JOHOR BAHRU : Malaysia diiktiraf oleh badan antarabangsa World
Justice Project sebagai negara yang paling selamat di kalangan 19 negara
berpendapatan sederhana tinggi di dunia.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Abdul
Rahim Mohd Radzi, berkata Malaysia juga diiktiraf sebagai negara yang ke-12
paling selamat secara keseluruhan mengatasi Amerika Syarikat dan Britain.
Sehubungan itu, katanya, rakyat Malaysia seharusnya
berbangga kerana tinggal dalam sebuah negara yang aman dan selamat.
"Program GTP (Program Transformasi Kerajaan) dan NKRA
(Bidang Keberhasilan Utama Negara) Mengurangkan Jenayah sudah mendapat
pengiktirafan antarabangsa, contohnya Global Peace index menempatkan Malaysia
di tempat pertama selamat dan aman di Asia Tenggara serta keempat aman di
kawasan Asia Pasifik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis
penutup taklimat isu semasa keselamatan di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha
KDN Bahagian Pendaftaran dan Imigresen, Datuk Wan Ali Besar.
Beliau berkata, kajian yang dijalankan oleh Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula mendapati, hasil tindakan yang dilakukan oleh
kerajaan itu juga, kadar ketakutan rakyat negara ini terhadap jenayah
berkurangan sebanyak 12 peratus iaitu daripada 33 peratus pada tahun 2010
kepada 21 peratus tahun lalu.
"Mungkin ramai yang bertanya apakah kesan semua ini
kepada negara. Sebenarnya kesannya amat besar sekali, sebagai contoh pelaburan
langsung asing (FDI) Malaysia sudah melonjak kepada kedudukan ke-10 tahun lalu
berbanding kedudukan ke-21 pada tahun 2010.
"Ini membuktikan keyakinan pelabur asing terhadap iklim
politik, keselamatan serta kestabilan negara ini," katanya.
Beliau berkata, keadaan itu memberikan gambaran bahawa apa
yang dirancang oleh KDN selama ini dalam mengurangkan kadar jenayah telah
menampakkan hasil.
Kementerian itu, katanya, akan meneruskan usaha untuk
mencari jalan dan kaedah bagi memastikan peratusan penurunan kadar jenayah
indeks dan jenayah jalanan lebih besar daripada apa yang disasarkan. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan