HABIBAH Hanan Mat Yusoff dari Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi (P), Kota Bharu dijulang rakan selepas mendapat 15A dalam SPM 2009. Beliau adalah pelajar terbaik sekolah itu selepas Nik Nur Madihah memperoleh 20A pada 2008
Oleh Dr Aminudin Mansor
Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 membuktikan pencapaian yang membanggakan. Seramai 7,987 atau 1.99 peratus calon SPM tahun lalu memperoleh gred cemerlang (A+, A dan A-) bagi semua mata pelajaran diambil, berbanding 6,277 atau 1.6 peratus pada tahun sebelumnya.
Pencapaian keseluruhan tahun ini membanggakan. Pencapaian Gred Purata Nasional SPM juga lebih baik. Seramai 255 mendapat A+ dalam beberapa mata pelajaran iaitu gred cemerlang tertinggi mengikut penggredan baru yang mula diperkenalkan tahun ini. Sebanyak 364,046 calon mendapat sijil SPM kali ini, berbanding 347,433 pada 2008.
Sesungguhnya, tahniah diucapkan kepada guru-guru yang telah bertungkus-lumus mengajar dan mendidik pelajar ke arah kecemerlangan. Tahniah juga kepada pelajar yang telah belajar bersungguh-sungguh hingga mencapai kejayaan cemerlang. Tahniah juga kepada ibu bapa yang turut bersengkang mata dan tidak putus-putus memberi semangat kepada anak-anak sehingga mendapat kejayaan cemerlang.
Walau bagaimanapun, wajar diingat cemerlang dalam bidang akademik, mestilah juga cemerlang dalam akhlak. Tidak sempurna seseorang pelajar yang hanya cemerlang akademik tetapi akhlaknya tidak cemerlang. Kita semua mengharapkan pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik ini, cemerlang juga dalam bidang akhlak.
Pelajar yang keluar sekolah, iaitu lepasan SPM tentunya akan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Kelulusan SPM pada masa kini tidak menjanjikan apa-apa pekerjaan yang baik dengan gaji yang lumayan sama ada di sektor swasta atau di jabatan kerajaan. Jika tiga puluh tahun lalu sijil SPM Gred 1 sangat hebat kini pelajar yang mendapat 15A setaraf dengan mereka. Nik Nur Madihah memperoleh 20A pada 2008.
Begitulah perubahan masa dan putaran kehidupan. Segala-galanya cepat berubah demi untuk kebaikan dan kecemerlangan hidup. Bagaimanapun, pangkat dan gred tidak dapat diberikan kepada pelajar yang cemerlang akhlaknya. Penilaian akhlak sangat subjektif sifatnya. Sesiapapun tidak boleh menilainya hanya Allah yang dapat menilainya.
Ada pelajar pada peringkat sekolah rendah sangat cemerlang dalam akademik dan akhlaknya, namun apabila meningkat ke sekolah menengah mereka tidak lagi cemerlang dalam akademik dan baik akhlaknya. Begitulah juga ada yang cemerlang dalam SPM dan juga cemerlang dalam akhlaknya. Namun apabila bekerja mereka terjebak dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Falsafah Pendidikan Negara (FPK) jelas ingin melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Begitu juga usaha ini bertujuan melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
Falsafah ini sewajarnya menjadi pegangan hidup kepada setiap pelajar lepasan SPM. Kita mahu pelajar yang cemerlang akademik dan juga cemerlang dalam akhlak, iaitu seimbang dalam kehidupan mereka.
Tokoh Pendidik, Dr Hassan Langgulung, menegaskan bahawa aspek dalam pendidikan Islam yang lebih penting adalah akhlak. Aspek akhlak termasuk dalam domain afektif dan terbukti dalam bentuk tingkah laku. Aspek tingkah laku ini tidak boleh diajar sama separti aspek fakta.
Sebaliknya, aspek tingkah laku ini lebih kepada bentuk menyuruh pelajar memainkan peranan yang tertentu, sama ada melalui pentas atau menerusi pertubuhan dan persatuan di sekolah. Tingkah laku pelajar yang baik dapat dilihat oleh guru-guru sepanjang masa persekolahan tersebut. Tingkah laku dan akhlak ini tidak wajar diberikan gred A atau B dan seterusnya. Ia wajar diberikan sebagai terpuji, terbaik, sederhana dan sebagainya.
Sesungguhnya, ibu bapa dan guru-guru wajar memainkan peranan yang penting ke arah mendidik, membimbing dan membentuk tingkah laku anak dan para pelajar ke arah kebaikan. Tingkah laku yang baik dapat dibentuk melalui kefahaman terhadap al-Quran, akidah dan ibadah selanjutnya memancarkan akhlak yang baik.
Penulis ialah penyair, mantan pendidik. PhD Persuratan Melayu, UKM, Bangi.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/