Rabu, 23 Mei 2012

ISU SOSIAL : Kembali kenal, selami budaya berbilang bangsa


DR. JESSICA ONG HAI LIAW

SETELAH puluhan tahun merdeka kita kelihatan masih mencari-cari erti perpaduan yang sering dilaungkan, dan ada ketikanya terfikir adakah belia pada hari ini memahami semangat 1Malaysia. Semangat perpaduan yang dilaungkan demi membangunkan masyarakat yang aman dan makmur.

Sempena Hari Belia, kita perlu merenung sejenak, melihat apa peranan belia dalam mencapai semangat 1Malaysia? Di manakah kita perlu bermula? Di rumah, sekolah, tempat kerja atau di mana sebenarnya? Adakah Sekolah Wawasan berjaya? Adakah Program Latihan Khidmat Negara berjaya?

Sekolah Wawasan dan Program Latihan Khidmat Negara memang ada kebaikannya dan kejayaannya, tetapi terdapat keperluan untuk ditambah pengisiannya. Malah digiatkan lagi program-program lain sepertinya.

Perpaduan perlu datang dari hati yang ingin kenal dan menyelami setiap budaya dan bangsa di Malaysia. Kalau kita tidak tahu, kita cuba fahami. Kalau kita tidak pasti, kita cuba ikuti. Pengalaman hidup adalah sesuatu yang tidak dapat dijual beli.

Pengalaman hidup saya yang biasa bergaul dengan kaum Melayu dan India membuatkan saya tidak pernah rasa kekok atau terpinggir apabila bersama mereka. Sebenarnya bermula dari kecil lagi keluarga menggalakkan saya hidup dalam suasana berbilang kaum terutama bersama orang Melayu. Di sini saya melihat sikap hormat-menghormati antara sesuatu bangsa sangat penting apatah lagi menghormati agama masing-masing.

Kepentingan perpaduan disokong oleh bekas, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengatakan bahawa manusia yang lemah sekalipun jika bersatu padu akan dapat menggoncang dunia. Demikianlah kesannya perpaduan.

Pada satu kesempatan, saya bertanyakan kepada beberapa belia berlainan bangsa tentang perayaan-perayaan di Malaysia. Ternyata kebanyakan mereka tidak tahu apa itu Perayaan Pesta Tanglung, Hari Cheng Beng, Hari Thaipusam, Hari Ponggal, Hari Vaisakhi, Maulidur Rasul dan beberapa perayaan lain.

Mereka cuma tahu perayaan penting seperti Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Tahun Baru Cina dan Hari Deepavali. Bagaimana mereka hendak tahu jika tidak pernah diberitahu dari kecil? Bagaimana mereka dapat mengenali budaya bangsa lain jika ibu bapa tidak menerangkan dan membawa mereka melawat kawan-kawan yang berlainan bangsa?

Kita semua sibuk dengan urusan pejabat dan harian dan akhirnya penat kerana mencari rezeki maka kita terlepas pandang tentang pentingnya bertandang ke rumah kawan-kawan kita yang lain dan mengeratkan silaturahim antara kita.

Saya ingin memetik kisah pakcik saya yang kami panggil Ah Koo, maksudnya pakcik dalam bahasa Hokkien yang kini masih menetap di Gunung Keriang, Kedah. Ah Koo sangat sayangkan kanak-kanak Melayu di kampungnya kerana memang majoriti penduduknya ialah Melayu. Ah Koo mengatakan bahawa semua kanak-kanak Melayu telah dianggap anaknya sendiri.

Apabila tiba Tahun Baru Cina, maka Ah Koo akan mengupah orang Melayu membuat kuih Melayu dan tetamu yang datang akan dihidangkan dengan ketupat, rendang, kuih-kuih tradisional Melayu dan minuman air kelapa. Buah kelapa pula dipetik oleh orang Melayu.

Saya bertanya kepada Ah Koo, Kenapa makanan Melayu? Katanya: "Semua rumah orang Cina bagi makanan yang sama, aku nak jamu makanan Melayu, senang semua orang Melayu datang nanti tak was-was nak makan sebab yang masak orang Melayu". Begitulah prihatinnya Ah Koo yang disayangi di Gunung Keriang.

Saya juga terharu dengan penduduk di Tandop Besar, Kedah semasa saya mengajar di sana selama dua tahun. Sesuatu yang tidak dapat dilupakan bagaimana masyarakat Melayu di sana menjaga saya dengan baik.

Jika ada kenduri di kampung, saya akan disediakan makanan tambahan. Tuan rumah akan bertanya: "Cikgu makan daging lembu tak, makcik dah sediakan lauk ayam ini khas untuk cikgu". Saya terharu kerana makcik itu memahami tanpa diberitahu pun.

Kenangan berbuka puasa bersama orang Melayu di kampung memang diingati kerana sayalah orang yang paling sibuk sebagai tukang rasa lauk pauk yang dimasak untuk berbuka puasa nanti.

Begitu juga dengan seorang kawan bernama Geetha, seorang cikgu keturunan India yang bertugas di sebuah kampung memberitahu bahawa dia juga diberi layanan yang sangat baik di kampung tempatnya mengajar.

Mereka memahami budaya orang India dan ada penduduk kampung yang masak di kuali lain khas untuk Geetha yang hanya makan sayur. Tersentuh hati Geetha kerana layanan orang Melayu kepadanya.

Semangat 1Malaysia memang wujud dari dahulu lagi dan kita perlu memperkukuhkannya melalui usaha yang proaktif dan bukan hanya melaungkan slogan tanpa mempraktikkannya.

Program seperti Program Khas Anak Angkat Berbilang Bangsa perlu diwujudkan dari awal lagi oleh Kementerian Pelajaran bergabung dengan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, serta Kementerian Belia dan Sukan.

Konsepnya boleh diadakan secara secara santai seperti menerangkan kepada anak-anak Malaysia tentang perayaan, budaya dan bangsa di Malaysia. Anak-anak Malaysia ini perlu dibawa dalam program begini dan penerangan perlu diberikan kepada mereka bagaimana menghormati budaya berbilang bangsa.

Jelajah Belia 1Malaysia ke Perkampungan Cina yang berbilang etnik seperti Teochew, Hokkien, Kantonis, Hakka, Foochow dan lain-lain. Jelajah ke Perkampungan Jawa, Perkampungan Orang Asli dan merentas ke Sabah dan Sarawak yang lagi unik dengan etniknya berbeza.

Apabila kita merasai sendiri pengalaman hidup bersama bangsa lain, maka kita akan mengenali budaya yang pelbagai itu dengan hati dan jiwa. Ketika ingin memasuki alam perkahwinan, saya teringat pesan kata orang tua-tua ketika itu:

"Belum kahwin tak tahu lagi tapi bila dah kahwin dah hidup serumah baru tahu banyak perbezaan yang wujud antara suami isteri". Itu contoh suami isteri yang sama bangsa. Bagaimana kalau kita sama bangsa tetapi berlainan etnik? Kita fikirkan bersama?

Bagi saya, apabila kita cuba kenal maka kita akan cinta dan apabila cinta maka kita akan setia. Apabila setia pada satu, maka kita akan terus setia selamanya kepada Malaysia. Salam 1Hati.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa dan pensyarah Kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Akhlak penentu jatuh bangun peradaban manusia


Oleh Mohd Kamel Mat Salleh

Sejarah buktikan hanya kebaikan teras kemenangan

BULAN Rejab sudah menampakkan sinarnya. Golongan pencinta amal kebajikan menganggapnya sebagai masa untuk memanaskan badan sementara menunggu bulan yang lebih agung iaitu Ramadan. Ada sesetengahnya pula sudah memasang niat untuk mempertingkatkan amalan lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Tidak kurang juga yang mula mengganti puasa yang ditinggalkan dulu atas pelbagai sebab, begitu juga amalan puasa sunat.

Ayat al-Quran mahupun al-Hadis sarat galakan supaya setiap manusia sentiasa melazimkan kebaikan dalam kehidupan sehari-hari. Neraca inilah yang menjadi pertimbangan kepada jatuh bangunnya sebuah peradaban manusia.

Lipatan sejarah jelas menunjukkan akhlak mulia setiap lapisan masyarakat menjadi teras kepada kemenangan dalam sebuah perjuangan. Merujuk kepada hadis masyhur, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Kota Constantinople (Istanbul sekarang) akan jatuh ke tangan orang Islam. Pemimpin yang menaklukinya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.” (Hadis riwayat Ahmad).

Hanya selepas 800 tahun, ia menjadi kenyataan apabila Sultan Muhammad al-Fateh berjaya menawan dan membuka kota itu daripada tangan Kerajaan Rom. Pengkaji sejarah mendapati antara faktor terpenting membawa kepada kejayaan pembukaan kota itu ialah kebaikan akhlak dan perilaku bukan setakat pemimpin saja, malah rakyat secara keseluruhannya.

Bayangkan dalam puluhan ribu tentera itu, tidak seorang pun yang pernah meninggalkan solat fardu sejak usia baligh, sebahagian saja pernah meninggalkan solat sunat rawatib dan daripada kalangan yang ramai itu, hanya Sultan Muhammad tidak pernah meninggalkan solat malam sejak baligh.

Fenomena ini seharusnya membuka mata kita bahawa kebaikan itu mesti menjadi syarat utama membebaskan diri manusia daripada kezaliman dan kejahatan yang melingkungi persekitaran hidup mereka kini.

Bagaimana mahu memastikan harta benda sentiasa terjaga jika kejadian pecah rumah dan samun bermaharajalela setiap hari? Harus bagaimana memastikan anak muda remaja menjaga maruahnya sedang kerosakan nilai budaya masyarakat dipaparkan dalam media cetak dan elektronik sehari-hari?

Persoalan inilah yang harus dicari jawapan supaya selama-lamanya manusia tidak hanyut berada dalam lingkungan tidak sihat, berbudaya negatif, berakhlak tidak sopan dan hidup dalam acuan yang tidak Islam.

Pelaksanaan kepada kebaikan datangnya dari hati dan dorongan dalaman yang kuat. Niat saja tidak cukup, malah mesti digerakkan melalui tindakan. Namun, niat itu sendiri sudah mendatangkan pahala kepada si pelaku.

Sehubungan itu, atas rahmat dan kasih sayang Allah, pasti akan memberikan balasan setimpal untuk niat dan keinginan hati seseorang. Ketinggian sifat Pengasih Allah SWT ini dikurniakan juga walaupun kebaikan itu tidak dilaksanakan, malah jika berniat untuk melakukan kejahatan, tetapi tidak ditunaikan, akan diberi pahala oleh Allah SWT.

Dalam hadis qudsi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah menuliskan kebaikan dan kejahatan, kemudian Dia telah menerangkan hal itu. Barang siapa yang bercita-cita untuk melakukan kebaikan tetapi tidak dilakukannya, maka Allah akan menuliskan baginya satu kebaikan yang sempurna. Dan jika dia bercita-cita untuk membuat kebaikan dan melaksanakannya, maka Allah akan menuliskan baginya sepuluh sehingga 700 kali ganda kebaikan malah berlipat-lipat kali ganda. Barang siapa pula yang bercita-cita untuk melakukan kejahatan tetapi tidak beramal dengannya, maka Allah akan menuliskan baginya satu kebaikan, dan jika ia bercita-cita untuk melakukan kejahatan dan dilaksanakan kejahatan itu, maka Allah SWT hanya akan menuliskan baginya satu kejahatan saja.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini tidak sepatutnya menjadi hujah kepada ahli kejahatan untuk berbuat jahat, kononnya hanya akan tertulis satu kejahatan saja, tetapi ia harus menjadi perangsang dan motivasi supaya sentiasa menghiasi diri dengan sifat dan akhlak mulia. Kejahatan tetap dinilai suatu yang mungkar walaupun ia kecil, namun kebaikan itu dilihat amat besar walaupun dilakukan sedikit saja.

Amal salih inilah sebenarnya prasyarat utama untuk menemui Allah di akhirat kelak dengan hati penuh ketundukan kepada-Nya. Firman-Nya yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin bertemu Tuhannya (di akhirat kelak), maka hendaklah ia melakukan amal salih dan tidak mensyirikkan-Nya dalam setiap amal ibadahnya.” (Surah al-Kahfi, ayat 110).

Perhatikan maksud firman Allah: “Dan kalau Kami tidak memperkuat (hati) mu, nescaya kamu hampir-hampir condong sedikit kepada mereka. Kalau terjadi demikian, benar-benarlah Kami akan rasakan kepadamu (seksaan) berlipat ganda di dunia ini dan begitu (pula seksaan) berlipat ganda sesudah mati, dan kamu tidak akan mendapat seorang penolong pun terhadap Kami.” (Surah al-Isra’, ayat 74-75).

Ayat ini memberi ancaman bahawa perlakuan dosa itu perlu dijauhkan supaya tidak menjadi satu perkara biasa yang diulang dan diulang. Begitu juga martabat kebaikan dan pahala yang dikurniakan-Nya juga bergantung kepada kualiti ketaatan dilakukan, semakin baik dan tinggi mutu ibadahnya, maka semakin meningkat ganjaran dikurniakan Allah SWT.

Justeru, buatlah kebaikan sama ada untuk diri sendiri apatah lagi untuk manfaat orang lain demi kesenangan hidup di alam akhirat nanti. Insya-Allah segala kebajikan itu ada pulangan yang baik di sisi Allah SWT.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : Kempen berbasikal 2012 sempena Hari Alam Sekitar Sedunia




S. M. MOHAMED IDRIS

BERBASIKAL merupakan salah satu kaedah pengangkutan yang dapat membantu mengurangkan masalah pencemaran dan melindungi alam sekitar.

Sehubungan itu, sempena Hari Alam Sekitar Sedunia, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menganjurkan Kempen Berbasikal Kali Ke-12 dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang dan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Sejak 2006, CAP dengan kerjasama pelbagai agensi dan jabatan kerajaan telah menganjurkan 11 Kempen Berbasikal di Pulau Pinang, Butterworth, Alor Setar, Ipoh, Universiti Utara Malaysia (UUM), Kangar, Jawi dan Balik Pulau.

Setiap kali kempen diadakan, ia mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada orang ramai yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Kami berasa amat gembira apabila melihat kempen yang dianjurkan oleh pihak kami berjaya menarik minat pelbagai NGO di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis dan kami menggalakkan mereka menganjurkan acara berbasikal atas inisiatif mereka sendiri di bandar mereka sendiri. Malah bilangan mereka yang menggunakan basikal turut meningkat.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah atas kejayaan mereka dan semoga dapat menganjurkan lebih banyak acara untuk menggalakkan lagi orang ramai berbasikal.

Aktiviti berbasikal telah dipraktikkan sebagai satu bentuk senaman dan rekreasi tetapi CAP ingin melihat berbasikal ini sebagai satu bentuk pengangkutan di bandar.

Kempen Berbasikal ini akan diadakan pada hari Ahad, 15 Julai 2012, jam 8.00 pagi, bermula di tepi Dewan Milenium, Kepala Batas, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.

Para peserta akan berbasikal melalui jalan-jalan di sekitar Pekan Kepala Batas dan berakhir di tempat permulaan dengan jarak keseluruhan perjalanan sejauh 10 kilometer.



Tujuan kami mengadakan kempen tersebut adalah kerana sebab-sebab yang berikut :

- Rakyat Malaysia dikatakan kurang mengamalkan senaman dan melalui kempen ini secara tidak langsung membolehkan mereka berbasikal untuk ke sekolah dan ke tempat kerja serta untuk bergerak dalam jarak yang dekat.

- Dengan berbasikal juga akan meningkatkan kesihatan kerana berbasikal secara tetap menjadikan kita kurang menghidap penyakit jantung koronari, tekanan darah tinggi dan penyakit lain (Sumber: British Heart Foundation).

-  Basikal adalah murah, mudah, boleh dipercayai dan bentuk pengangkutan yang sesuai serta tidak memerlukan cukai jalan, insurans dan bil minyak serta murah untuk diselenggara.

- Apabila rakyat sihat, kerajaan juga dapat berjimat dari segi belanjawan kesihatan kerana rakyat yang sihat tidak perlu lagi berjumpa doktor serta dapat menjimatkan wang dan meningkatkan produktiviti.

- Basikal tidak mencemar (dan juga lebih senyap), tidak seperti kereta, yang menghasilkan berjuta tan asap beracun dan merupakan punca utama pencemaran udara di Malaysia. Oleh itu berbasikal membantu mengekalkan udara yang lebih bersih bagi pernafasan, dan mengurangkan pencemaran bunyi.

- Basikal menggunakan sedikit ruang di jalan raya, tidak seperti kereta, yang menelan berbilion ringgit wang orang awam untuk membina lebuh raya, jejambat dan tempat meletak kereta bertingkat. Oleh itu, berbasikal menjimatkan tenaga dan ruang, serta melindungi seseorang daripada kesan penggunaan automobil yang merosakkan kesihatan.

Kami mendapati bahawa kempen ini telah menjadi satu platform bagi rakyat daripada semua kumpulan etnik dan lapisan masyarakat untuk bergaul dan beramah mesra sebelum dan selepas berbasikal yang secara tidak langsung mewujudkan semangat muhibbah serta semangat kesukanan untuk semua.

Berdasarkan kepada perkara di atas, kami bercadang untuk menganjurkan Kempen Berbasikal di pelbagai bandar, luar bandar dan kawasan perumahan di seluruh negara dalam usaha untuk mempopularkan basikal sebagai satu bentuk sukan rekreasi dan satu bentuk pengangkutan.

Banyak kebaikan yang dapat diperoleh daripada berbasikal yang bukan hanya untuk tubuh yang sihat sahaja tetapi juga dapat melindungi alam sekitar, menjimatkan minyak dan wang.

Apa yang kerajaan boleh lakukan :

- Menyediakan lorong untuk basikal yang selamat di semua jalan raya dan lebuh raya baru.

- Mengubah suai bebendul jalan untuk memudahkan laluan basikal dan pejalan kaki.

- Mengadakan papan tanda basikal yang jelas pada laluan basikal.

- Memperkenalkan reka bentuk jalan raya yang menggalakkan keselamatan dan persekitaran yang sempurna bagi berbasikal. Ini perlu dimasukkan langkah-langkah meredakan lalu lintas untuk mengurangkan kelajuan kereta.

- Melindungi keselamatan penunggang basikal. Ini boleh dijalankan, misalnya, dengan mengehadkan penggunaan kenderaan bermotor di jalan raya pada waktu sibuk.

- Menyediakan ruang meletak basikal yang selamat, mudah dan percuma bagi penunggang basikal.

- Memperkenalkan program perkongsian basikal awam dengan membina tempat meletak basikal secara layan diri di kawasan bandar untuk kemudahan pelancong dan penduduk tempatan untuk bergerak di sekitar bandar dengan lebih cepat. Program perkongsian basikal telah berjalan dengan baik di Eropah, Amerika Syarikat dan terbaru di HangZhou, China.

- Orang ramai boleh mengambil bahagian dalam Kempen Berbasikal ini dengan menggunakan basikal biasa, basikal lumba, dan basikal bukit. Kempen ini juga adalah percuma. 

S. M. Mohamed Idris, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU SOSIAL : Menjadikan belia golongan tahan uji


Oleh : M Jasni Majed

JUMLAH belia di negara kita bukanlah sedikit. Mengikut statistik, golongan yang berusia antara 15 hingga 40 tahun seramai 11.9 juta iaitu 41.5 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia.

Tidak dinafikan bahawa dalam sebuah negara yang sedang membangun seperti negara kita, pelbagai cabaran hebat mengitari golongan belia. Pelbagai gejala negatif kebanyakannya membabitkan golongan belia.

Golongan belia menghadapi pelbagai masalah terutamanya isu dadah dan gejala sosial lain. Dalam kes dadah, statistik menunjukkan bahawa setiap tahun berlaku peningkatan bagi kes ini yang membabitkan belia. Amat malang bagi golongan ini kerana merekalah yang bakal menerajui negara pada masa akan datang.

Golongan belia juga terbabit dengan pelbagai isu yang membimbangkan masyarakat dan pihak berkuasa. Contoh paling jelas adalah gejala mat rempit, gengsterisme, vandalisme dan lain-lain lagi.

Di samping itu, masalah-masalah sosial lain seperti pergaulan bebas, buang bayi dan anak luar nikah turut membabitkan golongan belia. Malah, golongan belia jugalah yang rata-rata terbabit dengan demonstrasi jalanan di ibu negara yang menjadi topik hangat media massa sejak hujung April sampai kini.

Untuk menangani masalah golongan belia, pelbagai pihak mesti memainkan peranan demi memastikan golongan belia terbela dan tidak mendatangkan masalah kepada negara.

Paling penting adalah institusi pendidikan mampu menyemai nilai-nilai murni yang sedikit sebanyak mampu mengekang gejala tidak sihat dalam kalangan murid sebagai bekalan apabila mereka melangkah keluar dari alam persekolahan.

Golongan belia yang tahan diuji adalah golongan yang tidak mudah terpengaruh dengan segala anasir negatif yang boleh menjejaskan maruah mereka, masa depan mereka dan cita-cita murni mereka.

Mereka mestilah mematuhi norma-norma hidup yang murni sesuai dengan hasrat kerajaan mahu melahirkan golongan belia yang mampu membawa negara ke arah kecemerlangan kelak.

Oleh itu, golongan belia mestilah mencari jalan agar mampu mengubah landskap negara menjadi sebuah negara yang lebih maju.

Golongan ini mesti mementingkan ilmu, meningkatkan produktiviti negara dan menghormati setiap undang-undang yang telah ditetapkan demi kedaulatan sebuah negara.

Golongan belia yang memandang enteng kepada setiap peraturan dan tidak memperlihatkan sahsiah yang baik akan menjerumuskan negara ke arah kemunduran.


Mereka mestilah mendukung Rukun Negara, menghormati pemimpin, taat akan perintah agama dan paling penting adalah Sambutan Hari Belia yang diisi dengan aktiviti-aktiviti positif harus menjadi wadah memperjuangkan cita-cita memajukan diri dan negara.


Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : 13 resolusi untuk mantapkan pendidikan kebangsaan


Oleh NIZAM YATIM


SIDANG Meja Bulat Kajian Semula Sistem Pendidikan Kebangsaan yang diadakan di Memorial Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur pada 19 Mei lalu telah meluluskan 13 resolusi.

Ia diluluskan secara sebulat suara oleh para hadirin yang terdiri daripada wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kesatuan guru, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), bekas pegawai kanan Kementerian Pelajaran dan cendekiawan Melayu.

Resolusi berkenaan menggariskan perkara-perkara yang perlu dipatuhi oleh kerajaan apabila melaksanakan sebarang pindaan terhadap sistem pendidikan kebangsaan dan cadangan-cadangan baru bagi memantapkannya.

Berikut adalah inti pati resolusi-resolusi yang diluluskan pada persidangan anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkenaan.

1. Sebarang pindaan sistem pendidikan kebangsaan hendaklah selaras dan tidak bertentangan dengan Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan mengenai bahasa kebangsaan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 yang antaranya menggariskan bahasa Melayu adalah bahasa rasmi dan digunakan di peringkat kebangsaan.

Istilah bahasa Melayu mesti dikembalikan dan dinobatkan penggunaannya dengan rasmi menggantikan perkataan bahasa Malaysia.

Pengajaran dan pembelajaran di sekolah rendah, menengah, prauniversiti dan peringkat tertiari hendaklah menggunakan bahasa Melayu sebagai pengantarnya.

Mahasiswa institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dikehendaki mengambil bahasa Melayu sebagai subjek wajib lulus dan tuntutan untuk mengembalikan sekolah aliran Inggeris tidak wajar dilayan.

2. Perlu dipelihara dan dikekalkan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah serta Sarawak seperti yang termaktub dalam Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan dalam bidang pendidikan tanpa tolak ansur oleh kepentingan mana-mana pihak dan tekanan politik.

Sehubungan itu, kuota biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi melanjut pelajaran melalui Program Ijazah Luar Negara (PILN) dan Program Ijazah Dalam Negara (PIDN) wajar dikembalikan kepada nisbah asal 90 peratus Melayu dan bumiputera serta 10 peratus bukan bumiputera seperti sebelum 2008.

Dasar meritokrasi hanya dilaksanakan sesama atau dalam kalangan Melayu dan bumiputera sahaja, sementara kaum-kaum lain bertanding sesama mereka.

3. Kerajaan tidak seharusnya dari semasa ke semasa meminda atau memperkenalkan dasar baru pendidikan dengan sewenang-wenangnya tanpa merujuk kepada akta dan dasar pendidikan yang sedia ada.

Ini termasuk Penyata Razak 1956, Laporan Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961, Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran 1979, Falsafah Pendidikan Negara 1988, Akta Pendidikan 1996 dan Pindaan Akta Pendidikan 1997.

4. Kementerian Pelajaran digesa memperkukuhkan dan memperluaskan kurikulum pendidikan agar sejajar dengan keperluan semasa dan tuntutan antarabangsa.

Perlu dikaji semula dasar penggredan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dimulakan pada 2010 berasaskan A+, A dan A- bagi memilih pelajar tercemerlang daripada kalangan cemerlang kerana ia menimbulkan perlumbaan tidak sihat di kalangan pelajar, ibu bapa, guru dan sekolah.

5. Kementerian Pelajaran digesa mengambil langkah serius, drastik dan pragmatik supaya matlamat memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan yang digunakan dalam pentadbiran awam dan swasta tercapai dengan jayanya.

6. Mengakui bahawa bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di negara ini wajib diajar dan dipelajari oleh semua murid.

Sehubungan itu, perlu digembleng semula tenaga guru-guru bahasa Inggeris yang mendapat latihan di luar negara sejak awal 1970-an bagi mengurangkan kos perbelanjaan membawa masuk tenaga pengajar asing.

7. Kerajaan perlu memperkasakan sekolah kebangsaan sebagai sekolah aliran perdana dengan memberikan peruntukan kewangan, lain-lain perbelanjaan berulang tahunan (LPBT), peruntukan penyelengaraan dan peruntukan mata pelajaran, 100 peratus lebih banyak berbanding Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil.

Harus diperbanyakkan kelas bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa ketiga di sekolah kebangsaan.

Pelaksanaan kurikulum dan pengajaran sekolah kebangsaan perlu lebih fleksibel dan bijak, bukan birokratik dan mengongkong supaya anak-anak daripada semua kaum boleh belajar dengan kreatif di bawah satu bumbung.

8. Sekolah Berasrama Penuh (SBP) perlu terus memainkan peranan bagi melahirkan golongan intelek yang bakal menjadi pemimpin dan golongan profesional Melayu serta bumiputera dalam pelbagai bidang.

Kementerian Pelajaran digesa meneruskan dasar memberi keutamaan kepada pelajar Melayu dan bumiputera cemerlang dari keluarga miskin terutama dari luar bandar dalam pengambilan pelajar SBP.

9. Perlu dipastikan nisbah murid yang mengikuti mata pelajaran sains khusus tidak tergelincir daripada sasaran.

Menggesa Kementerian Pelajaran menyemak semula dasar nisbah 60:40 bagi subjek sains dan sastera yang sehingga kini didapati sukar untuk dicapai.

10. Harus dikawal pembukaan sekolah antarabangsa yang kini berkembang pesat akibat liberalisasi pendidikan swasta kerana ia hanya memberi manfaat kepada golongan berada dan boleh menghakis semangat patriotik terhadap negara.

Perlu dipastikan sekolah antarabangsa dan sekolah swasta yang mempunyai aliran antarabangsa mengajar bahasa Melayu kepada pelajar tempatan.

11. Menggesa kerajaan menarik balik pengiktirafan sijil Peperiksaan Gabungan Sekolah Cina (UEC) kerana ia bertentangan dengan dasar pelajaran kebangsaan.

Pengiktirafan ini akan menebalkan lagi polarisasi kaum kerana ia menggalakkan murid Cina bersekolah di SJKC dan meneruskan pelajaran di Sekolah Menengah Bantuan Cina dan Sekolah Persendirian Gabungan Cina yang kini berjumlah 60 buah dengan 60,481 pelajar.

12. Perlu ditambah bilangan pusat matrikulasi bagi menampung permohonan pelajar cemerlang lepasan SPM yang gagal mendapat tempat di universiti tempatan.

Kerajaan digesa mengekalkan nisbah kuota pengambilan pelajar di pusat matrikulasi iaitu 90 peratus kaum Melayu dan bumiputera serta 10 peratus bukan bumiputera.

13. Subjek Pengetahuan Agama Islam perlu dijadikan mata pelajaran wajib lulus bagi pelajar Islam dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan SPM.

Murid harus memahami bacaan dalam solat dan boleh membaca serta menulis asas-asas jawi pada akhir tahun dua.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SUKAN : 'Nazmi buka lembaran baru'



Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bharian.com.my


KEJAYAAN pemain muda negara, Mohd Nazmi Faiz Mansor mengikat kontrak tiga tahun bersama kelab Divisyen Satu Portugal, S.C Beira Mar akan membuka lembaran baru kepada pembangunan pemain muda di negara ini.

Bagi pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee, berita terbaru mengenai Nazmi ini begitu menggembirakan dan cukup bagus untuk pendedahan pemain muda itu di peringkat tertinggi.

“Ini satu perkembangan yang cukup baik kerana sebelum ini hanya pemain senior saja yang mendapat peluang di peringkat lebih tinggi.

“Perkhabaran positif Nazmi ini akan membuka lembaran baru kepada aspek pembangunan pemain muda di negara ini untuk terus melahirkan lebih ramai pemain muda berkualiti,” katanya ketika dihubungi di Slovakia, semalam.

Menurut laman web rasmi kelab berkenaan, tonggak Harimau Muda yang beraksi di saingan Liga Singapura itu, memikat perhatian panel pemilihan dan terus ditawarkan kontrak tiga tahun untuk menyarung jersi kelab itu.

Namun, di sebalik kejayaan Nazmi memikat kelab Portugal itu, Kim Swee menegaskan semua pihak tidak boleh terus ‘dibuai mimpi indah’, sebaliknya usaha pencarian dan pembangunan pemain muda harus dilipat gandakan.

“Daripada penubuhan Harimau Muda kira-kira empat tahun lalu, kini kita sudah boleh lihat hasilnya. Tapi pembangunan pemain muda tidak boleh berhenti begitu saja.

“Saya akan berjumpa dengan ejen Nazmi (Marco Guimaere) malam ini (semalam). Selepas pertemuan itu, baru kita akan dapat tahu lebih lanjut mengenai kontrak yang ditawarkan kepada Nazmi,” katanya .

Sumber : http : //www.bharian.com.my/