Isnin, 30 Jun 2025

ADAB MURID KEPADA GURU

 

1. Menghormati guru dalam setiap tutur kata dan perbuatan, sama ada di hadapan atau di belakang mereka.

 

2. Mendengar dengan khusyuk ketika guru mengajar. Jangan berbual atau melakukan perkara lain semasa guru sedang bercakap.

 

3. Bersopan santun dan elakkan nada suara yang tinggi apabila bercakap dengan guru.

 

4. Tidak memotong percakapan guru. Tunggulah sehingga guru selesai bercakap sebelum memberi pandangan atau bertanya soalan.

 

5. Berterima kasih selepas guru memberikan ilmu atau bantuan.

 

6. Mengamalkan ilmu yang diajar untuk kebaikan diri sendiri dan sebagai tanda penghargaan terhadap usaha mereka.

 

7. Meminta izin sebelum masuk atau keluar kelas.

 

8. Menjaga nama baik guru. Elakkan menyebarkan cerita buruk atau fitnah tentang guru.

 

9. Memberi hadiah sebagai tanda hormat atau penghargaan  terutama pada hari istimewa seperti hari guru, hari lahir dan sebagainya.

 

10. Mendoakan guru agar mereka terus diberi kekuatan untuk mendidik dengan ikhlas.

 

Wallahu A’alam.

 

Che Mat

Penceramah Motivasi Pelajar

www.alafacademy.com

Adab dulu baru ilmu..

DOA AGUNG SEBELUM TIDUR

DOA AGUNG SEBELUM TIDUR


دُعَاءٌ عَظِيمٌ قَبْلَ النَّوْمِ


اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِقُدْرَتِكَ الَّتِي لَا يَعْجِزُهَا شَيْءٌ،

وَرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ،

أَنْ تُنَزِّلَ عَلَيَّ وَعَلَى أَهْلِ سَكِينَتِي،

وَأَنْ تَجْعَلَ مَا فِي قَلْبِي رِضًا وَطُمَأْنِينَةً.


اللَّهُمَّ اجْعَلْ نَوْمِي رَاحَةً لِبَدَنِي،

وَشِفَاءً لِلْأَمْرَاضِ،

وَصَفَاءً لِعَقْلِي،

وَقُوَّةً لِرُوحِي،


وَاغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ،

وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ،

وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي.


اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي فِي هَذِهِ اللَّيْلَةِ مِنْ عِبَادِكَ الَّذِينَ سَبَقَتْ لَهُمُ الْحُسْنَى،

وَكُتِبَتْ لَهُمُ السَّعَادَةُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ،

وَأَذِقْتَ قُلُوبَهُمْ بَرْدَ عَفْوِكَ وَرِضَاكَ.


اللَّهُمَّ اجْعَلْ فِرَاشِي هَذَا شَاهِدًا عَلَى ذِكْرِكَ وَتَوْحِيدِكَ،

وَقِنِي عَذَابَ الْقَبْرِ وَعَذَابَ النَّارِ،

وَأَكْرِمْنِي بِرُؤْيَةِ وَجْهِكَ الْكَرِيمِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ.


اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَوْدِعُ نَفْسِي وَأَهْلِي وَحَيَاتِي،

فَاحْفَظْنَا بِمَا تَحْفَظُ بِهِ عِبَادَكَ الصَّالِحِينَ،

وَوَفِّقْنَا لِمَا تُحِبُّهُ وَتَرْضَاهُ،

وَارْزُقْنَا الرَّاحَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ.


اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ هُمُومِ الدُّنْيَا وَضِيقِهَا،

وَمِنْ شَرٍّ كُلِّ شَرٍّ،

وَمِنْ فِتَنِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ.


اللَّهُمَّ اجْعَلْ لِي مِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا،

وَمِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا،

وَارْزُقْنِي مِنْ حَيْثُ لَا أَحْتَسِبُ.


سُبْحَانَكَ رَبِّي وَبِحَمْدِكَ،

لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ،

أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ.


Terjemahan :

Ya Allah, aku memohon kepada-Mu dengan kekuasaan-Mu yang tidak ada sesuatu pun yang dapat mengalahkannya, dan dengan rahmat-Mu yang meliputi segala sesuatu, agar Engkau menurunkan ketenangan ke atas diriku dan kepada penghuni rumahku, dan Engkau menjadikan apa yang ada dalam hatiku sebagai keredaan dan ketenangan.


Ya Allah, jadikanlah tidurku sebagai kerehatan untuk badanku, penyembuh bagi penyakitku, kesucian untuk akalku, dan kekuatan untuk jiwaku. Ampunilah aku atas segala yang telah aku lakukan dan yang akan datang, serta apa yang aku rahsiakan dan yang aku nyatakan. Engkau lebih mengetahui tentang diriku daripada aku sendiri.


Ya Allah, jadikanlah malam ini malam yang istimewa untuk hamba-hamba-Mu yang Engkau pilih dengan sebaik-baik pilihan, dan Engkau tuliskan untuk mereka kebahagiaan di dunia dan akhirat. Lembutkan hati mereka dengan keampunan-Mu dan keredaan-Mu.


Ya Allah, jadikanlah pembaringanku ini sebagai saksi bahawa aku mengingati-Mu dan mentauhidkan-Mu, jauhkanlah aku daripada azab kubur dan azab api neraka, dan muliakanlah aku dengan melihat wajah-Mu yang mulia pada hari kiamat.


Ya Allah, aku menyerahkan diriku, ahli keluargaku, dan kehidupanku kepada-Mu. Maka lindungilah kami dengan perlindungan orang-orang yang soleh, dan kurniakanlah kepada kami kehidupan yang penuh dengan cinta dan keredaan-Mu, serta rezeki yang lapang di dunia dan akhirat.


Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada kesempitan dunia dan kesukarannya, dan daripada segala kejahatan, serta daripada fitnah malam dan siang. Ya Allah, jadikanlah untukku dari setiap kesedihan jalan keluar, dan dari setiap kesempitan kelapangan, dan rezekikanlah kepadaku dari arah yang tidak aku sangkakan.


Maha Suci Engkau, ya Tuhanku. Segala puji bagi-Mu. Tiada Tuhan melainkan Engkau. Aku memohon ampun kepada-Mu dan aku bertaubat kepada-Mu.


Ahad, 13 Februari 2022

 

MUNAJAT PEPERIKSAAN :

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,

Kami mohon keampunan Mu, kami mohon kerahmatan Mu, kami mohon taufik dan hidayah Mu ya Allah.

Kau ampunkanlah dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami, dosa anak didik kami, dosa saudara mara kami, dosa ahli keluarga kami, dosa guru-guru kami dan dosa semua kaum muslimin dan muslimat.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,

Permudahkan urusan kami di dunia dan urusan kami di akhirat. Jadikanlah kami manusia yang sentiasa bersyukur kepada Mu. Jadikanlah kami manusia yang sentiasa mencintai Mu ya Allah.

Ya Allah, jadikanlah apa yang kami lakukan ini sebagai suatu amal ibadah yang diterima Mu.

Ikhlaskan hati anak didik kami untuk mempelajari ilmu Mu.

Tetapkan niat dihati mereka agar apa yang mereka lakukan ini semata mata kerana Mu dan demi memenangkan agama Mu ya Allah.

Ya Allah, yang Maha Mengetahui,

Kami mohon kepada Mu, permudahkanlah mereka faham apa yang diajar oleh guru-guru mereka ketika mereka berada di dalam kelas mahupun semasa belajar dalam talian di rumah. Lapangkanlah dada mereka untuk menerima ilmu Mu ya Allah.

Mulai minggu hadapan, anak didik kami akan menduduki peperiksaan STPM Penggal Pertama 2022 Ya Allah. Kami mohon kepada Mu ya Allah, bantulah anak anak kami dalam peperiksaan yang akan mereka hadapi ini ya Allah.

Ya Allah, yang Maha Berkuasa lagi Maha Melindungi,

Peliharalah kesihatan anak didik kami sepanjang menduduki peperiksaan nanti, serta lindungilah mereka daripada sebarang wabak yang memudaratkan.

Permudahkanlah mereka menjawab soalan ketika peperiksaan nanti.

Berikanlah ketenangan kepada mereka ketika menjawab soalan,dan jauhilah mereka daripada perasaan resah dan gelisah ketika menjawab soalan peperiksaan. Dorongkanlah hati mereka untuk menjawab setiap soalan seperti mana skema jawapan.

Ya Allah, yang Maha Kuat lagi Pemilik Hati-Hati ini,

Lembutkanlah hati para pemeriksa yang memeriksa kertas jawapan anak didik kami nanti.

Dorongkanlah hati mereka untuk memberi markah yang lebih baik kepada anak didik kami. Tutuplah matanya daripada melihat kesalahan kecil atas kelalaian dan kealpaan yang anak didik kami lakukan.

Berilah keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan buat anak didik kami. Mudah-mudahan dengan keputusan yang cemerlang ini, mereka dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi lagi, semoga ia sebagai pembuka jalan untuk mereka menjadi hamba Mu yang soleh dan menghampirkan diri mereka kepada Mu.

Jadikanlah anak didik kami pelajar yang cemerlang ya Allah, cemerlang di dunia dan cemerlang di akhirat. Kami mohon kepada Mu, Kau perbaikilah akhlak anak didik kami.

Jadikanlah mereka pelajar yang cemerlang dan mempunyai sahsiah diri yang baik. Tanamlah sifat mahmudah dalam diri mereka dan buanglah sifat mazmumah dalam diri mereka.

Ya Allah, jadikanlah anak didik kami seorang pemimpin dalam kalangan orang yang bertakwa.

Ya Allah, yang Maha mendengar dan Mengabulkan Doa,

Sesungguhnya, anak  didik kami inilah harapan kami. Kami mahu mereka berjaya dengan cemerlang ya Allah. Kami mahu mereka mengubah nasib keluarga mereka agar mereka bersyukur dan lebih bertaqwa ya Allah. Berikanlah taufik dan hidayah Mu yang berkekalan ya Allah.

Jadikanlah anak didik kami anak yang soleh ya Allah. Yang menyejukkan mata kami memandangnya ya Allah. Jadikanlah anak didik kami ahli syurga Mu ya Allah. Dorongkanlah hati mereka untuk melakukan amalan amalan yang membawa mereka ke syurga Mu ya Allah.

Jauhkanlah dan hindarilah hati mereka daripada melakukan amalan amalan yang membawa mereka ke neraka Mu ya Allah. Tetapkan lah hati mereka untuk menunaikan solat. Janganlah Kau melalaikan mereka dengan perkara perkara yang tidak berfaedah ya Allah.

Kami tidak mampu untuk mengawasi anak didik kami setiap waktu ya Allah. Kami serahkan anak  didik kami untuk berada di bawah penjagaan Mu ketika mereka tidak bersama kami ya Allah. Gerakkanlah hati mereka untuk berada di tempat tempat yang Engkau redhai. Dan jauhilah mereka daripada berada di tempat-tempat yang Engkau murkai.

Ya Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani,

Perkenankanlah doa-doa kami yang lemah serta selalu berlaku khilaf dan dosa kepada Mu ini. Kami memohon kepada Mu kerana Engkaulah Tuhan kami.

Kami meminta kepada Mu kerana Engkaulah yang menciptakan kami. Kami merayu kepada Mu kerana Engkaulah yang Maha Mengabulkan doa-doa kami ini.

Jika Engkau tidak memakbulkan doa kami ini, siapa lagi yang akan memakbulkannya. Jika Kau tidak mendengar doa kami ini, siapa lagi yang akan mendengarnya. Bantulah kami ya Allah. Ya Rahman. Aamiin, Aamiin Ya Robbul Aalaminn.

Khamis, 4 Jun 2020

Puisi Pilihan : KEINSAFAN

KEINSAFAN

Luasnya rahmat-Mu tidak terjangkau
Dalamnya kasih-Mu tidak tergapai
Indahnya cinta-Mu tidak terlukis
Damainya belaian-Mu tidak terungkap
Melimpahnya kurniaan-Mu tidak tersukat

Suatu ketika diri ini
Belum disebut apa-apa
Belum diketahui di alam mana
Belum teruji beriman atau mendusta
Belum terbongkar setia atau derhaka

Dengan iradah dan qudrahMu jua
Diri ini tercipta
Dilahirkan daripada tiada
Lalu diberi nama manusia
Makhluk-Mu
Yang dimuliakan
Yang dibentuk seindah kejadian
Yang dibahunya amanah kekhalifahan dipikulkan

Dengan rahmat-Mu jua
Diri ini bisa
Mengenal dunia
Melihat indahnya mayapada
Mendengar merdunya suara
Kicauan mergastua
Deruan ombak di pesisiran
Desiran angin nan sepoi-sepoi Bahasa

Dengan limpah kurnia-Mu jua
Aku disimbahi cahaya hidayah
Menyuluh jalan lurus yang membawa ke syurga
Dan aku mengenali
Nama-nama-Mu Yang Maha Indah
Nabi-Mu yang rahmah
Kitab-Mu yang barakah
Syari’ah-Mu yang mutakamilah

Dengan cinta-Mu nan Agung
Engkau limpahkan segala
Berdosa, Engkau ampunkan
Kesepian, Engkau hiburkan
Kelaparan, rezeki Engkau curahkan
Sakit, Engkau sembuhkan
Sempit, Engkau lapangkan
Engkau terlalu hampir
Engkau selalu mampir

Ampuni daku Ya Rabbku
Aku sedang menunggu waktu
Untuk pulang ke asalku
Mengharap redha dan rahmatMu
Engkau Ilahku
Satu-satunya tiada sekutu

Shah Alam
18031441
15112019

Sabtu, 9 Mei 2020

ISU UMUM : Mengubah Cara Berfikir Saat Menghadapi Dugaan Getir



Dr. Mohd. Farid bin Mohd Shahran 

Dugaan yang dihadapi masyarakat manusia akibat arus deras penyebaran virus Covid-19 yang sedang melanda dunia hari ini sememangnya luar biasa. Walaupun dari segi jumlah, virus ini masih belum menyamai penyakit Spanish Influenza seabad lalu yang menjangkiti hampir 500 juta orang, dan dari segi bahaya ia tidak seganas virus e-bola  yang merenggut nyawa 40% dari mereka yang dijangkiti, namun sekiranya kita melihat dari segi kepantasan virus Covid-19 ini merebak dan keluasannya  berkembang, ternyata ia mengatasi kedua-dua penyakit di atas. 

Akibatnya tiada negara di dunia ini yang terlepas dari serangannya, sementara epicentre atau pusat serangan jangkitannya juga boleh berubah dari satu negara ke satu negara lain dengan pantas. Tanpa simpati, jumlahnya terus berkembang pantas setiap hari.

Virus baharu ini juga telah melumpuhkan ekonomi banyak negara, menjadikan usahawan dan saudagar jatuh bangkrap dan meragut nyawa hatta pemimpin, ahli sukan dan selebriti dunia.

Yang juga bahaya, penyebaran virus ini bakal memberi kesan kepada tahap kesihatan jiwa manusia yang sememangnya telah tergugat dengan pelbagai faktor kerumitan hidup. Hari ini, apabila hampir keseluruhan penduduk dunia dipaksa untuk tinggal di rumah, dibatas pergerakan, dijarakkan hubungan dan dinafikan kebebasan yang selama ini menjadi sebahagian dari fitrah kehidupan, pastinya akan menambah  tekanan kepada ketenteraman jiwa manusia.

Sekiranya mereka yang tinggal di rumahpun kadangkala ada yang menunjukkan maklum balas yang menggambarkan tekanan perasaan, bayangkan apa yang dilalui oleh pesakit Covid-19 sendiri dan juga petugas perubatan dan barisan hadapan (frontliners) yang terpaksa diasingkan dengan segala peralatan yang mencengkam dan menyesakkan jiwa dan raga.

Tidak hairanlah kajian di Wuhan Cina misalnya  menunjukkan bahawa terdapat penambahan kes tekanan mental yang tinggi selepas bermulanya penyebaran virus Covid-19.  Begitu juga berita seorang state minister sebuah negara Eropah membunuh diri akibat tertekan dengan kesan wabak ini terhadap negaranya beberapa minggu yang lalu juga membuktikan suasana ini.

Bagi mengatasi persoalan tekanan jiwa ini mungkin kita memerlukan sedikit ‘game changer’ atau perubahan dari segi berfikir bagi menghadapi cabaran di tahap ini. Sekurang-kurangnya ada tiga bentuk perubahan cara berfikir yang boleh diambil  saat kita menghadapi saat getir ini.

Pertama, dengan mengubah sudut pandang kita dalam menanggapi keseluruhan cabaran serangan virus ini dengan melihatnya sebagai salah satu babak kecil dalam rantaian kehidupan panjang insan yang Tuhan jadikan keseluruhannya dengan hikmah “untuk menguji siapa diantara kamu yang lebih baik amalannya.” (al-Mulk, ayat 2). Ayat ini menjelaskan bahawa hakikat keseluruhan kehidupan ini Allah jadikan sebagai ujian kepada manusia.

Sama seperti keadaan apabila kita sedang mengambil ujian atau peperiksaan ketika berada di sekolah atau universiti, pasti ada soalan-soalan peperiksaan yang lebih sukar berbanding yang lain. Maka anggaplah dugaan Covid-19 ini sebagai sebahagian dari soalan-soalan yang sukar dalam ‘peperiksaan’ yang kita sedang lalui. Insha’ Allah, sekiranya kita benar-benar berikhtiyar mengelakkannya, sabar, tenang dan tawakkal dalam menghadapi dugaan covid-19 ini, maka kita sebenarnya telah berjaya menyelesaikan soalan sukar dalam peperiksaan dengan jayanya.

Perubahan kedua yang boleh dilakukan ialah dengan mengubah perhatian kita kepada perkara yang lebih kekal dalam kehidupan. Dugaan penyakit, sebagaimana dugaan-dugaan lain dalam kehidupan, adalah sebahagian dari perkara-perkara yang mendatang dalam kehidupan. Ia datang dalam tempoh tertentu, ia juga akan meninggalkan kita apabila sampai tempoh tertentu. Mungkin ia mengambil sedikit masa, akan tetapi masih lagi bersifat sementara.

Namun sebagai yang diajar oleh akidah Islam ada perkara-perkara yang lebih kekal dan mutlak dalam kehidupan yang sememangnya kita perlu tumpukan sentiasa tanpa kecuali seperti Ketuhanan dan Hari Kemudian. Dengan kembali menumpukan perhatian kepada perkara yang kekal, perkara sementara yang mendatang tidak akan menguasai dan menekan perasaan kita. Lebih-lebih lagi apabila kita yakin bahawa perkara yang berubah itu sendiri berada dalam kekuasaan  Yang Maha Kekal tersebut.

Justeru, ingatan kita yang berterusan kepada Tuhan Yang Maha Kekal dan keyakinan bahawa Dialah yang Maha Berkuasa menyelamatkan kita dari segala penyakit bakal menjadikan jiwa lebih tenang, sebagaimana yang diingatkan oleh al-Qur’an, “Sesungguhnya dengan mengingati Allah akan menenangkan jiwa.” (al-Ra’d, ayat 28).

Perubahan pemikiran ketiga ialah dengan mengubah tumpuan kita kepada pendalaman ilmu-ilmu yang dapat menyakinkan jiwa terhadap nilai-nilai abadi dalam kehidupan seperti ilmu agama dan akhlak. Ilmu-ilmu agama dan akhlak adalah contoh ilmu yang mengajar kita mengenai sifat-sifat keutamaan (fadha’il) yang bakal membina jiwa keinsanan dengan lebih kuat. Contohnya sifat-sifat mahmudah seperti mujahadah, ikhtiyar, sabar, redha, tawakkal, syukur dan lain-lain.

Pastinya dengan mengetahui dan berusaha menanamkan sifat-sifat ini ke dalam diri, ia akan membantu kita menghadapi cabaran wabak ini dengan lebih kuat. Pastinya sifat-sifat ini harus difahami dengan seimbang terutama antara aspek ikhtiyar dan kesungguhan dalam menghadapi dan menjauhi penyakit dengan aspek penerimaan dan keredhaan kita dalam menghadapi ketentuan Allah.     
Ternyata ketiga-tiga perkara di atas merupakan perkara yang tidak begitu sukar untuk dilakukan semasa pergerakan terbatas ini. Ini kerana ia adalah perkara dalaman yang bersifat ruhaniyah dan akliyah dan tidak memerlukan banyak  pergerakan. Untuk mereka yang telah sedia kuat pegangan akidah dan mantap nilai-nilai akhlakiyah, perkara-perkara yang disebutkan di atas adalah sebagai satu ingatan yang perlu diulang dalam diri melalui tazkirah dan muhasabah diri.

Sumber : http : //www.ikim.gov.my//

Khamis, 23 Januari 2020

Puisi Pilihan : Tak Faham

TAK FAHAM…
(Kepada yang tak faham faham)

Sekali tersungkur, kami tak faham
Tersungkur lagi, masih tak faham
Lagi-lagi tersungkur, memang tak faham faham

Tak faham
Cakap bagai faham
Tapi buat bak tak faham
Acuan sama tindak serupa
Manakan hasil tak serupa?

Tak faham
Dikaburi kuasa atau dilamun empuk kerusi?
Terputus realiti atau dilitupi jangkaan sendiri?
Bagai terhadang gerak kaki
Dalam selut ciptaan sendiri
Berlari setempat tanpa daya bebas diri

Tak faham
Bergelut dalam selut sesama diri
Kau punya angkara, kau punya muslihat
Dari subuh ke tengah hari
Hulu dinihari bagai faham
Bila fajar menyinsing mula tak faham
Sampai tengah hari masih tak faham faham
Adakah mungkin datang fahamnya
Atau tak faham hingga ke senja
Dan hilang dalam pekatnya gelap malam

Tak faham
Penyakit apa melanda
Bagai dapatnya tongkat sakti
Persis lupa diri lupa haluan
Dari dulu memang begini
Sorak riang menyambut jaya
Bertukar menjadi hiruk-pikuk
Watak tersingkir jadi tok dalang
Meniup mantera ceritera menjadi
Gegak gempita di sana sini
Watak-watak teraju yang alpa
Tersepit sengketa sesama diri
Penting diri seolah dicari
Warga praja tempiaran lari

Tak faham
Adakah akan berubah diri
Atau terus cakar bercoreng-coreng
Sampai karam biduk yang tiris
Menyiksa watan yang beri segala
Bagai pengkhianat segala cita

Fahamlah
Sudah terhantuk elok tergadah
Janganlah terus porak peranda
Sucikan niat betulkan langkah
Amanah diberi dijulang tinggi
Jangan lagi mempamer bebal
Cukuplah tak faham sampai ke sini

Rasa semacam faham,
Gurcharan Singh
PJ
23 Januari 2020

Ahad, 3 November 2019

Puisi Pilihan : Puisi Penyucian Hati



Puisi Penyucian Hati

Tatkala bara api amarah mula menyala
padamkan segera dengan simbahan takwa
kerana amarah itu hasutan iblis durjana

Tatkala dendam kesumat menguasai hati
padamkan segera dengan upaya aqli
kerana dendam itu tanda buruknya pekerti

Tatkala hasad menaklukkan perasaan
padamkan segera dengan rasa keinsafan
kerana hasad itu dorongan syaitan

Tatkala ujub dan dan riyak menanjak
padamkan segera dengan tunduk rajak
kerana kita dijadikan daripada tanah yang dipijak

Tatkala tamak haloba beraja di hati
padamkan segera dengan rasa simpati
Betapa banyaknya yang melarat tidak terperi

Kembara Bahasa
3 November 2012

Sumber : http : // kembarabahasa. blogspot. com//