INDUSTRI pembinaan memainkan
peranan yang sangat penting dalam aktiviti pembangunan dan kemajuan negara.
Tenaga kerja yang profesional dan mahir diperlukan untuk memastikan industri
ini terus membangun dan berkembang pesat.
Oleh itu, terdapat beberapa keperluan
yang mana pekerja dan majikan perlu bekerjasama bagi memastikan tenaga kerja
diberi pendedahan yang secukupnya mengenai program keselamatan dan kesihatan
pekerjaan.
Penyakit atau kemalangan di
tempat kerja yang disebabkan oleh persekitaran tempat kerja yang berbahaya
bukan sahaja akan memberi kesan kepada pekerja bahkan kepada keluarganya.
Majikan akan turut terjejas
kerana ia melibatkan kos secara langsung dan tidak langsung bagi perubatan,
kerja yang tertangguh, kos pengurusan yang tidak diperlukan dan lain-lain, yang
mana akan meningkatkan jumlah kos keseluruhan projek pembinaan.
Kita perlu prihatin dengan
peristiwa kemalangan di tempat kerja baru-baru ini yang memberi kesan kepada
industri pembinaan. Dengan itu, setiap pemaju perlu memastikan bahawa sistem
pengurusan keselamatan perlu dilaksanakan di tempat kerja dan diberi pengawasan
serta pemantauan yang berterusan.
Para kontraktor juga perlu
memastikan setiap pekerja pembinaan wajib menghadiri kursus induksi keselamatan
bagi memastikan pemaju patuh kepada akta dan peraturan keselamatan dan
kesihatan pekerjaan dan lain-lain.
Pencegahan kemalangan di tempat
kerja akan menjadi efektif sekiranya majikan dan pekerja sedar akan kepentingan
mempunyai budaya dan tempat kerja yang selamat dan sihat. Kita seharusnya
meningkatkan usaha bagi membendung kemalangan di tempat kerja. Hal ini tidak
boleh dilaksanakan dalam tempoh singkat. Penglibatan setiap orang adalah
penting bagi memastikan budaya keselamatan yang menyeluruh dalam industri
pembinaan ini dicapai.
Tidak pernah ada perbincangan
yang menyeluruh mengenai keselamatan tempat kerja di tapak pembinaan tanpa
melihat dengan terperinci tingkah laku manusia. Jika kemalangan yang berlaku
disebabkan oleh masalah mekanikal atau kejadian semula jadi, ia tidak dapat
dibantu tetapi sekurang-kurangnya kita boleh mengurangkan bilangan kemalangan
yang disebabkan oleh kecuaian, ketidakcekapan dan kelalaian.
Perkara ini tertumpu kepada aspek
manusia di mana tingkah laku pekerja di tempat kerja perlu dipantau dan amalan
budaya kerja yang selamat dan sihat perlu ditekankan bagi memupuk kesedaran
kepada pekerja dan mengubah sekali gus memperbaiki tingkah laku mereka agar
mereka lebih memberi penekanan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan
pekerjaan dalam bidang kerja mereka.
Ini juga melibatkan penekanan
terhadap komunikasi terbuka antara majikan dan pekerja tentang keselamatan dan
ia memberi kuasa kepada pekerja apabila keselamatan mereka diabaikan.
Kemalangan boleh dikurangkan jika
kita sentiasa memupuk serta mengamalkan budaya kerja yang berhemah dan sentiasa
berwaspada sebagai sebahagian daripada budaya kita. Semua pekerja perlu lebih
peka terhadap aspek keselamatan dan perlu menjadikannya sebagai nilai teras
dalam diri.
Setiap orang berisiko terdedah
dan berpotensi untuk terlibat dalam kemalangan. Realiti ini mesti diterap ke
dalam minda setiap orang di setiap tempat kerja, supaya kecuaian dapat dicegah
dan keselamatan tidak boleh dikompromi.
Sebagai rakyat Malaysia, kita
semua turut prihatin terhadap isu keselamatan di tapak pembinaan. Sejak
beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat beberapa insiden yang menyebabkan
kematian dan kecederaan di tapak pembinaan.
Beberapa contoh yang boleh dilihat
adalah seperti insiden di Kuala Terengganu di mana bumbung sebuah masjid
kampung dan stadium runtuh. Selain itu, insiden kren yang tumbang di tapak
pembinaan di Lembah Klang manakala insiden yang terbaharu adalah melibatkan
sebahagian rangka utama susur masuk ke Jambatan Kedua Pulau Pinang runtuh serta
kemalangan-kemalangan lain di tapak pembinaan yang melibatkan pekerja
warganegara asing.
Perkara seperti ini tidak boleh
diabaikan, malah pihak kerajaan dan sektor swasta perlu bekerjasama dalam
mencari jalan penyelesaian berkenaan isu keselamatan di tapak pembinaan. Faktor
keselamatan dan kesihatan pekerjaan bukan sahaja melibatkan pihak pekerja
bahkan juga orang awam yang berada di sekeliling.
Semua insiden dan masalah yang
berlaku menunjukkan bahawa tahap keselamatan di tapak pembinaan perlu
ditingkatkan lagi. Antara langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan
kadar kemalangan di tapak pembinaan adalah seperti menjalankan audit
keselamatan dan pemantauan serta pengawalan yang berterusan.
Umum mengetahui bahawa siasatan
yang menyeluruh sedang giat dijalankan terhadap insiden Jambatan Kedua Pulau Pinang yang runtuh. Saya
merasakan bahawa kecuaian merupakan faktor utama yang mendorong insiden
tersebut. Tindakan yang tegas perlu dikenakan terhadap mereka yang
bertanggungjawab.
Penulis ialah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh)
Sumber : http : //www.utusan.com.my/