaku di negara tersebut.
Kuasa dan pengaruh tentera bakal 'dicabut' daripada tampuk pentadbiran negara
dan Mesir kelak bakal ditadbir dan dikuasai sepenuhnya oleh 'pemimpin rakyat'
yang dipilih secara demokrasi.
Sesungguhnya, kemenangan Mursi dari gerakan Ikhwan Muslimin
ini memberikan sinar baru bukan sahaja kepada rakyat Mesir, tetapi kepada
gerakan itu yang sekian lama berjuang untuk 'menguasai' Mesir.
Sejarah perjuangan gerakan Ikhwan Muslimim di Mesir
menyaksikan ramai pemimpinnya seperti Hassan al-Banna, Hassan al-Hudaybi, Umar
al-Tilmisani dan ramai lagi dibunuh, dipenjarakan dan diusir ke luar negara.
Sementara gerakan Ikhwan Muslimin pula diharamkan.
Hari ini, dengan kemenangan Mursi, gerakan Ikhwan Muslimin
tidak lagi 'bermimpi di siang hari' kerana mereka sudahpun menguasai Mesir
secara sah. Kini, tibalah masanya gerakan itu merealisasikan segala idea,
falsafah dan janji mereka kepada seluruh rakyat Mesir.
Pun begitu, di samping merayakan kemenangan Mursi, cabaran
yang bakal menanti beliau sebagai Presiden Mesir sangat besar dan hebat. Antara
cabaran itu:
* Membentuk Kabinet kerajaan Mesir yang seimbang.
* Menyusun semua sistem politik, ekonomi dan
sosial Mesir yang telah porak-peranda selepas revolusi.
* Menyatukan semua rakyat Mesir tanpa mengira
agama, warna kulit, fahaman dan ideologi politik.
* Memindahkan kuasa politik daripada tentera
kepada rakyat.
* Merancang dan membangunkan negara selepas
revolusi.
* Melunaskan janji-janji politik yang ditabur
kepada penyokong, penentang dan seluruh rakyat Mesir.
* Mendaulat idealisme gerakan Ikhwan Muslimin yang
berteraskan 'Islam' dan 'Syari'ah'.
* Menyubur idealisme dan praktik demokrasi di
Mesir tanpa sebarang prejudis dan diskriminasi.
* Melaksana dasar luar yang seimbang dan tegas,
khasnya terhadap negara jiran Israel dan negara-negara kuasa besar dunia.
* Menghormati atau meminda perjanjian-perjanjian
antarabangsa yang ditandatangani oleh kerajaan Mesir sebelum revolusi.
* Memainkan peranan penting di peringkat serantau
dan antarabangsa, khasnya dalam isu-isu penting seperti isu Palestin dan
konflik Arab-Israel, dan memperkenalkan satu model baru politik dan
pemerintahan Islam baru yang boleh diterima umum dan seluruh masyarakat
antarabangsa.
Ringkasnya, bertanding dan menang dalam Pilihan Raya
Presiden Mesir hanyalah permulaan bagi Mursi dan gerakan Ikhwan Muslimin. Ia
bukanlah bersifat mutlak. Ini kerana dengan undi dan sokongan rakyatlah Mursi
dan Ikhwan Muslimin dapat menerajui Mesir. Kenyataan ini bukan untuk
mengurangkan keyakinan terhadap kredibiliti Mursi, tetapi sejauh mana kemampuan
beliau dan gerakannya untuk 'bertahan' dalam jangkamasa lama, sekiranya ia
berlaku, bakal mewujudkan satu legasi baru, iaitu Mesir diperintah oleh
pemimpin dari kalangan rakyatnya sendiri.
Sejarah politik dunia Islam telah membuktikan betapa
'rapuhnya' kerajaan pimpinan gerakan-gerakan Islam di beberapa negara.
Kerajaan-kerajaan ini tidak bertahan lama dalam menghadapi cabaran politik
tempatan dan global yang sangat hebat.
Lihatlah apa yang berlaku kepada parti Refah di Turki, parti
Islam FIS di Algeria, serta beberapa kerajaan 'Islam' yang ditubuhkan secara
gerakan revolusi seperti di Iran, Iraq, Libya, dan Afghanistan, semuanya
mengalami sindrom 'pendek umur' lantaran tidak dapat menahan gelombang politik
global dan tempatan yang mencabar.
Kita juga masih menunggu reaksi dari negara-negara kuasa
besar dunia dan Israel mengenai perkembangan terbaru di Mesir ini. Yang jelas,
rasa bimbang yang amat sangat terpancar di 'muka' negara-negara kuasa besar
dunia dan Israel berikutan kemenangan Mursi dan Ikhwan Muslimin ini.
Kemenangan Mursii merupakan tamparan hebat kepada dunia
Barat yang seringkali tidak pernah memberikan peluang dan ruang kepada gerakan
Islam menunjukkan 'bakat' mentadbir negara. Seluruh rakyat Mesir kini menaruh
harapan yang tinggi kepada Mursi untuk memimpin negara itu keluar daripada
kemelut politik. Mereka inginkan 'Mesir baru'.
PENULIS ialah Pensyarah Sains Politik di Pusat Pengajian
Antarabangsa, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa,
Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan